IRDINA mengerling jam
di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke pukul 3.00 petang. Peluh dingin
sudah membasahi dahi. Diseka peluh dingin itu dengan sehelai tisu. Hampir satu
jam dia menanti Tengku Irfan di situ. Namun, kelibat pemuda itu tidak juga
muncul-muncul. Adakah Tengku Irfan mempermain-mainkannya?
“Haishh!!!
Panas hati aku sekarang ni. Mana pulak tengku poyo ni?” luah Irdina, geram.
Dikibas
diri sendiri dengan tisu. Meliar matanya melihat sekeliling kawasan. Kenderaan
yang lalu lalang di kawasan itu turut memanaskan dirinya.
“Tak
boleh jadi ni. Memang nak kena tengku poyo ni.” Irdina merengus kasar.
“Ehem…”
Dehem seseorang dari arah belakang.
“Perogol!”
jerit Irdina seraya menumbuk perut Tengku Irfan.
“Ouch!!!”
rengek Tengku Irfan sambil memegang perut.
“Alamak!”
Irdina terkejut.
“Apasal
kau tumbuk aku?” marah Tengku Irfan.
“Aduh!
Mati la aku. Yang kau pergi tumbuk dia tu kenapa, Irdina Asyikin?” marah Irdina
kepada dirinya sendiri. Matanya memandang wajah berkerut Tengku Irfan.
Tengku
Irfan masih menahan kesakitan. Tumbukan Irdina agak kuat. Rasa senak di perut.
“Errr…
Tengku okey?” tanya Irdina, berbasa-basi.
“No!!” jawab Tengku Irfan, keras.
Irdina
menelan liur. Apa yang harus dilakukan ketika ini?
“Air!”
hulur Irdina kemudian.
Tengku
Irfan memandang tajam wajah Irdina. Sakit hatinya ketika ini.
“Sorry!” ujar Irdina, perlahan.
Ada
baiknya dia meminta maaf. Rasa kasihan melihat Tengku Irfan ketika ini. Adakah
tumbukannya tadi begitu kuat sehingga membuatkan Tengku Irfan jadi begitu?
“Apa
kau cakap? Aku tak dengar,” tanya Tengku Irfan.
“Sorry!” ulang Irdina.
“Aku
tak dengar,” beritahu Tengku Irfan. Sengaja mengenakan Irdina.
Irdina
mengetap bibir. Tengku Irfan memang sengaja.
“Aku
tak dengar apa yang kau cakap tadi tu.” Tengku Irfan beriak selamba.
“Sorry!” ulang Irdina dalam nada geram.
Tengku
Irfan ketawa. Dia segera beredar dari situ. Seronok mempermain-mainkan Irdina.
Bukannya sakit mana tumbukan Irdina itu.
“Sebelum
dia kenakan aku. Baik aku kenakan dia,” bisik Tengku Irfan sendirian.
Irdina
hanya memandang. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.
“Oh,
sengaja nak main-mainkan aku. Tunggu kau aku kenakan kau nanti,” azam Irdina.
Diekori
langkah Tengku Irfan daripada belakang. Tidak sabar untuk mengenakan pemuda
itu. Pertanyaan Melisa terngiang-ngiang di minda. Persoalan mengenai tangan
kanan Tengku Irfan masih belum dijawab. Perlukah dia mencari jawapan kepada
pertanyaannya itu?
“IRSHAD!”
tegur Datin Iznaini, lembut.
Irshad
tersentak. Dihalakan mata ke wajah yang menegur.
“Chad!”
panggil Datin Iznaini lagi.
Irshad
tidak mengendahkan kehadiran Datin Iznaini. Dia meneruskan kerjanya.
Datin
Iznaini melangkah menghampiri Irshad. Ditenung kasih wajah anaknya itu. Rindu
terhadap Irshad mencengkam diri. Agak lama dia tidak berjumpa dengan Irshad.
“Chad
sihat?” tanya Datin Iznaini, berbasa basi.
“Datin
nak apa datang sini? Saya banyak kerja. Tak ada masa nak layan datin,” balas
Irshad bernada serius.
“Ibu
rindukan Chad. Lama ibu tak jumpa dengan Chad,” beritahu Datin Iznaini.
“Datin
dah tengok saya. So, datin boleh
balik sekarang,” kata Irshad seraya memandang ke wajah Datin Iznaini.
Tersentap
Datin Iznaini mendengarnya. Kenapa Irshad berkata begitu? Adakah Irshad masih
tidak dapat menerima dirinya sebagai ibu? Rasa sebak hadir dalam hati.
“Datin!”
“Ada
apa Chad?”
“Saya
nak keluar. Ada kerja.”
“Dah
masuk tengah hari. Apa kata kita makan dulu?”
“Saya
dah lambat.”
“Please! Ibu…” Datin Iznaini mematikan
ayat. Berharap, Irshad memahami gantungan daripada ayatnya itu.
Irshad
mengeluh berat. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju dengan pelawaan Datin
Iznaini. Matanya memandang wajah tua Datin Iznaini. Agak lama dia tidak
berjumpa dengan ibunya. Sedikit sebanyak, perasaan rindu hadir dalam hati.
Namun, dibuang jauh-jauh perasaan itu tatkala mengingati perbuatan Datin
Iznaini tidak lama dahulu.
“Irshad!”
seru Datin Iznaini dalam nada mengharap.
“Baiklah.
Tapi….”
“Ibu
faham. Ibu faham Chad. Terima kasih!” pintas Datin Iznaini bernada ceria.
Irshad
hanya memandang. Wajah ceria Datin Iznaini menyapa mata. Derhakakah dia kerana
berbuat begitu terhadap Datin Iznaini? Kenangan lama terpahat kemas di hati.
Luka lama masih berdarah. Mustahil luka itu akan sembuh.
“Terima
kasih Chad. Ibu gembira sangat,” ucap Datin Iznaini lagi.
Irshad
hanya tersenyum. Dibawa langkah keluar dari kedai setelah memberi pesanan
kepada pekerjanya. Wajah ceria Datin Iznaini masih menyapa mata. Tidak sampai
hati menghampakan pelawaan ibunya itu.
Datin
Iznaini masih lagi tersenyum. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur
atas persetujuan Irshad. Berdoa agar pintu hati Irshad terbuka untuk
menerimanya semula.
“TENGKU Irfan ke mana?”
tanya Tengku Iqbal.
“Kata
Tengku Irfan tadi, dia nak jumpa dengan Naufal,” beritahu Shila.
Tengku
Iqbal mengangguk faham. Wajah Shila, pembantu peribadi Tengku Irfan ditatap
mesra. Gadis itu sudah lama bekerja dengannya. Dahulu, gadis itu merupakan
pembantu peribadi Tengku Zaharah. Tugasnya menjaga dan memastikan segala
keperluan Tengku Zaharah disediakan sebaik mungkin.
Selepas
pemergian Tengku Zaharah, Shila diarahkan menjaga Tengku Irfan. Tidak sampai
hati untuk memecat Shila kerana gadis itu amanah dalam tugasnya. Shila sekadar
menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan di rumah.
Walaupun
Tengku Irfan sudah mempunyai pembantu peribadi, dia tetap mahukan pembantu
peribadi ketika Tengku Irfan di luar. Bukannya dia tidak boleh mengarahkan
orang suruhannya menjadi bodyguard
kepada Tengku Irfan.
Atas
permintaan Tengku Irfan sendiri untuk tidak mahu mempunyai bodyguard. Maka dari itu dia melantik Irdina Asyikin sebagai
pembantu peribadi Tengku Irfan dan cadangannya itu diterima oleh anaknya.
Sekurang-kurangnya, kebajikan Tengku Irfan dijaga.
“Tengku
nak makan? Kalau nak makan, saya minta Mak Zaiton siapkan makanan,” tanya
Shila, berbasa basi. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.
“Hurm…
Tak apalah Shila. Saya dah makan di luar tadi,” tolak Tengku Iqbal, lembut.
Shila
mengangguk faham.
“Cuma
buatkan saya secawan kopi. Tolong hantar ke bilik bacaan saya nanti,” pinta
Tengku Iqbal bernada arahan.
“Baiklah,
tengku!” balas Shila lalu beredar dari situ.
Tengku
Iqbal turut sama beredar menuju ke bilik bacaan. Kepenatan mulai terasa ketika
ini dan minta direhatkan.
Getaran
dari arah telefon menyentak Tengku Iqbal buat seketika. Diseluk poket seluar
lalu mengeluarkan telefon bimbit. Matanya melihat nama yang tertera di skrin
telefon.
“Ada
apa Lokman?” tanya Tengku Iqbal sebaik sahaja talian bersambung.
“Saya
dah jumpa, tengku. Dia masih berada di sini,” beritahu Lokman.
“Masih
di sini?”
“Ya,
tengku.”
“Kalau
macam tu, awak sediakan laporan dan serahkan pada saya.”
“Baiklah,
tengku. Saya akan serahkan kemudian pada tengku.”
“Terima
kasih, Lokman.”
“Sama-sama,
tengku.”
Tengku
Iqbal mematikan talian. Dilabuhkan duduk di kerusi dan melepaskan lelah di
situ. Dipejamkan mata sambil otaknya ligat berfikir.
“Tengku
Iqbal!” tegur Shila dari arah muka pintu bilik.
Tengku
Iqbal tersentak. Dibukakan mata dan wajah Shila menyapa pandangan.
“Airnya
tengku,” ujar Shila seraya meletak secawan kopi di atas meja.
“Terima
kasih, Shila.”
“Sama-sama,
tengku.”
Tengku
Iqbal masih lagi tersenyum. Wajah Shila ditatap mesra.
“Sebentar
tadi Naufal call cari Tengku Irfan,”
lapor Shila, teragak-agak.
Tengku
Iqbal sedikit terkejut.
“Saya
minta maaf. Memang Tengku Irfan beritahu yang dia nak jumpa dengan Naufal. Tapi
bila saya tanya Naufal, Tengku Irfan tak ada bersama dengannya,” beritahu
Shila.
“Tengku
Irfan bohongi awak, Shila?” Tengku Iqbal sekadar menduga.
“Begitulah
tengku,” balas Shila bernada kesal.
“So, Tengku Irfan keluar dengan siapa?”
soal Tengku Irfan, berkerut dahi.
“Menurut
kata Naufal tadi, berkemungkinan Tengku Irfan keluar bersama dengan Irdina
Asyikin,” lapor Shila, tenang.
“Irdina
Asyikin?” ulang Tengku Iqbal, terkejut.
Shila
sekadar mengangguk. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra. Menanti butir bicara yang
seterusnya. Adakah Tengku Iqbal akan memarahinya atas kecuaian tersebut?
Selama
ini, dia begitu amanah dalam kerja. Tetapi, hari ini amanah itu telah tercalar
disebabkan Tengku Irfan. Kenapa Tengku Irfan membohonginya?
“Tak
apalah, Shila. Terima kasih kerana memberitahu saya,” ujar Tengku Iqbal.
“Maafkan
saya, tengku. Saya tak amanah dalam tugas saya,” kesal Shila lalu menunduk.
“It’s okey, Shila. Bukan salah awak.
Salah Tengku Irfan,” balas Tengku Iqbal. Menolak kegusaran di hati gadis itu.
Shila
masih lagi menunduk. Kesal atas apa yang berlaku.
“Awak
boleh keluar sekarang. Terima kasih Shila,” arah Tengku Iqbal, lembut.
“Terima
kasih, tengku. Maafkan saya sekali lagi,” ucap Shila dan beredar dari ruangan
itu. Nafas lega dilepaskan.
Tengku
Iqbal hanya memandang. Dia menggeleng memikirkan tindakan Tengku Irfan. Anaknya
itu sudah pandai berbohong. Satu perubahan yang tidak disangka-sangka. Adakah
kerana Irdina Asyikin, anaknya itu berbohong?
“ADUH! Kenapa dia bawa
aku ke sini? Bukan ke dia kata malam tadi nak main flying fox?” soal Irdina. Matanya meninjau sekeliling kawasan.
Tengku
Irfan melangkah di hadapan. Senyuman menghiasi bibir. Sejak dari tadi dia
memerhati riak di wajah Irdina. Gadis itu kelihatan risau dan khuatir. Apa yang
dirisaukan oleh Irdina? Adakah tentang taruhan mereka berdua?
“Apa
dia nak buat kat sini? Takkan nak suruh turun bukit ni kut?” Irdina masih lagi
bertanya. Seram sejuk dirasai ketika ini.
“Kita
dah sampai!” beritahu Tengku Irfan.
“Kita
nak buat apa kat sini? Bukan ke kita nak main flying fox?” tanya Irdina sambil melilaukan mata.
Tengku
Irfan tidak membalas. Wajah Irdina menjadi tatapan mata. Memang perancangannya
untuk bermain flying fox. Tetapi, dia
membatalkan perancangan itu dan membawa Irdina ke bukit.
“Kita
nak buat apa kat sini?” Irdina masih lagi bertanya.
“Turun
bukit!” Selamba Tengku Irfan menjawab.
“Turun
bukit? Tengku ni betul ke tidak? Dah sewel?”
“Apa
kau cakap?”
“Sewel!
Gila! Faham tak?”
Tengku
Irfan menahan kemarahan. Tangan dikepal. Erat!
“Kita
nak buat apa kat sini?” soal Irdina buat kali yang ketiga.
“Aku
nak kau ambil bunga seri pagi tu untuk aku,” arah Tengku Irfan seraya menunjuk
ke arah sekuntum bunga seri pagi di lereng bukit.
Irdina
menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Berkerut dahinya memandang bunga itu.
“Kau
ambilkan untuk aku.”
“Tengku
ni memang gila. Kat kedai bunga tu kan berlambak. Beli sajalah berapa banyak
yang tengku nak. Kenapa nak ambil kat sini pulak?”
“Aku
tak nak. Aku nak kau ambil untuk aku. Kau sendiri kata yang kau tak takut, kan?
So, buktikan pada aku yang kau
benar-benar tak takut.”
Irdina
mengepal tangan. Sakit hatinya memandang wajah selamba Tengku Irfan. Dihalakan
mata ke arah bunga dan melihat ketinggian bukit tersebut. Air liur ditelan
beberapa kali. Kelat! Sungguh, dia takut dengan ketinggian. Peristiwa lama
bermain-main di tubir mata.
Peristiwa
di mana dia terjatuh ketika mengikuti ekspedisi mendaki bukit sewaktu sekolah
menengah dahulu. Akibat daripada jatuhan itu, dia mengalami kecederaan di tubuh
badan dan patah kaki serta tangan.
Bukan
itu sahaja, gurauan rakan sekelas turut menambahkan rasa ketakutan itu. Gurauan
yang membuatkan dia hampir terjatuh dari tingkat atas bangunan sekolah. Bermula
dari situ, dia takut untuk mendaki bukit serta berada di tempat tinggi.
“Kau
takut, kan?” Sinis Tengku Irfan.
Irdina
tersentak. Wajah sinis Tengku Irfan menjadi tatapan mata.
“Kalau
takut, cakap sajalah takut. Ini tidak, berlagak sombong. Tak sedar diri yang
kau tu perempuan,” kutuk Tengku Irfan pula.
“Saya
tak takut!”
“Kalau
kau tak takut, kenapa muka kau tu pucat dari tadi?”
“Saya…
Saya…” Irdina tergagap-gagap.
“Kenapa
tergagap-gagap ni, sayang?” Tengku Irfan mengejek.
Irdina
tidak membalas. Wajah Tengku Irfan ditatap tajam.
“Pastikan
kau petik semua bunga yang ada kat situ. Aku tak nak tertinggal satu pun.”
“Tengku
ingat saya ni….”
“Kau
pembantu peribadi aku. So, wajib
untuk kau mendengar arahan aku.”
“Sekarang
ni kita bukan di office!”
“Peduli
apa aku!”
Irdina
mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar kata-kata Tengku Irfan. Ada yang nak
kena tolak jatuh ni, geram Irdina dalam hati.
Tanpa
membalas, dia melangkah menghampiri lereng bukit. Ditinjau ke bawah buat
seketika. Semakin laju air liur yang ditelan. Jantungnya berdegup dengan
kencang. Menahan ketakutan yang amat sangat. Perlukah dia memenuhi kehendak
Tengku Irfan?
“Apa
yang kau tunggukan lagi?” tegur Tengku Irfan seraya memegang bahu Irdina.
Terkejut
Irdina dengan sentuhan itu. Secara tidak sengaja dia menolak Tengku Irfan
sehingga membuatkan pemuda itu jatuh.
“Tengku!!!”
jerit Irdina.