2
Firuz Eidil mengeluh berat. Pening kepalanya melihat
rumah yang bersepah. Beginilah keadaannya apabila hidup bujang. Jadi semuanya
harus diurus sendiri. Penat! Yelah mana nak fikirkan hal pejabat, hal Julia,
hal rumah bersepah, hal driver lagi. Firuz
Eidil mengemas ala kadar. Kemudian dia mengambil kunci keretanya dan berlalu keluar dari
rumah. Enjin kereta dihidupkan. Dia meninggalkan perkarangan rumahnya menuju ke
syarikatnya, Firuz Land.
Setelah hampir satu
jam dia tersangkut dalam kesesakan jalan raya, akhirnya dia tiba ke destinasi.
Jarak dari rumah ke pejabat tidaklah jauh mana, tapi kesesakan lalu lintas
menyebabkan dia lewat sampai ke pejabat.
“Selamat pagi bos,”
sapa Sofea mesra.
“Selamat pagi Fea,”
jawabnya malas. Firuz Eidil berlalu menuju ke biliknya.
Sofea bingkas bangun dari tempatnya lalu ke
pantry.Seperti biasa dia akan menyediakan hot coffee untuk Firuz Eidil sambil
menyatakan jadual bosnya pada hari itu. Sofea mengetuk pintu bilik Firuz Eidil.
Firuz Eidil mengarahkannya untuk masuk. Sofea melangkah masuk. Dia meletakkan hot coffee di atas meja Firuz Eidil.
“Fea, apa agenda
saya hari ini?”
“Hari ini bos ada
mesyuarat dengan Mega Maju Berhad tentang projek pembinaan rumah berkembar di
Shah Alam pada pukul 11 pagi. Kemudian jam 3 petang bos ada temujanji dengan Tan
Sri Rahman dari Usaha Jaya. Di atas meja itu ada cek yang perlukan tandatangan bos
serta beberapa dokumen yang perlu pengesahan dan persetujuan daripada bos. Itu
sahaja untuk hari ini,” terang Sofea.
“Okey. Sebelum saya
terlupa, bagaimana dengan pemandu peribadi yang saya suruh awak carikan tu? Dah
iklankan di akhbar?”
“Tak perlu
susah-susah bos. Saya ada kawan yang nak kerja sebagai pemandu. Tapi saya tak
tahulah bos suka atau tak?”
“Awak suka dia?”
“Ha?” Sofea hairan
dengan pertanyaan Firuz Eidil.
“Maksud saya, awak yakin dia boleh jadi pemandu
peribadi saya? Dia mahir ke jalan di sekitar Lembah Klang dan Selangor,” tanya Firuz
Eidil.
“Oh, saya ingatkan
apa tadi. Kalau soal itu bos jangan bimbang. Dia memang mahir dengan jalan di
sekitar Lembah Klang dan Selangor.”
“Kalau macam itu
awak tanya dia bila dia boleh masuk
kerja? Sekiranya dia setuju siapkan surat tawaran kerja untuk dia. Awak
suruh dia masuk kerja esok ajelah.”
“Hem, macam tu saja
ke bos?”
“Macam tu lah, awak
nak saya buat macam mana lagi?”
“Bos tak nak
temuduga dulu ke?” tanya Sofea mahukan kepastian.
“Tak perlulah. Saya
yakin dengan pilihan awak. Jadi awak saja tolong uruskan untuk saya. Lagipun
awakkan setiausaha saya.”
“Kalau bos dah
cakap begitu, tak apalah. Jangan nanti bos salahkan saya sudahlah.”
“Fea, saya tahu
awak akan dapatkan yang terbaik untuk saya.”
“Baiklah. Kalau
begitu saya keluar dulu.”
Firuz Eidil
mengangguk. Sofea mengatur langkah keluar dari bilik bosnya itu. Belum sempat
Sofea menutup pintu bilik Firuz Eidil, lelaki itu memanggilnya kembali.
“Fea, jangan lupa
suruh dia datang ke rumah saya tepat pada waktunya esok.”
“Baik bos.”
Firuz Eidil menyandarkan
tubuhnya ke kerusi. Lega rasa otaknnya saat ini. Satu masalah dah selesai.
Tinggal satu lagi masalah. Oh, pembantu rumah! Mana aku nak kebas ni. Takkan
nak minta Sofea tolong carikan. Silap hari bulan dia fikir aku ni pemalas
pulak. Nafas berat dilepaskan. Ada tunang pun tak boleh diharapkan langsung.
Tunangnya itu hanya tahu merajuk dan meminta itu ini. Kepalanya ligat
memikirkan Julia. Gadis yang dicintainya dan kini telah menjadi tunangannya.
Sementara itu,
Sofea pantas mendail nombor telefon Elfira. Dia ingin memberitahu khabar
gembira itu kepada sahabatnya itu. Dia yakin Elfira pasti gembira mendengar
berita tersebut. Sofea lega apabila talian mula disambungkan.
“Assalamualaikum
Fea,” kedengaran suara lunak Elfira dihujung talian.
“Waalaikumusalam L, aku ada berita baik nak beritahu kau ni.”
“Berita? Berita
apa? Dah macam wartawan gosip pulak aku rasa kau ni.”
“Pasal kerja
itulah.”
“Kerja? Kerja apa
pulak?” soalnya hairan.
“Lupalah tu. Kerja
pemandu peribadi yang aku beritahu pada kau semalam,” jelas Sofea.
Suaranya sedikit
dikeraskan. Geram dengan sikap sahabatnya yang suka mengambil ringan terhadap
sesuatu perkara.
Elfira menepuk
dahinya. Dia benar-benar terlupa akan kerja yang ditawarkan kepadanya semalam.
“Aku lupalah. Ha
apa cerita?”
“Bos aku dah setuju
untuk ambil kau sebagai pemandu peribadinya. Dia nak kau mula kerja esok. Kau
nak tak?”
“Aku okey je. Yang
penting aku ada kerja.”
“Baguslah kalau
begitu. Senang kerja aku. Nanti aku siapkan surat tawaran kerja untuk kau.”
“Fea, dia tahu tak
yang aku ni perempuan?”
“Yang tu aku tak
beritahu dia.”
“Kenapa kau tak
beritahu bos kau itu?”
“Dah dia tak tanya.
Lagipun dia percayakan dengan pilihan aku. Habis tu aku nak kata apa lagi. Kira
okeylah itu. Yang penting kau pun okey.”
“Aku okey. Tapi apa
aku nak cakap dengan mama dan papa aku nanti? Aku pasti mereka marah kalau
mereka tahu aku kerja sebagai driver.”
Elfira menyatakan kebimbanganya.
“Kalau aku pun
marah. Mana ada anak Tan Sri jadi driver.
Buat malu aje,” sindir Sofea.
“Sofea!” Elfira
menjerit kecil. Tak boleh nak jerit kuat-kuat nanti mama dia dengar pula.
“Hehehe janganlah
marah. Aku gurau je. Kau cakaplah kau dapat kerja sebagai pembantu peribadi.
Nak lagi senang, kau tinggal je dengan aku. Aku pun tinggal seorang saja di
rumah tu,” usul Sofea.
Elfira terdiam
seketika. Dia sedang mempertimbangkan kata-kata Sofea.
“Okey juga tu.
Nanti aku bincang dengan mama dan papa aku. Apa-apa hal nanti aku beritahu
kau.”
“Okey.”
Talian telefon
dimatikan. Elfira tersenyum sendiri. Dia tidak menyangka yang dia akan bekerja
sebagai pemandu. Agak-agakya dialah anak Tan Sri yang pertama yang bekerja
sebagai pemandu peribadi. Wah, wah...hebatnya! Hebat ke?
“Amboi, lebarnya
senyuman anak mama ni. Ada perkara yang menggembirakan ke?”
Elfira mengangguk
perlahan. Puan Sri Karmila teruja untuk tahu.
“Berita apa tu? Tak
nak kongsi dengan mama ke?”
“Penyibuk juga mama
L ni ya.”
“Bukan nak menyibuk
tapi sekadar nak berkongsi kegembiraan.”
“Mama nak tahu ke?”
“Kalau L nak kongsi
dengan mama, apa salahnya beritahu mama. Tapi kalau anak mama ni tak nak kongsi
dengan mama pun mama tak kisah.”
Puan Sri Karmila
mengendurkan suaranya. Sengaja berbuat demikian untuk meraih perhatian daripada
anak bongsunya.
“Bunyi suara itu
macam orang merajuk je?”
Semakin galak Elfira
mengusik mamanya.
“Sebenarnya...” Elfira
masih ragu-ragu untuk memberitahu mamanya.
“Sebenarnya apa?”
soal Puan Sri Karmila. Tak sabar untuk tahu.
“Sebenarnya L dah
dapat kerja,” jawabnya jujur.
“Ya? Alhamdulillah.
Baguslah kalau begitu. Kerja apa?” Puan Sri Karmila begitu teruja mendengar
perkhabaran itu.
“Driver,” beritahunya perlahan sehingga
sukar untuk didengari.
“Apa ver?” jerkah Puan
Sri Karmila.
Oppss terlepas
cakap pulak. Apa pasal lah mulut ni laju je menjawab. Kan dah nyaris kantoi. Agak-agaknya
mama dengar tak apa yang aku cakapkan tadi?
“L cakap apa tadi?”
“Mana ada cakap apa
ma.”
Elfira cuba
menafikan. Dia buat muka tidak tahu apa-apa.
“Ya ke? Mama macam
ada dengar L cakap tadi. Kalau mama tak salah dengar hujungnya macam bunyi ver,
ver begitulah.”
Puan Sri Karmila
yakin anaknya itu ada berkata sesuatu tadi.
“Mana ada. Mama
salah dengar tu.”
Elfira cuba
meyakinkan Puan Sri Karmila. Wajahnya diseriuskan.
“Agaknyalah tu.”
Fuh, selamat mama
tak dengar ayat penuh. Kalau tidak teruk aku kena marah dengan mama, desis
hatinya.
“Kita lupakan hal
itu. L dapat kerja apa?”
“Kerja ya ma. L
dapat jadi pembantu peribadi kepada bos Sofea.”
“Pembantu peribadi?
Tak ada kerja lain yang lebih sesuai dengan kamu ke?”
“Sementara je ma.
Nak cari pengalaman. Lagipun jadi pembantu peribadi pun okey apa?”
“Memanglah okey
tapi macam tak kena dengan kelulusan L je.”
“Ma, yang penting
sekarang ni anak mama dah ada kerja. Mama tahukan L kalau boleh tak nak kerja
dengan keluarga ni. L nak hidup berdikari.”
“Suka hati kamulah.
Asalkan kamu bahagia.”
“Terima kasih
mama.”
Elfira memeluk erat
Puan Sri Karmila. Pipi mamanya dicium berkali-kali.
“Ma...”
“Ha dah merengek
begitu pasti ada benda yang dia nak tu.”
Elfira sudah
tersengih-sengih.
“Mama ni macam
tahu-tahu pulak.”
“Cakaplah nak apa
lagi?”
Elfira sudah
tersengih-sengih.
“L ingat L nak
tinggal dengan Sofea.”
Puan Sri Karmila
membuat reaksi terkejut.
“L bukan apa ma,
kalau duduk sekali dengan Fea mudahlah L nak minta tolong Fea ajarkan L.
Lagipun kami kan satu pejabat. Senang dan mudah ma. Bolehlah kami pergi kerja
sama-sama. Bolehlah ya ma.”
“Soal ni L kena
tanya dengan papa. Mama tak kisah asalkan L pandai jaga diri. Lagipun L dah
besar dan dah memang wajar untuk berdikari.”
“Terima kasih mama.
Nanti L akan tanya dengan papa. Tapi L yakin papa mesti bagi.”
“Amboi, yakinnya
anak mama ni.”
“Mestilah. Papakan
sayang L. Papa mesti sanggup buat apa sahaja untuk anak kesayangan dia ni.”
“Yelah sekarang ni
anak kesayanganlah. Nanti kalau dah kahwin hem cuculah yang papa paling sayang.
Bukan L lagi dah,” usik Puan Sri Karmila.
“Mama! Apa ni? L
muda lagilah. Belum sesuai nak fikir soal kahwin ni. L nak bina kerjaya dulu.
Mama kena tahu, lelaki sekarang ni bukan semuanya bertanggungjawab. Silap hari
bulan isteri pulak yang kena tanggung suami. Ha apa kes? Kesian anak mama kalau
dapat suami macam tu.”
“Budak ni kalau
kita cakap ada sahaja jawapannya. Otak tu tak pernah kering dengan idea. Asyik-asyik
kita juga yang terkena.”
“Tengoklah anak
siapa.”
Elfira mengangkat
keningnya. Puan Sri Karmila buat muka meluat. Elfira tidak dapat menahan
ketawa. Lalu dia tertawa. Dia geli hati melihat wajah Puan Sri Karmila.
Puan Sri Karmila
menggelengkan kepalanya. Nasib baiklah Elfira ini satu-satunya anak perempuan.
Anaknya yang sulung dan yang kedua sudah pun mendirikan rumahtangga. Yang
tinggal hanya anak bongsunya sahaja yang belum berkahwin lagi. Entah sempat
entahkan tidak dia melihat anak bongsunya itu naik pelamin. Memikirkan sikap Elfira
yang sama keras seperti lelaki membuatkan hati tuanya diusik kebimbangan.