Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 46

MUKA bengkak, mata sembab, lesu dan paling teruk dia nampak tidak bermaya. Inilah hasil sesi penilaian fizikal Dara sebaik dia selesai sesi berkabung selama beberapa hari ini. Dia masih membelek dirinya di hadapan cermin biarpun hampir satu jam telah berlalu. Mujur keadaan hari ini tidak seteruk semalam. Jika tidak bagaimana dia mahu berhadapan dengan emak?

 

Sejak dari semalam emak ingin bertemu dengannya. Jenuh dia memberi alasan untuk mengelak. Dan hari ini, Dara tidak mampu mengelak lagi. Suara emak bukan main keras menyapa dia pagi-pagi buta. Siap emak menambah perisa berunsur ugutan kalau Dara tak munculkan diri hari ini.

 

“Mak tak ada anak yang tak dengar cakap. Anggap mak dah mati kalau Dara tak datang ke sini hari ni.”

 

Begitulah unsur-unsur ugutan emak. Sangat menusuk kalbu. Tajam. Tersiat teruk hati dia yang baru bangkit dari berduka.

 

Panjang keluhan Dara. Nak tak nak, terpaksa jugalah dia bersiap sebelum ke sana. Sesi berkabung telah tamat. Ini masanya Dara bangkit dan melihat ke dunia luar. Dia bakal buktikan, dia mampu teruskan hidup tanpa Haris. Dia tidak akan bazirkan air matanya lagi. Cukuplah beberapa hari ini air mata mahalnya mengalir gara-gara memikirkan surat penceraian yang bakal diterima daripada Haris kelak.

 

Mengenangkan hal itu, emosi Dara jadi bolak balik. Jangan pelik kalau tiba-tiba kesedihan dia menyerang kembali.

 

Sebelum perkara itu berlaku, Dara capai tuala lalu ke bilik air. Sejurus berjumpa dengan emak, Dara akan terus ke pejabat. Dia perlu menghantar laporan hasil siasatannya. Bukan setakat laporan bertulis, dia perlu sampai secara lisan juga. Jadi, dia perlu usir semua yang menganggu fikirannya. Biar sesi penyampaian tersebut berjalan dengan lancar.

 

Tidak sampai satu jam, Dara sudah terpacak di depan rumah. Belum sempat dia memberi salam, daun pintu telah dibuka dari dalam. Nampak sangat emak itu tertunggu-tunggu kedatangan dia.

 

“Baru nak sampai?”

 

Emak sejak bermenantukan Haris, sama-sama naik levelnya dalam menyindir. Yang selalu menjadi mangsa adalah Dara. Tapi, Dara musyhkil. Kebiasaannya, penyakit menyindir ini muncul bila emak marah. Apa emak sedang marahkan dia?

 

“Tadi jalan raya sibuk.” Dara beri alasan.

 

“Jalan sibuk, atau kamu yang sibuk?”

 

Ya. Tak salah telahan dia. Emak marah.

 

Kalau emak nak tahu, Dara sibuk meratapi nasib. Sebab itu dia menangguh kedatangannya ke sini. Takut nanti emak terkejut melihat keadaannya yang serupa mayat hidup. Itu kata Dara sekadar di dalam hati.

 

Tangan tua emak dicapai lalu dibawa rapat ke bibir.

 

“Ayah mana?” Dara panjangkan leher sebaik kaki jejak masuk ke dalam.

 

“Ayah keluar.”

 

Padanlah keadaan sunyi sepi sebaik dia tiba di sini. Tak perlu Dara bertanya hal adiknya. Dira baru saja menyambung pengajian beberapa minggu yang lalu.

 

“Dara dah kurus. Dara tak makan ke?”

 

Soalan emak menyentak lamunan Dara.

 

Emak patut salahkan Haris. Lelaki itu punca Dara tidak lalu nak makan gara-gara makan hati. Paling banyak pun, dia mampu menelan dua suap. Itu pun setelah perutnya meragam minta diisi setelah lama dibiarkan kosong. Selebihnya dibiar menjadi kulat, lalu tong sampah makannya.

 

“Nak makan, mak boleh masak.”

 

“Tak perlu!” Tegah Dara laju bila emak bangkit dari duduk.

 

“Dara tak lama. Ada hal sekejap.” Jawapan Dara  mengundang lirikan tajam emak.

 

“Hal apa yang lebih penting? Dah berapa lama Dara tak luangkan masa dengan mak?”

 

Dara tidak selesa bila emak bertukar menjadi penyiasat. Siasatan emak jarang-jarang tidak membuahkan hasil.

 

“Hal kerja.”

 

Jawab Dara pendek. Tak perlu karang jawapan panjang-panjang. Takut tersalah jawab, dia bakal menerima jelingan bertali-arus emak.

 

“Haris tak datang sekali?”

 

Dara sudah tahu tujuan dia dipanggil ke sini. Inilah puncanya dia diugut ke mari. Emak kalau dah sekali bertanya, akan berlarutan sehingga ke dua puluh kali jadinya. Semestinya soalan itu ada kaitannya dengan Haris.

 

“Haris kerja luar kawasan.” Bohong Dara. Masalah dia dan Haris tidak sepatutnya sampai ke pendengaran orang tua mereka.

 

“Tapi semalam Haris baru datang.”

 

Jawapan emak itu bikin senyuman dia jadi kekok. Baiklah. Pembohongan dia gagal. Sekarang, Dara syak Haris pasti sudah bocorkan masalah yang terjadi di antara mereka berdua.

 

“Biasalah, Haris datang jumpa emak sebab rindu.” Sehabis baik Dara berusaha nampak tenang. Biar tidak tertangkap dek renungan emak.

 

“Dia datang cari Dara, bukan mak.”

 

Ayat emak mengocak ketenangan Dara. Ekor mata dia nampak sorotan emak kian tajam. Dara tetap saja tersenyum biar pun tipis.

 

“Dia datang nak serahkan surat.” Kata emak lagi.

 

Tadinya, Dara yakin dia sudah kuat. Keyakinan dia itu sekadar hangat-hangat tahi ayam. Dengar saja perkataan ‘surat’ duduk Dara tidak tenang lagi.

 

Nampak sangat Haris itu tak sabar-sabar nak mereka berpisah. Tapi kenapa perlu sampai mencari dia di sini? Kedatangan dia itu hanya menambahkan curiga emak.

 

Oh, ya!

 

Dara lupa. Dia memang dah sekat nombor telefon Haris. Tak hairanlah kalau Haris tak dapat menjejak keberadaan dia. Apa lagi sudah beberapa hari Dara tidak pulang ke rumah Haris. Ada pun, dia singgah untuk ambil baju dan kereta miliknya ketika Haris tiada.

 

“Kata Haris, dia cuba call Dara. Tapi tak dapat. Mak telefon, elok je kamu angkat. Depan Haris lagi.”

 

Sudah!

 

Emak sudah memecahkan tembelangnya secara tidak langsung. Bukan setakat pecah tembelang. Emak juga sudah menunjuk betapa kebudak-budakkannya Dara gara-gara ingin mengelak daripada Haris.

 

Tapi, pada pandangan Dara, Haris tetap salah. Haris yang meninggalkan dia. Lelaki itu pergi tanpa menoleh. Wajarlah Dara berbuat demikian.

 

“Mungkin telefon Dara rosak.”

 

“Mak pun bukan la pandai guna telefon canggih, tapi mak pun pandai fikir dekat mana rosaknya. Mak syak, otak tuan punya telefon yang rosak teruk.”

 

Mengetap sepasang bibir Dara. Kasar pilihan ayat emak. Otak dia memang rosak teruk sejak perjumpaan terakhir dia dengan Haris. Baru pagi tadi, otak dia baru pulih dari koma panjang. Sekarang emak kembali memberi luka padanya semula.

 

“Dara dah besar. Dah jadi isteri orang. Sepatutnya fikiran Dara semakin matang, bukannya berfikir macam budak tahap satu.”

 

Dara diam. Emak selalu di pihak Haris. Jarang-jarang menantu kesayangan emak itu salah. Lebih kasihan, apa-apa jua salah faham, emak tetap mengatakan Dara juga salah demi menjaga hati menantu.

 

“Mak bukan nak menangkan sesiapa, sebab mak pun tak tahu apa punca kamu berdua bergaduh. Tapi, tak salah kalau Dara mengalah. Jangan lari-lari macam ni. Larilah sejauh mana pun, masalah tak akan selesai.”

 

Nasihatlah banyak mana, Dara tetap tak nak mengalah. Cukup selama ini dia mengalah. Ini caranya Dara mengajar Haris supaya mengawal kemarahannya.

 

“Lainlah kalau Dara memang nak kejar neraka. Cuma…Sebelum tu, satu mak nak pesan. Kalau dah dapat tiket masuk neraka, jangan sesekali heret mak.”

 

Mak salah. Dara tidak sekejam itu.

 

“Termasuk Haris sekali!”

 

Mak tak adil! Emak lebihkan Haris daripada dia selaku anak kandung.


Kesudahannya, Dara menerima semua leteran emak tanpa sebarang bantahan demi mengelak bebelan emak berpanjangan. Itu lebih baik.

 

 

 

 

DARA lajukan langkah. Dia terlambat sepuluh minit untuk berjumpa dengan pihak atasannya. Kalaulah emak pendekkan nasihatnya tadi, Dara tidak terkejar-kejar begini. Sudahlah terlambat, emosi Dara terluka teruk gara-gara emak menuduh dia mengejar neraka.

 

Isteri mana yang nak masuk neraka? Dara sendiri pun tidak pernah terlintas nak tempah tiket ke neraka. Emak yang salah membaca isi hatinya.

 

Ini kali ke tiga dia mengerling jam di pergelangan tangan.

 

Buat pertama kalinya dia terlambat. Rasanya, segala isi ayat yang dikarang untuk sesi pembentangan sebentar nanti telah lesap. Dia lupa apa isi yang harus dia sampaikan. Apa yang dia ingat sekarang hanyalah masalah dia dan Haris. Emak yang mengingatkan dia hal tersebut.

 

Semakin panjang helaan nafas Dara.

 

Berbaki tiga langkah lagi dia akan sampai ke bilik pegawainya. Dia mula memperlahankan langkah. Sejurus tiba, buku lima dia singgah ke permukaan papan kayu setebal tiga inci itu.

 

“Masuk!”

 

Segera Dara pulas tombol pintu sebaik menerima arahan dari dalam.

 

“Tuan!” Sapa Dara, tubuh dibongkok sedikit tanda hormat.

 

“Jarang awak lambat.”

 

Buat pertama kalinya dia gagal dalam ketepatan masa. Namun, awal-awal dia telah maklum hal itu ketika dia dalam perjalanan. Lagipun, ini kesalahan pertama dia.

 

“Duduk.”

 

Dara menurut tanpa kata. Tanpa berlengah, fail di tangan dia letakkan atas meja. Semua hasil siasatan sudah disusun di dalam fail tersebut.

 

Pegawai tersebut mula menyelak helaian pertama.

 

“So…Tentang kes dikilang terlebih dahulu.”

 

Jarang-jarang pihak atasan ingin mendengar ayat mukadimah. Mereka lebih suka terus pada point utama.

 

“Dua orang yang terlibat. Seorang bujang, seorang lagi dah berkahwin. Dua-dua dalam lingkungan tiga puluhan.”

 

Pergerakkan tangan pegawai itu terhenti pada profile dua orang anggota yang terlibat. Dua-dua menyandang pangkat koperal.

 

“Jadi, berdasarkan aduan. Betullah mereka ada terima duit dari pemilik kilang?”

 

“Masing-masing ada terima habuan dalam bentuk wang tunai. Setiap bulan. Sebagai jaminan pihak imegresen atau polis tidak akan serbu kilang tersebut.” Dara bercerita hasil daripada intipan dia berbulan di sana.

 

“Sebab?” Mata pegawai tersebut tertumpu pada Dara.

 

“Pemilik kilang ada mengambil warga asing yang tiada dokumen perjalanan sah sebagai pekerja.” 


Kalau diikutkan, Dara adalah manusia yang paling sombong di dalam kilang tersebut. Namun demi kerjanya, terpaksa dia berbual dengan beberapa pekerja warga asing demi mencari kesahahihan hal yang dilaporkan. Itu pun tanpa pengetahuan Yana Si Kepoh.

 

Sebulan Dara disana, dia hampir berputus asa bila orang dicari masih belum muncul. Namun masuk bulan ke dua, barulah kelibat mereka muncul. Itupun pada waktu malam. Mujur ketika kejadian, sebulan itu Dara kerja lebih masa. Dia pulang hampir jam sepuluh malam setiap hari.

 

Dua ke tiga kali pegawai di depan Dara angguk kepala. Mereka telah pun panggil anggota tersebut untuk disoal. Kemudian barulah tindakan diambil setelah selesai mengambil kira keterangan dari semua pihak dan bukti yang terkumpul.

 

“Macam mana dengan kes yang ke dua?”

 

Mereka ada memberi pada Dara dua kes untuk diselesaikan. Kes kedua ini yang agak sulit bagi dia kerana melibatkan lelaki yang telah menjadi suaminya.

 

Dara telan liur sekali. Tadinya, percakapan dia agak lancar walaupun semua ayat karangan dia sudah bersih setelah menerima brain wash dari emak. Dia berharap perkara yang sama juga dia dapat lakukan selepas ini.

 

“Kes itu dikendalikan oleh ASP Abu Bakar.”

 

Terima kasih pada pengakuan Haris. Setelah di siasat, sememangnya Pakcik Umairah yang mengambil kes tersebut.

 

“Bukannya ASP Hilman Haris?”

 

Nama Haris itu buatkan dia sedikit gugup.

 

“Bukan tuan.” Jawab Dara bersama keyakinan yang ada.

 

“Kita hanya terima laporan mengenai Hilman Haris...Tapi, ni..."

 

“Ini special kes, tuan...Disebabkan Hilman Haris bersih, tidak terlibat dengan sebarang salah guna kuasa, kes dikira selesai.” Kata Dara tanpa gugup. Tidak mahu pihak atasan ragui Haris lagi.

 

Suara pegawainya membawa pergi semua kisah berkisarkan suaminya. Dara sudah sedia maklum perkara tersebut. Ada unit lain yang dikerahkan untuk menyiasat mengenai ASP Abu Bakar.

 

“Bagus. Semuanya lengkap.”

 

Dara tidak senyum biarpun dia sedang dipuji. Dia telah dilatih supaya tidak mendabik dada.

 

“Tapi, sayang…”

 

Pegawai di hadapan Dara menutup fail kes, lalu ditolak ke tepi. Tumpuan dia adalah Dara.

 

“Pagi tadi saya terima aduan melibatkan awak.”

 

Kening Dara hampir saja berkerut, cepat dia menghalang kerutan itu muncul. Dia perlu bertenang.

 

“Mana janji awak?

 

Janji yang mana? Terlalu banyak yang dia berjanji dengan pegawainya. Yang pasti, janjinya semua melibatkan kerja sahaja.

 

“Awak janji nak sorokkan identiti tanpa pengetahuan sesiapa pun termasuk orang tua awak.”

 

Dara gagal mengawal kerutan di wajah daripada muncul. Dia tak pernah bocorkan hal ini kepada sesiapa kecuali ayah. Hanya ayah yang dia percaya berbanding emak.

 

“Dah ada yang tahu hal ini.”

 

“Siapa?” Dara tidak mampu menahan diri dari bertanya.

 

“Awak akan tahu nanti.”

 

Jawapan diterima membuatkan sedikit kecewa.

 

“Dan kemungkinan besar awak bakal diambil tindakan. Kita tunggu surat dari pihak atasan.”

 

Dengar perkataan surat, Dara rasa dia telah terkena badi. Seluruh tubuhnya menggigil sebaik dengar perkataan itu. Dapat Dara rasakan, penyampaian dia juga gagal.

 

Pulangnya dia bersama perasaan bercampur baur. Sudahlah surat penceraian dari Haris belum diterima. Bertambah pula surat dari pihak atasan mengenai dia. Itupun tak tahu sama ada dia bakal dibuang kerja, dipindah unit atau digantung kerja. Dara akan menunggu surat makluman kesalahan, barulah dia akan membuat sebarang bantahan.

 

“Surat!”

 

Ini lagi seorang. Tangan Dara yang baru buka pintu grill, terhenti.

 

“Berapa kali saya pesan, kamal. Surat tu letak je dekat peti bawah. Tak perlu susah payah hantar sampai atas.” 


Kesabaran Dara itu kian menipis. Boleh jadi marah dia bakal dilepaskan pada Si Kamal yang dia kenali sebagai penghantar surat. Lama-lama, Dara sendiri boleh gila hanya kerana surat, surat dan surat.

 

Sepi.

 

Aneh!

 

Kamal selalunya riuh. Sepatah Dara bersuara, berpatah-patah Kamal balas.

 

Dara menoleh.

 

Kamal di depan matanya jauh tersasar. Kamal tidak setegap ini. Kamal juga tidak tinggi. Kamal tak akan pandang dia dengan pandangan membunuh. Perlahan-lahan sepasang mata naik ke wajah figura di depannya. Dara salah sangka. Di depannya bukan Kamal.

 

Sempat dia mengerling sampul coklat di tangan lelaki di depannya.

 

Nampak gayanya, Dara perlu bersedia dari segala aspek kerana masalah rumah tangganya hampir menemukan jalan penyelesaian dengan kemunculannya di sini.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.