MINGGU bersilih ganti dengan cepat. Hari
yang ditunggu-tunggu untuk meraikan kejayaan anak lelaki tunggal Mak Diah
menyambung pengajian ke luar negara telah tiba. Orang kampung yang sebelum ini
jarang sekali menyinggah ke teratak usang keluarga Mak Diah, hari ini datang
dengan rombongan serentak. Kebanyakannya jemaah dari masjid yang terus ke situ
usai solat isyak.
Dua khemah sudah terpacak di halaman rumah
Mak Diah. Fahim lebih selesa begitu. Senang untuk mengemas, malah masakan untuk
kenduri pula siap ditempah dengan katering sebaik sahaja Mak Diah menyuarakan
hajat untuk membuat majlis kenduri doa selamat. Ditegahnya Mak Diah daripada
bersusah payah untuk menyediakan makanan secara gotong-royong.
Fahim sudah terlalu masak dengan ragam
orang kampung itu. Dia sudah terlalu muak untuk mendengar kritikan pedas
terhadap keluarganya. Lagipun, jika kenduri itu dilakukan secara
bergotong-royong, emaknya pasti letih. Letih menjawab dan melayan kerenah orang
kampung.
Dari balik tirai tingkap di ruang tamu
rumah papan itu, Emili hanya menjadi pemerhati sepanjang majlis tahlil
berlangsung. Alunan ayat-ayat suci yang bergema terasa tenang dan mendamaikan.
Sama tenang seperti setiap kali dia mendengar CD ayat-ayat suci berserta tafsir
al-Quran yang dihadiahkan oleh Maira minggu lepas.
“Rasa sesuatu?” tegur Maira yang muncul
dari dapur.
“Tenang.”
Maira senyum. Rasa lapang dadanya. “CD tu
dah dengar sampai habis ke? 30 juzuk tu...”
Emili mengangguk laju. Wajahnya
berseri-seri. “Dah!”
Maira pula yang terkejut. Dalam hatinya
terselit rasa kagum dengan kesungguhan Emili. Dia sendiri pun mengambil masa
yang lama untuk menghabiskan 30 juzuk hanya dengan mendengar. Kalau membaca...
lagilah lambat kecuali bulan Ramadan.
“Apa yang kau jumpa?”
“Surah Ar-Rahman. Maka nikmat TUHAN kamu
yang manakah yang kamu dustakan?” Lancar sahaja Emili menuturkan sepotong
maksud ayat dari surah itu hingga Maira terpempan.
“Alhamdulillah. Jadi kau dah bersedia
untukstepseterusnya?”
Tiba-tiba wajah Emili yang ceria tadi
bertukar mendung. Ada sesuatu yang bermain di lubuk hatinya. “Misi mencari
hidayah tu... hampir selesai. Satu lagistep, aku pun jadi
sebahagian daripada kau... tapi... misi besar yang kedua tu... aku tiba-tiba
jadi takut. Sampai hari ni, abang kau tak balas e-mel aku...” adu Emili.
Maira senyum. Bahu Emili ditepuk perlahan.
“Kan dia dah balik tu... kau tak pergi tegur dia ke? Borak-borak ke... buat
macam biasa ajelah. Kau kan muka tembok jugak kadang-kadang.” Sempat Maira
menyakat di hujung-hujungnya.
Emili menggeleng. Hatinya melonjak-lonjak
ingin tahu mengapa hingga ke hari ini Fahim menyepi. Tiada kiriman e-mel baru
untuknya. Malah, lelaki itu kelihatan selamba saja sejak tiba petang tadi. Dari
tingkap nako yang terbuka sedikit, mata Emili mencari susuk tubuh tinggi lampai
Fahim.
‘Kacaknya... kena dengan baju Melayu warna
biru muda tu,’ bisik hati kecil Emili. Hatinya tiba-tiba disapa rindu. Lelaki
itu, hanya mampu dipandang dari jauh. Bila dekat mereka bagaikan terasing.
“Sabarlah... nanti aku cari jalan untuk
temukan kau orang empat mata, okey?” Maira yang seakan faham pandangan redup
Emili, memberikan cadangan.
Wajah Emili masih keruh. Tidak ceria.
Fahim seolah-olah mengelak daripadanya. Sejak pagi tadi, dia menunggu ketibaan
lelaki itu. Malangnya, sebaik saja Fahim sampai ke rumah itu, wajahnya langsung
tidak dipandang. Sesekali dia sengaja menayang muka untuk membuatkan Fahim
menegurnya, tapi hampa. Lelaki itu hanya senyum hambar.
“Tadi, kan... dia senyum kat aku pun dalam
sekupang dua aje. Dekat anak Kak Tipah yang pakai baju lip lap lip lap tu bukan
main lagi dia sengih sampai lima ringgit!” rungut Emili masih tidak puas hati.
Maira tarik muka pelik. ‘Sejak bila pulak
senyum kena ada harga?’
“Cuba kau tunjuk kat aku senyum sekupang
tu macam mana, senyum lima ringgit tu macam mana?”
Emili pantas menoleh tepat ke arah Maira.
“Senyum sekupang macam ni...” Bibirnya disengih tanpa menayangkan gigi. Rasanya
tidak sampai dua saat sengihan tanpa gula itu.
“Okey. Memang hodoh. Senyuman lima ringgit
pulak?”
Emili terus tersengih sampai ke telinga.
Kali ini giginya yang putih bersih dan cantik tersusun jelas kelihatan. Matanya
pula dikedip-kedip hingga bulu mata palsu di kelopak mata kirinya luruh.
Cepat-cepat Emili membetulkan bulu mata itu di kedudukan asal.
“O... key... lah... macam terlebih
Ajinomoto dan Maggie cukup rasa pun ada eh? Patutlah mahal sampai lima
ringgit.” komen Maira. Kedua-dua tangannya diangkat ke bahu dan matanya
dijulingkan ke atas. Poyo!
“Jadi, apa pendapat kau? Adil ke tak untuk
aku selaku makwe dia dapat senyuman sekupang dan anak Kak Tipah lip lap lip lap
tu dapat senyuman lima ringgit?” Riak wajah tidak puas hati Emili mengundang
rasa lucu di hati Maira. Bibirnya diketap kuat. Takut untuk ketawa. Perutnya
ditekan-tekan. Dia bimbang kelakuan terlampaunya mengundang umpatan tetamu yang
sedang menjamu selera di luar pula.
“Yang kau gelak ni, kenapa? Eh! Sikit pun
tak lawak okey?! Aku tengah bengang ni!” Merah padam muka Emili menahan geram.
Langsircotton corak bunga matahari itu digenggam hingga
berkedut.
“Dahlah tu, Mili... senak perut aku.” Bahu
Maira masih terhinggut-hinggut menahan ketawa. Wajah Emili yang merah padam
dibakar api cemburu dipandang sekilas. Seketika dia beristighfar hingga
ketawanya hilang.
“Okey... kau sabar sikit ya? Nanti aku
siasat kes ni. Jom, pergi dapur! Aku laparlah...”