Rumah Mak Diah kecoh
dengan kedatangan Tauke Liew yang tidak diundang. Datangnya pula dalam keadaan
marah. Suara lantangnya memecah keheningan petang itu. Mak Diah yang sedang
mengaji sementara menunggu solat asar terkejut. Tauke Liew tak pernah pun
mengamuk begitu. Sepanjang mengenali bekas majikannya itu, inilah kali pertama
dia melihat Tauke Liew seperti orang hilang arah!
“Ada ada apa bising-bising ni, tauke?”
tegur Mak Diah. Hatinya mula tidak enak bila melihat wajah Tauke Liew merah
padam. Dan anak bongsunya di sebelah sedang menangis teresak-esak. Mata gadis
itu sudah membengkak. Hidungnya merah dan berair.
“Mana anak-anak Kak Diah?” tempik Tauke
Liew.
Mak Diah kaget. Debaran di hati makin
kencang. “Ke... kenapa tauke? Anak saya ada buat salah ke?”
“Memang salah! Sekarang ni, saya nak
nombor telefon dan alamat anak lelaki Kak Diah di UK!” tengking Tauke Liew.
Tubuh anak bongsunya pula ditolak hingga betul-betul tersembam di kaki Mak
Diah.
Mak Diah terkejut. Dia segera menarik
tubuh gadis itu. “Mili... kenapa ni, nak? Cuba cakap dengan Mak Diah... apa
yang anak Mak Diah dah buat pada kamu, nak? Apa kena-mengena dengan Abang Im
kamu pulak ni? Ya ALLAH...” Mak Diah mula cemas. Tangannya menggeletar. Dahinya
mula berpeluh-peluh. Dadanya makin berdebar-debar.
“Jawablah!” tengking Tauke Liew lagi.
Emili makin takut dan teresak-esak
menangis. Gerun, sedih, malu dan kecewa dengan sikap papanya yang berubah 360
darjah. Bibir Emili terkunci rapat. Bahunya sahaja yang terhinjut-hinjut
menangis.
“Mili... Kenapa papa Mili marah-marah ni?
Kenapa nak nombor telefon dengan alamat Abang Im pulak ni? Im... Im... dah buat
benda tak baik pada kamu sebelum dia berangkat ke UK ke?” Tergagap-gagap Mak
Diah bertanya. Dia mula berfikir benda yang bukan-bukan.
Emili menggeleng laju. Esakannya makin
kuat. Wajah papanya pula dipandang. “Papa... papa dah salah faham. Mili
cintakan dia... dan hubungan kita takkan terputus, papa... Bukan sehari papa
kenal dia, dah lama...” lirih suara Emili mengharapkan belas kasihan bapanya.
Wajah Tauke Lim makin merah padam. “Tapi,
kau dah buat satu keputusan yang besar dalam hidup kau dan keturunan kita!
Kerana cinta, kau sanggup tinggalkan agama nenek moyang kita, Mili!” marah
tauke Liew dalam bahasa Mandarin.
Emili memeluk Mak Diah erat-erat. Saat
itu, pelukan Mak Diah mententeramkan perasaannya. Sungguh Emili dalam
ketakutan. “Papa... papa tak faham... walaupun kita dah berbeza agama, tapi
papa tetap papa Mili selama-lamanya. Hubungan kita takkan terputus. Apa yang
mendiang datuk pernah cakap pada papa, itu semua salah faham. Dusta semuanya!
Hubungan keluarga takkan terputus walaupun kita berbeza agama. Islam tidak
membenarkan umatnya memutuskan hubungan silaturahim apatah lagi hubungan
seorang anak dengan bapanya!”
“Ah! Kau tetap akan menjauhi kami...
semata-mata kerana kau cintakan dia... sanggup kau belakangkan agama kita,
Mili!” marah Tauke Liew lagi.
Mak Diah yang masih tidak faham drama
keluarga di hadapannya cuba untuk menenangkan dua beranak itu. Apatah lagi mereka
berdua bertutur dalam bahasa Mandarin. Memang meloponglah Mak Diah melihat
drama tanpa sarikata.
“Tauke... Mili... mari kita masuk ke dalam
rumah dulu. Tak elok bertekak di luar ni. Tak manis. Mari masuk ke dalam. Kita
boleh berbincang, kan?” pujuk Mak Diah lembut.
Mendengar kata-kata Mak Diah yang lembut,
suhu amarah Tauke Liew menurun sedikit. Bibirnya mengeluh berat. Tauke Liew
membuang pandang ke laman rumah yang hanya ditumbuhi pokok-pokok kelapa. Tiadalandskap indah dengan pokok-pokok merimbun bak taman botani mini di rumahnya.
Rumah papan itu pun dipandang sekilas.
Letih berdiri, Tauke Liew duduk di beranda
bertentangan dengan Emili dan Mak Diah. Dadanya yang tiba-tiba terasa sakit
diurut perlahan. Mak Diah pula hanya memandang dengan penuh tanda tanya.
“Kak Diah... apa salah saya pada Kak Diah
sekeluarga?”
Mak Diah terkejut. Nada suara Tauke Liew
yang lirih, meruntun hatinya. “Allahuakbar... Tauke tak ada salah langsung
dengan Kak Diah. Malah, saya yang banyak terhutang budi dengan tauke. Tolonglah
ceritakan pada Kak Diah, tauke. Apa yang anak-anak Kak Diah dah buat sampai
tauke mengamuk macam ni?”
Tangisan Emili makin rancak. Dia terlalu
menyayangi mereka berdua. Baik Mak Diah mahupun papanya... dua-dua dia sayang.
“Pa... Mak Diah tak bersalah...”
“Diam!” tengking Tauke Liew pada Emili
hingga terkejut gadis itu. Emili segera memeluk tubuh Mak Diah. Terluka...
“Tauke... kalau yang salah tu anak saya,
janganlah dimarahi Mili ni...”
“Mengapa anak Kak Diah hasut anak saya
tinggalkan agama kami? Saya percayakan keluarga kakak... tapi saya tak sangka.
Dalam diam, anak saya dihasut! Saya tak sangka dia sanggup tinggalkan keluarga
kami semata-mata cintakan anak Kak Diah!”
Kenyataan yang keluar daripada mulut tauke
Liew benar-benar mengejutkan Mak Diah. Terlerai pelukan dia di tubuh Emili.
Wajah Emili dipandang lama. “Betul ke apa yang papa kamu cakap tu, Mili?”
Emili mengangguk perlahan. Wajahnya lencun
dengan air mata. Bibirnya tidak mampu untuk terus berkata-kata. Esakannya makin
menjadi-jadi.
“Kalau tak betul takkan saya nak mengamuk
macam ni, Kak Diah? Saya dah kehilangan satu-satunya anak perempuan saya...”
Tauke Liew tertunduk sebak. Satu-satunya anak perempuan yang dia ada kini sudah
meninggalkan dirinya. Demi cinta...
Mak Diah terus bungkam. Lidahnya menjadi
kelu. Mata tuanya memandang dua beranak itu silih berganti.
“Mili... adakah sebab cinta... kamu tak
mahu ikut jejak langkah abang-abang kamu ke menara gading?”
Soalan Tauke Liew terus mengunci bibir Mak
Diah yang baru hendak berkata sesuatu.
Wajah Emili yang masih menangis Mak Diah
pandang dengan rasa kasihan. Pasti gadis ini terlalu kecewa. Sebelum ini, dia
ditatang bagai minyak yang penuh. Tiba-tiba hari ni dimaki hamun oleh papanya
sendiri. TUHANKU... dugaan apa yang kau turunkan padaku kali ini?
“Jawablah dengan jujur soalan papa, Mili.
Kerana... ini kali terakhir papa berada di sini sebagai papa kamu. Sebaik saja
papa melangkah keluar dari rumah ni, papa bukan lagi papa kamu, Mili.” Tauke
Liew mula sebak.
Persoalan yang sebelum ini bermain di
fikirannya bagaikan sudah terjawab. Sebelum ini, dia cukup pelik apabila
prestasi pelajaran Emili tidak secemerlang abang-abangnya sedangkan sudah
banyak guru-guru yang diupah untuk mengajar Emili. Namun, hanya cucup-cukup
makan saja keputusan Emili. Malah, untuk menarik minat anaknya belajar, Tauke
Liew sanggup membiayai Maira, anak bongsu Mak Diah untuk sama-sama belajar
dengan Emili memandangkan mereka sebaya dan agak rapat.
Rupa-rupanya selama ini anaknya galak bermain
cinta. Lebih mengejutkan pemuda itu sangat dikenali dan disayanginya! Harapkan
pagar... pagar makan padi! Patutlah sejak keberangkatan Fahim, Emili tidak
tentu arah. Tauke Liew menggeleng kesal.
Emili berat hati untuk mengaku. Kesedihan
yang terpamer di wajah papanya membuatkan dia masih tidak berani mahu berkata
apa-apa. Hanya tangisannya yang masih kedengaran. Langsung tidak kering air
matanya tika itu. Malah, hujung lengan baju panjangnya sudah basah lencun.
Hujung baju yang digunakan untuk mengesat air mata dan hidungnya.
“Jawablah, Mili... atau Mili memang suka
papa mati?” gertak Tauke Liew, garang.
“Papa! Maafkan, Mili... maafkan Mili,
papa... papa tetap papa Mili walaupun kita berbeza agama! Tolonglah percaya
cakap Mili, papa... Mili sayangkan papa. Mili...” Entah berapa puluh kali Emili
asyik mengulang dialog yang sama.
“Sayangkan papa, tapi lebih cintakan dia?
Betul, kan?”
Emili tergamam. ‘Papa tetap papa... mana
mungkin sayang untuk papa dikongsi dengan sesiapa...’ bisik hati Emili.
“Kak Diah... tolong jaga dia baik-baik.
Anggaplah dia seperti anak Kak Diah sendiri. Kak Diah... tolong pesan pada Mat,
saya rayu agar dia tidak mensia-siakan Mili... Saya yakin cinta dia pada anak
kakak begitu ikhlas hingga dia sanggup membuang keluarga yang membesarkan dia
selama ni. Mili... hidup baik-baik. Semoga Mili bahagia dengan jalan yang Mili
pilih,” ujar Tauke Liew dalam nada sebak.
Seketika wajah anak tunggal perempuannya
direnung dengan perasaan sedih sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah Mak Diah.
Keluar tanpa berpaling walaupun Emili meraung-raung memanggil namanya.