Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 9
TUK! TUK! TUK! Ringan tangan Maira mengetuk daun pintu bilik Iqram.

Kedengaran bunyi laungan suara dari dalam bilik. “Masuk!”

Maira memulas tombol pintu bilik, lalu menolak daun pintu ke dalam. Dia berdiri sejenak di muka pintu. “Bos nak jumpa saya ke?”

Iqram yang sedang menaip di papan kekunci ribanya, serentak mendongak memandang figura Maira. “Hmm… saya nak jumpa awak. Masuklah,” arahnya dengan muka serius.

Demi melihat raut wajah Iqram yang kelihatan agak serius itu, Maira jadi gerun. Aku ada buat salah lagi ke? Dengan langkah menggigil, dia berjalan ke meja Iqram. Lalu, dia berdiri di tepi meja.

“Duduk!” arah Iqram.

Maira segera melabuhkan duduk di atas kerusi berdepan dengan Iqram.

Iqram menutup komputer ribanya, lalu menolaknya ke tepi. Dia menoleh ke arah Maira. “Saya ada berita gembira untuk awak,” katanya sambil tersenyum.

Berkerut dahi Maira. “Berita gembira apa, bos?”

Iqram bersandar ke belakang. “Cuba awak teka.” Sengaja dia bermain teka-teki dengan Maira.

Maira tercengang. “Haa?” Terpinga-pinga dia memandang wajah Iqram. Sungguh, dia jadi hairan dengan perubahan tingkah laku lelaki itu. Erk, dia ni dah kenapa? Bukan ke selama ni dia berperwatakan garang macam singa jantan? Biar tembikai?

Iqram masih lagi tersenyum. “Hmm… tekalah.”

Maira terdiam sejenak. Benak fikirannya diproses bagi memikirkan jawapan yang sesuai. “Hmm… bos baru menang hadiah cabutan bertuah kot? Tak pun, bos dapat durian runtuh. Haa… bos dapat duit terpijak sebanyak RM1 juta,” tekanya.

Iqram tergelak lucu. Dia menggeleng. Geli hati dengan telatah Maira. Otak wayar putus betul! “Awak ni memang suka bercakap benda yang merapu-raban aje kan? Saya suruh awak teka, tapi awak bagi jawapan yang merepek-repek. Hmm… otak awak ni dah biul ya?” sindirnya dengan muka selamba.

Buntang biji mata Maira mendengar perlian itu. Dia menarik muka cemberut. “Bos!”

Iqram pamer senyum sinis. “So, awak dah mengaku kalah la ni? Dah tak boleh nak teka?”

“Cepatlah bagitahu saya! Berita gembira apa yang bos maksudkan tu?” desak Maira dengan muka tidak sabar.

Iqram menarik laci meja di sebelah kiri. Segugus kunci dibawa keluar, lalu disua ke arah Maira. “Nah, ni kunci kereta awak. Kereta awak dah okey. Jadi, awak dah boleh bawa kereta awak tu pulang hari ni,” katanya beria-ia.

Maira tergamam. Kunci yang ada di pegangan Iqram ditenung tanpa berkedip. “Apa?”

“Awak ingat tak, saya pernah cakap yang saya ada seorang kawan, yang bekerja sebagai mekanik?” balas Iqram.

Maira mengangguk.

“Hmm… saya dah minta tolong dia untuk baiki kereta awak,” balas Iqram.

Maira terkejut. “Apa, bos dah tolong repairkereta saya? Bos ni biar betul? Bos bergurau dengan saya kan?” Sukar dia hendak percaya dengan kata-kata lelaki itu.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Apa pulak yang tak betulnya? Sebab saya betullah, saya tolong perbetulkan kereta awak tu. Takkanlah saya nak biarkan kereta awak terus tersadai kat situ?” sindirnya.

Maira berdecit. “Tapi, saya tak nak menyusahkan bos.” Dia serba salah.

“Maira, awak tak menyusahkan saya pun. Saya yang nak tolong awak. Haa… lagi satu, kenapa suka sangat guna perkataan ‘tapi’? Saya ni ikhlas tolong awak tau. Saya tak akan ungkit setiap pertolongan yang saya berikan pada awak,” balas Maira dengan suara tegas.

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi lagi, Maira! Dah, saya tak nak dengar sepatah kata pun dari mulut awak. Jangan nak banyak bunyi. Terima aje bantuan saya ni.” Iqram segera memotong.

Aduh, ni yang aku tak suka ni. Dahlah aku tak berapa gemar terima bantuan orang lain. Hisyh! “Berapa upahnya, bos? Nanti saya bayar balik ya.” Maira tetap berkeras tidak mahu menerima bantuan itu.

Iqram mendengus. “Tak payah bayar apa-apa kat saya. Saya ikhlas menolong awak!” DIa membalas dengan suara tegas.

“Tapi…”

“Shut up! Saya tetap tak nak terima hatta sesen pun duit awak, Maira Qaisarah! Saya ikhlas membantu awak. Jadi, ikhlaskan hati awak menerima pertolongan saya ni.” Sekali lagi Iqram memotong.

Maira berdecit geram. “Ala…”

“Dah, diam! Saya tak nak dengar apa-apa lagi! Pergi keluar, saya banyak kerja ni,” arah Iqram.

Maira mendengus. “Yalah!” Kunci kereta di atas meja dicapai. Dia menoleh ke arah Iqram. “Terima kasih atas pertolongan bos.”

“Sama-sama.”

Maira menjeling. Dia bangun lalu terus melangkah keluar dari bilik ketuanya itu.

Iqram tersenyum puas. “Hmm… kau mengalah juga, akhirnya.”

MAIRA menghempas punggungnya ke atas kerusi. Kunci keretanya diletakkan ke atas meja. Dia merenung tepat ke arah kunci itu. “Kenapa dengan Mr. singa tu? Angin tak ada, ribut tak ada, taufan jauhlah sekali. Tapi, tiba-tiba aje dia tolong repairkereta aku. Dia dah kena sampuk dengan hantu jembalang ke?” Dia berdesis sendirian.

Sedang melayani perasaan, tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Maira tersentak. Dia menoleh ke belakang. Dia tersenyum demi melihat figura Hidayah. “Oh… kau rupanya, Dayah. Aku ingatkan siapa tadi.”

Hidayah segera duduk di sebelah Maira. Dia merenung wajah kawan baiknya itu. “Bukan main dalam lagi, kau tenung kunci kereta kau tu. Kenapa, Mai? Ada apa-apa yang tak kena dengan kunci tu ke?” Dia menyoal dengan memek muka ingin tahu.

Maira memuncung bibir. “Aku rasa pelik, Dayah.”

Berkerut dahi Hidayah. “Pelik? Kenapa pulak? Kepala aku ni ada tanduk ke?” Dia menayang memek muka hairan.

Maira menjeling. “Tak ada kena-mengena dengan kaulah, nenek!” bidasnya dengan suara geram.

“Habis tu, kenapa dengan kau? Kau ada masalah ke?” desak Hidayah dengan muka hairan.

“Mr. singa tu…”

“Kenapa dengan Encik Iqram? Haa… kau buat apa pulak kali ni, Mai?” Hidayah membalas dengan kelam-kabut. Aduh, dia ni memang spoil tau! Kalau tak cari pasal dengan Mr. singa tu, memang tak sah kan?

Maira mengherot bibir. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. “Semalam, kereta aku rosak. Kebetulan, Encik Iqram baru aje keluar dari pejabat, dia nak balik. Bila dia tengok aku terkial-kial cuba hidupkan enjen kereta, dia pun datanglah. Puas dia cuba untuk hidupkan enjen kereta aku, tapi gagal jugak.” Dia mula bercerita.

Hidayah ternganga. “Lepas tu, apa yang berlaku?” Tidak sabar rasanya hendak mendengar cerita selanjutnya dari gadis itu.

“Err… dia tolong hantar aku balik rumah.” Maira membalas dengan teragak-agak.

Membuntang mata Hidayah. Terkejut dengan cerita Maira. Spontan, dia tersenyum lebar. “Dia hantar kau balik rumah?”

Maira mengangguk. “Bukan setakat tu aje tau, dia minta tolong kawan dia repair kereta aku. Siap tolong bayar kos upah kat kawan dia lagi. Bila aku nak bayar balik kos upah tu, terus dia menolak.”

Garis senyum di bibir Hidayah semakin lebar. “Wah, perkembangan baik ni!” Berkali-kali dia menjungkit keningnya.

Maira tercengang. “Haa… perkembangan baik?” Dahinya berkedut sejuta.

“Kau nak tahu sesuatu tak? Aku rasa, hubungan kau dengan Encik Iqram akan berkembang mekar suatu hari nanti tau,” balas Hidayah beria-ia.

Maira ternganga. “Berkembang suatu hari nanti?” Dia semakin hairan.

Hidayah mengangguk laju. “Hmm… bukan hubungan antara majikan dan pekerja.”

“Habis tu, hubungan apa?” Maira masih lagi tidak mampu menangkap bahasa kiasan Hidayah.

Hidayah menepuk dahi. “Hisy, kau ni lambat pick up la! Hubungan hati, faham? Pendek kata, kau dengan dia bakal jalinkan hubungan cinta suatu hari nanti. Haa... lepas tu, upgradejadi pasangan suami isteri. Wah, dapatlah aku merasa nasi minyak kau, Mai!” Dia membalas beria-ia.

Maira terus membuntang mata. “Apa? Ha ha ha… pandai kau buat lawak, ya? Aku dengan Encik Iqram akan jadi pasangan suami isteri? Nonsene! Perkara macam ni tak akan sesekali berlaku pada kami. Lagipun, aku langsung tak ada hati kat dia tau. Dahlah garang macam singa jantan. Haa… memang padanlah nama Mr. singa tu dengan dia tau!”

“Jangan cakap sebarangan, Mai. Kalau masin mulut aku ni, macam mana? Alamatnya, kau akan bergelar isteri kepada Encik Iqram. Mr. singa dan Miss selamba! Wah, pasangan yang ideal. Seorang garang macam singa jantan, seorang lagi selamba badak macam tak ada perasaan. Memang sesuai sangat, bagai pinang dibelah dua.” Hidayah membalas beria-ia.

Maira ketawa. “Bagai pinang dibelah dua? Tolong jangan nak buat lawak, Dayah. Serius, tak kelakar tau! Macam ikan yu dengan nemo adalah. Encik Iqram tukan… sekali dia naik angin, macam ikan yu telan manusia kat tengah lautan tau. Hisy, tak naklah aku bersuamikan lelaki macam dia. Omputeh say, not my taste!”Dia membuat aksi geli-geleman di hadapan Hidayah.

“Kau ni, tak baik mengutuk Encik Iqram tau. Ada ke patut kau samakan bos kita yang kacak macam pelakon Syarul Ridzwan dengan ikan yu yang besar trang tang tangtu? Dia tak ada darah keturunan ikan yu tau. Dia cuma garang aje. Mungkin sebab terjangkit dengan singa jantan kot,” balas Hidayah.

“Ah, tak kisahlah! Janji, aku tak bersuamikan lelaki macam dia. Sorry derr…” Maira membalas bersama cebikan di bibir.

Hidayah pamer senyum penuh makna. “Jangan yakin sangat, Mai. Nanti keyakinan tu makan diri sendiri pulak. Masa tu, nak menangis air mata darah pun tak ada guna lagi.” Sempat lagi dia menyindir kawan baiknya.

“Hah, tak ada maknanya! Dahlah, malas aku nak layan kau! Pergilah duduk kat tempat kat tu,” balas Maira dengan suara geram. Malas hendak melayan telatah Hidayah. Sungguh menjengkelkan!

Hidayah terus bangun lalu berjalan pergi bersama sisa tawanya.

Maira menarik muka cemberut. Aku dengan Mr. singa? Hah, memang taklah. Sorry!

“KAU sibuk ke, Am?” tanya Muiiz di sebalik daun pintu.

“Kalau aku cakap sibuk pun, kau tetap masuk jugak kan?” balas Iqram bersama cebikan di bibir. “Masuklah!”

Muiiz berjalan masuk ke dalam, lalu dia melangkah ke meja Iqram. Dia melabuhkan duduk di hadapan kawan baiknya itu. Wajah kacak Iqram direnung sedalam-dalamnya. Terpamer senyum penuh makna di bibirnya.

Iqram yang terasa dirinya diperhati, seraya menoleh ke arah Muiiz. Dia berkerut hairan melihat tingkah laku lelaki itu. “Apahal kau tenung aku macam nak tembus aje ni?” tanyanya dengan muka hairan.

“Sejak dua menjak ni, aku perhatikan muka kau nampak agak berseri-seri sikit. Kau ada pakai apa-apa produk ke?” tanya Muiiz.

Iqram tergelak. “Apa yang kau merepek ni, Izz? Kau fikir, aku pakai produk Qu Puteh Qu Puteh, Barulah Putih tu ke? Ha ha ha… lawaklah kau ni!” balasnya.

Muiiz menyengih. “Manalah tahu, kot-kot kau nak memutihkan lagi muka kau yang sedia ada putih tu,” balasnya selamba.

Iqram menggeleng. Geli hati dengan telatah Muiiz. “Merepeklah kau ni, Izz!”

“Okey, tak apa. Habis tu, apasal muka kau berseri semacam aje ni? Ada apa-apa ke, Am?” Muiiz sedaya upaya cuba mengorek rahsia hati Iqram.

Bulat mata Iqram mendengar soalan itu. “Muka aku ni berseri-seri? Berseri-seri, macam mana tu? Macam lampu lip laptu ke?” balasnya. Selamba biawak membuat lawak sengal.

Muiiz menjeling. “Hisy, tak payahlah main-main! Jawab ajelah soalan aku ni!” Dia membebel geram.

Iqram tersenyum. “Aku rasa, muka aku ni macam biasa aje. Perasan kau aje kot,” balasnya.

Muiiz pamer senyum penuh makna. “Tak payah nak nafikan, Am. Bibir kau tu… senyum sampai cecah ke telinga.” Dia merenung wajah Iqram. Bagai sedang menilik sesuatu di wajah itu. “Selalunya kan, orang macam kau ni, dah terkena sindrom penyakit cinta. Haa… kau dah jatuh cinta ke, Am?” Dia membalas dengan muka teruja. Kalau betullah tekaannya, dialah manusia paling gembira sekali. Akhirnya, hati kawan baiknya terisi juga.

Iqram tercengang. “Haa… bila masa aku jatuh cinta ni, Izz? Aku jatuh cinta dengan siapa?” Dia menayang muka hairan.

Tidak semena-mena bayangan wajah Maira muncul di ruangan matanya. Iqram tergamam. Erk, macam mana muka kau boleh tersesat kat kepala otak aku pulak ni?

Demi melihat telatah Iqram, Muiiz spontan menjerkah lelaki itu. “Oii!”

Iqram tersentak. Hilang terus lamunannya. “Haa… apa dia, Izz?” Terpinga-pinga dia memandang wajah Muiiz. Bak baru tersedar dari lena yang panjang.

Garis senyum penuh makna semakin lebar di bibir Muiiz. Sebelah keningnya terjungkit ke atas. “Haa… tengok tu, kau siap termenung jauh lagi. Baik kau berterus-terang dengan aku, Am. Kau dah jatuh cinta kan?” tebaknya.

Iqram tercengang. “Kalau betul tekaan kau, aku jatuh cinta dengan siapa? Kau sendiri kan tahu, aku tak berkawan dengan mana-mana perempuan sekarang ni.” Hisy, pandai-pandai aje mamat ni buat cerita tau. Apa, ingat cerita ni macam dalam novel melayu ke? Gila betul!

“Ok, let me guees.” Muiiz tersenyum penuh makna. “Kau dah jatuh cinta pada Maira a.k.a Miss selamba.” Beria-ia dia membalas. Begitu yakin dengan firasat hatinya.

Ternganga terus mulut Iqram gara-gara terkejut dengan jawapan itu. “Haa? Kenapa nama Miss selamba tu boleh terlibat sekali ni?” Dia menayang muka hairan.

“Tak payah nak berbolak-balik dengan perasaan sendiri, Am. Mata kau tak pernah menipu walaupun lidah beria-ia menafi kebenaran. Hakikatnya, kau dah jatuh cinta pada Maira. Walaupun aku baru aje balik dari kursus selama tiga minggu, tapi dah macam-macam gosip hangat aku dengar tau. Semuanya berkaitan kau dan Maira. Haa… lagi satu, aku ada terdengar perbualan Maira dan Dayah. Kau hantar dia balik ke rumah kan? Tak cukup dengan tu, kau siap tolong repair kereta dia lagi. Apa maksud semua tu, Am? Bukan ke tu petanda cinta?” Muiiz beria-ia membalas.

Iqram ketawa. “Kau memang dah gila, Izz! Suka sangat tafsir yang bukan-bukan tau. Takkan nak tolong staf sendiri pun, salah? Dia kan berada dalam kesusahan masa tu. Takkan aku nak biarkan dia terkial-kial seorang diri kat situ?” Bersungguh-sungguh dia membalas. Menafi keras kata-kata Muiiz yang tidak masuk akal itu.

“Yalah tu?” Muiiz mencebik.

Iqram berdecit geram. “Yalah!”

“Kalau kau tak nak mengaku, tak apa. Tapi percayalah cakap aku Am, kau dah jatuh cinta pada Maira,” balas Muiiz lagi.

“Tak, aku tak jatuh cinta pada Miss selamba tu, wahai Encik Raqeem Muiiz!” Iqram menafi keras.

“Okey.” Muiiz bangun berdiri. “It is up to you!” Dia pamer senyum penuh makna. “Tapi… kalau kau betul-betul jatuh cinta pada Maira, akulah orang pertama yang akan melompat kegembiraan!”

Iqram berkerut hairan. “Kenapa pulak?”

“Sebab dapat makan nasi minyak kau dengan Maira!” balas Muiiz lalu ketawa besar. Hatinya puas kerana sudah berjaya mengenakan kawan baiknya itu.

Iqram terpempan. “Raqeem Muiiz!”

Dengan selamba badaknya, Muiiz menghayun kaki keluar dari bilik itu.

Iqram mendengus. “Sabar ajelah dia ni tau!” bebelnya.

Wajah Maira sekali lagi mengetuk kotak fikirannya. Lelaki itu tersentak kecil. Bertubi-tubi dia mengetuk dahi. “Hisy, kenapa sejak dua menjak ni muka kau aje yang ada dalam kepala aku ni, Maira?” Dia membebel sendirian.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.