25
“Sambung belajar? Mama tak setuju!” Puan Sri Karmila
bersuara lantang dan wajahnya kelihatan serius. Elfira menundukkan kepalanya.
Tidak berani untuk dia bertentang mata dengan Puan Sri Karmila.
“Tapi ma,” Elfira cuba untuk menjelaskan kepada Puan Sri Karmila.
“L, tak sampai setengah tahun balik Malaysia. Mama tak
puas lagi tatap wajah L. Sekarang L nak ikut angah belajar pulak. Mama tak akan
izinkan.” Puan Sri Karmila duduk memeluk tubuh. Elfira melepaskan pandangan ke
arah Tan Sri Lukman Hakim memohon pengertian.
“Papa,” Elfira cuba memujuk Tan Sri Lukman Hakim.
“Papa setuju dengan kata-kata mama. Beginilah, papa pun
dah tak larat nak jaga syarikat kita. Papa bercadang untuk bagi Bumi Jaya pada
L. Papa nak L uruskan syarikat kita. Along dah usahakan Future World.
Bagaimana?”
Tan Sri Lukman
Hakim mengusulkan cadangannya. Elfira memandang ke arah Zamrin Edril dan Erry
Edrian. Mereka bertiga saling berbalas pandang.
“Betul cakap papa itu. Angah dah ada firma guaman
sendiri. Along dah usahakan Future World, jadi along rasa sekaranglah masanya
untuk L ambil alih Bumi Jaya. Papa bolehlah berehat.” Zamrin Edril menyatakan
pendapatnya.
“Bagaimana pula dengan pendapat angah?” Elfira
bertanyakan kepada Erry Edrian.
“Kalau L tanya angah, sememangnya angah tak kisah. Tapi
betul juga kata papa dan along. Inilah waktunya L usahakan syarikat papa.”
Elfira diam seketika. Mindanya seperti sedang berfikir
sesuatu. Wajah ahli keluarganya ditenung satu persatu. Satu keluhan nipis
dilepaskan. Akhirnya kata putus diambil.
“Tapi boleh ke L uruskan syarikat papa? L mana ada
pengalaman. Nanti tak pasal-pasal bankrup pula syarikat papa itu.”
“Yang itu L jangan risau. Papakan ada. Papa akan bantu
L.”
“Along pun boleh tolong L. Kalau L tak belajar uruskan
syarikat dari sekarang, bila lagikan? Jadi along rasa sedang elok L uruskannya
sekarang,” sampuk Zamrin Edril.
“Terima kasih pa,
along atas kepercayaan itu. Tapi L ada satu permintaan.”
“Apa sayang?” tanya Puan Sri Karmila.
“L nak tinggal dengan Sofea.”
“Kenapa tak tinggal saja dengan mama dan papa?” tanya Puan
Sri Karmila.
“Mama, L nak berdikari. Dari kecil sampai besar hidup L
sentiasa dibantu oleh orang. Jadi kali ini L nak lakukan semua sendiri. L nak
rasa bagaimana susahnya hidup sendiri.”
“Abang...” rengek Puan Sri Karmila.
“Biarlah sayang, L dah besar. Dah sampai masanya dia berdikari,” pujuk Tan
Sri Lukman Hakim.
Puan Sri Karmila merenung wajah suaminya. Tan Sri Lukman Hakim mengukir senyum.
Akhirnya Puan Sri Karmila menyatakan persetujuannya.
“Okey, mama ikut je.”
“Terima kasih mama, papa.” Elfira mendapatkan Puan Sri Karmila
dan Tan Sri Lukman Hakim. Dia memeluk keduanya erat.
“Pa...”
“Apa lagi?” tanya Tan Sri Lukman Hakim.
“L ingat nak pergi bercuti untuk rehatkan minda. Boleh
tak papa sponsor L?”
“Boleh. L nak pergi mana?”
“L nak pusing satu Malaysia.”
“L bergurau ke?” tanya Zamrin Edril.
“Mana ada bergurau. L serius.”
Elfira
bersungguh-sungguh meyakinkan keluarganya.
“Biar betul L ni.” Erry Edrian juga seakan tidak percaya
dengan kata-kata Elfira.
“Hish, kenapa semua orang tak nak percaya ni? Percayalah!”
Elfira cuba meyakinkan mereka.
“L nak mulakan di mana?” tanya Tan Sri Lukman Hakim.
Elfira tersenyum.
“Perlis.”
“Bila L nak pergi?” tanya Zamrin Edril.
“Minggu depan.”
“Okey papa akan tanggung semuanya.”
“Terima kasih pa.”
Elfira mencium pipi Tan Sri Lukman Hakim dan Puan Sri Karmila.
Dia tersenyum senang. Puan Sri Karmila sekadar menggeleng melihat telatah anak
bongsunya. Zamrin Edril dan Erry Edrian sudah tidak terkata apa melihat telatah
adik mereka.