Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,252
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 12

FAHIM duduk di meja bufet melayan tetamu yang mengambil makanan. Sambil melayan tetamu, ekor matanya sempat memerhati kelibat Emili di sebalik tingkap nako di atas rumah. Jarak khemah tempat dia berdiri dengan atas rumah itu kira-kira 50 meter sahaja. Jadi, tak hairanlan matanya boleh menangkap susuk tubuh yang sejak tadi mengekori pergerakannya.

“Tahniah, Mat! Lepas ni, jadi orang putih la hang noo...” Pak Ali bergurau. Tangannya memegang pinggan yang hanya mempunyai sisa tulang ayam goreng berempah.

Fahim hanya membalas gurauan itu dengan senyuman nipis. “Jemputlah makan rojak pulak, Pak Ali. Bukan selalu dapat kumpul ramai-ramai macam ni.”

Pak Ali menggelengkan kepalanya. “Cukuplah, Mat. Kenyang dah ni. Nanti tak larat pulak Pak Ali nak jalan balik ke rumah.” Lembut Pak Ali menolak pelawaan Fahim.

“Alah, Pak Ali... kalau tak larat nak jalan suruh aje Mat hantar naik kereta besar dia tu. Bila lagi nak merasa naik kereta mahal dia, kan? Takkan dengan orang kampung ni pun nak berkira?” sampuk Sharip yang kebetulan sedang mencedok daging masak hitam ke dalam pinggannya yang sudah peduh dengan pelbagai jenis lauk. Ayam goreng berempah saja tiga ketul diambilnya.

Fahim hanya tersenyum pada Sharip, anak sulung Mak Timah yang suatu ketika dulu pernah mengejeknya. ‘Inilah masanya!’ bisik hati Fahim.

“Betul jugak, Pak Ali... sementara saya masih guna Honda Civic FD tu. Boleh saya bawak Pak Ali jalan-jalan sekali. Lepas ni ingat nak tukar guna BMW pulak. Dengar kata beli di UK lagi murah dari beli di Malaysia. Saya pulak cepat jemu pakai lama-lama kereta ni. Kalau boleh nak tukar selalu.” Selamba Fahim menjawab. Mendada saja gayanya.

Sharip yang berniat untuk mengenakan Fahim makin sakit hati. “Alah... sekarang kau dah kaya bolehlah kau berlagak, Mat. Ingat sikit... rezeki kau tu ada bahagian untuk orang susah macam kami ni. Dah senang janganlah nak berlagak pulak.” Rasa iri hati makin menebal di hati Sharip. Manakan tidak, kereta yang dipandu oleh Fahim adalah kereta idamannya. Dek menjadi jaguh di kampung, dia hanya mampu memandang kereta Fahim dari jauh.

“Eh! Aku tak pernah lupa pada orang susah di kampung ni. Cuma orang kampung aje selalu buat-buat lupakan aku, Sharip. Dulu, orang baling aku dengan batu. Manalah aku tahu sekarang ni ada pulak yang teringin nak naik kereta dengan aku?”

Tajam. Pedas. Berapi kata-kata Fahim hingga menyentap ke tangkai hati Sharip yang mula busuk. Dengkinya menjadi-jadi.

“Eleh! Setakat BMW tu, aku boleh belilah. Petik jari aje!” angkuh Sharip membalas. Tidak mahu kalah langsung! Malah, nasi yang ditatang tadi dibaling ke tanah sebelum diludah dengan gaya yang menjengkelkan.

“Blahlah! Baru dapat pergi luar negara dah berlagak. Puii!” tengking Sharip lagi sebelum memecut laju motor Honda kapcainya.

“Merasa jugaklah dia naik Honda... walaupun Honda kapcai...” ujar Pak Ali. Bahu Fahim ditepuk-tepuk lembut.

Fahim tarik nafas dalam-dalam. Sekelumit titik hitam dalam hatinya mula meronta-ronta. Beberapa pasang mata menoleh ke arahnya. Majlis yang mulia itu tercalar sedikit kerana egonya.

Pak Ali kesal, rezeki yang lazat itu terbazir di tanah dan dihurung lalat. Matanya memandang sayu nasi yang dibuang oleh Sharip tadi. Betapa ruginya Sharip tidak menikmati rezeki Allah itu. Dia lebih rela menjulang rasa marah. Wajah Fahim yang berubah riak, Pak Ali tenung sekilas. Terasa juga dengan kata-kata pedas Fahim tadi.

“Sebelum kamu berangkat, Pak Ali nak mohon maaf. Andai suatu ketika dahulu, masa kamu sekeluarga susah... Pak Ali pernah lepas pandang akan kesusahan kamu sekeluarga. Penderitaan kamu, Pak Ali pernah pandang sebelah mata. Ampunkan Pak Ali. Sekarang, kamu tiga beradik dah buktikan pada kami. Ramai-ramai anak muda dalam kampung ni, kamu tiga beradiklah yang paling menyerlah kecerdikannya.

Ternyata hidup ini umpama roda. Dulu, kamu di bawah, dipijak, dicaci, dimaki. Sekarang, kamu di atas. Meninggalkan semua orang kampung jauh beribu batu di belakang. Yang berjaya pun hanya layak untuk kerja kerani. Tak seperti kamu tiga beradik. Murni dah jadi pengurus di kilang yang rata-rata pekerjanya orang kampung ni jugak. Kamu dah jadi pensyarah. Dah nak sambung belajar ke luar negara pulak tu. Adik kamu pun tak kurang hebatnya... bakal peguam. Subhanallah! Janji ALLAH itu pasti. Selepas kesulitan, pasti ada kesenangan di akhirnya.

Cuma satu yang Pak Ali nak pesan, jangan kamu ikut perangai buruk orang kampung ni. Jangan kamu didik hati kamu dengan perasaan riak, ujub, takbur dan dengki. Bersyukur dan mohonlah perlindungan daripada Allah, nak.” Panjang lebar nasihat Pak Ali.

Fahim sekadar mengangguk. Bercakap soal orang kampungnya, hati tiba-tiba menjadi sebu. Telinganya sempat menangkap bualan Mak Ton dan Mak Timah yang masih setia dengan hobi lama mereka... wartawan cabuk!

Previous: BAb 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.