BUNYI
jam loceng yang nyaring sekali gus membuat Iqram terus bangun lalu duduk
bersila di atas katil. Sambil menguap panjang, dia menoleh ke arah jam. “Hisy,
bisinglah jam loceng ni!” bentaknya. Seraya itu, jam loceng itu diambil lalu
dimatikan bunyi deringan itu. Kemudian, dia meletakkan jam loceng itu semula ke
meja.
Dia
menoleh ke arah bilik air. Sebelah keningnya terjungkit ke atas. Dia tersenyum.
“Aik, dia belum keluar dari bilik air lagi?” Tergeleng-geleng dia demi
mengenangkan gelagat Maira. “Maira… Maira…”
Dia
bangun lalu berjalan ke arah almari. Daun pintu almari dibuka, lalu dia
mencapai sehelai tuala berwarna putih jernih. Sesudah itu, dia berjalan keluar
dari bilik itu. Kebetulan ada satu bilik air di luar, jadi dapatlah dia
membersihkan diri di situ.
Sesudah
mandi dan bersiap ala kadar, Iqram masuk semula ke bilik. Demi melihat ruang
bilik yang masih lagi kosong, dia menggeleng. “Ya ALLAH… dia masih lagi
berkubang dalam bilik air?” Sekali lagi dia menggumam sendirian.
Lantas,
dia berjalan ke muka pintu bilik air. Tombol pintu bilik air dipulas, namun
gagal kerana pintu itu berkunci dari dalam. Dia berdesis halus. “Awak ni
betul-betul dah gila, Maira! Ayam dah berkokok pun, awak masih lagi bertelaku
dalam bilik air? Entah-entah awak tengan seronok main air? Siap jadi badak
berendam lagi,” kutuknya.
Daun
pintu bilik air itu diketuk kuat. “Maira! Maira! Maira!” Dia melaung kuat
memanggil nama isterinya itu.
Diam!
Langsung tiada tanda-tanda untuk isterinya itu menyahut panggilannya.
Iqram
mengeluh kecil. “Aduh, dia ni betul-betul dah parah ni!” bentaknya, mula hilang
sabar dengan telatah Maira.
Dia
terdiam sejenak, sambil berjalan bermundar-mandir di hadapan bilik air. Dagunya
diketuk perlahan. Memerah otak bagi mencari idea untuk membawa Maira keluar
dari sana. “Hmm… nak buat macam mana ni ya?” desisnya sendirian.
“Hisy,
tak boleh jadi ni!” Serentak itu, dia mengetuk kuat daun pintu bilik air itu.
“Maira! Maira! Baik awak keluar sekarang!” jerkahnya dengan suara nyaring.
Maira
yang baru sahaja terjaga dari lena, terus terkejut besar demi mendengar laungan
Iqram. Hampir gugur jantungnya gara-gara terkejut. Dadanya diurut perlahan.
Pergh, kuss semangat!
“Maira,
keluar sekarang!” Sekali lagi Iqram melaung memanggil nama Maira dari luar
pintu bilik air.
Maira
berdecit geram. Serta-merta dia keluar dari tab mandi lalu meluru ke muka
pintu. Dia berdiri sambil bercekak pinggang di situ. “Saya tak nak keluar! Saya
nak duduk dalam ni sampai bila-bila!” jeritnya dengan suara nyaring.
Iqram
mendengus geram. “Awak jangan cabar saya, Maira! Lebih baik awak keluar
sekarang! Saya tendang pintu bilik air ni nanti!” ugutnya.
Maira
pamer senyum sinis. “Tendanglah! Ada saya kisah?” Sengaja dia hendak mencabar
suaminya itu.
Iqram
mula hilang sabar dengan telatah Maira. “Awak betul-betul sengaja cabar saya
kan? Fine, saya tak akan mengalah.
Saya akan buat awak keluar dari bilik air! Siaplah!” tekadnya.
Iqram
terdiam sejenak. Memikirkan cara yang paling berkesan untuk membuat Maira
keluar dari bilik air. “Hmm… nak buat macam mana ni ya?”
Bayangan
satu wajah tiba-tiba menerpa ke ruang matanya. Membuat dia tersenyum lebar.
Keningnya terjungkit sebelah. “Siap kau, sayang!” gerutunya sambil tergelak
jahat.
Maira
mendekatkan telinganya ke muka pintu. Berkerut dahinya apabila suara Iqram
sudah tidak kedengaran lagi. Dia menekup mulutnya, lalu tertawa lucu. “Aik, dah
mengalah ke? Padan muka!”
SEGARIS senyuman jahat terukir di bibir
Iqram. Berulang kali dia menjungkit keningnya ke atas. “He he he… siap kau,
Maira Qaisarah! Ni dia, tanduk syaitan dah tumbuh atas kepala.” Dia ketawa
jahat.
Dia
menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar perlahan-lahan. Tangannya
diangkat mencecah ke muka pintu bilik air. Senyuman di bibirnya semakin
melebar. Dengan selamba badaknya, dia mengetuk daun pintu bilik air itu dengan
sekuat hati. “Maira sayang, mak uda panggil awak ni! Dia ada kat luar sekarang
ni! Lebih baik awak keluar sekarang sebelum mak uda ambil hammer dan pecahkan pintu bilik air ni!” laungnya dengan suara
kuat.
Demi
mendengar sebaris nama itu, Maira terus jadi kelam-kabut. Sambil menggigit ibu
jari kanannya, dia jalan mundar-mandir di muka pintu. “Alamak, mak uda dah
datang! Mesti Mr. singa tu mengadu kat mak uda! Matilah aku! Bersiap sedia
untuk dikubur hidup-hidup lepas ni, Maira!” Dia menggigil ketakutan.
Iqram
tergelak jahat. “Dalam kiraan 123, pintu bilik air ni mesti akan terbuka.” Dia
berkata dengan penuh yakin. Dia berdehem. “Satu… dua… tiga…” Seperti yang
dijangka, daun pintu bilik air terbuka luas. Muncul figura Maira di muka pintu.
Tergesa-gesa
Maira berjalan keluar dari bilik air sambil matanya meliar-liar ke sana-sini
untuk mencari kelibat figura Mak Uda Harlina. Terpampar riak ketakutan di wajah
comel itu. “Mana mak uda? Mana dia? Mana?” Dia semakin kelam-kabut.
Iqram
berpeluk tubuh. Dia mengetap bibir, cuba menahan diri dari ketawa. Sebetulnya,
dia rasa geli hati demi melihat gelagat Maira. Namun memikirkan impak dari
perbuatannya, serta-merta dia cuba berlagak selamba. Seolah-olah dirinya itu
tidak melakukan sebarang kesalahan.
Dengan
terpinga-pinga, Maira memandang Iqram. “Iqram, mana mak uda? Bukan ke dia ada
kat sini tadi?” Berkerut-kerut dahinya.
“Mak
uda?” Bola mata Iqram meliar-liar ke kiri dan kanan. Berlakon seolah-olah
sedang mengesan keberadaan figura Mak Uda Harlina di bilik. “Entah,” Dengan
selamba badak, dia menjungkit bahu. “Dia dah keluar kot. Tak pun, dia dah kena kidnap dengan pari-pari Tinkerbell.” Dia
tayang muka selamba.
Maira
tercengang. “Haa?” Lama-kelamaan, dia seakan-akan tersedar sesuatu. Spontan,
dia merenung tajam figura Iqram. Raut mukanya mula cemberut. “Awak tipu saya
kan? Sebenarnya, mak uda tak pernah masuk bilik ni kan?” tebaknya dengan suara
geram. Argh, sakit hatinya kerana ditipu bulat-bulat. Cis, hantu betul!
Iqram
tayang muka sepuluh sen. “Ha’ah sayang, saya tipu awak! Mak uda memang tak
pernah masuk bilik kita.” Dia membalas dengan muka selamba.
Buntang
biji mata Maira demi mendengar jawapan itu. Hampir terjojol keluar biji
matanya. “Apa?” Dia genggam buku lima. “Awak ni jahat tau! Bencilah!” protesnya
dengan muka tidak puas hati.
Iqram
pamer senyum sinis. Dia berjalan ke hadapan Maira. Berdiri begitu hampir dengan
figura isterinya itu. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah gadis itu. “Ada saya
kisah?” balasnya dengan muka selamba.
Maira
menjeling tajam. Cis, tak guna! Bermacam-macam ayah maki-hamun terhambur keluar
di hatinya. “Malas saya nak layan awak!” bentaknya, sekali gus mengatur langkah
untuk ke bilik air. Namun belum sempat dia memulakan langkah, tiba-tiba Iqram menarik
tubuhnya ke dalam pelukan.
Maira
terkedu. Terkesima dengan tindakan Iqram.”Aa… apa ni, Iqram?” Dia mula jadi
gugup. Berdebar-debar hatinya tatkala berada dalam dakapan Iqram.
Iqram
mengukir senyum menggoda. Merenung nakal segenap wajah comel isterinya itu.
“Awak nak pergi mana, sayang?” bisik Iqram romantis.
Gulp,
Maira meneguk liur! Semakin tidak betah dengan tindakan Iqram. Isyh, kenapa ni?
Wahai cik hati dan cik jantung, tolong bersikap normal, boleh tak? Jangan
gelabah tak tentu hala! “Saya nak pergi bilik air,” jawabnya gugup.
Kening
Iqram terjungkit sebelah. “Awak nak buat apa kat dalam tu? Nak sembunyikan diri
dari saya lagi?” balasnya, masih lagi dengan suara romantis dan lirikan mata
nakalnya.
Maira
menggigit bawah bibirnya. “Saya nak mandi, bersiap apa yang patut. Takkan saya
nak terperap aje kat dalam bilik ni? Nanti apa pula kata mak, abah dan mak
uda?” Sengal punya manusia. Soalan apalah yang kau tanya ni hah? Tak masuk akal
sungguh!
“Ya
ke ni, hmm?” Wajahnya semakin dekat dengan wajah Maira. “Atau, awak nak larikan
diri dari saya lagi?” Iqram menduga.
Maira
berpaling ke tepi. Semakin gerun dengan tindak-tanduk Iqram. “Mmm… mana ada!
Hisy, merepek ajelah!” Dia membidas dengan hati berdebar-debar. Aduh, tenanglah
wahai cik hati!
Iqram
menolak pipi Maira ke mukanya, mata bertentang mata. “Kenapa awak nak takut ni,
sayang? Relax la… Lagipun, kitakan
dah halal, bukannya haram lagi,” bisiknya halus.
Maira
makin resah. “To… tolong jangan buat kerja gila, Iqram! Saya tak sukalah! Lepaskan
saya!” Dia merayu bersungguh-sungguh.
“Kerja
gila?” Iqram tersenyum penuh makna. “Awak takut ke kalau saya cium awak?”
tebaknya dengan muka romantis.
“Iqram!”
Dek terkejut dengan kata-kata itu, Maira menjerit. Merah padam terus mukanya.
“Jangan nak mengada-ngada ya! Kalau awak cium saya, saya jerit! Biar semua
orang dengar! Patah dua tulang awak nanti sebab kena belasah!” ugutnya dengan
suara keras.
Iqram
tergelak. “Awak dah lupa ke? Kita kan dah sah bergelar pasangan suami isteri.
Jadi, kenapa dia orang nak belasah saya?” perlinya.
Maira
tergamam. Dia terus terdiam. Erk, tak pasal-pasal kena batang hidungnya
sendiri! Argh!
“Jadi…”
Senyum penuh makna semakin lebar di bibir Iqram. “Saya nak cium kat sini ke,”
Dia menyentuh hidung mancung Maira. “Kat sini ke,” Jari telunjuknya beralih ke
kedua-dua belah pipi isterinya. “Ataupun kat sini,” Dia mengalihkan jarinya ke
dagu. “Hatta kat sini sekali pun,” Akhir sekali, jarinya menyentuh permukaan
bibir gadis itu. “Semua dah ada cop halal tau,” Iqram merenung nakal wajah
isterinya. “Saya nak ‘ngap’ awak sekarang ni pun dah boleh tau!” tambahnya
lagi.
Membuntang
terus biji mata Maira demi mendengar ayat Iqram. “Hisy, gatal!” bentaknya.
“Gatal?
Tang mana yang gatalnya? Meh sini saya tolong garukan.” Makin galak Iqram
mengusik. Sekali gus, tangannya segera menggaru permukaan kulit lengan Maira.
“Hisy!”
Cepat-cepat Maira menepis kasar tangan Iqram. “Miang tau!” Setelah berhempas
pula cuba melepaskan diri dari pelukan Iqram, akhirnya dia berjaya. Cepat-cepat
dia berlari masuk ke bilik air. Sebelum masuk, dia sempat menjelir lidah pada
Iqram.
Iqram
tergelak. Geli hatinya demi melihat gelagat Maira. “Haa… baru kau tahu betapa
romantisnya Mr. singa kesayangan kau ni, sayang.”
“AWAK dah siap ke, sayang?” tegur Iqram
di sebalik helaian surat khabar Harian Metro.
Demi
mendengar teguran itu, Maira terus tersentak kecil. Dia yang baru sahaja keluar
dari bilik air terus melatah. “Oii, nenek kau tergolek!”
Terburai
tawa Iqram demi mendengar latah Maira. Siap menepuk peha lagi. “Kesian isteri
saya ni. Tak habis-habis melatah,” kutuknya dengan muka selamba. Surat khabar
Harian Metor yang ada di pegangannya itu bingkas ditutup lalu dilipat dua.
Membuntang
terus biji mata Maira demi mendengar kutukan itu. Wajahnya segera mencuka.
Mulutnya pula sudah terjuih ke depan. “Hisy, tak habis-habis nak kutuk saya!”
bebelnya dengan muka geram.
Iqram
menyengih. “Ala, saya bergurau ajelah. Tak maulah marah-marah, sayang.” Sekali
lagi dia mengusik.
Maira
mencebik. Dia menjulingkan matanya ke atas. “Whatever!”
“Okey,”
Iqram segera bangun. “Jom kita turun bawah. Mak, abah dan mak uda dah tunggu
kita tu. Mereka nak bersarapan sama-sama dengan kita.”
“Okey.”
Dengan selamba badaknya, Maira menghayum kaki pergi meninggalkan Iqram. Namun
belum sempat dia hendak membolos keluar dari bilik, cepat-cepat suaminya itu
menyambar lengannya. Langkahnya terus terbantut. Dia menoleh ke arah suaminya.
“Hisy, apa ni?” protesnya sambil merenung tajam figura suaminya.
Iqram
tersenyum. “Tunggulah saya, kita turun bawah sama-sama. Lagipun, kita kan
pengantin baru? Kenalah jalan sama-sama, barulah orang nampak kita ni pasangan
suami isteri paling romantis.” Beria-ia dia membalas.
Mata
dijulingkan ke atas, diiringi dengan cebikan di bibir. “Ha ha ha… kelakarnya!”
ejeknya. “Kita ni pasangan suami isteri paling romantis?” Dia pamer senyum
sinis. “Dalam mimpi pun, saya tak pernah harap perkara macam tu berlaku tau! Sorry!” kutuknya dengan muka selamba.
Sengaja hendak menyakitkan hati suaminya.
“Oh…”
Iqram merenung nakal wajah Maira. “Dalam mimpi pun, awak tak pernah harap
perkara macam tu berlaku ya?”
“Ya!”
potong Maira sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.
Iqram
tersenyum penuh makna. “Sekarang, awak memang tak naklah! Tapi esok lusa, awak
pula yang tergila-gilakan saya tau.”
Maira
ketawa sinis. “Ha ha ha… no way, Mr.
singa!” bidasnya keras.
Iqram
hanya tersenyum.
“Dahlah,
jom kita turun bawah! Malas saya nak dengar hujah tak masuk akal awak tu lagi!”
bentak Maira.
“Okey!”
Seraya itu, Iqram melepaskan tangan Maira. “Jom!” Dengan selamba badaknya, dia
berjalan keluar meninggalkan Maira sendirian di dalam bilik.
Maira
tercenganga. Ternganga terus mulutnya demi melihat gelagat Iqram. Matanya pula
sudah membuntang luas. “Cis, dia tinggalkan aku macam tu aje? Hantu betul!”
Dengan berbakul-bakul sumpah seranah yang terbit di hatinya, dia terus berjalan
membuntuti langkah suaminya itu dari arah belakang.