Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 21

PAGI ini Dara bangun awal daripada biasa. Lena dia juga sangat nyenyak malam tadi. Sempat dia bermimpikan Emir. Itu yang pagi ini senyuman dia terus terukir sebaik bangkit dari tidur. Lebih menghairankan, senyuman dia sukar dipadam. Hebat penangan lelaki itu.


"Masak apa mak?" Dara menyapa emak yang sibuk di dapur.


Dara pandang bahan-bahan di atas meja. Setelah diimbas segala bahan tersebut, emak mahu membuat nasi lemak. Tangan dia terus rajin mengupas bawang untuk dimasukkan ke dalam sambal tumis.


Sedang elok Dara mengupas, telinga dia menangkap pergerakkan emak. Dapur gas sudah dimatikan. Emak kelam kabut mengambil tempat disebelah. Dara rasa, dia sedang diperhatikan oleh emak dengan pandangan setengah percaya.


"Elok ke Dara hari ni?"


Soalan emak mengundang ketawa Dara.


"Kalau tak elok, Dara tak duduk sini tolong mak. Tangan Dara pun tak pandai buat kerja."


Perlahan-lahan seraut wajah serius emak bertukar. Ekor mata, Dara dapat melihat emak mula tersenyum. Emak mungkin senang melihat perubahan dirinya yang satu ini. Tanpa sedar, dia yang sibuk mengupas bawang ikut senyum. Dia rasa aman.  Pagi ini tiada tanda-tanda akan ada perkelahian di antara mereka berdua.


"Sebab tu mak suka Haris!"


Mati terus senyuman Dara. Hampir terlepas pisau di tangan juga. Terasa ada kilat sedang berdentum sana sini di atas kepala. Dia tidak berani menoleh. Takut nanti hati dia ditoreh-toreh dengan senyuman emak. Lambat-lambat dia meneruskan kerjanya.


"Haris pernah cakap dengan mak."


Dara diam. Dia hanya pasang telinga dengar suara gembira emak. Haris yang buat emak gembira bukan kepalang.


"Haris cakap...Perlahan-lahan, mak akan dapat lihat perubahan Dara. Dara akan berubah lebih baik. Dan semua itu mak akan nampak sebelum Dara bergelar isteri. Dia nak Dara menjadi anak yang baik, yang dengar kata, sebelum mak serahkan anak mak pada suami Dara."


Tadi elok kilat sedang berkelahi, sekarang kilat itu menyambar tepat di hatinya. Dia cukup tersinggung cara emak memuji-muji Haris.


Salah pilihan ayat Haris!


Dara berubah bukan atas bantuan Haris. Dia berubah kerana Emir. Apa teruk sangat ke perangai dia sampaikan perlu diubah? Apa yang Haris cuba sampaikan? Emak itu tidak pandai menjaga dia? Begitu? Emak pun satu, kenapa percaya sangat dengan cakap Haris tu. Emak sepatutnya lebih mengenali dirinya berbanding Haris.


"Dara patut terima saja Haris. Dia mungkin bukan calon-calon yang Dara idam-idamkan. Tapi, Haris boleh membahagiakan Dara." Sebut emak lagi.


Emak mengungkit kisah silam Dara semula. Emak mengembalikan semula ingatan dia beberapa tahun yang lalu. Dia pernah memberitahu ciri-ciri idaman lelaki yang dia ingin jadikan sebagai suami. Haris itu jauh panggang dari api. Langsung tidak menepati ciri-ciri idaman dia. Ciri pertama saja Haris sudah gagal. Haris bukannya sejuk mata memandang. Haris itu menyakitkan jiwa raga saat mereka bertemu empat mata.


Dara selesai kerjanya. Dia duduk menghadap emak sepenuhnya. Emak perlu disedarkan daripada bayangan Haris. Emak terlalu jauh hanyut.


"Mak..."


"Haris tu orang luar. Tapi mak selalu angkat dia tinggi-tinggi. Puji-puji dia. Dara pun tak kenal dia sangat. Mati-matian Dara ingat dia tu pemandu peribadi yang elok perangainya. Mana tahu, rupanya dia si saka biru yang menjaga keamaan negara."


Emak ingin membantah, namun cepat Dara mencelah. Dia belum habis menyuarakan isi hati.


"Mak tahu kan, risiko bersuamikan anggota keselamatan? Haris tu terdedah dengan bahaya. Bila-bila masa saja nyawa dia akan melayang. Sama ada cepat atau lambat saja. Dan bila-bila masa juga Dara boleh sandang gelaran janda. Mak nak Dara jadi janda di usia muda? Sebab tu Dara memang awal-awal lagi sebut anggota polis itu tiada dalam senarai calon suami Dara."


Nah!


Ayat Dara berjaya mengusir pergi semua kegembiraan emak. Sejurus itu, lengan dia menjadi mangsa tamparan keras emak.


"Bertuah punya anak! Mak tak pernah ajar anak mak pentingkan diri. Mak pun tak pernah ajar anak-anak mak memilih sangat macam anak mak ni memang sejak lahir dah sandang gelaran anak orang kaya. Mak pun tak pernah ajar anak mak letak syarat-syarat pelik macam puteri gunung ledang."


Bertubi-tubi Dara menerima amarah emak. Emak sudah memberi pandangan membunuh kepadanya.


"Sepatutnya, Dara bersyukur ada yang nak pada Dara."


Emir pun nakkan Dara, mak! Jerit hati dia.


"Emir tu..."


Tak jadi Dara ingin menyebut. Emak terlebih dahulu bersuara. Terkelip-kelip dia memandang wajah menyinga milik emak.


"Baik sangat ke dia? Apa kebaikkan dia? Cuba senaraikan. Mak nak tengok sama banyak atau lebih banyak kebaikkan dia berbanding dengan Haris."


Dara kalah teruk! Dia belum nampak kebaikkan tersebut.


"Handbag LV Emir bagi tu, boleh percaya ke? Bersepah dekat pasar malam jenama ciplak macam tu. Betul ke dia beli yang mahal-mahal?"


Ini pun Dara kalah. Dia memang tidak tahu membezakan mana original, mana yang tiruan.


"Setakat hadiah macam tu, mak sikit pun tak hairan. Haris tu sanggup berhabis ribu-ribu baiki kereta Dara untuk Dara pergi balik cari rezeki buat tampung mak dengan Dira. Itu pun, Dara masih nampak Emir?"


Dara rasa, kepala dia teruk di ketuk-ketuk dengan ayat-ayat emak. Semua ketukan emak mengena. Tapi, emak lupa seperkara. Duit yang Haris labur itu bukan percuma.


"Haris tuntut duit tu sebab mak cakap, Dara dah ada pilihan. Niat Haris, kalau Dara tu jadi isteri dia. Dia akan halalkan dua ribu tu. Tapi anak mak dah buta dengan cinta Emir. Sekarang, Dara tanggunglah. Jangan buat-buat lupa pula hutang tu. Nak sangat dengan Emir kan? Nanti jangan sampai ada cerita-cerita kurang elok sampai dekat telinga emak. Mak tak nak dengar yang buruk-buruk pasal Dara."


Emak sudah mengakhiri perbalahan sebelah pihak. Pihak emak yang banyak bersuara. Setelah puas cuci otak Dara, emak bangun menyambung kerja memasak yang tergendala. Meninggalkan dia terkulat-kulat sendiri selepas dihentam teruk oleh emak tanpa rasa belas.


"Mak..."


Emak sengaja tidak mengendahkan panggilan Dara. Kalau emak tahu dia sendiri membuat laporan mengenai Emir, memang dia akan dikurung terus untuk mendengar leteran emak siang malam tanpa henti.


"Mak..." Panggil Dara lagi dengan harapan emak memandang dan bersimpati dengan dia.


"Mak!" Dara kuatkan sedikit suara.


"Mak sibuk, Dara. Nak tunggu Dara masak, kebulur lah tetamu kita nanti."


Bukan main terkejut Dara dengar emak menyebut tetamu. Padanlah emak masak lebih banyak dari biasa. Cuma yang menghairankan, siapa tetamu emak? Kenapa emak tak maklum kepadanya lebih awal?


Dara bangun. Dia juga sibuk membantu emak membancuh air. Kalau dia tahu emak ada tetamu, dia akan mengalah awal-awal supaya mood emak lebih baik untuk menyambut tetamu nanti. Lihat saja lah sekarang, bukan main masam mencuka lagi wajah emak.


"Jangan ingat, Dara tolong-tolong ni mak akan tolak Haris jatuh nombor dua sebagai pilihan menantu. Haris tu tetap pilihan nombor satu mak. Bukan Emir."


Lagi. Emak menyerang Dara atas bantuan yang dia hulurkan. Niat dia hanya ingin membantu emak. Tapi niat dia disalahkan erti pula. Sudahnya, dia hanya diam. Nanti makin panjang pula rajuk emak.


"Mak! Akak!"


Ini lagi seorang. Tadi kalau Dara yang menjadi mangsa leteran emak, Dira pula akan menjadi mangsa dia. Dira pun apa kurangnya dengan dia. Sama saja culas turun ke dapur.


"Ada orang datang."


Emak terlebih dahulu menyambut dengan senyuman lebar. Bukan main laju emak menoleh. Dalam sekelip raut marah emak lenyap. Bersinar-sinar pandangan mata tuanya.


"Dara pergi sambut dulu. Mak nak siapkan ni sikit lagi."


Kenapa pula Dara perlu menyambut? Itu tetamu emak. Yang sama-sama baya emak. Kalau dia yang sambut, dapat dirasakan sambut dia tidak semeriah emak. Pasti akan wujudnya kecanggungan nanti antara dia dan tetamu emak nanti.


"Termenung apa lagi. Cepatlah!"


Lekas-lekas Dara angkat kaki bila lengan dia menjadi mangsa tamparan emak lagi sekali. Lebih kuat.


"Hati-hati." Titip Dira ketika kakaknya berpampasan dengannya.


Dara hanya menjeling. Tiada apa yang perlu ditakutkan. Itu kawan emak. Yang seumuran dengan emak. Paling teruk pun, dia hanya perlu hati-hati dari segi percakapan. Boleh jadi ayat kawan emak itu sama bisa dengan emak.


Tiba di pintu, ada rasa aneh yang muncul bila yang menyapa itu suara garau. Lebih tepat suara lelaki yang memberi salam.


"Waalaikumsalam..." jawab dia sambil membuka pintu luas.


Roh Dara bagaikan melayang sebentar sejurus ternampak kelibat tetamu emak. Elok tangan dia  menutup kembali daun pintu. Namun, terhalang dek tangan kekar dari luar. Sekelip mata pintu yang hampir rapat tadi meluas semula dan dia dapat melihat dengan cukup jelas muka merah padam lelaki itu.


"Macam ni ke cara nak sambut orang datang rumah?" Soal dia.


Dara diam tidak berkutik. Dia tidak sengaja. Dia hanya terkejut. Itu tindakan luar sedar.


"Hebat cara didikan mak awak untuk mengusir tetamu."


Salah cara pemikirannya. Emak tidak pernah mengajar dia sebegitu.


"Jangan babitkan mak saya, Haris." Dara betulkan ayat Haris. Didikan emak cukup baik. Hanya dia yang pilih untuk tidak praktikkan didikan emak.


"Jadi, memang awak ada niat untuk usir saya?"


Mengendur bahu Dara. Kenapa Haris suka fikir yang bukan-bukan? Kerana fikiran itulah menyebabkan Haris akan mulakan perbalahan dan  sesi perbalahan tersebut akan berlarutan sehingga mereka bersurai nanti.


"Masuklah."


Mengalah cara terbaik bagi Dara. Bercakap dengan pegawai penyiasat ini hanya akan memalukan dirinya saja nanti.


"Awak ada niat nak halau saya, untuk apa saya masuk lagi. Kedatangan saya tak dialu-alukan."


Kali ini keluhan Dara pula menyusul. Kalau Haris terus-terusan begini, emak pasti akan menyalahkan dirinya pula.


"Saya memang sedang menunggu tetamu mak. Tapi saya tak tahu pula tetamu mak tu awak, Haris. Kalau saya tahu, saya akan pakai lawa-lawa. Saya akan rias secantiknya untuk tatapan awak. Saya akan bentang karpet merah dari luar sampai dalam rumah. Biar orang nampak niat baik saya yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar ni."


Diam dipihak Haris.


Dara yakin. Haris akan mengalah dan masuk sebelum emak munculkn diri. Nanti apa kata emak. Lima minit dah berlalu pun, tetamu ini masih tidak sudi masuk ke dalam rumahnya. Masih berdiri di depan pintu dengan kasut masih elok tersarung.


"Panggil mak awak, saya nak mak awak yang sambut saya."


Sangkaan Dara meleset. Dia hanya nampak urat-urat di dahi Haris pula menyusul. Rasanya, ayat dia sudah cukup elok tadi. Tapi Haris yang menolak sambutan dia.


Belum sempat Dara memanggil emak, Dira terlebih dahulu menjerit. Menyemarakkan lagi keadaan.


"Mak! Sini. Kakak cuba-cuba halau tetamu mak."


Meluas mata Dara. Bila masa dia menghalau Haris? Dira memang sengaja menambah-nambah cerita. Sengaja nak nampak dia jahat. Sengaja nak emak berleter kepadanya. Belum sempat dia memarahi Dira, emak terlebih dahulu munculkan diri sebaik mendengar fitnah ditabur adiknya.


"Apa lagi tercegat dekat situ, Haris? Masuklah. Jangan dilayankan Dara tu."


Dara pulak dipersalahkan. Emak terlalu menyanjungi Haris. Buktinya, emak menolak dia ke tepi untuk memberi laluan kepada Haris masuk ke dalam rumah. Biar pun tolakkan emak itu lembut, Dara sempat merasa tersinggung. Sempat dia menerima jelingan emak yang dihantar secara sembunyi-sembunyi.


Dara mula tanam satu perasaan yang tidak baik. Dia benci Haris yang sengaja merenggangkan hubungan dia dan emak!


Ekor mata dia menghantar Haris yang lain benar sikapnya ketika mengekori langkah emak. Gelak tawa emak hanya menyakitkan hati dia saja.


Sepanjang sesi santapan bersama anak raja, Dara jadi puteri bunian. Yang halimunan di mata mereka. Yang hanya di dalam dunianya sendiri tanpa emak, Dira dan Haris. Mereka galak bersembang sampaikan dia tidak disebut langsung sepanjang sesi tersebut.


"Haa...Dara. Haris minta kebenaran mak nak bawa Dara keluar lepas sarapan."


Bibir Dara herot sebelah. Tak perlu dia memberi jawapan, kerana jawapan telah pun emak berikan sejurus itu.


"Mak benarkan Dara keluar dengan Haris."


Inilah jawapan dari pihak emak. Bukan dari pihak dia. Senang cerita, Dara dipaksa keluar bersama Haris. Tanpa sebarang rungutan mahu pun bantahan.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.