Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 31

IQRAM melabuhkan duduk di hadapan tok kadi. Sempat dia mengerling figura Maira yang sedang duduk bersimpuh di atas bantal besar bersegi empat berwarna emas. Dia tersenyum. Bakal isterinya itu kelihatan begitu menawan dengan busana baju kurung berwarna putih kekuningan sambil dibelit kain selendang berwarna putih di atas kepala. Hmm… cantik juga bakal isteri aku ni, puji hatinya.

Demi menyedari renungan itu, Maira spontan menoleh lalu menjeling tajam. Dia mencebik. Eleh, macamlah kau tu kacak sangat? Walaupun kau nampak segak dengan baju melayu, siap bersampin dan bersongkok lagi, ada aku kisah? Tak ada aku nak gigit jari sambil terleleh air liur melihat kau tau, kutuknya dalam hati.

“Ehem-ehem!” Tiba-tiba kedengaran suara deheman tok kadi.

Membuat lamunan Iqram mati. Serta-merta dia menoleh ke arah figura tok kadi di hadapannya.

“Kamu dah sedia?” tanya tok kadi itu.

Iqram tersenyum, lalu mengangguk. “Ya, saya dah sedia.”

Serentak itu, mereka mula berjabat tangan untuk memulakan upacara akad nikah.

Demi melihat gelagat dua figura itu, mata Maira terus membuntang luas. Gulp, dia meneguk liur! Oh, my ALLAH!Sebentar lagi, aku bakal bergelar isteri Iqram Fattah. Oh, tidak!

“Iqram Fattah bin Abdul Hakim?” seru tok kadi itu.

“Ya, saya,” jawab Iqram.

“Aku nikahkan akan dikau dengan Maira Qaisarah binti Muhammad Azmil dengan mas kahwinnya sebanyak RM300 tunai.”

Iqram menarik nafas panjang. “Aku terima nikahnya Maira Qaisarah binti Muhammad Azmil dengan mas kahwinnya sebanyak RM300 tunai.”

“Sah?”

“Sah!” jawab para saksi.

“Syukur Alhamdulillah.”

Selepas membaca doa, Iqram terus bangun lalu berjalan ke hadapan Maira. Dia melabuhkan duduk di depan figura isteri yang baru sahaja dinikahinya sebentar tadi. Segaris senyum manis menghiasi wajahnya. “Assalamualaikum, wahai isteriku!”

“Hmm… walaikumusalam, wahai suamiku,” sindir Maira.

Tiba-tiba, sikunya disinggung seseorang dari tepi. Dia tersentak kecil. Spontan dia menoleh ke arah si empunya tangan. Berkerut dahinya demi melihat gelagat Mak Uda Harlina. Isyh, main siku-siku pulak!

“Senyumlah, Mai! Tok sah tayang muka macam baru kena gilis dengan lori treler!” bisik Mak Uda Harlina di telinga Maira.

Maira mencebik. “Hmm!”

Dia menoleh ke arah suaminya. Segaris senyum lebar meniti di bibir, siap menayang barisan gigi putih berkilatnya lagi. Haa… nilah baru dinamakan senyum tak ikhlas atau dalam bahasa saintifiknya adalah senyum kambing! Nak tengok aku senyum sangat kan? Haa… ambik, rasakan!

Terjungkit sebelah kening Iqram demi melihat telatah isterinya itu. Ish, senyum tu nampak macam tak ikhlas aje, kutuknya dalam hati. “Ala…” Pipi comel Maira dipicit geram. “Comelnya isteri saya ni!”

Maira bingkas menepis tangan Iqram. “Hisy, sakitlah!” bentaknya.

Iqram tergelak. “Sorrysayang, saya tak sengaja.” Dia membalas dengan muka selamba. Seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Maira mencebik. Tak sengaja konon? Jangan jadi poyolah, herdik hatinya.

Iqram tersenyum. Kotak baldu di atas dulang hantaran segera dibuka. Cincin bertatahkan berlian di lubang tengah segera dicabut keluar. Lalu, dia menyarungkan cincin itu ke jari manis Maira. Sesudah itu, tangan kanannya disuakan ke arah isterinya.

“Kenapa?” Aduh, nak kena salam jugak ke? protes hati Maira.

Mak Uda Harlina menyinggung siku Maira. “Salamlah tangan laki hang tu! Bukannya haram, dah halal!” bebelnya di telinga Maira.

Maira menarik muncung Donald Duck. “Yalah!”

Serentak itu, dia menyambut huluran tangan suaminya itu lalu menyalami dan mencium tangan. Dia menoleh ke arah Mak Uda Harlina. “Puas?” sindirnya.

Mak Uda Harlina tersenyum lebar.

“Okey, okey,” Tiba-tiba kedengaran satu suara melaung-laung dari arah belakang.

Membuat beribu mata di dalam masjid itu serta-merta tertoleh ke arahnya.

“Upacara persandingan akan bermula pada pukul 2.30 petang. Tapi sebelum tu, tuan rumah menjemput semua rombongan pengantin lelaki untuk menjamu selera di bawah khemah,” kata figura lelaki itu.

Serentak itu, seisi rombongan pengantin lelaki dan perempuan bangun lalu berjalan keluar dari masjid. Tinggallah figura Maira dan Iqram didalamnya.

Iqram merenung manja wajah Maira. “Selamat datang ke dalam hidup saya, wajah Mrs. Iqram Fattah,” ucapnya dengan suara romantis.

Naik geli-geleman Maira demi mendengar ucapan itu. “Mrs. Iqram Fattah?” Dia mencebik. “Hah, tolonglah! Tak ada maknanya!” Dia terus bangun lalu berjalan pergi meninggalkan Iqram.

Iqram tergelak. “Tak apa, Maira. Saya akan buat awak jatuh cinta pada saya, sayang!” Dia berkata dengan penuh tekad. Serentak itu, dia bangun lalu berjalan keluar meninggalkan masjid.

BERGEMA lagu Selamat Pengantin Baru di tengah khemah urus setia, diapit dengan suara riuh orang ramai yang begitu leka berbual sambil bergurau-senda.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi paluan kompang di hujung khemah menandakan kedua-dua mempelai sudah pun bersiap sedia untuk menyempurnakan upacara persandingan. Para hadirin tersenyum lebar. Tidak sabar hendak menyaksikan upacara persandingan kedua-dua mempelai yang bakal berlangsung sebentar sahaja lagi.

Di bawah khemah, kelihatan figura Maira yang sudah cantik berpakaian busana pengantin berwarna biru cair dan diapit oleh Farisya iaitu sepupunya selaku pengapit pengantin sedang berdiri di situ sambil menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki. Manakala di persimpangan jalan pula kelihatan rombongan pengantin lelaki sedang berjalan menuju ke arah khemah. Di depan rombongan itu, kelihatan figura Iqram yang kacak bergaya dengan pakaian baju melayu, bersampin dan bertengkolok sambil diapit Muiiz selaku pengantin lelaki. Di belakang rombongan lelaki pula, kelihatan sekumpulan pemain kompang sedang memainkan paluan kompang sambil menyanyikan lagu pengantin baru. Sebaik sahaja rombongan pengantin itu tiba di hujung khemah, langkah mereka serta-merta mati.

Maira tersenyum hambar. Tangan suaminya itu dicapai lalu disalami dan dicium tanda hormat. Tubuhnya ditegakkan semula.

Iqram tersenyum. Bahagia rasanya hati demi melihat tindakan isterinya itu. “Terima kasih, sayang. Haa… nilah baru dinamakan isteri mithali. Sejuk hati saya bila awak salam dan cium tangan saya tau.” Beria-ia dia menambah.

Maira mencebik. Matanya dijulingkan ke atas. “Tolong jangan nak perasan ya? Saya buat macam tu bersebab tau! Takkanlah saya nak jatuhkan maruah awak pula? Nanti orang cakap yang saya ni tak pandai nak jaga air muka suami sendiri.” Dia menyindir dengan suara sinis.

“Hmm… baguslah kalau awak sedar status kita sekarang ni, wahai isteriku.” Iqram juga turut mengambil peluang untuk menyindir Maira.

Maira menjeling tajam. “Apa-apa ajelah! Malas saya nak layan awak!” bentaknya.

Iqram hanya tersenyum.

“Dah, tak payah nak membebel lagi! Jom, orang dah tunggu kita tu!” desak Maira dengan suara kasar.

Terjungkit sebelah kening Iqram demi mendengar ajakan itu. “Aik, dah tak sabar ke nak bersanding atas pelamin, sayang?” usiknya sambil mempamer senyum menggoda.

Maira ketawa mengejek. “Sori naik lori ajelah, encik suami. Saya tak sabar nak bersanding? Ha ha ha… tak ada maknanya!” ejeknya.

Iqram tertawa. “Ya ke?”

Maira berdecit geram. “Yalah!” bentaknya lagi. “Dah, jom!” Sekali lagi dia mendesak.

Baru sahaja Maira hendak memulakan langkah, tiba-tiba kedengaran suara Iqram menegurnya. Membuat langkahnya mati. Serta-merta dia menoleh ke arah suaminya. “Awak nak apa lagi hah?” bebelnya dengan suara geram.

Iqram pamer senyum penuh makna. “Letak tangan awak tu kat lengan saya.” Dia menyua lengan kirinya ke arah Maira.

Maira tercengang. Terkebil-kebil matanya demi melihat telatah Iqram. “Nak buat apa?”

“Awak dah lupa ke, sayang? Hari nikan hari bahagia kita berdua? Takkanlah awak nak tunjuk kat semua orang yang kita ni macam anjing dengan kucing? Jadi, kita kenalah berlakon seolah-olah kita ni adalah pasangan suami yang paling romantik,” kata Iqram sambil mengenyit mata nakal.

“Ha ha ha… romantiklah sangat.” Sempat lagi Maira memerli Iqram. Tangan kanannya dipaut ke lengan kiri Iqram. “Puas hati?” Dia menjegil mata ke arah suaminya.

Iqram tersenyum lebar. “Puas sangat!” perlinya.

Maira mencebik.

Serentak itu, mereka berdua berjalan seiringan menuju ke arah pelamin yang sudah terhias indah di hujung khemah.

“NAK masuk ke tak nak?” Maira mendesis sendirian, sambil berjalan mundar-mandir tanda resah yang amat.

Berulang kali dia menggosok kepalanya. “Hisy, nak buat macam mana ni?” Sekali lagi dia berkata dengan suara resah.

Dia menggigit bawah bibirnya. “Kalau aku masuk dalam…” Mulutnya ternganga luas, matanya terbeliak luas. Sesuatu mula terlintas di benak fikirannya, membuat kedua-dua belah pipinya terus merah padam. “Alamak!” Dia bertambah resah. “Aku tak nak!”

Dia mengeluh berat. “Nak tak nak, aku kena masuk jugak.” Dia meneguk liur. Dengan lafaz Bismillah dan hati berdebar-debar, dia memulas tombol pintu lalu melangkah masuk ke dalam bilik.

Demi melihat keadaan bilik yang kosong itu, Maira menghela nafas lega. “Nasib baik Mr. singa tu tak ada kat dalam bilik.” Dia berjalan menuju ke katil, lalu duduk di situ.

Tidak semena-mena usikan Farisya, sepupunya menerjah ke gegendang telinganya. “Bersiap sedia untuk dibom ya?”

Maira menjeling geram. “Hisy, tak guna betul! Hantu! Selamba badak aje si Sya tu usik aku? Huhh!” bentaknya.

Tiba-tiba, tombol pintu dipulas dari luar. Maira tersentak kecil. Serta-merta jantungnya berdegup kencang. Terasa lemah seluruh saraf sendinya. Gulp, dia meneguk liur. Peluh sudah meleleh di pipi. “Alamak, matilah aku!”

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.