10
Sebulan kemudian.
“L, tugas awak hari ini buatkan sarapan untuk saya. Awak
buatkan nasi goreng dan milo panas. Saya nak pergi mandi dulu,” arah Firuz
Eidil sebaik sahaja dia membuka pintu untuk Elfira.
Elfira terpinga-pinga mendengar arahan yang diberikan
oleh Firuz Eidil. Dia mengeluh berat.
Salah ke apa yang baru aku dengar tadi? Aku kena buat
sarapan pagi? Gila ke apa mamat ni! Dia ingat aku ni robot dia ke yang dia
boleh arahkan sesuka hati. Baru bulan lepas aku marah dia hari ini dia dah buat
perangai lama balik. Sudahlah hari-hari asyik menyakitkan hati aku je. Tak
cukup ke aku jadi driver,despatch dengan bibik. Ni nak suruh aku jadi tukang
masak pulak? Nak suruh aku buat nasi goreng pulak. Aku pergi dapur pun setakat
nak makan dan minum je. Inikan pula nak memasak. Argh parah! Parah! Macam mana
ni?
“Encik Firuz ini dah gila ke? Nanti apa pula kata jiran
tetangga Encik Firuz. Silap hari bulan kita boleh kena tangkap basah pula sebab
berdua-duaan di dalam rumah ini. Eee...tak mahu saya kena cekup dengan Encik Firuz.
Buat malu keluarga je nanti.”
“Eh, awak ni memang suka membebel ya? Apa yang awak
merepek pagi-pagi ini. Awak ingat saya ni bodoh sangat ke sampai tak terfikir
itu semua. Selama ini pun awak kemas rumah ni tanpa kehadiran saya kan? Dalam
rumah saya ni ada perempuanlah.”
“Hah? Astaghfirullah al adzim. Saya tak sangka rupa Encik
Firuz aje macho tapi perangai Nauzubillah.
Encik Firuz ini tak tahu dosa dan pahala ke? Sanggup Encik Firuz bawa perempuan
masuk dan tidur dalam satu rumah. Berzina itu berdosa besar Encik Firuz.
Bertaubatlah sebelum terlambat,” Elfira menasihati Firuz Eidil dengan gaya
ala-ala ustazah.
Firuz Eidil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
Pening dia mendengar omelan Elfira.
“Eh, saya boleh jadi gila dengan awak ni tahu tak! Awak merepek
apa pagi-pagi ni? Awak gila ke?”
“Amboi cantiknya bahasa Encik Firuz! Encik Firuz itu yang
gila, sesuka hati bawa perempuan masuk rumah. Entah-entah tidur sekatil. Dia
yang buat kerja gila, kita pulak yang dituduhnya gila!”
“Apa bising-bising ni bang! Ain nak tidur pun tak
senang,” rungut Ain Nadia yang tiba-tiba muncul di muka pintu.
“Maaf sayang, terganggu tidurnya ya. Ini pemandu abang
pagi-pagi lagi dah kena angin gila,” beritahu Firuz Eidil dengan suara manja.
Elfira menjeling Firuz Eidil tajam. Dia meluat melihat
sikap mengada-ngada Firuz Eidil. Manakala Ain Nadia sudah keliru dengan sikap
abangnya itu.
“Ini mesti Kak L kan?” tanya Ain Nadia.
Elfira menganggukkan kepalanya. Hairan dia apabila
melihat perempuan itu mengenali dirinya.
“Saya Ain Nadia adik kepada Firuz Eidil.”
Ain Nadia memperkenalkan dirinya. Dia menghulurkan tangan
untuk bersalaman dengan Elfira. Elfira terkejut. Dia tahu dia sudah melakukan
satu kesilapan. Wajah Firuz Eidil dipandang kelat. Firuz Eidil menghadiahkan
senyuman sinis.
Hish malunya aku! desis hati Elfira.
“Ain suruh dia masuk dan buatkan sarapan untuk kita.
Along nak nasi goreng. Suruh dia masak. Along nak naik mandi.” Firuz Eidil
berlalu meninggalkan Elfira dan Ain Nadia.
“Oh ya, jangan lupa air milo sekali,” jerit Firuz Eidil
dari anak tangga.
Elfira mencebik dan mengajuk cakap Firuz Eidil. Ain Nadia
yang melihat gelagat Elfira ketawa. Elfira memandang Ain Nadia hairan.
“Kenapa Ain ketawa?”
“Kak L ni kelakarlah. Masuklah dan Kak L jangan ambil
hati dengan kata-kata along tu.”
“Tak apa. Dah biasa dah. Bila sampai ni? Semalam tak ada
pun?”
“Malam tadi. Rindu dengan along itu yang tinggal dengan
along.”
“Oh...”
“Okey kalau begitu. Kak L buatlah apa yang patut dulu.
Ain nak mandi lepas itu Ain akan tolong Kak L.” Ain Nadia meninggalkan Elfira
di ruang tamu.
Elfira mengangguk perlahan. Dia terus menuju ke dapur.
Dia melihat bahan-bahan yang boleh digunakan untuk memasak nasi goreng. Namun
ke semua bahan itu dipandang sepi olehnya. Lantas dia terfikirkan sesuatu. Elfira
segera keluar dari rumah tersebut dia mendapatkan kunci keretanya lalu menuju
ke gerai yang berdekatan dengan rumah Firuz Eidil.
Nasib kaulah Firuz. Kau makanlah air tangan penjual nasi
lemak itu. Aku bukannya pandai memasak. Selama hari ini pun pembantu rumah dan
mama aku yang masak. Aku ni tahu makan je. Lagilah nak suruh aku buat air milo
hem entah jadi air apa pulak nanti. Lebih baik air milo pun aku beli je. Buat
ke beli tetap sama juga. Bezanya bukan aku yang masak.
Tiba sahaja di rumah Firuz Eidil, dilihatnya Firuz Eidil
masih belum turun. Dia pantas menuju ke dapur. Nasi goreng yang dibelinya tadi
dimasukkan ke dalam pinggan. Air milo yang dibelinya pula dimasukkan ke dalam
teko. Dia tersenyum sendiri.
Beres. Aku memang bijak. Tak payah nak buang tenaga untuk
memasak. Beli je. Lepas itu masuk pinggan dan boleh makan. Cuma kena buang duit
jelah. Tapi apa ada hal, yang penting perut kenyang, bicara hatinya sendiri.
“L mana nasi goreng dan air milo yang aku suruh buat
tadi,” Firuz Eidil menjerit dari ruang makan.
Dah memekak si mat singa tu. Tak tahu nak sabar langsung,
omelnya di dalam hati.
“Dah siap,” Elfira keluar dari dapur dengan membawa nasi
goreng dan air milo yang dibelinya tadi. Aroma nasi goreng menusuk ke hidung Firuz
Eidil. Dia melihat nasi goreng yang masih berasap itu.
Elfira menghidangkannya. Dia meletakkan nasi goreng itu
di atas meja. Kemudian dia berlalu ke dapur dengan membawa cawan dan pinggan
untuk Firuz Eidil.
“Ini awak masak ke?” tanya Firuz Eidil.
“Tak ada maknanya saya nak masak Encik Firuz. Saya beli
dekat gerai kakak yang jual nasi lemak itu. Balik rumah bubuh dalam pinggan.
Lagi senang. Ekspress. Tak perlu nak sibuk-sibuk masak.” Bersahaja jawapan yang
diberikan Elfira.
“Air milo ni pun awak beli?”
Elfira mengangguk laju. Buat apa dia nak menipu. Memang
dia beli semuanya. Dia bukannya tahu masak pun. Makan bolehlah.
“Kalau air yang senang ni pun awak beli, saya rasa awak
ni tak tahu masak?” Firuz Eidil menduga dengan nada sinis.
“Helo, Encik Firuz jangan pandang saya sebelah mata tau.
Apa Encik Firuz ingat saya tak boleh nak buat ke macam kakak ni buat. Saya pun
boleh buat tau.”
“Dah tu kenapa awak tak masak? Kan ke saya suruh awak
masak. Saya tak suruh awak beli,” bidas Firuz Eidil.
“Ye ke? La saya salah dengar ke? Tadi saya dengar macam
Encik Firuz suruh saya beli,” jawabnya tanpa rasa bersalah.
“Awak itu yang salah dengar!” sedikit meninggi suara Firuz
Eidil.
“Mungkinlah agaknya.”
“Along ni kenapa? Dari tadi asyik nak marahkan Kak L.
Letih Ain dengar,” sampuk Ain Nadia.
“Entahnya along ni. Dira nak tidur pun tak senang,”
sambung Dira Nadia.
Sementara itu Elfira sudah terlopong melihat dua gadis di
hadapannya.
“Kenapa Kak L tengok kami begitu?” tanya Ain Nadia. Dira Nadia
sekadar tersenyum melihat Elfira.
“Sama,” jawab Elfira.
“Memanglah sama. Mereka itu kembar seiras,” sampuk Firuz
Eidil.
“Saya tahulah. Kalau dah sama mestilah kembar tapi saya
konfius mana satu Ain?”
“Saya Dira Nadia, adik kembar Ain. Selamat berkenalan.”
“Elfira. Panggil L. Selamat berkenalan.”
Mereka saling berbalas salam.
“Hem sedapnya bau nasi goreng. Kak L masak ke?” tanya
Dira Nadia mesra.
“Dia mana tahu masak. Dia beli tu,” beritahu Firuz Eidil
sinis.
Elfira menghadiahkan jelingan tajam buat Firuz Eidil
namun Firuz Eidil buat-buat tidak nampak dengan jelingan tersebut.
“Tak kisahlah buat ke beli janji perut kenyang, betul tak
Dira?” tanya Ain Nadia.
“Betul. Ala, along tu bukan tak biasa makan makanan
kedai. Mengada-ngada. Saja nak dera Kak L.”
“Agakya along suka Kak L. Itu yang beria-ia sangat nak
suruh Kak L masak,” usik Dira Nadia.
Hampir tersedak Firuz Eidil mendengar kata adiknya itu.
Ain Nadia sudah menghamburkan tawa melihat telatah Firuz Eidil. Elfira pula
sudah kemerahan wajahnya kerana menjadi bahan usikan dua kembar itu.
“Jangan Dira, kalau Kak Julia dengar nanti tak pasal-pasal
mulut kita kena cili,” tambah Ain Nadia.
“Ops terlupa pulak!”
“Sudahlah kamu berdua ini dari tadi asyik nak kenakan
along. Daripada asyik membebel dan kenakan orang lebih baik makan. Along nak ke
pejabat. Keluar nanti pastikan kunci pintu rumah.”
“Yes boss!”
jawab Ain Nadia dan Dira Nadia serentak.
“Along pergi dulu.”
Ain Nadia dan Dira Nadia mencium tangan Firuz Eidil
manakala Firuz Eidil menghadiahkan ciuman di dahi adik-adiknya. Kasihnya
terhadap adik-adiknya itu tidak berbelah bahagi. Bagi Firuz Eidil adik-adiknya
itu adalah nyawanya. Elfira tersentuh melihat adegan itu.
“Kenapa termenung lagi? Jomlah!” arah Firuz Eidil.
Elfira terkejut disergah oleh Firuz Eidil. Dia segera
mengekori langkah Firuz Eidil.
“Kak L,” panggil Dira Nadia. Dira Nadia dan Ain Nadia
menghampiri Elfira. Mereka menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Elfira. Elfira kaget. Namun
huluran salam itu tetap disambutnya.
“Hati-hati bawa kereta,” ucap Ain Nadia sebaik sahaja dia menyalami tangan dan
mencium pipi Elfira. Elfira tersentuh.
“In shaa ALLAH.”
Sebaik sahaja kereta milik Firuz Eidil berlalu pergi, Ain
Nadia dan Dira Nadia saling berbalas pandang. Mereka mengukir senyum penuh
makna sambil berlalu semula ke dapur.
“Saya masih tak puas hati dengan awak,” ujar Firuz Eidil
memecahkan kesunyian. Elfira memandang Firuz Eidil melalui cermin pandang
belakang. Dia mencebik. Kemudian dia kembali fokus kepada pemanduannya.
“Awak dengar tak apa yang saya katakan tadi?” soal Firuz
Eidil dengan suara yang sedikit tinggi.
“Dengar,” jawab Elfira acuh tak acuh.
“Dengar pun. Ingatkan dah pekak tadi.”
“Tapi apa yang Encik Firuz tak puas hati dengan saya?”
“Saya tak puas hati sebab awak tak masak sarapan pagi ini.
Saya suruh awak buat bukan suruh awak beli.”
“Ada beza ke sama ada saya masak atau beli?”
“Tentulah ada. Masak tak keluar duit dan itu adalah hasil
air tangan awak sendiri tapi jika awak beli awak kena keluarkan duit dan
masakan itu dari air tangan orang lain.”
“Tapi tetap nasi goreng Encik Firuz,” Elfira jawab
bersahaja.
“Betullah itu tapi saya tetap nak awak yang masak atau
awak sebenarnya tak tahu masak?” duga Firuz Eidil.
“Saya tahu masaklah!” laju sahaja Elfira menjawab.
Malulah dia untuk mengaku tidak tahu masak. Jatuhlah saham dirinya.
“Baiklah, kalau awak dah cakap yang awak pandai masak,
jadi esok saya nak awak masakkan nasi goreng untuk saya. Saya cabar awak, L.”
Terkulat-kulat Elfira mendengar bicara Firuz Eidil.
Meluat Elfira melihat telatah lelaki itu. Jika diikutkan hatinya ingin sahaja
dia mencekik lelaki itu. Heee...geramnya.
Alamak, habislah aku macam ni. Tu lah L gatal sangat
mulut kau mengaku pandai masak konon. Masak air pun tak pernah. Apa aku nak
buat ni? Nampaknya malam ni terpaksalah
aku berguru dengan Fea. Bala betul, gerutunya sendiri.
Firuz Eidil tergelak di dalam hati. Dia sendiri tidak
tahu kenapa dia suka mempermainkan Elfira. Adakah kerana perwatakan gadis itu
sendiri. Ah! hati kenapa denganmu?
Akhirnya tempat yang dituju tiba juga. Pagi ini Firuz
Eidil ada mesyuarat di Putra Ria Sdn Bhd.
“L, tolong kemaskan rumah saya. Saya dah letakkan baju
kotor dalam bakul. Tolong cuci sekali,” arah Firuz Eidil.
“Encik Firuz ingat saya ni apa? Saya ni orang a.k.a
manusia bukannya robot! Senang-senang hati Encik Firuz je nak saya buat itu
buat ni. Saya rimas tahu tak! Robot pun boleh rosak kalau asyik kena dera macam
ni. Saya ni manusia biasa, tahu penat juga,” rungut Elfira.
“L, saya suruh awak buat semua itu bukan percuma tahu.
Tapi berbayar!”
“Oh. Encik Firuz ingat dengan duit Encik Firuz boleh beli
orang? Jangan angkuh dengan kemewahan itu. Kalau suatu hari Tuhan itu nak ambil
harta Encik Firuz, dalam sekelip mata je tau DIA boleh rampas.”
“Sudahlah kalau tak nak tolong. Tak perlulah awak ceramah
saya,” ujarnya seolah-olah merajuk. Sindiran tajam Elfira menyakitkan gegendang
telinganya.
“Menyampah!” ucap Elfira tanpa sedar.
“Apa awak kata?”
“Tak ada apa.”
“Gila!” ujar Firuz Eidil antara dengar dan tidak.