Maira terkocoh-kocoh
menuruni tangga apartmen pelajar yang menjadi tempat kediamannya kini. Hatinya
disapa rasa ingin tahu. Malah, misteri penghantar sejambak bunga Carnation
turut menjadi tanda tanya. Tiada sebarang klu yang boleh diteka kecuali nota
kecil yang terselit di celah-celah bunga itu yang meminta dia turun dengan
kadar segera untuk mengetahui siapa pengirim misteri itu.
Carnation kesukaan si
gadis manis, Syarifah Alya Humaira. Surprise? Turunlah kalau nak tahu siapa
yang kirim bunga ni... ;) Mungkinkah Prince Charming yang awak tunggu-tunggu?
Turunlah... saya tunggu awak di car park.
Nafas Maira tercungap-cungap. Kudrat
digunakan sepenuhnya. Otaknya ligat berfikir dan tenaga fizikalnya pula
digunakan sepenuhnya untuk berlari dari aras empat apartmennya. Adakalanya dia
berjalan selaju mungkin. Semuanya gara-gara tidak mampu bersabar.
Tertanya-tanya dia, siapakah pengirim bunga misteri itu?
Malah, hampir tak cukup nafas Maira bila
terpaksa membawa ‘muatan berat’ yang menyelaputi tubuhnya. Tubuh gempalnya
membuatkan dia perlukan lebih stamina untuk bergerak laju. Sampai sahaja di
tempat letak kereta, mata Maira terpaku pada susuk tubuh seorang gadis yang
amat dikenalinya.
“Mili!” Bergema blok apartmen Maira dengan
jeritannya. Tubuh gempalnya terus meluru ke arah Emili yang bersandar di kereta
Viva berwarna ungu metalik miliknya.
Tangan Emili terawang-awangan tatkala
tubuhnya dipeluk erat oleh Maira. Erat sekali. Hingga semput Emili mencari
nafas.
“Weh! Agak-agaklah nak peluk aku! Kau tu
besar mana... aku ni besar mana yang kau nak peluk ketat-ketat. Semput tau
tak?! Oksigen! Oksigen! Tak cukup nafas ni!” Emili sengaja menarik nafas
kuat-kuat. Hiperbolanya menjadi-jadi. Lagaknya seperti dia memerlukan bantuan
pernafasan saja.
Maira mencebik. “Nak kata aku gemuklah
tu!”
Tergelak besar Emili bila melihat teman
rapatnya mula menarik muncung empat belas. Pipi yang persis pau kukus itu makin
geram dipandang. Dicubit-cubit sekuat hati. Hingga Maira memukul-mukul lengan
kecilnya.
“Apa hal pulak datang-datang aje nak
picit-picit pipi aku? Ingat kuih pau ke? Itulah suruh makan banyak tak nak.
Badan dah macam mangsa kebuluran dekat Afrika tu dah aku tengok.” Maira
menyakat tanpa belas. Gurauan mereka memang kedengaran kasar, tapi pada
mereka... sakat-menyakat itu perkara normal dan penyeri hidup!
“Eleh, yang kau ni... dalam dok
rindu-rindu teringat kat kampung, badan tak pulak susut. Makin tembam adalah!
Apa kes? Hati ada taman eh? Sebab tu yang kau pulun lari terkocoh-kocoh ni...
mesti kau ingat ada pakwe yang hantar bunga tadi, kan? Kesian... kesian...
sekali tengok, Miss Universe dari Kedah yang hantar bunga! Punah harapan...”
Makin giat Emili mengejek Maira yang masih tercungap-cungap mengutip nafas.
Maira mencebik. Geram pun ada. Tapi dalam
geram-geram diusik nakal sebegitu, hatinya diulit bahagia. Baru semalam
terkenangkan sahabat baiknya yang satu ini, tiba-tiba hari ini sudah muncul.
Dipukul manja bahu Emili.
“Penat tau aku lari... ingatkan Prince Charming
yang datang. Rupa-rupanya... nenek kebayan!” Maira membalas servis tepat ke
lubuk hati Emili hingga mata sepet itu membulat.
“Amboi... amboi... bini Shrek ni!”
Ketawa mereka bersatu. Puas mengusik,
kedua-duanya tersandar keletihan. Emili tenung Maira dari ekor mata. Perjalanan
lebih lima jam dari Kedah ke UKM berbaloi bila melihat seraut wajah montel itu.
Penat memandu turut hilang.
“Kau rindu aku, eh?” Tanpa berselindung
Maira terus bertanya.
Emili mengangguk. Hanya mereka berdua yang
faham istilah ‘rindu’ dalam kamus Emili-Maira.
“Masalah besar ke kecik?”
Emili menggaru-garu dagunya. Cuba berfikir
sebelum menjawab. “Besar dan kecik.”
“O... key... ada baiknya kita cari
food court.Lepas tu, kita bedah masalah ‘besar dan
kecik’ kau tu, okey?” Maira memberikan cadangan. Belum sempat Emili mahu
mengkritik cadangannya, Maira sudah bergegas lari ke apartmennya semula.
Bergegar semua lemak di badan gempal gadis itu. Emili menggeleng perlahan.
“Aku suruhdiet, tak nak. Nak jugak melantak tak ingat dunia!”