Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,267
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Prolog

PROLOG

Kampung Muara, Tahun 1997


Warung kopi Pak Mail dan kedai runcit Ramu yang terletak sebelah-menyebelah hari itu riuh-rendah. Di situ tempat penyebaran berita dan perbincangan isu-isu semasa. Lagaknya sudah macam parlimen versi kampung. Pagi itu, Kampung Muara gempar dengan berita yang baru tersebar. Rata-rata penduduk kampung tak jemu memperkatakan topik yang sama. Bahkan, macam-macam spekulasi dengan cerita yang ditokok tambah sebagai penyedap cerita.

Kelihatan ramai orang sedang mengerumuni Lebai Man. Mata mereka terkebil-kebil memerhatikan setiap pergerakan lelaki tua itu. Dari tangan tua yang terketar-ketar itu menyisip ‘teh tarik kaw’ yang dibuat oleh Pak Mail hinggalah tangan itu kembali meletakkan cawan di atas meja. Mata mereka tetap setia mengikut.

“Yang hangpa perhati aku macam nak telan ni, kenapa?” tempelak Lebai Man tidak puas hati. Selagi dia tidak membuka mulut bercerita, selagi itulah mereka menunggu.

“Cepatlah, Lebai. Ceritalah apa yang jadi kat hospital semalam. Kan Lebai yang ikut sampai ke hospital,” desak Mak Ton tidak sabar. Matanya bersinar-sinar. Wajahnya tampak teruja untuk mengorek cerita daripada Lebai Man.

“Astaghfirullahalazim... cerita-cerita rumah tangga orang cepat aje kamu semua nak tahu ya? Allahuakbar! Dunia akhir zaman...” Lebai Man mengeluh kesal. Dia mengggeleng perlahan. Dompet lusuhnya dikeluarkan lalu not satu ringgit dikeluarkan dan diletakkan di atas meja.

Mak Ton tarik muka masam. Merah padam wajahnya menahan malu dan marah. Hajat tak kesampaian. Lebai Man yang bergegas hendak pulang dipandang sinis.

“Alah! Yang Lebai nak berahsia sangat ni, kenapa? Semua orang dah tahu dia tu gila. Kalau tak, takkan dia nak pergi serang budak-budak balik mengaji semalam? Yang kami semua nak tahu sekarang ni... apa tindakan yang dikenakan kepada orang gila tu? Kena hantar ke Tanjung Rambutan atau terus ke lokap?” sambung Mak Ton lagi. Dadanya berombak. Termengah-mengah nafasnya kerana bercakap tanpa ada toma’ninah. Ibarat peluru yang keluar dari senapang M16.

Mendengar kata-kata Mak Ton itu, rakan-rakan seangkatannya segera menyokong. Ada yang mengangguk, ada tersenyum sinis. Lebai Man kembali duduk. Kesal dengan sikap penduduk kampungnya.

“Jangan kamu buka aib orang, Ton. Kamu tu sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Jangan kerana mulut celopar kamu ni, orang takut nak buat bini. Gila-gila si Syed tu, ada jugak anak bini. Esok-esok ada juga orang nak jenguk dia. Bila dia dah pulih nanti, ada jugak yang nak menjaga. Kamu tu? Silap-silap sakit demam pun orang tak peduli!”

Suasana riuh tadi bertukar sepi. Masing-masing tak berani bersuara. Bimbang turut ditempelak oleh Lebai Man.

“ALLAH... cakap ajelah Lebai yang nak gantikan tempat Syed tu. Patutlah selama ni ambil berat sangat dengan keluarga Syed! Ada udang sebalik batu rupanya. Baik ada makna!” tengking Mak Ton.

Bergema warung kecil itu bila suara nyaring Mak Ton bertempik. Aura-aura fitnah sudah mula tersebar. Lebai Man hanya mampu menunduk sambil beristighfar. Hendak melawan, dia tidak berdaya. Bukan tiada kudrat, tetapi orang seperti Mak Ton jika terus dilawan, makin menjadi-jadi perangainya. Pilu hati Lebai Man bila dituduh sebegitu. Perlahan-lahan dia bangun.

Basikal tuanya terus dicapai dan dikayuh perlahan menuju ke rumah. Sambil mengayuh, bibir dan hati Lebai Man seiring mengalunkan zikir. Sayup-sayup kedengaran suara Mak Ton mengeji dan memfitnah dirinya. Mata tuanya bertakung dengan air mata. Sebak. Di hujung-hujung usianya, dia turut menjadi mangsa wartawan kampung itu. Mangsa fitnah. Hanya kerana dia tidak mahu bercerita tentang kejadian mengaibkan semalam, dirinya terus dicela tanpa belas. Difitnah tanpa rasa gentar pada TUHAN.

LANGKAH Mat makin laju. Adakalanya dia berlari. Kedua belah tangannya menekup telinga sekuat-kuatnya. Perit tangkai hatinya bila diejek-ejek oleh sekumpulan kanak-kanak ketika dia lalu di padang bola tadi. Bukan hanya diejek, malah dia turut dibaling dengan batu-batu kecil. Luka di dahi tidak seteruk luka di hatinya yang makin parah.

Tercungap-cungap nafasnya tatkala sampai di muka pintu. “Mak! Mak!” panggil Mat kuat.

“Ya, nak! Mak kat dapur ni. Yang terjerit-jerit ni, kenapa?”

Mat tidak menjawab. Air matanya laju membasahi pipi. Darah yang mula menitis dikesat dengan belakang tangan. Sayu. Masih terngiang-ngiang suara rakan-rakannya yang mengejek tadi.

“Kawan-kawan! Orang gila dah lalu! Mak aku kata, kalau bapak dah gila... anak pun akan gila sekali!” Kamal, anak sulung Mak Timah yang seangkatan dengan Mak Ton mengejek.

“Bapak aku pun tak bagi dekat dengan dia. Bapak aku cakap, orang gila akan bunuh orang nanti! Macam dia serang adik aku hari tulah! Hish, geram aku! Baling aje dia dengan batu! Orang gila! Orang gila! Orang gila!” Kanak-kanak itu bersorak beramai-ramai sambil mengepung Mat. Malah, mereka membaling batu tanpa belas kasihan kepadanya.

Mujurlah Lebai Man lalu. Dijerkahnya budak-budak yang membuli Mat. Tetapi apalah sangat kudrat lelaki tua itu jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang hyperaktif macam Kamal dan kawan-kawannya. Mereka masih giat memukul dan membaling batu ke arah Mat. Tidak tahan dipukul, Mat segera melarikan diri.

“Aku tak gila! Aku tak gila!” jerit Mat sekuat hati. Hatinya terluka hebat. Dugaan datang bertimpa-timpa dalam hidupnya.

Terdengar derapan kaki yang makin hampir ke arahnya, Mat terus berpaling. Wajah mak yang kelihatan sayu dipandang lama.

“Mak... Mat tak gila... kenapa dia orang ejek Mat macam tu? Kenapa dia orang baling batu kat Mat? Mat tak kacau dia orang pun. Mat pergi cari umpun-umpun aje...” lirih suara Mat mengadu.

Pipi emaknya mula lencun bila mendengar suara sayu anaknya. Apatah lagi melihat dahi anaknya yang sudah berdarah hingga menitis ke bajunya yang compang-camping. Tangannya didepakan seluas-luasnya. Menanti kehadiran anak kecil itu dalam pelukan. Mat berasa tenang dalam dakapan emaknya. Erat sekali. Hilang suara-suara ejekan tadi.

“Sabar, nak. Sabar... Angkatlah tanganmu dan berdoalah pada DIA. Sesungguhnya, doa orang teraniaya diangkat terus tanpa hijab. Redahlah. Ini dugaan untuk mematangkan diri kamu. Jangan putus berdoa,” nasihat emaknya dengan suara yang ditahan-tahan. Hatinya turut pilu. Mana tidaknya, dugaan silih berganti. Tetapi dia harus kuat. Dia sumber kekuatan anak-anaknya untuk terus berjuang di atas muka bumi ini.

Di sebalik pintu pula, kakak sulung Mat turut berendam air mata. ‘Suatu hari nanti... anak orang gila inilah yang orang-orang kampung akan cari untuk mintak tolong, Mat...’ bisik hatinya.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.