26
Firuz Eidil berteleku di atas sejadah. Dia baru sahaja usai solat isyak. Dia
merenung sejadah itu dengan pandangan yang kosong. Dia bangkit dari sejadah.
Dilipatnya sejadah itu lalu diletakkan kembali ke tempatnya.
Firuz Eidil menukar pakaian. Dia mengambil kunci
keretanya. Keretanya menderum meninggalkan perkarangan rumah. Firuz Eidil
membawa keretanya tanpa haluan. Tanpa sedar dia telah pun memandu sehingga ke I-City
Shah Alam. Firuz Eidil terpinga-pinga sendirian. Dia menghela nafasnya berat.
Dia keluar dari perut kereta. Pemandangan malam di I-City
menarik perhatian. Dia berjalan perlahan. Matanya merenung keindahan cahaya
lampu di malam hari. Cantik dan indah sekali. Namun keindahan itu masih belum
mampu menerangi hatinya yang malap.
Mindanya menerewang kepada Elfira. Mengapa dia harus mengingati gadis itu lagi? Mengapa hatinya
bagai tidak keruan apabila tidak mendengar suara Elfira. Firuz Eidil semakin
tidak mengerti akan perasaan hatinya kini.
Kejadian siang tadi benar-benar menikam tangkai hatinya. Elfira
dengan angkuhnya menyuruh Sofea pulangkan kembali cek yang diberikan kepada Elfira.
Bahkan kata-kata Elfira yang disampaikan Sofea kepadanya membuatkan dia semakin
teruji dan tercabar.
“Bos,” sapa Sofea dalam kegusaran.
“Ya Sofea ada apa?”
“Ini...” Sofea menghulurkan cek yang sepatutnya diberikan
kepada Elfira dipulangkan kembali kepada Firuz Eidil.
“Kenapa dengan cek ni?
Kena tendang atau jumlah yang saya bagi tak cukup?” soal Firuz Eidil
angkuh.
“Bukan sebab itu.”
Sofea sedikit gugup. Dia bimbang jika Firuz Eidil naik
angin secara tiba-tiba.
“Habis itu sebab apa?”
Wajah Sofea
ditatapnya. Rasa kasihan menular ke hatinya. Riak wajah Sofea yang kelihatan
takut-takut itu membuatkannya tidak sampai hati untuk memarahi setiausahanya
itu. Dia menarik nafas lalu dilepaskannya perlahan. Lega rasanya.
“L suruh saya pulangkan cek ini kepada bos. Katanya
setakat duit gaji dan pampasan itu dia tak hairan dan dia tak hadap pun.”
Perlahan sahaja tutur bicara Sofea antara dengar dan tidak. Wajahnya
ditundukkan.
“Elfira cakap macam itu dengan awak?” Firuz Eidil meminta
kepastian.
Sofea menganggukkan kepalanya.
“Kalau dia tak nak bagi sini cek itu. Jimat duit saya tak
perlu nak bayar orang gila macam dia, berlagak! Sudah awak boleh keluar.”
“Bos boleh saya tanya satu soalan?”
“Tanyalah.”
“Kenapa L diberhentikan kerja?”
“Itu bukan urusan awak Sofea. Tugas awak hanya menjadi
setiausaha saya sahaja. Urusan lain awak tak perlu masuk campur. Nanti tolong
iklankan jawatan kosong untuk pemandu peribadi.”
“Maafkan saya bos. Setahu saya L bukanlah...”
“Sofea awak ni tak faham bahasa ke? Dah saya tak nak
dengar lagi. Awak boleh keluar sekarang.”
Sofea menghela nafas. Tanpa banyak bicara, Sofea segera
keluar dari pejabat Firuz Eidil. Firuz Eidil meraup mukanya. Sakit hatinya
apabila mengenangkan kembali apa yang
dikatan Elfira kepadanya.
“Argh L!!!” Dia menjerit sekuat hatinya. Banyak mata-mata
yang memandang ke arahnya. Firuz Eidil tidak peduli.
“Gila ke?” tegur seorang lelaki.
“Argh, diamlah!”
Firuz Eidil terus berlalu. Dia tidak mempedulikan mata-mata yang
memandangnya.