Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,264
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 18

SEKEJAP sahaja khabar angin mula tersebar. Semuanya gara-gara mulut wartawan kampung yang terkenal dengan cerita-cerita panas. Tauke Liew berasa segan hendak keluar rumah. Malas menjawab pertanyaan orang kampung. Perniagaannya pula hanya dipantau dari rumah dan diuruskan oleh pekerja yang dipercayainya. Selaku pengusaha bot dan pemborong ikan terbesar di kampung itu, Tauke Liew jarang diusik dengan gosip-gosip rumah tangga. Tambahan lagi kedudukan sebagai orang paling kaya di kampung membuatkan statusnya tidak tergugat dengan cerita-cerita murah wartawan kampung tidak bergaji itu.

Tapi tidak kali ini, macam-macam versi cerita didengarnya. Ada yang menuduh anaknya sudah ditebuk tupai. Ada yang mengatakan anaknya dibomoh. Tauke Liew hilang semangat. Duduk bersendirian di ruang tamu besar itu... hati tuanya disapa rindu. Air matanya menitis lagi untuk kesekian kalinya. Rindu... rindu pada keletah manja anak bongsunya. Dua lagi anaknya kini berada di luar negara. Kini... dia benar-benar berasa keseorangan. Sunyi.

Tauke Liew cepat-cepat mengesat air matanya tatkala mendengar bunyi loceng rumah bergema. Langkahnya longlai menuju ke muka pintu.

“Siapa tu?” tanya Tauke Liew sambil kakinya terjengket-jengket menjengah ke depan pagar. Tak puas hati bila tiada respon, Tauke Liew terus menutup pintu rumahnya.

Belum pun sampai tiga langkah dia ke ruang tamu, loceng rumah kedengaran lagi. Tauke Liew mula berang. Laju kakinya diajunkan ke muka pintu. Tergesa-gesa dia memakai selipar untuk ke pagar utama.

“Si...”

“Papa...”

Tauke Liew cepat-cepat berpatah balik. Wajah sembap Emili tidak mahu dipandang. Mata sepet yang membengkak itu hanya dijeling sekilas.

“Papa... tolonglah jangan buang Mili. Mili rayu, pa... bukalah pintu ni... Mili anak papa... Sampai mati pun, Mili tetap anak papa! Sampai hati papa mungkir janji! Papa janji tak nak marah Mili... papa tipu!” jerit Emili dalam sendu sambil menggoncang-goncang pagar rumahnya yang berkunci.

Langkah Tauke Liew terhenti. Lantas, dia terus berpusing. “Kau bukan anak aku! Anak aku dah mati sejak dia mengambil keputusan untuk keluar dari agama nenek moyang aku! Anak aku kini hanya Albert dan Robert! Kau bukan anak aku!”

Mengongoi Emili menangis. Tubuhnya melorot ke tanah. Rod besi pagar itu digenggam kemas. Hatinya terlalu pilu. Kebahagiaannya direntap tanpa dia betul-betul bersedia. Kini, baru dia faham erti kekuatan mental seorang mualaf yang pernah diceritakan oleh Maira.

Kak Murni yang berada di tepi jalan mengesat air mata. Sayu. “Kasihan kau, dik...”

Perlahan-lahan tubuh Emili didekati. “Sudahlah tu... kita balik dulu ya? Bagi papa Mili tenang dulu. Dia tak buang Mili tu... dia cuma terkejut. Kita bagi dia masa ya? Nanti kita cari jalan pujuk dia balik.”

Dengan berat hati, Emili menurut. Langkahnya lemah longlai. Tubuhnya dipeluk erat oleh Kak Murni dari sisi. Jika tidak dipimpin, pastinya gadis itu rebah. Tenaganya banyak digunakan untuk menangis. Malah, makan pun tidak seberapa. Sedang Murni membuka pintu kereta MyVi untuk Emili, tiba-tiba pintu kereta itu ditahan.

Emili dan Kak Murni sama-sama terkejut. “Apa ni, Mak Ton?”

“Eh, amoi... bapak kau mengamuk apa pasal?” Dengan gaya kepoh, Mak Ton menyoal. Lengan bajunnya disinsing hingga ke paras siku. Panas! Lagak seperti mahu bergusti saja.

Emili tidak menjawab. Malah terus memboloskan diri ke dalam perut kereta dan menutup rapat. Kak Murni pandang sinis pada Mak Ton.

“Jaga tepi kain sendiri sudahlah, Mak Ton!” Kak Murni memberikan amaran.

Mak Ton masih tidak puas hati. Diikutnya Kak Murni hingga ke pintu pemandu. “Hisy, anak orang gila ni... tak padan dengan gila, dia pulak lebih sudu daripada kuah!” marah Mak Ton. Alang-alang dia sakit hati... disakitkan pula hati Murni.

“Eh... eh... eh! Andartu kurang kasih sayang ni... dia yang lebih sudu daripada kuah cakap orang pulak! Patutlah tak ada orang nak! Kerja nak jaja tepi kain orang aje. Dahlah hidup mengharapkan ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat... itu pun tak sedar diri. Kalau esok-esok dah kerepot, silap-silap habiskan hari-hari tua di rumah Sri Kenangan aje, Mak Ton tu. Bawak-bawaklah bertaubat, Mak Ton! Tak ke mananya kerja wartawan cabuk tak bergaji ni... nak mintak kerja dekat Melodi TV3 pun tak layak!” Pedas kata-kata Kak Murni.

Muka Mak Ton yang bertempek bedak Cina setebal tiga inci mula panas. Peluh mula memercik! Hatinya terbakar! “Jaga kau, Murni! Jangan ingat kau boleh lepas! Dasar anak orang gila! Gila!” Macam orang histeria Mak Ton terpekik, terlolong. Ikan yang dibeli di pasar tadi sudah tercampak ke tanah kerana hendak mengejar Murni dan Emili. Nak korek berita sensasi kena cepat!

MyVi Hitam yang dipandu oleh Kak Murni memecut laju meninggalkan Mak Ton yang membara di hadapan rumah agam milik Tauke Liew. Dididik hatinya untuk beristighfar. Sabarnya senipis kulit bawang bila berhadapan dengan mak cik yang seorang itu.

MAK DIAH resah. Dari duduk di ruang tamu rumahnya, kini dia berpindah pula ke beranda. Matanya masih setia memandang jalan raya. Gelisah menanti kepulangan Murni dan Emili. Anak bongsunya pula akan pulang apabila tamat peperiksaan penggalnya, tiga minggu lagi. Hanya telefon yang setia berdering. Pada saat genting begini, mereka tiga beranak telah sepakat untuk menjadi tonggak kekuatan Emili.

Penantian penuh seksa Mak Diah berakhir bila kelibat MyVi hitam anaknya mula memasuki laman rumah. Meluru Mak Diah turun mendapatkan Emili. Daripada riak wajah yang keruh itu, Mak Diah sudah dapat meneka apa yang terjadi.

“Mari masuk. Dah... jangan sedih-sedih lagi ya? Mak ada nak... Mili tetap anak mak!” Tubuh Emili dipimpin masuk. Makin lama tubuh genit itu dirasakan makin memberat dan langkah mereka sudah tidak seiring.

“Mak! Mili pengsan!”

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.