“ALONG!”
panggil Irdina dari jauh.
Irshad
menoleh. Terkejut dengan panggilan itu.
“Along!”
panggil Irdina lagi.
“Ya Allah adik
aku ni. Satu semesta dengar suara dia,” bebel Irshad sambil menggeleng.
“Along…
Along…” Buat kali yang ketiga Irdina memanggil. Rasa teruja ketika ini.
“Dina, cuba la
jangan panggil along macam tu. Takut burung-burung yang ada kat pokok tu,”
tegur Irshad sebaik sahaja Irdina di hadapan.
Irdina
berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Irshad.
“Tengok tu!”
unjuk Irshad ke arah beberapa burung yang berterbangan.
Irdina
menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Cuba untuk memahami kata-kata Irshad.
“Along!!!”
Irdina menegur tatkala dapat menangkap maksud kata-kata Irshad. Cubitan hinggap
di lengan abangnya itu.
“Sakitlah
Dina!” adu Irshad sambil cuba mengelak daripada dicubit.
“Padan muka!”
kutuk Irdiana, selamba.
“Okey… Okey…
Apa cerita? Dari jauh lagi dah menjerit nama along.”
Irdina tersenyum
penuh makna. Dihampiri Irshad lalu memeluk kejap lengan Irshad.
“Ni mesti ada
benda nak mintak,” duga Irshad sambil mengangkat kening.
Irdina
tersengih. Dileraikan pelukan dan mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangan.
Kemudian, dihulurkan kepada Irshad.
“Apa ni?”
tanya Irshad sambil membalas huluran.
“Surat
jemputan!” jawab Irdina, teruja.
“Jemputan?
Jemputan apa?”
“Blind date!”
“Blind date? Untuk siapa?”
“Along!”
Irshad
berkerut dahi.
“Dina
daftarkan nama along kat agensi cari jodoh.”
“What?!!!” Terjerit Irshad mendengarnya.
“Kenapa? Along
tak suka ke?”
“Dina, along
kan masih muda lagi. Kenapa nak…”
“Muda along
kata? Umur along dah 28 tahun. Lagi 2 tahun masuk 30 an.”
“Muda la tu.”
“Muda? Cuba
along tengok kawan-kawan along. Semua dah kahwin. Dah ada 2 atau 3 orang anak.
Along?”
“Eh, along pun
ada anak tau.”
“Bila masa
along ada anak? Kahwin pun belum.”
“Anak kucing!”
balas Irshad lalu tersengih.
Irdina
menjegilkan mata. Wajah sengihan Irshad ditatap geram.
“Tak perlulah Dina. Along boleh cari sendiri,”
beritahu Irshad. Kad jemputan diserahkan semula kepada Irdina.
“Ala…
Penat-penat orang daftarkan nama along,” keluh Irdina beriak kecewa.
Irshad hanya
tersenyum. Dia menyambung kerja yang tertangguh sebentar tadi. Kepala
menggeleng kecil. Geli hati dengan tindakan Irdina. Jauh di sudut hati, dia
berterima kasih kepada Irdina kerana mengambil berat akan dirinya.
Irdina
memandang tingkah laku Irshad. Permintaannya tadi tidak mendapat persetujuan
Irshad. Bagaimana untuk membantu Irshad? Sudah beberapa kali Irshad putus
cinta. Semuanya disebabkan gadis yang dikenali Irshad tidak menepati citarasa.
Semuanya mata duitan dan mengambil kesempatan atas kebaikan Irshad.
Irshad
bukanlah seorang yang kaya. Berkat usaha Irshad selama ini, abangnya berjaya
membuka sebuah kedai dobi. Walaupun hanya kecil-kecilan, Irshad sudah berjaya
membuka tiga cawangan dobi miliknya. Rasa kagum atas usaha Irshad selama ini.
“Dina tak
kerja ke?” tanya Irshad, prihatin.
“Haa… Apa
dia?” Irdina sedikit tersentak.
“Tak kerja
ke?”
“Kan tengah
rehat.”
Irshad
mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menginjak ke pukul satu lima
minit petang. Dia mengangguk perlahan. Mujurlah jarak pejabat Irdina tidak jauh
dari kedai dobinya. Jika tidak, mustahil Irdina boleh melepak di kedainya.
“Along!”
panggil Irdina, lembut.
Irshad
menghalakan mata ke arah Irdina.
“Along pergi
ya.” Irdina sedikit merayu.
Irshad
menghela nafas ringan. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Tidak tahu untuk
menjawab permintaan Irdina.
“Dina balik office dulu. Petang nanti ada meeting team building,” beritahu Irdina lalu beredar dari situ. Kad
jemputan diserahkan semula kepada Irshad.
Irshad hanya
memandang. Kad di tangan ditatap. Perlukah dia memenuhi permintaan Irdina? Rasa
serba salah ketika ini.
“SO,
macam mana first day kau bekerja.
Okey?” tanya Naufal, prihatin.
Tengku Irfan
menghela nafas ringan. Dia melabuhkan duduk di kerusi.
“Tak apalah,
Ir. Slow-slow dulu. Lama-lama nanti,
okey la. Lagipun kau dah lama tak kerja. Dua tahun. Bukan masa yang pendek, Ir,”
suara Naufal lagi.
“Aku tahu,
Naufal. Banyak yang aku perlu belajar,” balas Tengku Irfan, perlahan.
“Kalau kau
perlukan bantuan aku, kau beritahu saja. Insya-Allah, aku akan bantu.”
“I will, Naufal. Thanks.”
Naufal
mengangguk. Matanya memandang wajah Tengku Irfan. Riak keliru terlukis di wajah
itu. Pasti Tengku Irfan masih cuba menyesuaikan diri dengan suasana bekerja.
“Kau tak nak
order makanan?”
“Tak apalah.
Aku dah makan tadi sebelum jumpa kau. Makan dengan client.”
Tengku Irfan
mengangguk. Gelas minuman dicapai lalu meneguk air dari dalamnya.
“Aku dengar
papa kau ambil alih Suria Holdings, betul ke?”
“A’ah. Aku
baru tahu.”
“Kenapa dengan
tiba-tiba papa kau nak ambil alih Suria Holdings?”
“Papa kata
Tuan Haji Jamal berhijrah ke Australia dan menetap di sana. Dia jual share pada papa aku,” beritahu Tengku
Irfan.
Itulah yang
diketahuinya daripada Tengku Iqbal. Tentang pengambilalihan Suria Holdings
sebagai anak syarikat. Dia dipertanggungjawabkan mengurus Suria Holdings.
Tetapi, dia
memerlukan masa untuk menggalas tugas itu. Buat masa sekarang, biarlah Encik
Razman selaku pengurus memantau syarikat.
“Sebelum aku
terlupa, apa kes kau dengan gadis tu?” tanya Naufal, ingin tahu.
“Gadis? Gadis
mana?” soal Tengku Irfan, berkerut.
“Gadis yang
langgar kau malam tu. Kat pasar.”
Tengku Irfan
cuba mengingati gadis yang dimaksudkan oleh Naufal. Seminit kemudian, dia
mengangguk tatkala mengingatinya.
“Apa kes?”
“Huh! Minah tu
memang menyakitkan hati.”
“Yalah. Tapi,
apa kes? Apa yang dia dah buat pada kau?”
“Hari tu ada
budak langgar aku. Dia bela budak tu. Suka hati dia saja nak lepaskan budak
tu,” cerita Tengku Irfan, mendengus kasar.
Tergelak
Naufal mendengarnya. Gelengan diberikan kepada Tengku Irfan.
“Yang kau
gelak, kenapa? Ada yang lawak ke?” tegur Tengku Irfan, keras.
Naufal
mematikan ketawa. Wajah tegang Tengku Irfan ditatap.
“Bengang betul
aku dengan minah tu,” luah Tengku Irfan lagi.
“Ala, perkara
kecik saja. Kau ni janganlah ambil hati pasal tu. Lagipun, benda dah nak jadi,
kan?” kata Naufal berbaur nasihat.
Tengku Irfan
tidak membalas. Wajah gadis itu menyapa mata ketika ini.
“Aku suka
tengok kau dalam keadaan macam ni. Sekurang-kurangnya aku tahu yang kau masih
ada hati dan perasaan,” ujar Naufal lalu tersenyum.
“Apa maksud
kau? Aku tak faham,” soal Tengku Irfan, berkerut dahi.
“Maksud aku,
selama dua tahun kau pendam perasaan kau. Apa yang terjadi buatkan kau
menyendiri dan menjauhi orang,” jelas Naufal.
Tengku Irfan
mengangguk faham. Ada benarnya penjelasan Naufal itu. Selama ini, dia
menyendiri dan menjauhi orang lain.
“Kau nak ikut
aku tak minggu depan?” tanya Tengku Irfan kemudian.
“Minggu depan?
Ke mana?” soal Naufal, ingin tahu.
“Papa
kata ada team building minggu depan.
Jadi, papa ajak aku sekali ke sana. Nak bermesra dengan staf-staf Suria
Holdings.”
“Oh.
Tengoklah dulu macam mana. Kalau tak ada apa-apa, aku follow.”
Tengku
Irfan mengangguk. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa sudah
merangkak ke pukul dua petang. Terlalu lama mereka berdua berbual-bual di
kafeteria itu. Ada baiknya dia beredar dari situ. Khuatir papanya, Tengku Iqbal
mencari.
“Aku
balik office dulu. Nanti papa aku
cari pulak,” ujar Tengku Irfan bingkas bangun.
Naufal
melihat jam di pergelangan tangan.
“Okey.
Apa-apa jangan lupa beritahu or tanya
pada aku. Ingat pesanan aku, Ir. Papa kau perlukan kau sekarang. Kuatkan
semangat. Jangan layan sangat perasaan kau tu,” nasihat Naufal.
“Kau
ni macam orang tua,” tegur Tengku Irfan lalu ketawa kecil.
“Kau
kepentingan aku, Ir. Papa kau amanahkan pada aku untuk jaga dan tengok-tengokkan
kau,” balas Naufal lalu tersenyum.
Tengku
Irfan sekadar tersenyum. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Ya.
Memang benar apa yang diperkatakan oleh Naufal. Tengku Iqbal telah
mengamanahkan Naufal untuk menjaga dan berada di sisinya selama ini.
Naufal
merupakan anak angkat papanya sejak pemuda itu berusia sepuluh tahun lagi. Ibu
dan ayah Naufal merupakan pembantu dan pemandu Tengku Iqbal dan mereka
meninggal dalam satu kemalangan jalan raya.
Kini,
Naufal bekerja sebagai Akauntan di salah sebuah syarikat swasta. Walaupun
papanya menawarkan pekerjaan buat Naufal, pemuda itu menolak untuk menerima.
Kata
Naufal, dia tidak mahu mengmbil kesempatan atas kebaikan Tengku Iqbal. Cukuplah
dengan apa yang telah Tengku Iqbal lakukan selama ini dan dia mengagumi
keperibadian Naufal Shafiq.
“MESYUARAT
ditangguhkan. Sebarang masalah, kamu semua boleh merujuk pada saya ataupun Puan
Norashamti selaku pembantu program ini,” beritahu Encik Razman.
Matanya
memandang setiap wajah yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Mereka
mengadakan mesyuarat untuk melaksanakan program team building anjuran Suria Holdings.
“Baik,
Encik Razman,” balas mereka serentak.
Tanpa
membuang masa, mereka yang berada di dalam bilik segera beredar dari situ.
Masing-masing berbisik sesama sendiri. Tidak sabar untuk menjalankan program
tersebut.
“Irdina
Asyikin tunggu sekejap,” arah Encik Razman.
Irdina
yang baru hendak keluar dari bilik menghentikan langkah. Dihalakan mata ke
wajah Encik Razman. Melisa di sisi turut sama memandang.
“Saya
ada perkara nak bincang dengan awak, Irdina,” beritahu Encik Razman.
“Err…
perkara apa, bos?” tanya Irdina, berdebar.
“Aku
keluar dulu,” bisik Melisa ke telinga Irdina.
Irdina
hanya mengangguk. Matanya menghantar pemergian Melisa. Kemudian, dihampiri
Encik Razman dan menanti butir bicara daripada lelaki separuh abad itu.
“Duduk!”
arah Encik Razman.
Irdina
melabuhkan duduk berhadapan Encik Razman. Wajah pengurusnya ditatap mesra.
Berdebar-debar dirasakan ketika ini. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh
pengurusnya itu? Adakah melibatkan syarikat atau bersifat peribadi?
“Saya
diarahkan untuk serahkan surat ni kepada awak. Mulai bulan hadapan, awak
ditugaskan menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan Haiqarl,” mulai Encik Razman.
Sehelai
sampul surat diserahkan kepada Irdina. Senyuman menghiasi bibir. Menanti reaksi
daripada gadis di hadapannya itu.
“Pembantu
peribadi?” ulang Irdina sedikit terkejut.
Sampul
surat dicapai lalu melihat isi di dalam. Surat bermuka syarikat dibaca dan cuba
untuk difahami.
“Kenapa
saya?” tanya Irdina sehabis sahaja meneliti surat tersebut.
“Atas
arahan Tengku Iqbal, pengarah baru kita,” jawab Encik Razman, tenang.
“Tapi,
kenapa saya?”
“Saya
tak pasti, Irdina. Ini arahan Tengku Iqbal. Dia nak awak jadi pembantu peribadi
Tengku Irfan Haiqarl.”
“Siapa
Tengku Irfan?”
“Anak
tunggal Tengku Iqbal. Tengku Irfan akan bertugas sebagai pengurus besar mulai
bulan hadapan. Lepas team building
kita.”
Irdina
masih lagi cuba untuk menerima penjelasan Encik Razman. Perkataan ‘kenapa’
meniti di benak hati. Kenapa dia dipilih untuk jawatan itu?
“Kalau
tak ada apa-apa soalan lagi, awak boleh teruskan kerja,” suara Encik Razman
bernada arahan. Wajah berkerut Irdina menjadi tatapan mata.
Irdina
tidak membalas. Dia bingkas bangun dan beredar dari ruangan itu. Hatinya masih
lagi tertanya-tanya. Kenapa dia yang dipilih menjawat jawatan itu? Kenapa dia
perlu menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan?
“Apa
kes?” tegur Melisa, tiba-tiba.
Tersentak
Irdina dek kerana teguran itu. Dia mengurut dada menahan debaran.
“Sorry. Tak sengaja,” kesal Melisa
tatkala melihat tingkah laku Irdina.
Irdina
tidak membalas. Surat di tangan menjadi tatapan mata.
“Surat
apa tu? Kau dinaikkan pangkat lagi ke?” tanya Melisa, ingin tahu.
Surat
dari pegangan Irdina ditarik lalu membaca isi surat tersebut. Berkerut dahinya
tatkala membaca. Cuba untuk memahami isi kandungan surat tersebut.
“Kenapa
aku?” soal Irdina, perlahan.
“Wow!
Pembantu peribadi,” ujar Melisa sehabis sahaja membaca.
“Kenapa
aku?” Irdina masih lagi menyoal. Kurang percaya dengan arahan itu.
“Tengku
Irfan? Siapa dia? Anak Tengku Iqbal ke?” tebak Melisa.
“A’ah,
anak Tengku Iqbal. Masalahnya, kenapa Tengku Iqbal pilih aku? Kan ramai lagi
staf yang lebih berpengalaman daripada aku.”
“Ala…
dah dia nak pilih kau, kau terima sajalah. Bukan senang nak dapat peluang macam
ni. Kira kau bertuah tau.”
“Aku
tak heran sangat tentang tu. Yang aku pelik, kenapa aku yang dipilih? Kenapa
aku perlu jadi pembantu peribadi anak dia?”
“Hurm…
mungkin dia berkenan dengan kau. Nak jadikan kau sebagai menantu dia. Sebab
itulah dia suruh kau jadi pembantu peribadi anak dia. Nak nilai kau sebelum dia
melamar buat anak dia.” Melisa sekadar serkap jarang.
“Mengarutlah
kau ni, Mel,” tukas Irdina, serius.
“Aku
buat andaian saja. Mana la tahu kan andaian aku ni betul. Bertuah kau, Dina.
Dapat kahwin dengan keturunan raja,” balas Melisa lalu tersenyum penuh makna.
Irdina
tidak membalas. Otaknya masih ligat berfikir. Kenapa dan kenapa. Seperti ada
sesuatu yang tidak kena. Mungkinkah itu sekadar firasat di hati.
“Aku
balik tempat aku dulu. Petang nanti kita ke shopping
mall nak? Nak beli barang sikit,” ujar Melisa sambil memandang wajah
Irdina.
“Haa…
okey!” balas Irdina sedikit tersentak.
Melisa
sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia menuju ke tempat kerjanya. Dia perlu
menyiapkan kerja yang tertangguh pagi tadi.
Irdina
menuju ke tempatnya. Nama Tengku Irfan meniti di benak hati. Siapa Tengku
Irfan? Adakah tua ataupun muda?
“Huh!
Buat sakit otak aku saja. Baik aku siapkan kerja aku. Tunggu dan lihat sajalah
bulan hadapan. Macam mana orangnya Tengku Irfan tu,” putus Irdina tatkala penat
berfikir.
Jam
di dinding dikerling buat seketika. Masa sudah menghampiri ke pukul empat
sepuluh minit. Mungkin ada baiknya dia tidak memikirkan tentang itu. Berserah
kepada Yang Maha Esa. Semoga perjalanan hidupnya diberkati Allah selama ini.