BUNYI
ketukan pintu dari luar membuat Datuk Hakim tersentak kecil. Spontan, dia
menghentikan kerjanya lalu bibirnya menyebut perkataan ‘masuk’. Daun
pintu bilik terkuak. Tersembul figura Iqram di muka pintu. “Papa panggil Am
ke?” Dia mengukir senyum manis.
“Hmm…
masuklah, Am,” jawab Datuk Hakim sambil tersenyum.
Iqram
berjalan masuk ke dalam bilik itu. Dia melangkah ke arah meja, lalu duduk di
atas kerusi. “Kenapa papa nak jumpa Am?” soalnya dengan riak muka ingin tahu.
Datuk
Hakim menarik laci meja lalu mengeluarkan sepucuk surat berwarna putih. “Nah.”
Dia menyua surat itu ke arah Iqram.
Berkerut
dahi Iqram. “Apa ni, papa?” Dia segera menyambut surat itu dari tangan papanya.
“Buka
surat tu dulu. Baca sendiri!” arah Datuk Hakim.
Hujung
sampul surat itu dikoyak perlahan. Isi surat ditarik keluar. Surat yang
berlipat empat itu dibuka. Lalu, dia terus membaca isi surat itu.
Membuntang
terus mata Iqram. Cepat-cepat dia membuang pandang ke arah papa. “Seminar
keusahawanan?” Dia menayang memek muka terkejut. Dia berdecit geram. Aduh, aku
memang cukup anti dengan benda alah ni tau! Benci! Benci! Benci! Hatinya
mengherdik geram.
Datuk
Hakim pamer senyum penuh makna. “Hmm… seminar keusahawanan,” tekannya.
Iqram
mengusap belakang kepalanya. Dia keresahan. “Ala… papa kan tahu, Am tak suka
pergi seminar-seminar macam tu. Am bosanlah, papa!” rengeknya. “Kenapa papa tak
hantar Kak Erika aje?” Dia menambah lagi.
“Nope!” tegas Datuk Hakim. “Sama ada
kamu suka atau tak, kamu tetap akan pergi seminar tu. Papa tak nak dengar
sebarang bantahan dari kamu, Am!”
Iqram
berdecit. “Tapi…”
“Dah,
cukup! Papa tak nak dengar alasan apa-apa lagi, Iqram Fattah!” Datuk Hakim
segera memotong sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.
Iqram
terus diam. Dia mati kutu. Benak fikirannya cuba diproses untuk mencari buah
idea bagi mengelak dari menuruti kemahuan papa, namun tidak berhasil. Argh!
Hatinya menjerit geram.
“Yalah…
yalah… Am pergi!” Terpaksa juga dia mengikut arahan papa walaupun hatinya
berkeras tidak mahu.
Datuk
Hakim senyum kemenangan. “Haa… kan bagus kalau macam tu! Lega hati papa bila
mendengarnya tau.” Dia membalas, puas kerana berjaya membuat anak lelakinya itu
menuruti kemahuannya.
Iqram
senyum hambar. “Hmm…” Dia membalas acuh tak acuh. Malas hendak berdebat dengan
papa. Buang masa dan tenaga aje.
Datuk
Hakim bersandar ke belakang. Dia merenung wajah Iqram. “Untuk mengelak kamu
rasa bosan sepanjang seminar berlangsung, papa benarkan kamu bawa salah seorang
staf di jabatan kamu. Haa… kamu pilihlah sesiapa aje dalam kalangan mereka.
Papa tak kisah,” katanya beria-ia.
Mata
Iqram terus membulat besar. Garis senyum lebar tersungging di bibirnya. Dia
mendongak, memandang tepat ke muka papa. “Betul ke ni, papa? Sesiapa aje?” Dia
mahukan kepastian.
Datuk
Hakim mengangguk. “Ya Am, sesiapa aje.”
Iqram
terus terdiam. Dia pamer senyum lebar. Benak fikirannya sudah terbayangkan
wajah seseorang. Hmm… aku nak bawak dialah. He he he…
BOLA mata Iqram meliar ke sekeliling.
Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Bibirnya pula sudah terherot-herot,
seakan sedang menggumam sesuatu. “Hmm… mana dia pergi ni?” Dia berdesis
sendirian. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. “Dia berada di pantry kot.” Dia membuat telahan
sendiri.
Iqram
berjalan ke arah pantry yang terletak
di sudut hujung jabatan operasi. Sebaik sahaja tiba di pantry, dia tersenyum lebar. Lalu, dia berjalan ke arah dua figura
gadis yang sedang menikmati sarapan pagi sambil berbual-bual kecil itu.
“Ehem-ehem!”
Iqram berdehem.
Dua
pasang mata itu spontan menoleh ke arah Iqram.
Iqram
merenung serius wajah Maira. “Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak, Maira,”
katanya dengan muka serius.
“Apa
dia, bos?” tanya Maira bersama kerutan di dahi.
Iqram
mengerling pandang figura Hidayah. “Tolong tinggalkan kami berdua, Dayah.”
“Ok.”
Terkocoh-kocoh Hidayah berjalan keluar dari pantry.
Meninggalkan Iqram dan Maira sendirian di sana.
Mereka
terdiam sejenak, melayani perasaan masing-masing.
“Err…
bos?” Maira menegur.
“Hmm?”
balas Iqram sambil merenung wajah comel gadis itu.
“Tadi
bos kata ada sesuatu nak cakap dengan saya. Apa dia?” Maira menyoal dengan
memek muka ingin tahu.
Iqram
tersenyum. Serentak itu, sepucuk surat yang sedang dipegangnya itu, bingkas
disuakan ke arah Maira.
“Apa
ni, bos?” Maira merenung hairan sampul surat itu.
Iqram
berdecit geram. “Suratlah! Takkan bil elektrik pulak?” Sudah gaharu, cendana
pula. Sudah tahu, lagi nak tanya?
Maira
menjeling geram. Saya tahulah! Apa, bos ingat saya tak pandai nak bezakan surat
dengan bil elektrik ke? Saya belum rabut lagi tau!” bebelnya geram.
“Dah
tu, ambil ajelah! Tak payahlah nak banyak bunyi!” Iqram mengherdik geram.
Eh,
eh dia ni… nak marah-marah aku pulak! Aku tendang karang! Hatinya membentak
marah. “Salah ke kalau saya nak tahu apa isi surat tu?”
Iqram
mendengus geram. Dia ni, membebel-bebel macam burung kakak tua aje! “Boleh tak
kalau jangan banyak tanya? Bingit telinga saya ni bila mendengarnya tau. Bukak
ajelah surat tu. Tengok apa yang tertulis di dalamnya.” Dia membidas dengan
suara geram.
“Hisy!”
bentak Maira.
Dia
segera membuka hujung sampul surat yang sudah pun terkoyak itu, lalu menarik
keluar isi surat itu. Surat yang berlipat empat itu dibuka lalu dibaca.
“Haa…
seminar keusahawanan?” Dia mendongak memandang wajah Iqram. “Apa kena-mengena
dengan saya pulak?” Terkebil-kebil dia memandang wajah kacak lelaki itu.
Iqram
pamer senyum penuh makna. “Awak kena ikut saya pergi seminar tu, Maira. Ni atas
arahan big boss,Datuk Hakim!”
balasnya dengan suara tegas. Sengaja dia menekan perkataan ‘big boss’ supaya Maira tidak mencari alasan untuk menolak.
Maira
tercengang. “Haa?” Jari telunjuknya tertuju tepat ke mukanya. “Saya kena ikut
bos pergi seminar tu?” Dia tergelak. “Bos ni bergurau aje kan?” tambahnya,
sukar hendak percaya.
“Awak
nampak muka saya ni macam muka tengah bergurau ke? Rupa saya ni macam clownya?” herdik Iqram geram.
Maira
terus terdiam. Dia kaku. Wajah kacak Iqram ditilik sedalam-dalamnya. Wajah itu
kelihatan begitu serius sekali. Dia ternganga. Mr. singa ni betul-betul
seriuslah. Maknanya, aku betul-betul kena ikut dia pergi seminar tu? Oh My ALLAH!
Iqram
senyum sinis. “Kenapa awak diam? Awak terkejut sebab kena ikut saya pergi
seminar tu?” Sempat lagi dia menyindir Maira.
Maira
menjeling geram. “Tak payah nak perli-perli oranglah!” bentaknya.
Iqram
tidak membalas, dia hanya tersenyum sinis.
“Berapa lama seminar
tu? Kat mana?” soal Maira.
“Seminar
tu akan berlangsung selama 4 hari. Kat Kedah,” balas Iqram beria-ia.
Maira
terpempan. “Haa… 4 hari? Kat Kedah?” Dia terjerit kecil. Gulp, dia meneguk
liur. “Kenapa jauh sangat ni, bos?”
Iqram
menjungkit bahu. “Manalah saya tahu! Jangan tanya saya. Kalau awak nak tahu,
awak pergilah tanya penganjur,” Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Saya
hanya menurut perintah aje.” Dia menambah dengan muka selamba.
Maira
membisu.
“Okeylah,”
Iqram bangun berdiri. “Saya nak masuk bilik saya. Ingat, saya nak awak terpacak
depan rumah tepat pada dukul 6.30 pagi. Saya tak nak kita sampai lambat kat
sana,” arahnya dengan suara tegas.
“Haa?”
Buntang biji mata Maira. Wajahnya terus berubah rona. Cemberut. “Pukul 6.30
pagi? Tapi, tak awal sangat ke?”
Iqram
senyum sinis. “Kira okeylah tu kita bertolak ke Kedah pukul 6.30 pagi esok.
Kalau kita bertolak lepas balik kerja ni, awak nak?”
Maira
mengeluh geram. “Yalah… yalah…” Akhirnya dia mengalah. Wajahnya segera
dimasamkan. Dia ni, suka sangat paksa orang tau! Haa… memang sesuai sangat
gelaran Mr. singa tu dengan kau tau!
“LINA?” Puan Fadillah menegur. Matanya
masih lagi ralit membelek majalah fesyen.
Mak
Uda Harlina yang kebetulan baru sahaja keluar dari dapur, terus melabuhkan
duduk di sebelah kakaknya. “Ya, kak?”
“Cantik
tak baju ni? Apa kata kalau kita pakai baju ni untuk raya tahun ni?” Jari
telunjuk Puan Fadillah tertuding ke arah majalah yang sedang dipegangnya.
Bola
mata Mak Uda Harlina teralih ke arah majalah itu. Demi melihat model yang
sedang memperagakan baju kurung dan baju melayu itu, spontan bibirnya terukir
senyuman lebar. “Isyh kak… lawa aih. Lina suka!” balasnya beria-ia.
Puan
Fadillah pamer senyum lebar. Dia menoleh ke arah figura Encik Azmil yang sedang
membaca surat khabar di sofa. “Abang tak kisahkan kalau kita pakai baju
bertemakan warna yang sama untuk raya kali ni?”
Encik
Azmil tersenyum. “Saya tak kisah, Illa. Mana yang terbaik untuk awak, terbaik
jugalah bagi saya,” jawabnya ringkas.
“Yess!” Dua figura wanita itu terus
menjerit riang apabila mendapat green
lightdaripada Encik Azmil.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba kedengaran suara deheman Maira. Wajah gadis itu kelihatan masam
mencuka.
Tiga
pasang mata itu serta-merta tertoleh ke arah figura Maira.
Demi
melihat memek muka Maira, Mak Uda Harlina berkerut dahi. “Awat muka hang macam
kena tonyoh dengan klorox ni, Mai?” soalnya dengan muka ingin tahu.
Maira
membuang keluhan kecil. Dia segera melabuhkan duduk di sebelah Mak Uda Harlina.
“Mai ada sesuatu nak cakap pada abah, ibu dan mak uda,” beritahunya dengan
wajah sugul.
“Apa
dia?” Puan Fadillah segera mencelah.
Maira
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia agak keberatan hendak
berterus-terang akan perihal yang sebenar. Aduh, nak cakap macam mana ni? Kalau
aku berterus-terang, agak-agaknya aku kena sembelih tak? gerutu hatinya.
Dahi
Encik Azmil berkerut demi melihat gelagat Maira. “Hang ni pasaipa, Mai?”
Maira
menggigit bibir. “Err…”
“Hang
ni… pasaipa, Mai? Hang nak habaq apa sebenarnya ni?” Mak Uda Harlina segera
mencelah. Tidak sabar hendak mendengar berita apa sebenarnya yang mahu
disampaikan oleh anak saudara kesayangannya itu.
Maira
menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar secara perlahan-lahan.
“Sebenarnya… sebenarnya…”
“Sebenarnya
apa?” jerkah Mak Uda Harlina.
Pantang
dijerkah, Maira terus melatah. “Mai kena pergi seminar kat Kedah selama 4
hari!” latahnya tanpa sedar.
Mak
Uda Harlina ternganga. “Seminar?”
“Haa?”
Terkebil-kebil mata Maira melihat figura Mak Uda Harlina. Lama-lama, dia
tersedar sesuatu. Spontan, dia meneguk liur. “Err… ya!” Dengan teragak-agak,
dia membalas. Habislah kau, Maira! Bersiap sedia untuk dibom! Pommm!!!
Mak
Uda Harlina mula bercekak pinggang. “Awat lama sangat seminar tu? Haa… pasaipa
jauh sangat?” Dia mula membebel-bebel. Wajahnya berubah garang.
Gulp!
Sekali lagi Maira meneguk liur. Alamak, matilah aku! Rasa macam nak tersembam
ke lantai aje bila mendengar jerkahan mak uda. “Err…”
Encik
Azmil berdecit geram. “Diamlah, Lina oii! Hang ni, bagilah budak ni peluang
untuk bercakap. Tok sahlah jerkah dia. Kesian si Mai ni, tak tentu hala jadinya,”
marahnya.
Mak
Uda Harlina terus terdiam.
Encik
Azmil mengalihkan wajahnya ke arah Maira. Dia tersenyum. “Abah bukan tak
izinkan kamu ke sana, Mai. Abang faham dengan tuntutan kerja kamu. Kamu
terpaksa ke sana atas arahan pihak atasan. Tapi…” Dia mengeluh. “Kamu tu
perempuan, Mai. Satu-satunya anak dara abah. Abah rasa berat hati nak lepaskan
kamu ke sana.”
“Mai
memang tak nak pergi, tapi…”
Spontan
bait-bait ayat yang terluncur keluar dari mulut Iqram mengetuk kotak
fikirannya. “Awak kena ikut saya pergi
seminar tu, Maira. Ni atas arahan big boss, Datuk Hakim!”
Memikirkan
arahan Iqram, serta-merta rasa geram menyerbu dada. Hisy, benci betullah bila
kena ikut Mr. singa tu! Hatinya membentak geram.
“Maira?”
Tiba-tiba Puan Fadillah menegur.
Maira
tersentak kecil. Lamunannya segera menghilang. “Haa?” Terpinga-pinga dia
memandang ibunya.
“Kamu
pergi ke sana nanti seorang diri atau berteman?” soal Puan Fadillah.
“Err…”
Teragak-agak dia hendak berterus-terang akan perihal yang sebenar. “Haa… Ibu,
abah dan mak uda jangan risau ya. Mai dah besar panjang. Tahulah Mai menjaga
diri semasa berada di sana nanti.” Maira segera mengubah topik perbualan.
Encik
Azmil tersenyum. “Abah percaya, anak perempuan abah ni pandai menjaga diri di
tempat orang. Tapi… seorang ayah tetap akan risaukan keselamatan anak
perempuannya. Tambah-tambah lagi, Maira satunya-satunya puteri kami,” balasnya.
“Kamu ke sana seorang diri atau berteman?”
Maira
kaget. Alamak, matilah aku! “Err… berteman.”
“Lelaki
ke perempuan?” Mak Uda Harlina mencelah.
“Err…”
Tergagap-gagap Maira hendak menjawab.
“Lelaki
ke perempuan?” jerkah Mak Uda Harlina lantang.
“Lelaki!”
latah Maira. Dia segera menekup mulutnya. Alamak… dah terlebih sudah!
Buntang
terus biji mata Mak Uda Harlina demi mendengar jawapan itu. “Apa, lelaki?” Dia
menjerit. Menayang memek muka terkejut yang amat.
“Err…
sebenarnya, dia ketua Mai kat office,”
beritahu Maira beria-ia. Melihat reaksi Mak Uda Harlina, sudah cukup membuat
Maira berasa gerun. Janganlah aku kena baham dengan mak singa ni! Sungguh
menakutkan!
“Tok
sahlah hang nak menjerit sampai terkeluaq anak tekak tu, Lina oii,” tegur Encik
Azmil. Agak kurang senang dengan sikap adik iparnya itu.
Mak
Uda Harlina terus terdiam. Dia berpeluk tubuh, sambil merenung tajam figura
Maira.
Maira
pura-pura tidak nampak renungan tajam itu. Dia mengalihkan wajahnya ke wajah
abah. “Err… abah, izinkan Mai pergi ya?”
Encik
Azmil tersenyum lalu mengangguk. “Abah izinkan kamu pergi seminar tu, Mai.”
“Apa?!”
Buntang mata Mak Uda Harlina.