Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 47

“AWAK buat apa dekat sini?” Dara terlebih dahulu bersuara.

 

Haris angkat tinggi sampul berwarna coklat. Dia datang untuk menyerahkan sendiri surat ini kepada Dara kerana surat ini amat penting. Tidak boleh melalui orang ketiga.

 

Dara hulurkan tangan untuk menerima surat tersebut. Seharian ini dia sudah cukup serabut dengar isu surat. Semuanya berjalan tidak lancar bagi Dara gara-gara surat Haris. Kali ini, dia tidak akan melarikan diri lagi.

 

“Bagi saya, dan awak boleh pergi.”

 

Tak penting dia ambil tahu bagaimana Haris boleh sampai ke sini. Boleh jadi emak punya angkara. Haris itu menantu kesayangan emak, tak hairanlah kalau Dara kata emak akan buat apa saja untuk menbantu Haris.

 

“Buka pintu. Kita bincang dekat dalam.” Haris menjeling pintu rumah di belakang Dara. Dia masih tidak mahu menyerahkan sampul itu.

 

Laju gelengan kepala Dara menolak cadangan Haris.

 

“Tak manis.”

 

Sorotan Haris berubah. Dia kurang faham atau sesuatu telah berlaku pada Dara? Sesuatu yang besar mungkin sampai percakapan Dara itu kedengaran seperti orang hilang ingatan.

 

“Jangan cakap awak lupa kita ni masih suami isteri?” Sebelah kening Haris itu naik tinggi. Kalau itu yang terjadi, dia akan bawa Dara untuk buat pemeriksaan sekarang juga.

 

Disebabkan gugup, Dara salah memberi jawapan. Jika membenarkan Haris masuk, dia takut dirinya yang sebenar bakal munculkan diri. Dirinya yang kecundang dengan Haris.

 

“Awak nak satu kondo ni dengar masalah kita? Kalau itu pilihan awak, tiada masalah dipihak saya.” Kata Haris lagi bila isterinya masih berdiam diri.

 

Dara mengetap bibir. Haria sengaja naikkan volume suaranya. Haris sengaja ingin menarik perhatian jiran-jiran sebelah.

 

“Atau perlu saya cakap awak sengaja melarikan diri dari masalah…”

 

“Kita bincang dekat dalam.” Potong Dara. Haris kalau sudah begini gayanya, sukar untuk dikawal. Nak tak nak, terpaksalah dia menurut sebelum Haris canang masalah mereka pada seluruh penghuni kondo.

 

Dara menolak pintu luas. Sengaja ingin biarkan Haris masuk terlebih dahulu. Jelingan Dara singgah bila suaminya selisih dengannya.

 

Meluas mata Dara bila arah tuju Haris itu bukannya ke ruang tamu, sebaliknya Haris itu membuka satu persatu pintu bilik. Dara meluru menghampiri suaminya.

 

“Apa awak buat Haris? Tadi awak juga nak berbincang?” Mata Dara tunak merenung Haris yang telah membuka pintu terakhir. Di situlah bilik Dara.

 

“Suami isteri perlu mengadakan sesi perbincangan di dalam bilik. Lebih berkesan.” Haris melangkah masuk tanpa peduli suhu wajah Dara mula meningkat.

 

Berkelip-kelip Dara memandang Haris yang selamba masuk ke dalam. Malah, tanpa rasa malu suaminya merebahkan diri di atas katil.

 

“Haris!”

 

Haris yang baru pejam mata, celik semula saat namanya disebut dengan cara kurang mesra.

 

“Lebih baik awak keluar.” Tertahan-tahan suara Dara. Dia berharap sangat Haris memahami dirinya. Emosi dia masih cedera. 

 

“Begini ke cara awak sambut kedatangan suami?”

 

Cara, apa lagi Dara perlu lakukan kalau Haris itu memilih untuk berpisah? Kemunculan Haris pula umpama menunggu dia mati saja. Mana mungkin dia mahu menyambut Haris dengan cara paling mesra.

 

“Saya perlukan rehat. Dua hari dua malam saya berjaga. Sepuluh minit pun jadilah.” Haris pejam mata semula. Ke dua belah tangan diletakkan bawah kepala.

 

Siapa suruh Haris berjaga? Haris tidak mampu nak lena itu tak ada kena mengena langsung dengan dirinya. Bukan Haris yang ditinggalkan, tapi dia.

 

“Kalau awak nak tidur sekali, lagi bagus. Lagi cepat saya lena.” Haris bersuara dengan mata terpejam.

 

Dara merengus. Dia melangkah keluar. Sebelum itu sempat dia capai bajunya. Dia akan guna bilik depan. Sepuluh minit kemudian, dia akan datang semula untuk pastikan Haris keluar dari rumah ini.

 

Haris buka sedikit matanya, bibirnya terukir senyuman tipis melihat Dara melangkah keluar dengan muka tidak berpuas hati. Dia kembali pejam mata.

 

Sekembalinya Dara, katil yang dihuni Haris sepuluh minit yang lalu telah kosong. Melingas Dara mencari keberadaan suaminya, namun kelibat Haris tiada di mana-mana.

 

Dara ke ruang tamu, malah setiap pintu bilik dibuka. Sama. Tiada sesiapa pun di situ. Langkah Dara berhenti di ruangan dapur. Dia menemukan kertas tertampal pada pintu peti ais.

 

‘Saya keluar, cari makan. Peti awak kosong. Sama kosong macam awak. I’ll be back, soon.’

 

Kertas itu Dara capai lalu digumpal-gumpalkan. Sama seperti dia sedang melenyekkan wajah Haris menjadi bebola kertas lalu dicampak atas lantai. Turun naik dada dia. Sepatutnya, tempoh hari dia buat laporan displin terhadap Haris kepada pegawainya. Biar Haris diajar untuk lebih menjaga hati dan perasaan orang lain.

 

Untuk apa Haris berbaik dengannya kalau ingin berpisah? Haris itu sengaja ingin menambah luka di hatinya. Sengaja nak dia jatuh tersungkur gara-gara lelaki itu. Kemudian, suaminya bakal tersenyum kemenangan.

 

Kalau Haris ingin duduk di sini, tak mengapa. Dara yang akan keluar. Kali ini, dia akan pastikan Haris tidak akan berjaya menemukan dia lagi.

 

Malang Dara berganda-ganda jadinya sebaik saja dia membuka pintu, Haris telah pun kembali bersama dua beg plastik penuh.

 

“Nak ke mana?” Soal Haris. Kemudian pandangan dia terhala pada beg sandang yang melintang pada tubuh Dara.

 

“Keluar.”

 

“Buat apa?”

 

Dara beranikan diri pandang Haris.

 

“Cari makan.”

 

Jawapan Dara itu buatkan Haris tertanya. Apa isterinya tidak menemui nota yang dia tinggalkan? Dia keluar membeli barang keperluan. Puas dia mencari biskut atau apa pun sebagai alas perut, tetapi tiada. Dia jadi tertanya bagaimana Dara dapat bertahan dengan keadaan begini?

 

“Tunggu saya.” Putus Haris setelah lama berlawan mata dengan Dara. Dia masuk ke dalam untuk meletakkan semua barang tadi di atas meja.  

 

Sebaik saja keluar, dia melihat Dara terlebih dahulu mengambil langkah. Itupun hanya lima langkah sebelum isterinya menoleh.

 

“Jangan lupa kunci pintu.” Pesan Dara.

 

Senyuman tipis Haris muncul. Marah-marah Dara sekali pun, isterinya masih mahu juga bercakap dengannya.

 

Selepas dua puluh minit memandu, kini mereka berdua sudah duduk bertentang. Hanya Haris yang tenang membelek menu. Renungan tajam Dara dibiarkan. Tak tahu apa yang tidak memuaskan hati isterinya. Dua puluh minit di dalam kereta sudah lebih dari cukup mereka bercanggah pendapat gara-gara ingin makan saja.

 

“What’s wrong with you Haris?”

 

“Me?” Soal Haris kembali bersama ketawa perlahan. Mata dia masih tunak mencari menu untuk makan malamnya.

 

“Serahkan saja surat cerai tu. Dan tak perlu lagi kita berjumpa.” Sehabis baik Dara mengawal suaranya. Takut ada yang dengar hal penceraian mereka di bawa ke meja makan.

 

Anak mata Haris naik merenung wajah merah Dara sejenak.

 

“Kita di tempat umum Dara. Tak perlu bawa hal dalam bilik ke meja makan. Takut selera saya bertukar pada orang, bukannya makanan.”

 

Haris itu terlalu tenang. Hanya Dara gagal menjemput ketenangan yang ada dalam dirinya bila berhadapan dengan suaminya. Padahal, kalau dihimpun semua keazamannya dari tempoh hari, banyak cita-cita yang ingin dia realisasikan. Terutama cita-citanya ingin melupakan Haris. Kini, cita-citanya lebur bila Haris seperti sengaja ingin melengah-lengahkan masa supaya mereka bersama.

 

“Dengar…” Dara cuba buang sikap kebudak-budakkan dia.

 

“Saya tahu awak marah, Haris. Saya tahu, kesalahan saya tak layak pun terima kemaafan dari awak. Dan saya tahu, awak datang untuk menyerahkan surat penceraian kita. Apa kata awak bagi saya surat tu, dan kita bubar. Tak perlu sampai jumpa, lepas tu makan macam orang tengah hangat bercinta.” Panjang lebar leteran Dara. Peduli apa kalau Haris mahu terasa sekali pun. Dia sedang cakap benda yang betul.

 

Haris masih begitu. Diam. Mata dia bergerak dari kiri kemudian berakhir ke kanan. Buku menu itu lebih menarik perhatian Haris daripada berbincangkan hal mereka.

 

Dara memeluk tubuh, badan disandar pada kerusi sambil merenung Haris. Dia setia menunggu suaminya buka mulut.

 

“Dulu, awak tak marah-marah macam ni.” Akhirnya  Haris bersuara.

 

“Itu dulu Haris. Kita tengah bercakap apa yang berlaku sekarang.” Bidas Dara geram.

 

Haris menutup buku menu. Ditolak ke tepi. Tumpuan diberikan sepenuhnya pada Dara. Berapa hari tidak bersua, Haris rasa ada perubahan yang berlaku pada isterinya. Selalunya, Dara yang banyak beralah dengannya. Tapi apa yang Haris nampak hari ini, Dara itu seperti tidak sabar-sabar mahu meninggalkan dia.

 

“Kita makan dulu.”

 

Ini juga merupakan salah satu punca Dara tak mampu nak bendung rasa marahnya. Lima minit dia bertikam lidah dengan Haris. Dan dia juga tahu selera suaminya.

 

“Saya dah cakap tadi Haris. Saya tak makan sushi.”

 

Tapi Haris itu degil. Kedegilan Haris itu terbukti bila mereka berada di Sushi King. Dan sejak bila Haris itu menyukai makanan tersebut pun Dara tidak tahu. Apa yang dia tahu, mereka berdua bukanlah penggemar makanan sebegitu.

 

“Tapi saya nak sangat makan.”

 

“Kalau macam tu, saya boleh cari kedai lain. Awak makan sendiri.” Putus Dara.

 

“Tunggu saya bungkus dulu, baru kita cari kedai lain.” Haris mengalah.

 

Dara mengekori langkah Haris yang kian menjauh. Apa Haris itu sudah hilang separuh akalnya? Jarang-jarang suaminya mengalah. Ini pertama kalinya Haris ikut saja kehendak dia. Gerak-geri suaminya diperhatikan dari tempat duduknya. Sebaik saja Haris selesai membuat pembayaran, Dara bangun menghampiri suaminya yang tersenyum sangat lebar.

 

Sekali lagi Dara dipertontonkan sisi anehnya Haris. Suaminya mana suka tayang lekuk di ke dua belah pipinya di khalayak umum? Paling banyak pun, hujung bibirnya akan senget sedikit dan lekas-lekas disembunyikan semula.

 

Dara berhenti berhampiran Haris.

 

“Awak nampak pelik sangat Haris. Sangat-sangat pelik.” Luah Dara. Lama dia memandang suaminya. Kemudian barulah dia beredar meninggalkan Haris masih gembira hanya kerana dapat makanan yang suaminya nak sangat makan.

 

Haris yang sibuk menyimpan dompet ke poket belakang seluarnya termagu. Pelik? Siapa yang pelik? Haris ataupun Dara? Haris geleng kepala sebelum dia mengejar langkah isterinya dari belakang.

 

Tangan Dara sudah mendarat pada pemegang pintu kereta sebelah penumpang. Lama. Dia menunggu Haris menekan alarm. Tapi bunyi itu masih belum kunjung tiba.

 

“Lama sangat ke awak nak tekan alarm tu?” Sergah Dara.

 

Mengecil sepasang mata Haris. Hal ini terlalu kecil untuk diperbesarkan. Sekarang, Haris rasa Dara itu yang pelik. Kunci kereta baru saja berada di tangannya, tapi Dara itu sudah tidak sabar untuk masuk ke dalam.

 

Tangan Haris menjadi penghalang Dara membuka pintu tersebut. Sebelum itu, dia ada satu permintaan.

 

“Boleh tak awak drive, saya rasa tak sedap badan.” Pinta Haris.

 

Dara mencari wajah Haris.

 

Ya!

 

Sejak bertemu empat mata dengan Haris, suaminya nampak pucat. Seteruk-teruk dirinya, teruk lagi laki dia. Tapi harus dia memuji lelaki itu yang langsung tidak menunjukkan kesakitannya. Dia ingin bertanyakan hal itu, namun egonya menghalang keras.

 

Dara hulurkan tapak tangannya. Tak salah kalau dia memandu. Haris itu nampak sangat-sangat teruk. Macam orang separuh mati.

 

“Thanks, Dara.”

 

Kalaulah boleh Dara pejam mata, sekarang juga dia ingin lakukan begitu. Haris itu cuba menggoda dia dengan senyuman mahalnya itu.

 

Cepat-cepat Dara ke bahagian pemandu. Dia ingin cepat makan, cepat pulang dan cepat dia mengusir Haris pergi.

 

Ekor mata, Dara mengerling Haris yang sedang menjamah sushi yang dibeli tadi. Tak silap Dara, ada lima ke enam jenis yang diambil Haris. Tapi yang masuk ke dalam mulut suaminya itu satu. Yang lain disimpan ke belakang. Kemudiannya, Haris rebahkan seat dan tangan melekap di atas kepala. Teruk benar keadaan suaminya.

 

Dara pandu setenang yang boleh supaya tidak menganggu tidurnya Haris. Baru lima minit memandu, ada bayang yang bergerak disebelah Dara sehingga memaksa dia menoleh sekali dua.

 

“Berhenti, Dara.” Tiba-tiba Haris bersuara. Mukanya merah.

 

Tadi bukan main elok suaminya tidur, sekarang muka Haris itu seperti sedang menahan sesuatu yang ingin keluar dari mulutnya. Apa Haris tertelan anak ikan yang disembunyikan di dalam gulungan sushi tadi? 


Dara berhentikan kereta di bahu jalan. Belum sempat berhenti sepenuhnya, Haris terburu-buru turun dan telinga Dara terdengar suaminya sedang muntahkan segala apa yang ditahan tadi.

 

Dara turun dari kereta.

 

Laju tangan dia mengurut belakang Haris. Sebotol air kosong yang kebetulan dia nampak di dalam kereta, dihulurkan.

 

“Awak salah makan ke Haris? Kalau dah tahu tak sihat, kenapa nak keluar? Kita boleh masak dekat rumah je.” Biarpun risau, Dara tetap juga ingin berleter. Beberapa helai tisu diserahkan pada suaminya.

 

“Kita pergi klinik?” pandangan Dara masih terpaku pada Haris yang sudah berdiri tegak. Tangan dia masih kejap di lengan lelaki ini. Wajahnya tak usah dikata, dia risau bila melihat Haris muntah sebegitu teruk.

 

Haris yang baru merasa sedikit lega, memandang Dara.

 

“Yeah…I think we should go. Sebab saya rasa, awak yang bagi saya sakit ni.”

 

Tak berkedip mata Dara memandang Haris. Dia mungkin terlepas pandang bahawa mulut Haris itu tidak sakit sebenarnya.

 

Dan sekali lagi Haris itu terbongkok. Tak jadi Dara ingin memarahi Haris lagi bila suaminya kembali mengeluarkan segala isi perutnya.

 

Buat sementara waktu Dara lupa seketika surat yang ingin diserahkan Haris kepadanya. Keadaan Haris lebih penting sekarang ini.

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.