27
“Hai L, rindunya aku kat kau.” Sofea segera mendapatkan Elfira
yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
“Amboi, baru dua hari tak jumpa aku dah rindu?” usik Elfira.
“Mestilah sunyi rumah ni tanpa kau.”
“Yelah tu.”
“Betullah. Kau tengok cerita apa tu?”
“Dejavu di Kinabalu.”
“Bila kau sampai?” tanya Sofea.
“Pukul 4 petang tadi. Aku dah siap masak. Lebih baik kau
pergi mandi. Lepas solat maghrib nanti kita boleh makan bersama.
“Itu yang aku suka dengar. Sejak kau dah pandai masak ni,
aku tak payah lagi nak masak.”
“Dah jangan nak banyak bunyi. Cepat pergi mandi.”
“Amboi halau nampak?” Sofea pura-pura merajuk.
“Halaulah. Aku dah tak tahan bau kambing,” usik Elfira.
“Sampai hati kau.” Sofea terus berlalu meninggalkan Elfira
yang masih lagi asyik melayan cerita Dejavu di Kinabalu.
Sofea sendawa.
“Alhamdulillah, sedap kau masak L,” puji Sofea.
Elfira mengukir senyum. Mereka mengemas ruang makan. Usai
sahaja mengemas, Elfira dan Sofea menghabiskan masa di ruang tamu sambil
menonton berita.
“Aku ada hal nak beritahu kau ni.” Elfira memecahkan
keheningan malam.
“Hal apa?”
“Lusa aku nak pergi bercuti.”
“Bercuti? Woo bestnya. Aku pun dah lama tak bercuti. Kau
nak ke mana?”
“Aku nak cuti-cuti Malaysia. Aku nak jelajah satu
Malaysia. Dari utara sampai ke selatan. Aku juga akan ke Sarawak dan Sabah.”
Sofea ternganga, Dia seakan tidak percaya.
“Biar betul kau ni L?”
“La, kau pun tak nak percaya juga ke?” tanya Elfira. Dia
hairan apabila semua orang tak nak percaya dengan kata-katanya. Dia bukan ada
buat sesuatu yang pelik. Sekadar bercuti.
“Susah aku nak percaya.”
“Tak nak percaya sudah.”
“Kau pergi dengan siapa? Mesti guna banyak duitkan?”
“Aku pergi seorang. Papa aku yang sponsor.”
“Untunglah kau ada orang sponsor. Kau pergi bercuti
sampai nak keliling Malaysia ni sebab kau
frust dengan si mat singa tu ke?”
Elfira senyum. Dia merenung wajah Sofea. Mereka saling
berbalas pandang. Kemudian Elfira menggeleng.
“Tidak! Aku memang nak pergi bercuti. Dah lama sangat aku
duduk kat UK tu dulu. Malaysia ni pun dah banyak yang berubah. Jadi, aku nak
ambil angin dan mood baru. Daripada aku
jadi penanam anggur terhormat sekarang ni, lebih baik aku habiskan masa dengan
melihat keindahan ciptaan Tuhan.”
“Sikit pun tak ada kerana perbuatan mat singa?” tanya
Sofea masih tidak puas hati.
“Adalah sikit. Siapa pun akan terasa. Kerana hal remeh
aku diberhentikan kerja,” beritahu Elfira jujur.
“Kalau suatu hari nanti mat singa nak suruh kau kerja
dengan dia semula kau nak tak?”
“As a driver or
maid? Dahlah Fea, aku dah serik kerja dengan dia.”
“Jadi kau tak naklah.”
“Tak nak aku! Keputusan aku muktamad.”
“Marah nampak. Kau masih tak maafkan dia?”
“Fea, sedangkan nabi ampunkan umat. Inikan aku manusia
biasa yang tak punya apa-apa. Aku dah maafkan dia.”
“Tapikan L, ini salah kau juga.”
“Apa pasal pulak salah aku?”
“Kalau dari awal lagi kau dedahkan identiti kau mesti dia
tak buat kau macam ni.”
“Fea, kau kenal aku kan? Aku tak nak orang kenal aku
kerana aku ni anak orang ternama. Biarlah mereka cuma kenal papa dan mama aku.
Aku tak nak tumpang sekaki.”
“Aku tahu pendirian kau. Kalau orang lain dah sibuk nak
beritahu yang diri tu anak Tan Sri, anak Tan Sri, semata-mata nak dapatkan
layanan kelas pertama.”
“Itu mereka bukan aku.”
“Kau pergi bercuti ni bawa kereta atau terbang?”
“Bawa kereta. Aku nak nikmati perjalanan yang panjang.
Cuma ke sabah dan Sarawak nanti baru aku naik kapal terbang.”
“Sabah dan Sarawak itu memang dah sah lah kau naik kapal
terbang.”
Mereka ketawa.