15
Elfira sedang menolak pintu wad Vip. Dia melihat papanya
yang sedang lena. Dilihatnya Puan Sri Karmila yang sedang duduk di kerusi di
sisi katil papanya. Wajah Puan Sri Karmila kelihatan sayu. Sisa air jernih
masih berlinangan ditubir mata.
“Mama,” Elfira mendapatkan Puan Sri Karmila. Tubuh wanita
itu didakapnya erat. Puan Sri Karmila menggosok perlahan tubuh Elfira.
“L, angah mana?” soal Puan Sri Karmila sayu. Elfira
melepaskan pelukannya. Dia memandang ke muka pintu. Begitu juga dengan Puan Sri
Karmila. Tiada sesiapa di situ. Wajah Elfira ditatapnya. Mohon jawapan.
“Mama,” Erry Edrian memanggil perlahan. Puan Sri Karmila
berpaling. Kelegaan jelas terpamer diwajah Puan Sri Karmila. Erry Edrian masuk
ke dalam bilik tersebut. Dia mendapatkan Puan Sri Karmila. Tubuh Puan Sri Karmila
dipeluk erat.
“Mama, maafkan angah,” pintanya sayu.
“Mama dah lama maafkan angah. Papa sakit. Angah pergi
mana? Kami semua risaukan angah.”
“Angah tak ke mana ma. Angah cuma ke satu tempat untuk
mendapatkan ketenangan. Bagaimana dengan keadaan papa, ma?”
“Papa dah stabil. Dia cuma terkejut apabila membaca
berita perceraian angah. Biasalah dengan usia papa sekarang ni dan dengan
penyakit jantungnya mudahlah dia diserang sakit bila terkejut.”
“Ni semua salah angah. Sepatutnya angah beritahu mama dan
papa dulu. Jadi papa taklah tahu dari surat khabar. Kalau tak pasti papa tak
kena serangan jantung.”
“Jangan menyesali dengan apa yang telah berlaku. Papa pun
tak salahkan angah,” pujuk Puan Sri Karmila.
Erry Edrian mendapatkan papanya. Dahi Tan Sri Lukman
Hakim dicium lembut.
“Papa bangunlah, angah dah datang. Angah nak minta maaf
dengan papa sebab angah, papa jadi begini,” rintihnya.
Kaca-kaca jernih mulai pecah. Hatinya sayu dan pilu. Dia
sendiri tidak menduga yang keadaan akan
menjadi sebegini teruk.
“Angah,” sapa suatu suara. Erry Edrian memalingkan
wajahnya ke arah suara yang menegurnya.
“Along.” Erry Edrian mendapatkan Zamrin Edril. Mereka
saling berdakapan.
“Mana angah pergi? Puas along cari. Nasib baik L jumpa
angah.”
“Maafkan angah, along. Angah tak sangka yang...”
“Sudahlah itu. Papa tak teruk pun. Tak perlulah angah nak
salahkan diri sendiri,” ujar Zamrin Edril.
“Hem tengoklah itu ma. Kalau dua beradik itu dah jumpa L
yang bongsu ni dilupa.”
“Tak apa. Mamakan ada untuk L,” pujuk Puan Sri Karmila.
“Sayang mama,” Elfira memeluk mamanya erat.
“Mengada,” tutur Zamrin Edril.
Elfira memasamkan wajahnya sebaik mendengar bicara Zamrin
Edril.
Tan Sri Lukman Hakim terbatuk kecil. Mereka memandang ke
arah Tan Sri Lukman Hakim. Tan Sri Lukman Hakim membuka matanya. Dia cuba
mengukir senyum tatkala memandang ke arah anak-anaknya dan isterinya. Lapang
dadanya melihat mereka.
“Papa dah sedar.”
Elfira mendapatkan Tan Sri Lukman Hakim. Dia memeluk
papanya. Pipi papanya dicium penuh kasih.
“Sakit dada papa, L,” adu Tan Sri Lukman Hakim.
“Ops maaf. L rindu kat papa,” beritahu Elfira manja.
“Papa pun rindu kat anak perempuan papa ni.”
“Pa, maafkan angah. Sebab angah, papa sakit.”
Erry Edrian mencium tangan papanya. Dia rasa bersalah.
“Angah, papa tak salahkan angah. Papa cuma terkejut. Itu
saja.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Papa sayangkan anak-anak papa.
Walau apa pun yang terjadi papa akan tetap sokong anak-anak papa.”
“Terima kasih pa.”
“Papa pun dah sedar, along ingat nak ke pejabat sekejap.
Boleh ya pa? Nanti along datang semula.”
“Pergilah along. Papa tak ada apa-apa.”
“Sekarang papa rehat ya. Angah, L, tolong jaga papa.” Zamrin
Edril menyampuk.
“Baik along,” jawab Elfira.
Elfira memberi
tabik hormat kepada Zamrin Edril. Segarang-garang alongnya itu dia masih boleh
bergurau.
“Angah nak pergi kafeteria. L nak ikut tak?” pelawa Erry
Edrian.
“Okey juga. L pun tengah lapar ni.”
“Mama nak ikut kami?” tanya Erry Edrian.
“Tak apalah. Angah dan L sajalah yang pergi. Tapi belikan
mama roti. Mama nak temankan papa di sini.”
“Okey, kami pergi makan sekejap. Nanti kami datang
semula,” beritahu Erry Edrian.
Puan Sri Karmila dan Tan Sri Lukman Hakim sekadar
mengangguk.
“Along pergi dulu, pa, ma.” Zamrin Edril menyalam tangan Tan
Sri Lukman Hakim dan Puan Sri Karmila.
Erry Edrian dan Elfira mengekori langkah Zamrin Edril.
Mereka bertiga menuju ke lif. Tiba di tingkat G, Zamrin Edril membawa haluannya.
“Baiklah angah, L, ingat pesan along jaga papa tu.”
“Baik along,” jawab Erry Edrian.
Erry Edrian dan Elfira bersalaman dengan Zamrin Edril. Zamrin
Edril terus menuju ke keretanya. Manakala Erry Edrian dan Elfira menuju ke
kafeteria. Semasa di dalam perjalanan ke kafeteria, Elfira membuka semula
telefon bimbitnya. Dia terkejut apabila terdapat 45 panggilan tidak dijawab dan
kesemua panggilan itu dibuat oleh Firuz Eidil. Elfira mendengus kasar. Meluat
dia rasakan. Erry Edrian yang sedari tadi memerhati tingkah adiknya hanya
tersenyum.
“Siapa?”
“Apa yang siapa?” tanya Elfira bingung.
“Tu yang kat telefon. Siapa dia yang membuatkan adik
angah tension? Buah hati ya?”
“Hish ada la pulak buah hati. L ni masih single tau.”
Erry Edrian mencebikkan bibirnya. Tidak yakin dengan
bicara adiknya.
“Tak percayalah tu. Tak nak percaya sudah! Lagi pun mana
ada orang nak perempuan tak serupa perempuan.”
“Siapa yang berani cakap adik angah ni tak macam
perempuan. Biar angah cili-cilikan mulut
orang itu. Suka hati dia sahaja mengutuk adik angah yang comel.”
Elfira ketawa besar. Suka dia melihat gaya Erry Edrian
yang berperwatakan lembut.
“Sepatutnya angah kena jadi pelakon macam Kak Lea, bukan
jadi peguam.”
Berubah air muka Erry Edrian apabila adiknya
menyebut nama bekas isterinya. Elfira
yang baru tersedar riak wajah angahya
segera meminta maaf.
“Maaf, L tak sengaja.”
Raut wajah Erry Edrian ditatapnya dengan rasa bersalah.
“Jangan risau angah okey.”
“Kalau begitu, angah duduk dulu, biar L belikan makanan.
Angah nak apa?”
“Apa-apa jelah.”
“Apa-apa jelah mana ada jual di sini.” Elfira mengusik Erry
Edrian.
“Beli jelah apa-apa yang L rasa sedap untuk dimakan.”
“Janganlah marah. L gurau je.” Dia mengenyitkan matanya.
Nakal!
Elfira berlalu meninggalkan Erry Edrian. Erry Edrian
sekadar menghantar adiknya dengan ekor matanya. Erry Edrian mengambil telefon
bimbit Elfira yang terletak di atas meja. Dia menekan butang games dan bermain slice it twice. Baru sahaja hendak tekan
play, telefon bimbit itu berbunyi.
Tertera nama Mat Singa. Erry Edrian
serba salah saat ini. Kalau dijawab panggilan itu nanti rasa macam tak
hormatkan adiknya. Tapi nama Mat Singa itu membuatkan Erry Edrian teruja.
Akhirnya Erry Edrian menekan butang jawab.
Firuz Eidil berasa lega apabila Elfira sudi menjawab
panggilannya. Belum sempat Erry Edrian memberi salam, Firuz Eidil terlebih
dahulu berbicara.
“L, tolong jangan letakkan telefon. Saya tahu awak tak
akan bercakap dengan saya. Tolong maafkan saya. Saya tak ada niat nak sakitkan
hati awak. Janganlah berhenti kerja. Kalau awak berhenti kerja siapa yang nak
jadi driver saya? Awaklah pemandu saya yang paling berhemah. Tolong L, jangan
berhenti kerja. Saya bagi awak cuti. Berapa lama awak nak sekali pun. Gaji awak
tetap berjalan seperti biasa. Tapi janganlah berhenti kerja. Saya rayu pada
awak. L, please say something. Okey,
nampaknya awak masih tak nak cakap dengan saya. Saya faham. Apa pun saya tetap
nak minta maaf kerana hal pagi tadi. Saya tahu saya salah. Maafkan saya.
Assalamualaikum.” Firuz Eidil terus meletakkan telefon bimbitnya.
Erry Edrian terkedu. Dia meletakkan kembali telefon
bimbit Elfira di atas meja. Elfira
berjalan menuju ke arah Erry Edrian.
“Ini je yang ada. L ambil nasi lemak dan nasi goreng.
Angah tak kisahkan?”
Erry Edrian masih diam membisu. Wajah adiknya ditenung
penuh makna.
“Kenapa angah pandang L macam itu? Kalau lapar pun
janganlah tenung L begitu. Seram bulu roma L.”
Erry Edrian masih tidak mengalihkan pandangannya. Dia
cuba mencari kebenaran disebalik wajah adiknya.
“Angah, angah!” Elfira melambai-lambaikan tangannya di
hadapan Erry Edrian.
“L ada sembunyikan sesuatu daripada angah?” soal Erry
Edrian serius.
“Sembunyikan apa?” Elfira pula mahukan pengertian.
“Selama ini kita sering berkongsi suka dan duka waima
perkara yang peribadi pun L kongsi dengan angah. Tapi kenapa sekarang L
seolah-olah berahsia dengan angah?” Erry Edrian bertanya lagi.
“L tak faham apa yang angah cuba sampaikan sekarang ni?”
“Tak faham atau buat-buat tak faham?” Erry Edrian menduga
lagi.
“Angah, kalau L ada buat salah L minta maaf. Tapi boleh
tak angah beritahu apa salah L?”
“Okey, tetap tak nak beritahu angah ya. Tapi sebelum itu,
angah nak minta maaf dengan L sebab angah tolong jawabkan panggilan telefon
untuk L.”
Elfira terkasima. Wajah Erry Edrian direnung. Raut
terkejut jelas terpamer diwajahnya.
“Siapa yang telefon?” Elfira bertanya lembut. Dia cuba
menutup keresahan hatinya.
“Mat Singa.”
Elfira menundukkan wajahnya. Dia yakin, Firuz Eidil pasti
sudah menceritakan segalanya pada Erry Edrian. Jika tidak masakan Erry Edrian
tampak serius.
“Apa yang dia cakap dengan angah?” Elfira masih mahu
mendapatkan kepastian. Dia tidak mahu membuat serkap jarang.
“Tak perlu untuk angah jawab. Tapi angah perlukan
pengakuan jujur daripada L.”
“Jujur yang bagaimana?”
“Beritahu angah hal yang sebenar.”
Elfira terkulat-kulat. Dia yakin pasti Erry Edrian sudah
tahu rahsiaya. Elfira mengalihkan pandangan. Tidak sanggup untuk dia menatap wajah
Erry Edrian. Erry Edrian mengusap lembut tangan adiknya.
“L, angah bukan nak marah. Cuma angah perlukan kejujuran
daripada L. Angah sebagai abang berhak tahu. Angah tak nak dengar daripada
mulut orang lain, angah nak dengar sendiri daripada mulut adik angah ini.
Ceritalah dik,” pinta Erry Edrian memujuk.
Adoi, ini yang aku malas ni. Angah bab pujuk memujuk ini
memang hebat. Masalahnya sekarang aku yakin Firuz Eidil pasti dah ceritakan
sesuatu kepada angah. Habislah aku!
“L?” sapa Erry Edrian apabila melihat Elfira seperti
berkhayal.
“L minta maaf. L bukan sengaja nak rahsiakan daripada angah.
Tapi L takut kalau angah terlepas cakap dengan mama dan papa. L takut kalau
angah tahu hal sebenar angah akan marahkan L.”
“L tak cerita lagi pada angah, mana L tahu angah akan
marah.”
“Okey, kalau angah nak tahu juga L akan cakap. L
sebenarnya kerja sebagai pemandu peribadi,” beritahu Elfira ragu-ragu.
“Oh...” Erry Edrian menggarukan dagunya. Dia seperti
sedang memikirkan sesuatu.
Elfira kian resah dengan gerak laku Erry Edrian. Lalu dia
mencuit tangan angahnya.
“Angah, janganlah buat L nervous begini cakaplah sesuatu.”
Erry Edrian tergelak kecil. Dia memandang tepat ke arah
adiknya.
“Angah tak kisah yang penting L bahagia dengan apa yang L
buat dan yang penting ianya halal.”
“L ada lagi satu perkara yang nak kongsi dengan angah.”
“Apa lagi?”
“L pun jadi pembantu rumah dia.”
“Apa? Biar betul?”
Erry Edrian buat muka tak percaya. Memang dia tak percaya
pun. Lalu dia tergelak besar.
“Angah, malulah. Jangan gelak begitu. Orang semua tengok
kita.”
“Mana angah tak gelak. Adik angah buat lawak.”
“Mana ada L buat lawak. L seriuslah.”
“Jadi betullah ya. Setahu angahlah L kemas bilik pun tak
pernah, macam mana L nak kemas rumah orang. Tak ke lawak namanya itu.”
“Tak nak percaya sudah!” Elfira memuncung. Merajuk!
“La, merajuk pulak adik angah ni. Mar sini angah pujuk.
Ala bucuk-bucuk sayang,” usik Erry Edrian.
“Angah!”
Erry Edrian tersengih.
“L kemas rumah masa dia ada di rumah ke? L jangan buat
hal. Nanti kena tangkap siang-siang hari niaya.”
“Hish angah ni, adik perempuan dia adalah. Kalau adik
perempuan dia tak ada, selepas L hantar dia pergi pejabat, L datang semula ke
rumah dia.”
“Angah ingatkan sahaja.”
“L tahu batasnya.”
“Hem, jangan-jangan dia nak latih L jadi suri dalam hidup
dia agaknya. Kacak tak orangnya?”
“Angah ni tak ada soalan lain ke? Dia dengan L itu
sekadar antara pekerja dengan majikan sahaja.”
“Ya ke? Tapi kenapa angah rasa dia macam suka kat L aje.”
“Angah jangan nak mengarut boleh tak? Dia itu tunang
orang tau.”
“Ya ke? Tapi kenapa tadi dia cakap i love you, L.”
Elfira buat muka hairan. Erry Edrian yang tidak tahan
melihat wajah Elfira terus sahaja ketawa.
Sah, aku kena main dengan angah.
“Amboi sukanya angah gelakkan L ya.”
“Tak adalah, L tu yang tangkap serius.”
“Bukan tangkap serius okey. L terkejutlah sebab L tahu
sangat perangai mat singa itu. Tak ada maknanya dia nak cakap macam tu.”
“Kenapa nama dia Mat Singa? Tak ada nama lain ke mak ayah
dia nak letak?”
“Angah, nama betul dia Firuz Eidil.”
“Aik yang jadi Mat singa tu kenapa?”
“Mana taknya, gila kuasa. Kata dia je yang betul. Semua
kena ikut arahan dia. Diktator sangat! Lepas itu suka buli L. Muka dia macam
singa. Garang je!”
“Oh, tapi kalau betul dia gila kuasa takkanlah dia
telefon minta maaf. Siap bagi L cuti sampai bila L mahu lagi. Dia baiklah L. L
ni je yang salah sangka.”
“Angah tu mulalah puji orang tak kena dengan tempat.
Angah tak kenal dia lagi. Kalau angah dah kenal tahulah angah macam mana perangai
dia,” terang Elfira. Tak nak mengaku kalah.
“Macam-macam hal adik angah ni. Biasalah tu hari ini
gaduh-gaduh manja esok lusa tersangkut pula hatinya.” Erry Edrian berasa
seronok mengusik.
Elfira mencebikkan bibirnya. Menyampah. Baki nasi goreng
disuapkan ke mulutnya.
“Tolonglah tak sesuai. Dia dah bertunanglah. Kan tadi L
dah beritahu.”
“Lah dah bertunang ke? Melepaslah adik angah.”
“Angah!”
Erry Edrian ketawa. Wajah Elfira masam mencuka.