“MILI...”
Emili yang duduk sambil menekur lantai
segera mendongak. Fahim. Di sisinya Maira yang tersengih sambil mengenyitkan
sebelah matanya. Maira terus berlalu meninggalkan mereka berdua. Langkah Maira
laju diayunkan ke Restoran KFC yang terletak bertentangan dengan bangku yang
diduduki oleh Emili.
“Awak...” Serentak mereka berdua bersuara.
“Awak dulu...” masih sama.
“Saya...”
Akhirnya, ketawa mereka pecah berderai.
Bibit-bibit sedih tadi bertukar lucu bila mereka asyik bercakap dengan nada
sekata. Sehati. Suasana bertukar sepi. Emili pandang wajah tampan Fahim dari
sisi. Wajah yang bakal dirindui.
“Awak...” panggil Emili perlahan.
Fahim menoleh.
“Lama awak menyepi... Awak dah lupakan
saya?”
Fahim geleng.
“Awak sibuk sangat ke? Sampai langsung tak
ada masa nak balas e-mel saya?”
Fahim angguk.
“Awak baca e-mel saya tak?”
Angguk lagi.
“Masih sayang saya?”
Fahim angguk sekejap dan tubuhnya terus
kaku. Tegak. Dia sudah terjerat dengan permainan Emili! Tiada lagi bahasa tubuh
selepas itu. Hanya kebisuan semata-mata.
Emili terasa hati. “Saya masih setia...
dan akan terus setia menanti awak di sini. Pergilah kejar cita-cita awak. Andai
jodoh kita panjang, bersatulah kita. Jika tak... ini semua ketentuan yang telah
ditetapkan.” Tenang bicara Emili. Skrip itu sudah dihafal. Skrip yang diajar
oleh Maira tentang jodoh dan pertemuan dalam Islam. Tentang qadak dan
qadar.
“Awak masih sayang saya?” soal Fahim pula,
serius.
Emili angguk laju. “Mestilah sayang! Awak
ingat saya main-main ke?!” Geram pulak hati kecilnya. Perasaannya bagaikan
diperlekehkan bila ditanya begitu.
Keluhan berat terbit di bibir Fahim.
Wajahnya diraup. Tubuhnya disandarkan rapat ke bangku. Wajah Emili dipandang
tepat.
“Mili...”
Emili balas pandangan Fahim. Hatinya
bertaman-taman dalam degup jantung yang tidak sekata. Gemersik suara Fahim
kedengaran romantik memanggil namanya. ‘Mili... Mili... Mili...’ Bagaikan
bergema suara Fahim di layar minda dan cuping telinganya. Kalau hati dah
cinta...
Riak wajah Fahim nampak serba salah.
Matanya kejap-kejap mencuri pandang mata Emili yang tepat merenung wajahnya.
Sinar mata gadis itu terpancar riak keikhlasan.
“Saya tak tahu awak ingat, tahu atau
berpura-pura tak tahu tentang salasilah keluarga saya...”
“Hah?”
“Saya anak orang gila, Mili. Dulu... semua
orang ejek-ejek saya. Awak pun tahu kisah keluarga saya. Takkan awak lupa. Awak
membesar di depan saya. Bersama Maira. Walaupun saya tak pernah cuba dekat
dengan awak, tapi saya tahu perkembangan diri awak sekeluarga. Jurang kita
jauh. Walaupun kami tergolong dalam golongan cerdik pandai, tapi orang kampung
tetap pandang serong pada kami. Takut badi gila terkena pada anak cucu mereka.
Awak pulak... tak takut ke nanti orang ejek awak? Awak ajak saya kahwin Mili...
Kahwin tau tak? Pertama, melibatkan soal agama. Kedua, melibatkan soal genetik.
Orang lain takut nak bermenantukan saya. Awak tak takut ke?”
Emili terkedu. ‘Inikah puncanya dia
menyepi? Membisu seribu bahasa bila aku ajak kahwin?’ Hatinya seakan mahu
pecah. Ingin menjerit memarahi Fahim yang seakan ‘buta’ untuk menilai
perasaannya.
“Saya bukan manusia normal macam awak,
Mili. Luaran saya... orang nampak saya normal. Tapi, sejarah keluarga saya itu
yang menjadi kekurangan dalam diri saya. Anak orang gila. Keturunan gila. Dua
perkataan itu bagaikan mimpi ngeri dalam hidup saya, Mili. Saya jadi rendah
diri nak berkawan dengan sesiapa. Saya lebih suka menyendiri daripada terus
dicemuh...”
Sejenak, Fahim tarik nafas dalam-dalam.
“Jika sepanjang pemergian saya, awak bertemu jodoh dengan orang lain...
lepaskan saya dari hati awak.You’re still young, Mili. Do not waste
time waiting for something that is not certain. You deserve someone better than
me... Someone that could...”
“Saya tak faham bahasa orang putih tu...”
pintas Emili laju. Bibirnya diketap kuat. Geram. Sama saja mereka tiga beradik.
Mulut tidak pernah lepas dengan bahasa asing itu.
Fahim tepuk dahi. Tergeleng-geleng
kepalanya. Tika itu, dia tak tahu mana satu nak didahulukan. Nak gelak atau nak
teruskanmood ‘tangkap leleh’? Emili... dia memang
pakar bab-bab nakspoil perasaan orang
yang tengah sedih. Dulu Maira pernah komen hal yang sama. Dia tak percaya.
Fahim akhirnya mengukir senyuman. Tergelak kecil pulak melihat wajah itu mula
cemberut.
“Lepas ni, saya nak awak pergi ambil kelas
bahasa Inggeri di Pusat Bahasa. Kat Simpang Kuala tu pun ada satu pusat bahasa
yang bertauliah dari Universiti of Cambridge. Belajar! Awak muda lagi! Kata nak
jadi usahawan muda berjaya. Kenalah pandai kuasai bahasa antarabangsa. Barulah
awak boleh kembangkan bisnes awak!”
Emili mencebik. “Apa yang seronok sangat
cakap denganslang berhabuk tu? Saya
pencinta bahasa Melayu! SPM saya pun dapat A1 tau. Hidup Bahasa Melayu! Awak
patut bangga bila anak Cina macam saya fasih bertutur bahasa Melayu!”
“BM dahexcellent.
Congratulation. English? Dapat apa?”
“D... untuk dodol.” Bibir Emili
dimuncungkan semaksima yang boleh semata-mata nak sebut perkataan dodol.
Fahim geleng kepala. “Sampai bila awak nak
macam ni? Awak muda lagi, Mili. Pelajaran tu penting. Ya, saya akui bisnes MLM
awak tengah kencang. Tapi, ilmu akan membawa awak pergi lebih jauh tau. Bila
awak dah capai apa yang awak nak, awak tak perlu belajar untuk dapatkan gred.
Awak kejarlah ilmu untuk dijadikan sebagai penyuluh dalam hidup awak...”
Emili senyum nipis. “Lalalalala...” Emili
pura-pura membuat suara latar. Bebelan Fahim diibaratkan seperti Anuar Zain
yang sedang menyanyi.
‘Saya dah jumpa apa yang saya nak. Suatu
hari nanti, saya akan buat kejutan pada awak, Fahim,’ desis hati kecilnya bila
Fahim terdiam. Wajah pujaan hatinya itu bertukar serius. Marah mungkin bila
nasihat yang sudah acap kali didengarinya tidak diendahkan.
“Dalam tiga tahun ni... awak akan setia
pada cinta rahsia kita atau awak akan cari lain?” Ayat cinta rahsia itu ditekan
sedikit supaya Fahim sedar.
Fahim kembali terkedu. ‘Nak jawab apa, eh?
Salah cakap buruk padahnya...’ Hatinya mula berperang.
“Jawablah, Fahim... saya perlu tahu isi
hati awak yang sebenar... awak dah tahu isi hati saya, Fahim. Saya sayangkan
awak. Saya masih setia pada cinta yang awak sulam dengan kasih sayang selama
dua tahun ini. Jadi, saya perlu tahu... untuk tempoh tiga tahun lagi, adakah
awak akan terus setia? Saya benar-benar nak tahu sebab ini melibatkan masa
depan saya juga. Saya tak mahu kisah bab keturunan tu sebab saya sedia maklum
hal itu. Yang saya kisahkan sekarang, hati awak...”
Tiba-tiba pengumuman pintu perlepasan
untuk destinasi ke Dubai diumumkan. Fahim bingkas bangun. Matanya melirik pada
jam tangan. Sudah tiba masa untuk berlepas. Penerbangan pertamanya akan transit
di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke Heathrow, London. Pengumuman itu
menyelamatkan Fahim daripada terus diasak dengan soalan hati dan perasaan oleh
Emili.
“Jom! Saya dah nak berlepas...”
“Saya tunggu dia orang kat sini aje,”
balas Emili dalam nada rajuk.
Fahim kaget.
“Dan saya akan tetap tunggu awak di
sini...”