TENGKU
Iqbal menolak perlahan daun pintu bilik.
Dia menapak masuk dan menghampiri katil. Rutin setiap malamnya. Melihat keadaan
Tengku Irfan.
Risau
terhadap Tengku Irfan tidak pernah surut. Selama dua tahun dia berperasaan
begitu. Selepas kemalangan itu, Tengku Irfan lebih banyak menyendiri daripada
bergaul dengan sesiapa mahu pun kenalan rapat.
Tengku Iqbal
menghela nafas berat. Bagaimana untuk memulihkan semangat Tengku Irfan?
Semangat dan kekuatan Tengku Irfan hilang begitu sahaja selepas kemalangan itu.
Perkara itu yang amat menyedihkan hatinya.
Tengku Irfan
satu-satunya anak yang menjadi harapan dalam keluarga. Pada siapa lagi dia
perlu menyerahkan segala harta yang dimiliki selain daripada Tengku Irfan.
Duduk dilabuh di
birai katil sambil menatap kasih wajah Tengku Irfan yang sedang tidur. Dikuak
perlahan rambut Tengku Irfan yang menutupi dahi sambil mengamati wajah bersih
anaknya itu. Saling tak tumpah dengan arwah isterinya, Tengku Zaharah.
Rindu terhadap
Tengku Zaharah hadir dengan tiba-tiba. Pemergiaan Tengku Zaharah akibat
penyakit kanser otak memberi satu tamparan hebat buat mereka berdua.
Tengku Iqbal
membuka cermin mata. Terasa air mata meniti di tubir mata. Kenangan bersama
Tengku Zaharah mencengkam jiwa. Sukar untuk melupakan segala kenangan mereka.
“Ir, papa
semakin lemah. Papa harap Ir dapat bantu papa,” suara Tengku Iqbal, sebak.
Diseka air mata
yang meniti di tubir mata. Tanpa menunggu, dia bingkas bangun lalu beredar dari
bilik itu. Dia perlu memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang
semakin memberat. Masalah Tengku Irfan, anaknya.
Tengku Irfan
membuka perlahan matanya. Dihalakan pandangan ke pintu bilik yang baru sahaja
ditutup. Dia segera bangun daripada pembaringan dan bersandar di kepala katil.
Kata-kata Tengku
Iqbal terngiang-ngiang di minda. Perasaan bersalah hadir dengan tiba-tiba.
Bersalah terhadap ayahnya. Bersalah kerana menyusahkan Tengku Iqbal selama ini.
“Ir mintak maaf,
papa. Ir bersalah dengan papa. Ir janji lepas ni Ir takkan susahkan papa lagi,”
luah Tengku Irfan, lemah.
Wajah Naufal
Shafiq meniti di tubir mata. Wajah kawan baiknya yang sentiasa ada di sisi
setiap kali dia memerlukan.
“Kau kena lawan,
Ir. Kalau kau tak lawan, macam mana kau nak tenang?” kata Naufal sambil menggeleng.
Tengku Irfan di hadapan ditatap mesra.
“Aku dah cuba,
Naufal. Tapi…” Tengku Irfan mematikan ayat. Sukar untuk berterus-terang akan
perasaannya ketika ini.
“Aku tahu, Ir.
Kemalangan tu bagi kesan pada diri kau. Tapi, sampai bila kau nak susahkan papa
kau? Aku kesiankan papa kau. Cuba kau letakkan diri kau di tempat dia. Pasti
kau dapat rasa apa yang dia rasa selama ini,” nasihat Naufal lagi.
Tengku Irfan
tidak membalas. Otaknya cuba merencana kata-kata nasihat Naufal. Ada benarnya
kata-kata Naufal itu. Semakin bersalah Tengku Irfan ketika ini.
“Kau kena atasi masalah
yang ada. Aku masih menunggu Tengku Irfan yang aku kenali sejak kecil lagi,”
sambung Naufal lalu beredar dari situ.
Tengku Irfan
tersentak tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Lamunannya yang pendek,
berterbangan entah ke mana. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan menatap
nama di skrin.
“Ada apa,
Naufal?” tanya Tengku Irfan sebaik sahaja talian bersambung.
“Sorry kalau aku kacau kau malam-malam
buta ni. Aku cuma nak confirmkan
dengan kau pasal esok. Jadi tak kau ikut aku esok?” terang Naufal dari hujung
talian.
Tengku Irfan
berfikir sejenak. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju.
“Ir…” panggil
Naufal.
“Aku ikut,”
balas Tengku Irfan, lemah.
“Okey! Jangan
tak jadi pulak.”
“Insya-Allah,
jadi.”
“Baiklah, Ir.
Jumpa esok.”
Tengku Irfan
mematikan talian. Nafas dihela ringan untuk kesekian kali. Ada baiknya dia
menerima kata-kata nasihat Naufal. Semoga dia dapat mengatasi masalah yang
dihadapi selama ini. Semoga dia tidak menyusahkan Tengku Iqbal lagi.
“BINGO!
Yes! Aku menang!” sorak Irdina,
girang.
“Ala…” keluh
Melisa.
Kertas di tangan
ditatap. Untuk kali yang ke sepuluh dia kalah di tangan Irdina. Tidak dinafikan
Irdina pakar dalam permainan itu.
“So, nak main lagi tak?” tanya Irdina
sambil mengangkat kening.
“Tak nak la.
Asyik kalah saja. Bosan!” balas Melisa, perlahan.
Kertas di tangan
dironyok lalu mencampakkannya ke dalam tong sampah. Keluhan terlepas daripada bibir
untuk kesekian kali.
“Tu la, tadi
bukan main sombong sangat dengan aku. Sekarang, siapa yang malu? Kau juga,
kan?” sindir Irdina, selamba.
“Yalah, aku
ingat boleh menang. Tu yang aku cakap besar,” kata Melisa tidak mahu mengalah.
Wajah Irdina ditatap geram.
Irdina ketawa
kecil. Diamati wajah muram Melisa. Kawannya itu selalu kalah tatkala bermain
permainan.
“Along mana?”
tanya Melisa tatkala menyedari ketiadaan Irshad.
“Beli burger kat
tepi jalan sana,” jawab Irdina.
Dia membuang
pandang ke langit malam. Bulan dan bintang menghiasi dada langit. Cantik dari
pandangan mata.
“Eh… apa kes kau
siang tadi?”
“Kes? Kes apa?”
“Kes mamat tu.”
Irdina berkerut
dahi.
“Ala… yang kat
pantai tadi tu.”
Irdina berfikir
seketika. Kemudian, dia mengangguk faham.
“Apa kes?”
Irdina tidak
membalas. Ingatannya mengimbas semula kejadian siang tadi.
“KAU
tak nampak atau pura-pura tak nampak?” marah Tengku Irfan sedikit meninggi.
Tajam matanya ke
wajah seorang kanak-kanak yang sedang menunduk. Rasa sakit hati tatkala kanak-kanak
itu melanggarnya dengan sengaja.
“Maa... maafff…
aaa… bbbaaanggg.”
Terketar-ketar
kanak-kanak itu mengucapkan kata maaf. Takut melihat wajah tegang Tengku Irfan.
Sungguh, dia tidak sengaja melanggar pemuda itu.
“Maaf kepala
hotak kau! Mentang-mentang kau budak, so
kau nak aku maafkan kau ke?” marah Tengku Irfan lagi.
Kanak-kanak itu
sekadar menggeleng. Tidak berani untuk membalas.
“Apa masalah
encik ni?” tanya Irdina, tiba-tiba.
Tengku Irfan dan
kanak-kanak yang bernama Farid terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke
wajah Irdina.
“Apa masalah
encik ni? Yang encik marah budak ni, kenapa?” tegur Irdina pula.
Ditarik tubuh
Farid menjauhi Tengku Irfan. Sejak dari tadi dia mendengar kemarahan pemuda
itu. Apa yang kanak-kanak itu telah lakukan sehingga dimarahi sebegitu sekali?
“Siapa kau nak
masuk campur? Kau mak budak ni ke?” Keras nada Tengku Irfan bertanya. Wajah
Irdina ditatap tajam.
“Saya bukan
siapa-siapa dengan budak ni. Tapi, encik tak patut marah dia di tempat awam
macam ni.”
“Suka hati aku
la nak marah ke, tegur ke budak ni. Dah dia buat salah, aku tegur la.”
“So, suka hati saya la nak bela atau
masuk campur dalam urusan ni.”
Tengku Irfan
mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata Irdina. Wajah selamba Irdina
menambahkan lagi tahap kemarahannya itu.
“Adik buat apa
dengan abang ni?” tanya Irdina, lembut.
“Saya… saya…
saya tak sengaja langgar abang ni, kakak. Aiskrim saya terkena dekat baju abang
tu,” cerita Farid, bergetar.
“Oh, macam tu.
Tak apa, adik boleh pergi sekarang,” balas Irdina bernada arahan.
“Tapi…”
“Jangan risau.
Akak settle dengan abang. Mak dan
ayah adik kat mana?”
“Ada kat sana!”
unjuk Farid ke arah mak dan ayahnya.
Irdina memandang
ke arah yang ditunjuk. Dia mengangguk kecil dan tersenyum.
“Adik boleh
pergi sekarang,” arah Irdina kemudian.
Farid mengangguk
faham. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Nafas lega dilepaskan.
Bersyukur kerana Irdina sudi membantu dalam menyelesaikan masalah dengan Tengku
Irfan. Kecut perutnya berhadapan dengan pemuda itu.
Tengku Irfan yang
melihat terkejut. Kenapa kanak-kanak itu beredar dari situ?
“Woi… aku tak
suruh pergi,” laung Tengku Irfan.
Namun,
panggilannya itu tidak bersambut. Dihalakan mata ke wajah Irdina yang sedang
beriak selamba sambil berpeluk tubuh.
“Siapa benarkan
budak tu pergi? Aku belum habis dengan dia lagi,” tanya Tengku Irfan bernada
geram.
“So what?”
tanya Irdina, selamba.
Tengku Irfan
menggenggam erat tangan. Semakin sakit hatinya mendengar jawapan selamba
Irdina. Ikutkan hati, mahu ditampar pipi gadis di hadapannya itu.
“Kalau encik nak
ganti rugi pada baju yang dah kotor tu, saya boleh bayar bagi pihak budak tu.
Berapa yang encik nak? RM 5? RM 10? RM 50? Atau RM 100?”
Wajah pemuda di
hadapan ditatap berserta senyuman sinis. Lelaki seperti itu perlu dibalas dengan
serius.
Semakin panas
hati Tengku Irfan mendengarnya. Tingkah laku Irdina ditatap benci.
“Hurm… saya cuma
ada RM 50 saja. Cukuplah, kan?” ujar Irdina.
Sekeping not RM 50
dihulurkan kepada Tengku Irfan. Dilihatnya pemuda itu tidak mengendahkan
huluran wang tersebut.
“Kira settlela ya,” putus Irdina
Not RM 50
diletakkan di dalam poket baju kemeja Tengku Irfan. Setelah itu, dia segera
beredar dari situ. Membiarkan Tengku Irfan yang sedang memandangnya.
“Apa punya
manusia. Dengan budak-budak pun nak gaduh,” bebel Irdina sendirian.
Dia melangkah
menuju ke tempat di mana Irshad dan Melisa berada. Belum sempat langkahnya
menjauh, telinganya disapa dengan suara seseorang. Dia menoleh buat seketika
dan alangkah terkejut tatkala melihat pemuda tadi.
“Tak sangka!”
suara Melisa, tiba-tiba.
Tersentak Irdina
mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Melisa di sisi.
“Tak sangka
mamat tu begitu orangnya,” sambung Melisa.
“Aku pun tak
sangka juga,” sokong Irdina lalu tersenyum kelat.
Wajah Tengku
Irfan meniti di tubir mata. Entah kenapa perasaan bersalah hadir dengan
tiba-tiba. Adakah dia berasa bersalah atas apa yang telah terjadi kepada Tengku
Irfan? Pemuda itu pengsan selepas bertegang urat dengannya.
“Aku balik
dululah. Dah lewat ni. Nanti mak aku marah pulak,” ujar Melisa bingkas bangun.
“Esok jangan
lupa temankan aku jumpa dengan mak aku.” Irdina mengingatkan. Wajah teman
baiknya itu ditatap kasih.
Melisa sekadar
mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Kepenatan mulai terasa dan minta
direhatkan.
“Mel mana?”
tanya Irshad tatkala menyedari ketiadaan Melisa.
“Dah balik!”
jawab Irdina sambil menutup pintu pagar rumah.
Irshad
mengangguk. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Beg plastik berisi burger
diletakkan di atas meja.
“Along, esok
Dina balik lambat. Ada hal lepas kerja,” beritahu Irdina, lembut.
“Hal apa?” tanya
Irshad, ingin tahu.
Irdina menelan
liur. Apa jawapan yang harus diberikan kepada abangnya itu? Perlukah dia
berterus-terang kepada Irshad? Pasti Irshad akan membantah serta menghalangnya daripada
berjumpa dengan Datin Iznaini.
Selama ini,
Irshad tidak suka jika dia berjumpa dengan Datin Iznaini. Semuanya disebabkan
kisah lampau. Kisah yang tidak mungkin Irshad lupakan. Sehingga ke hari ini,
Irshad tidak dapat menerima Datin Iznaini sebagai ibu mereka.
“Hal apa?”
Irshad mengulangi pertanyaannya yang tadi. Wajah adiknya ditatap. Menanti
jawapan daripada Irdina.
“Nak jumpa
ummi,” balas Irdina, tenang.
Irshad
mengangguk. Ummi. Panggilan buat Hajah Basyirah di rumah anak-anak yatim.
Tempat yang mereka berdua kunjungi jika mempunyai masa lapang.
“Along…” seru
Irdina, perlahan.
“Hurm… baiklah!
Kirim salam pada ummi,” balas Irshad lalu menuju ke bilik.
Irdina mengangguk.
Dia segera menuju ke bilik sebaik sahaja kelibat Irshad menghilang. Senyuman
meniti di bibir ketika itu. Namun, senyumannya mati tatkala wajah Tengku Irfan
meniti di tubir mata.
“BAGAIMANA
Lokman?” tanya Tengku Iqbal.
“Saya dah cari
dan saya dah jumpa di mana dia berada, tengku,” beritahu Lokman.
“Awak memang
boleh diharapkan, Lokman,” puji Tengku Iqbal, ikhlas.
Lokman sekadar
tersenyum. Sampul surat bersaiz A4 diserahkan kepada Tengku Iqbal.
“Semua maklumat
ada dalam sampul surat ni. Tak ada perubahan dan masih sama dengan yang lepas,”
beritahu Lokman, tenang.
Tengku Iqbal
membalas huluran. Dikeluarkan isi dari dalam sampul surat. Beberapa helai
kertas ditatap satu persatu. Askara yang terdapat di dalam kertas itu dibaca
dengan penuh minat. Terangguk-angguk tatkala membacanya.
“Tengku nak saya
buat apa lagi?”
“Buat masa
sekarang ni, tak ada apa-apa. Kalau ada nanti, saya panggil awak.”
“Baiklah,
tengku.”
“Terima kasih,
Lokman. Awak banyak membantu saya dalam segala hal,” ucap Tengku Iqbal, ikhlas.
Wajah penyiasat peribadinya ditatap mesra.
“Saya pun
ucapkan terima kasih pada tengku atas kepercayaan tengku terhadap saya,” balas
Lokman lalu tersenyum.
Tengku Iqbal
sekadar mengangguk.
“Kalau macam tu,
saya minta diri dulu,” ujar Lokman pula.
“Baiklah,
Lokman. Terima kasih atas bantuan awak selama ini,” ucap Tengku Iqbal.
Lokman sekadar
tersenyum dan mengangguk. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari bilik itu.
Memberi ruang persendirian kepada Tengku Iqbal untuk membaca dan menilai
maklumat yang diperolehinya itu.
Tengku Iqbal
masih lagi membaca. Satu persatu maklumat dibaca. Tidak ada tertinggal satu pun.
Daripada maklumat itu, dia perlu merancang sesuatu. Demi Tengku Irfan, dia
sanggup melakukan apa saja asalkan Tengku Irfan kembali seperti sedia kala.
Semangat Tengku
Irfan perlu dipulihkan dan ketenangan anaknya itu dikembalikan. Semoga usahanya
selama ini membuahkan hasil. Semoga rancangannya berjaya.
Seminit
kemudian, telefon bimbit dari atas meja dicapai. Nombor yang tertera di atas
kertas didail dan menanti panggilan berjawab.
“Hello!” suara seseorang dari hujung
talian.
Tengku Iqbal
tidak membalas. Diamati suara tersebut.
“Hello! Siapa ni?” tanya suara itu pula.
Tengku Iqbal
masih membisu. Dia mematikan talian dan meletakkan telefon bimbit di atas meja.
“Kau takkan
boleh terlepas. Aku akan pastikan kau terima balasan atas apa yang telah kau
lakukan terhadap Tengku Irfan,” azam Tengku Iqbal sambil mengepal tangan.