Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
131,067
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

SO?” tanya Melisa seraya memandang wajah Irdina.

So apa?” soal Irdina, berkerut.

“Pasal permintaan along tu.”

Irdina mengeluh berat. Permintaan Irshad berlegar-legar di minda. Bagaimana untuk menunaikan permintaan Irshad itu? Selama dua hari Irshad bersikap dingin dengannya. Adakah disebabkan peristiwa di gelanggang badminton hari itu membuatkan abangnya bersikap begitu? Penat otaknya memikirkan tentang itu.

“Kau nak buat macam mana?”

“Aku tak tahu. Aku pun tak kenal siapa Irfan tu.”

“Eh.. Kalau tak silap aku, hari tu mamat tu ada bagi name card kat kau, kan?”

“Mamat mana?”

“Ala, yang kawan dia tu. Apa nama dia? Naufal!”

“Naufal Shafiq?”

“Haa.. Dia la. Kan dia ada bagi kad nama pada kau masa kat pasar malam hari tu. In case kalau mamat tu nak claim dengan kau.”

Irdina berfikir sejenak. Dia mengangguk tatkala mengingatinya. Tanpa berlengah, digagau beg tangan dan mengeluarkan dompet. Mencari kad nama yang dimaksudkan oleh Melisa itu.

Yes!” sorak Irdina, girang.

Diunjuk kad nama di hadapan Melisa. Senyuman gembira menghiasi bibir.

“Kau call la dia tanya di mana Irfan tu kerja,” suruh Melisa lalu tersenyum.

Irdina mengangguk. Gagang telefon dicapai lalu mendail nombor telefon Naufal. Lama dia menanti panggilan berjawab dan akhirnya suara Naufal menyapa pendengaran.

“Irfan? Maksud Irdina, Tengku Irfan?” tanya Naufal inginkan kepastian.

“Eh.. Bukan.. Bukan Tengku Irfan. Irfan, kawan Encik Naufal,” tukas Irdina.

Naufal berkerut dahi. Siapa yang dimaksudkan oleh Irdina itu? Tidak ada orang lain yang rapat dengannya melainkan Tengku Irfan. Aduh! Aku terlupa yang Irfan kenalkan diri dia tanpa ‘tengku’ hari tu, bisik Naufal tatkala teringatkan tentang itu.

“Encik Naufal!” panggil Irdina dari hujung talian.

“Haa… Ya. Saya Irdina.” Naufal sedikit tersentak.

“Irfan kerja di mana, Encik Naufal?”

“Mutiara Holdings!”

“Terima kasih. Saya letak dulu.”

“Irdina, nanti dulu!” tahan Naufal.

“Ada apa, Encik Naufal?” tanya Irdina, berkerut.

“Kenapa cari Irfan?” tanya Naufal sekadar ingin tahu.

“Saya…” Kata-kata Irdina termati tatkala seseorang memanggil namanya.

“Irdina!” panggil Naufal dari hujung talian.

“Encik Naufal, bos saya panggil. Terima kasih sebab beritahu pada saya di mana Irfan bekerja,” beritahu Irdina.

Tanpa menunggu, dimatikan talian dan memandang ke arah Encik Razman. Melisa di sisi turut sama memandang.

“Masuk bilik saya sekejap!” arah Encik Razman dan beredar dari situ.

Irdina hanya mengangguk. Dia memandang ke arah Melisa. Memberi isyarat kepada kawan baiknya itu. Melisa hanya menjungkitkan bahu. Sebagai tanda tidak tahu.


“KALAU Ir ada masalah, Ir boleh tanya pada papa ataupun Aminah,” beritahu Tengku Iqbal.

“Buat masa sekarang ni, Ir tak ada apa-apa masalah. Ir sedang cuba sesuaikan diri dengan suasana kerja saja,” beritahu Tengku Irfan.

Tengku Iqbal mengangguk. Wajah Tengku Irfan ditatap kasih.

“Papa, berkenaan dengan Suria Holdings tu…”

“Kenapa dengan Suria Holdings?”

“Ir ingat nak mintak tanggguh dulu. Banyak yang Ir perlu belajar dan Ir belum bersedia lagi nak tadbir syarikat,” jelas Tengku Irfan, tenang.

Tengku Iqbal menghela nafas ringan. Dia bingkas bangun dari duduk menuju ke jendela. Pemandangan Kuala Lumpur menyapa mata.

“Ir takut tak boleh nak uruskannya,” sambung Tengku Irfan lagi.

“Ir, papa tahu. Tapi, tak salah kalau Ir cuba dulu,” kata Tengku Iqbal.

Tengku Irfan bingkas bangun dari duduk. Dihampiri papanya di jendela.

“Ir jangan risau. Encik Razman akan bantu Ir di Suria nanti. Papa dah mintak Encik Razman carikan seorang pembantu peribadi untuk Irfan.”

“Pembantu peribadi?”

“Papa mintak Encik Razman carikan seorang staf yang sesuai untuk jawatan tu. Dan papa dah arahkan Encik Razman serahkan surat jawatan pada staf tersebut.”

“Tapi…”

“Ir tak perlu takut. Kalau Ir perlukan papa, Ir beritahu pada papa. Papa akan bantu Ir,” pintas Tengku Iqbal. Memberi keyakinan kepada anaknya itu.

Tengku Irfan termati kata-kata. Wajah Tengku Iqbal ditatap kasih. Riak pengharapan terlukis di wajah itu. Perlukah dia menolak permintaan sekali gus menghampakan harapan papanya? Rasa bersalah menghuni di hati. Kenapa dia tidak dapat membantu Tengku Iqbal sedangkan papanya sudah banyak berkorban buat dirinya?

“Naufal pun akan bantu Ir,” ujar Tengku Iqbal.

Tengku Irfan menarik nafas dan melepaskannya lembut. Anggukan kecil diberikan kepada papanya itu. Rasa bersalah jika menolak arahan Tengku Iqbal.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, Ir balik bilik dulu,” ujar Tengku Irfan kemudian.

“Ir jangan risau. Kalau ada masalah, beritahu pada papa,” pesan Tengku Iqbal untuk kesekian kali.

Tengku Irfan tersenyum. Tanpa membalas, dia segera beredar dari bilik Tengku Iqbal menuju ke biliknya. Semoga dia dapat menggalas tanggungjawab yang telah diberikan oleh Tengku Iqbal. Semoga dia dapat menyesuaikan diri dengan situasi ketika ini.


“ASSALAMUALAIKUM,” tegur Irdina, ramah.

Penyambut tetamu yang bernama Rohaya mengangkat wajah.

“Waalaikumussalam,” balas Rohaya.

“Boleh saya tanya, tempat ni Mutiara Holdings ke?”

“Ya. Mutiara Holdings. Ada apa yang boleh saya bantu, cik?”

“Ada tak pekerja bernama Irfan bekerja di sini?”

“Irfan?”

“A’ah, Irfan.”

Rohaya berkerut dahi. Siapa yang dimaksudkan oleh gadis itu? Adakah Tengku Irfan atau ada pekerja lain yang bernama Irfan yang tidak diketahuinya?

“Ada tak?” tanya Irdina tidak sabar.

“Maksud cik, Tengku Irfan ke?” soal Rohaya inginkan kepastian.

“Tengku Irfan?” ulang Irdina, berkerut.

Adakah Tengku Irfan dan Irfan merupakan orang yang sama? Naufal juga bertanyakan perkara yang sama.

“Cik!” panggil Rohaya, lembut.

“Haaa…” balas Irdina sedikit tersentak.

“Cik nak jumpa dengan Tengku Irfan atau Irfan?”

“Irfan. Saya cari Irfan dan bukannya Tengku Irfan.”

“Sekejap. Saya check untuk cik. Cik boleh duduk sebentar.”

Irdina mengangguk. Dibawa langkah menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ. Matanya meninjau ruang pejabat itu. Cantik dan besar.

“Cik!” panggil Rohaya kemudian.

Irdina menghalakan mata. Dia bingkas bangun dan menghampiri Rohaya.

“Cik jalan terus. Pintu bilik yang kedua,” beritahu Rohaya.

“Maksud cik, ada pekerja nama Irfan di sini?” tanya Irdina inginkan kepastian.

Rohaya hanya mengangguk dan tersenyum. Geli hati melihat riak teruja di wajah Irdina.

“Terima kasih. Saya jalan dulu,” beritahu Irdina, teruja.

Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana usahanya tidak sia-sia. Jika bukan kerana Irshad, tidak ingin dia menyusahkan diri mencari pemuda bernama Irfan itu. Mujur juga Encik Razman membenarkan dia keluar sebentar.


“INI kut biliknya,” duga Irdina setibanya di hadapan sebuah bilik.

Entah kenapa perasaan berdebar-debar menghuni di hati. Disentuh dadanya yang sedang bergetar hebat. Kenapa dia berkeadaan begitu? Adakah kerana rasa bersalah terhadap Irfan sedang bermaharajalela dalam hatinya itu.

“Eh.. Kejap.. Kejap. Betul ke Irfan yang dimaksudkan minah tu tadi Irfan yang aku cari sekarang ni?” soal Irdina, curiga.

Tangannya mengetuk pintu bilik. Lama dia mengetuk namun tidak ada tindak balas dari dalam. Adakah betul bilik yang dicarinya itu?

“Aku rasa minah tu salah orang kut. Takkan la Irfan tu ada bilik sendiri?” Irdina masih lagi curiga. Mustahil Irfan yang dicari seorang yang berjawatan bagus di syarikat itu.

“Masuk!” arah seseorang dari dalam bilik.

Irdina tersentak. Tanpa membuang masa, tombol pintu dipulas lalu menapak masuk ke dalam bilik. Melilau matanya mencari kelibat Irfan.

“Kau cari siapa?” tanya Tengku Irfan dari arah belakang.

“Oit mak kau jatuh tergolek!” latah Irdina akibat terkejut.

Tengku Irfan yang melihat menahan ketawa. Geli hati mendengar latah Irdina.

“Awak ni, janganlah sergah saya macam tu. Nasib baik tak mati,” tegur Irdina, keras sambil mengurut dada. Cuba menstabilkan pernafasan.

“Kau cari siapa?” Tengku Irfan mengulangi pertanyaannya yang tadi.

“Saya cari awak,” jawab Irdina sebaik sahaja stabil.

“Cari aku? Kenapa?”

Irdina menarik nafas dan melepaskannya lembut. Wajah Tengku Irfan ditatap mesra.

“Kenapa?”

“Sebab abang saya yang suruh.”

“Abang kau?”

“Yalah! Dah dua hari dia dingin dengan saya. Nak tegur pun macam nak tak nak saja,” luah Irdina akan ketidakpuasan di hati.

Tengku Irfan hanya mendengar.

“Bilik ni awak yang punya ke?” tanya Irdina, prihatin.

Tengku Irfan tidak membalas. Dia bersandar di meja kerja. Wajah Irdina ditatap berserta senyuman sinis. Pasti gadis itu datang berjumpa disebabkan kes yang lepas.

Kata-kata Naufal terngiang-ngiang di minda. Dugaan Naufal yang Irdina akan datang berjumpa dengannya tepat sekali.

“Awak kerja apa kat sini?” Irdina masih lagi bertanya.

Perasaan ingin tahu mengatasi segala-galanya. Matanya meneroka keadaan bilik itu.

“Kau nak apa datang sini?”

“Datang nak mintak maaf dengan awak. Pasal hari tu.”

Ketawa kecil Tengku Irfan mendengarnya.

“Kenapa ketawa?” soal Irdina, berkerut.

“Maaf? Kau datang sini semata-mata nak mintak maaf?” Sinis Tengku Irfan bertanya.

So, awak nak maafkan saya tak pasal hari tu?” tanya Irdina lagi.

Tengku Irfan membisu. Dia menapak ke sofa dan melabuhkan duduk di situ. Wajah Irdina yang teruja ditatap sinis.

“Eh, awak kerja apa? Pembantu peribadi pada….” Irdina mematikan ayat. Matanya terpandang tag nama di atas meja.

“Tengku Irfan Haiqarl!” sebut Irdina, kemudian.

Tengku Irfan hanya mendengar dan memandang.

“Eh… Sama la nama awak dengan nama kat tag tu. Adik-beradik ke?”

Dihampiri Tengku Irfan di sofa. Wajah pemuda itu ditatap berserta kerutan di hati. Seperti pernah mendengar nama itu. Tetapi di mana.

“Kau datang sini nak mintak maaf, kan?” tanya Tengku Irfan, keras.

Malas untuk melayan kata-kata Irdina. Gadis itu masih menjadi tatapan mata.

“Alamak! Terlupa pulak. Sekejap, saya nak keluarkan phone.”

Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam tas tangan. Dia membuka kamera dan menghalakannya ke wajah Tengku Irfan.

“Kau buat apa ni?” tanya Tengku Irfan, berkerut.

“Bukti yang awak dah maafkan saya. Along saya tu nak. Kalau tak ada bukti, dia tak bagi saya makan seminggu,” cerita Irdina bernada serius.

Dalam hati dia mengekek ketawa. Dilihatnya wajah Tengku Irfan yang sedang berfikir. Adakah pemuda itu mempercayai kata-katanya itu?

“Aku tak kata pun yang aku dah maafkan kau,” ujar Tengku Irfan.

“Err… Belum ke? Saya ingatkan dah,” balas Irdina sambil menggaru kepala.

“Kau nak kemaafan daripada aku, kan?

Irdina mengangguk laju.

“Aku ada kerja untuk kau. Kalau kau sanggup, aku maafkan kau. Tapi, kalau kau tak sanggup pandai-pandailah kau jawab dengan abang kau tu,” kata Tengku Irfan bingkas bangun. Dia segera beredar dari bilik itu.

Irdina berkerut dahi. Kerja apa yang dimaksudkan oleh Tengku Irfan?

“Haishh… menyusahkan betul. Along punya pasal la ni,” rungut Irdina sendirian.

Tanpa berlengah, dia beredar dari bilik itu. Mengekori Tengku Irfan daripada belakang.


“ARGHHHH!!!!!” jerit Irdina, lantang.

“Wei, apasal jerit macam orang gila?” tegur Melisa, meninggi.

“Aku tengah sakit hati ni kau tahu tak?”

“Sakit hati? Sakit hati dengan siapa?”

“Mamat tu!”

“Mamat tu? Mamat tu mana pulak?”

“Eee… Kau ni pun satu. Haish….” Irdina geram sambil mengepal tangan.

“Mana la aku tahu mamat mana yang kau maksudkan. Cuba kau cerita pada aku,” balas Melisa sambil menggeleng. Wajah tegang Irdina ditatap.

“Along punya pasal la ni. Dia suruh aku mintak maaf kat mamat tu. Kalau tak, dia tak nak tegur aku sampai bila-bila,” luah Irdina bernada geram.

“Sekejap! Aku blur!” ujar Melisa.

Otaknya cuba menangkap cerita Irdina. Siapa mamat yang dimaksudkan oleh Irdina itu?

“Buat penat aku saja pergi jumpa mamat tu. Habuk pun tak ada,” keluh Irdina pula.

“Blur… Blur.. Aku tak faham cerita kau ni. Cuba kau cerita balik pada aku,” tegur Melisa. Sungguh, dia tidak dapat menangkap cerita Irdina itu.

“Yang kau bengap sangat ni, kenapa?” tegur Irdina pula, keras.

Melisa tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Aku dah beritahu pada kau yang aku ke office mamat tu, kan?” tekan Irdina, keras.

“Eh… Iya tak ya juga. Lupa pulak aku yang kau ke office mamat tu nak mintak maaf disebabkan Irshad,” sengih Melisa.

Irdina mendengus geram. Sakit hatinya melihat sengihan di bibir Melisa. Rasa nak hempuk kawannya itu pun ada juga.

So, kau dah dapat kemaafan daripada Irfan tu ke?” soal Melisa pula, berminat.

Irdina tidak menjawab. Peristiwa tadi bermain-main di minda. Digenggam erat tangan sambil cuba menahan kemarahan di hati. Geram dengan lelaki yang bernama Irfan itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.