4
Awal pagi lagi Elfira sudah tercegat di hadapan rumah Firuz
Eidil, bos barunya itu. Pagi itu dia mengenakan jean, T-Shirt, topi, dan kasut
sukan Adidasnya. Dia berdiri di sisi keretanya. Matanya mengerling ke arah jam
tangannya. Lagi dua minit tepat pukul 8 pagi. Apabila jarum jamnya tepat ke
angka 8 dia akan menekan loceng rumah Firuz Eidil. Dia mula mengira detik.
Kakinya sudah diatur hingga ke pintu pagar. Kini dia betul-betul berada di muka
pintu pagar rumah Firuz Eidil.
“Lima, empat, tiga,
dua, satu...okey.” Jarinya menekan butang loceng rumah Firuz Eidil.
Firuz Eidil yang
sedang bersiap, terkejut mendengar loceng rumahnya berbunyi.
“Siapa pulak yang
datang pagi-pagi buta ni. Tak tahu ke orang nak bersiap pergi kerja,” rungut Firuz
Eidil sendirian.
Entah-entah driver yang Fea cakapkan semalam tak?
teka hatinya lalu segera menuruni anak tangga.
Jantung Elfira
berdegup kencang. Dadanya tiba-tiba rasa berdebar. Dia masih menanti bakal
bosnya keluar. Tidak lama kemudian dia nampak seorang lelaki yang kemas berbaju
kemeja. Tali lehernya masih tergantung di leher lelaki itu tanpa diikat. Elfira
menghulurkan senyuman manis.
“Eh siapa pulak
itu? Dia nak apa pagi-pagi ini. Aku ingatkan tadi driver aku yang datang. Siap senyum macam kerang busuk pula. Anak dara
siapalah yang sesat agaknya?” omel Firuz Eidil lalu mendekati Elfira.
“Ya, saudari cari
siapa?” soal Firuz Eidil ramah.
“Ini rumah Encik Firuz
Eidil ke?” tanya Elfira gugup.
“Ya, ini rumah
saya. Kenapa awak cari saya?” soal Firuz Eidil hairan.
“Saya Elfira. Sofea
yang suruh saya datang sini. Katanya Encik Firuz Eidil memerlukan seorang
pemandu peribadi.”
“Memang saya
perlukan pemandu peribadi tapi takkan...sebentar ya.”
Elfira
menganggukkan kepalanya. Sementara itu, Firuz Eidil mengeluarkan telefon
bimbitnya lalu mendail nombor telefon Sofea. Dia berasa lega apabila mendengar
suara Sofea dihujung talian.
“Fea, awak hantar
siapa untuk jadi driver saya?” soal Firuz
Eidil lantang. Sesekali matanya mengerling ke arah gadis di hadapannya.
“Saya hantar Elfira.
Kenapa bos ada masalah ke? Dia tak sampai lagi ke?” Sofea menggelabah. Dia
bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku kepada sahabatnya.
“Tak. Saya cuma
nakkan kepastian aje. Dia dah sampai. Kenapa awak tak cakap yang driver saya itu seorang perempuan?”
“Dah bos tak tanya.
Bos juga yang kata, bos percayakan pilihan saya. Kenapa? Tak okey ke bos?”
Sofea bimbang jika Firuz
Eidil tidak suka dengan pilihannya.
“Tak apalah.
Bolehlah ni daripada tak ada,” ujar Firuz Eidil dalam serba salah. Talian terus
dimatikan. Kini dia berpaling kembali ke arah gadis di hadapannya. Gadis itu
ditenungnya dari atas hingga ke bawah.
“Bagaimana dah
percaya ke yang saya akan jadi personal
driver Encik Firuz Eidil?” tanya Elfira spontan. Rimas dia melihat telatah Firuz
Eidil yang memandangnya dari atas ke bawah.
“Saya nak bersiap
dulu. Awak tunggu di luar ni dulu. Siapa nama tadi?”
“Elfira. Tapi
panggil saja L.”
“Okey. Duduklah dulu,”
pelawa Firuz Eidil.
Elfira mengangguk
perlahan. Dia melihat Firuz Eidil sudah berlalu ke dalam rumah. Elfira duduk di
kerusi yang tersedia ada di ruang laman rumah itu. Elfira teringatkan Sofea.
Segera dia menghubungi sahabat baiknya itu.
“Helo Fea,” sapa Elfira.
“L, apa cerita?”
tanya Sofea teruja.
“Amboi belum
apa-apa kau dah tanya apa cerita ya?”
“Mestilah. Aku
terkejut tadi bila tiba-tiba je dia hubungi aku. Aku ingatkan dia nak reject pilihan terbaik aku ni.”
“Reject? Wah ayat kau tak ingat betullah.”
“Ala L janganlah
marah. Apa cerita yang menarik?”
“Mana ada yang
menarik. Fea, bos kau itu tak pernah tengok perempuan ke? Tenung aku macam nak
ditelannya. Seram tahu!”
“Amboi belum
apa-apa dah sedap kau kutuk bos kau tu ya.”
“Betul apa aku
cakap. Kalau kau pun ada di sini tadi mesti kau juga akan cakap perkara yang
sama. Menyeramkan!”
“Kau ni L, jangan
cari pasallah. Bos itu okey. Mungkin dia terkejut agaknya. Mesti dia ingat driver yang aku nak bagi itu lelaki.
Sekali yang datang perempuan tiga suku.”
“Amboi cantik
bahasa panggil aku tiga suku.”
“Yalah dah
elok-elok lahir jadi perempuan pergi pakai pakaian macam lelaki kenapa? Tak
tiga suku namanya itu.”
“Suka hati kaulah
nak kata apa. Itu bos kesayangan kau dah turun. Aku nak gerak dulu. Nanti kita
sambung lagi.”
“Okey, jaga diri
elok-elok L. Jangan sampai jatuh hati dengan bos aku itu sudahlah. Ingat bos
aku tu dah ada tunang.”
“Tak ingin aku
dengan bos kau itu.”
“Ehem...” satu
deheman kedengaran. Elfira segera mematikan talian telefonnya. Dia mengukir
senyum kepada Firuz Eidil.
“Mengumpat saya
ke?” tanya Firuz Eidil bersahaja.
“Mana ada. Buat apa
nak umpat Encik Firuz Eidil bukan ada faedahnya pun. Mana kunci kereta?”
Firuz Eidil
menghulurkan kunci kereta kepada Elfira. Firuz Eidil mengambil tempat di
sebelah pemandu. Elfira konfius. Bukankah seorang bos wajar untuk duduk di
belakang?
“Hem, saya rasa
Encik Firuz Eidil dah salah tempat ni,” beritahu Elfira ragu-ragu.
“Panggil saja
Firuz. Tak perlu ada Eidil tu. Kenapa pulak saya salah tempat?”
“Sepatutnya sebagai
bos, Encik Firuz kena duduk belakang. Bukannya di sebelah pemandu,” jelas Elfira.
“Oh, begitu ya?” Firuz
Eidil sengaja menduga. Dia menatap wajah Elfira dengan pandangan yang jengkel.
“Ya,” balas Elfira
sambil mengangguk perlahan.
“Saya rasa untuk
hari ini saya perlu duduk di sebelah pemandu. Saya kena lihat juga bagaimana
cara pemanduan awak. Kalau saya rasa semuanya okey, barulah saya terima awak
bekerja dengan saya. Boleh begitu?”
“Okay, no problem.” Elfira terus
menghidupkan enjin kereta lalu meninggalkan perkarangan rumah Firuz Eidil.
Sepanjang
perjalanan, tiada bicara yang terluah daripada mereka. Elfira lebih senang
menumpukan perhatiannya terhadap pemanduannya. Firuz Eidil pula lebih senang
mengambil sikap berdiam diri. Sesekali dia mengerling ke arah Elfira.
Diamatinya gadis itu dalam diam. Manakala otaknya ligat memikirkan sesuatu yang
boleh memberi keuntungan kepadanya.
“Okey, Encik Firuz kita
dah sampai. Encik Firuz nak saya hantarkan briefcase sampai ke pejabat?” soal Elfira
bersahaja.
“Kalau ya pun tolonglah
bukakan pintu untuk saya. Bukankah saya ni bos.” Firuz Eidil menduga.
Eeee...banyak
songeh betul. Bukalah pintu tu sendiri. Berat tangan betul, rungut Elfira. Tapi
dalam hati sahajalah. Namun dia tetap membuka pintu untuk Firuz Eidil.
Firuz Eidil
menghulurkan senyuman yang manis buat pemandu peribadinya itu. Elfira membalas
kembali.
“Terima kasih,
mulai hari ini secara rasminya awak adalah pemandu peribadi saya. Oh ya kalau
awak tak keberatan, memandangkan despatch syarikat telah berhenti saya juga
mahu awak menjadi despatch di syarikat kami. Soal gaji awak jangan risau.
Syarikat akan bayar gaji yang setimpal. Bolehkan?”
“Tapi Encik Firuz, saya
hanya ditugaskan untuk menjadi pemandu peribadi bukannya despatch.”
“Saya tahu itu.
Tapi bukannya selalu. Hanya bila perlu sahaja. Dalam masa yang sama saya akan
cari pekerja untuk bahagian despatch. Hanya untuk sementara waktu. Saya ada
satu lagi permintaan...”
“Permintaan?
Permintaan apa?” soal Elfira gusar.
Banyak songeh betul
bos si Sofea ni. Lepas satu, satu permintaan dibuatnya. Kali ini entah apa
permintaan yang dia mahukan.
“Ini kunci rumah
saya. Saya nak minta tolong awak kemaskan rumah saya boleh?”
Firuz Eidil
menghulurkan kunci rumahnya kepada Elfira. Elfira melongo. Dia tidak percaya
dengan apa yang baru didengarinya sebentar tadi.
Biar betul bos aku
ni. Mohon jadi pemandu aje dah meleret sampai ke despatch sekarang dia nak aku
jadi orang gaji dia pulak! Eh, ini dah melampau! Boleh mendatangkan marah. Rasa
macam dah nak tumbuh tanduk ni! desis hatinya geram. Elfira merenung tajam ke
arah Firuz Eidil. Mereka saling berbalas pandang.
“Encik Firuz, saya
bukannya robot yang nak kena ikut semua arahan Encik Firuz. Seingat sayalah,
saya tak minta jawatan sebagai pembantu rumah. Atau Encik Firuz dah nyanyuk.
Encik Firuz cuma tawarkan jawatan pemandu peribadi. Saya ulangi pemandu
peribadi. Encik Firuz ingat dengan duit Encik Firuz boleh beli orang dan arah orang sesuka hati!
Jangan mimpilah!” bentak Elfira geram.
Firuz Eidil
tergamam medengar kata-kata Elfira.
“Cik Elfira, saya
sekadar minta tolong. Kalau awak tak nak buat itu terpulang. Tak payahlah awak
nak tengking saya. Awak ingat saya tak ada maruah macam awak ke? Dasar
perempuan miskin. Eh, kalau saya tak kutip awak kerja jangan harap awak ada
kerja. Taraf awak itu cuma layak kerja kilang aje tau. Itu pun kalau awak ada
kelulusan yang cukup-cukup makanlah. Atau sebenarnya awak tak pernah kemas
rumah? Itu yang awak kepoh sangat,” sindir Firuz Eidil. Puas hati dia dapat kenakan
Elfira.
Elfira tergamam. Dia
tidak menyangka Firuz Eidil akan berkata sedemikian. Firuz Eidil benar-benar
melampau kerana telah menghina dirinya. Hatinya mendongkol geram. Lantas kunci
di tangan Firuz Eidil dirampasnya kasar. Dia terus memboloskan dirinya dalam
perut kereta. Kemudian berlalu pergi.
Firuz Eidil terkedu
dengan tindakan Elfira. Kemudian dia tersenyum puas. Dia sudah nampak kelemahan
Elfira. Ternyata gadis itu pantang dicabar. Sebaik kelibat keretanya hilang
dari pandangan Firuz Eidil terus menuju ke pejabatnya. Senyumnya lebar hingga
ke telinga. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu kenapa.
“Selamat pagi bos,”
tegur Sofea sebaik Firuz Eidil lalu di hadapannya.
“Selamat pagi,
Fea.”
“Amboi bos senyum
lebar nampaknya pagi ni? Ada apa-apa ke bos?” tanya Sofea menyibuk.
“Tak ada apa.
Ada-ada sahajalah awak ni, Fea.”
“Saya cakap apa
yang saya nampak je bos.”
“Dah awak jangan
nak menyakat saya. Lebih baik awak buatkan saya hot coffee dan roti bakar.”
“Okey bos.”
Firuz Eidil berlalu
ke biliknya. Dia kembali mengingat teguran Sofea. Nampak sangat ke perubahan
dirinya hari ini? Yang pasti, Sofea tak pernah menegurnya begitu.