BURUNG yang berkicauan di awal pagi telah membuatkan aku berasa tenang. Kini aku sudah melangkah ke alam dewasa untuk menempuh segala dugaan yang diberikan oleh-Nya. Tetapi belum tiba masanya lagi untuk aku keluar dari alam remaja. Oleh kerana umur aku sudah meningkat mencecah 20 tahun dan kini aku sedang menunggu panggilan dari Universiti.
“Wuaahhhh, ngantuknya!" Rungut aku kerana terpaksa bangun di awal pagi. Kepala aku menjadi pening kerana tidur di lewat malam tadi. Entah kenapa suasana dalam rumah menjadi sepi dan sunyi. Aku pun terus keluar dari bilik untuk melihat keadaan di ruang tamu.
“Ma… oh ma… mama kat mana, mama ada kat luar ke?" Aku terus memanggil mamaku dan melihat sekeliling rumah di dalam dan di luar rumah.
“Aduh, aku terlupa hari ini kan hari budak-budak sekolah, mestilah mama hantar adik-adik ke sekolah. Aishhhh, macam mana pula aku boleh lupa ni!" Rungut aku sekali lagi. Maklumlah baru lepas ambil periksa STPM, mestilah nak berehat di rumah setelah banyak belajar. Kononnya.
Selepas solat subur, jam di dinding menunjukkan pada pukul 7.00 pagi. Aku pun terus keluar dari rumah untuk menikmati udara yang segar dan nyaman. Fikiranku melayang-layang apabila mengenang masa lampau dan memori yang tidak dapat dilupakan masa kecil hinggalah ke dewasa ini. Udara yang segar ini telah mengingatkan aku masa kecil dahulu. Ibubapa ku telah menceritakan kepadaku bagaimana aku telah dilahirkan ke dunia ini sampai sekarang masih lagi bernafas. Ini semua dengan izin Allah S.W.T.
...................
“Uwekkkk… uwekkkk… uwekkkk…!" Bunyi bayi yang baru dilahirkan di hospital Kajang, Selangor. Kedengaran bunyi bayi ini, Rosdi segera mendapatkan anak dan isterinya, Hasnah. Rosdi terus mendakap anak sulungnya yang bernama 'Nurul' dan melaungkan azan dengan segera di telinga kanan anaknya. Rosdi menghela nafas lega kerana isterinya selamat melahirkan anak perempuan mereka.
“Ma tengok bayi ni, comel kan. Macam muka mama pun ada, macam muka abah pun ada.”
"Tapi lagi banyak kat muka abah." Rosdi berkata lagi dengan senyuman manisnya apabila melihat anaknya yang baru dilahirkan.
“Bah, anak kita perempuan. Syukur alhamdulillah anak kita selamat.” Hasnah memeluk dengan erat dan air matanya mengalir kerana tidak dapat menahan kegembiraannya.
Sudah dua minggu duduk di hospital, akhirnya Hasnah dan anaknya dibenarkan keluar dari hospital. Rosdi cukup gembira dengan kehadiran orang baru di dalam hidupnya. Saudara-mara turut menziarahi mereka untuk melihat anak sulung mereka. Ayah dan emak Rosdi telah membuat persiapan bagi menyambut cucu mereka di rumah. Majlis cukur jambul turut diadakan di rumah mereka bagi memeriahkan lagi suasana di sana. Selepas dua hari majlis itu dilaksanakan, emak dan adik-beradik Hasnah telah datang ke rumah untuk menjenguk anak mereka.
“Kak As apa khabar? Kenapa tak telefon sebelum melahirkan si comel ni? Boleh John jagakan kak As sementara abang Di pergi kerja.” Tegur John sambil bertanyakan khabar kepada kakaknya.
“Akak sihat je dengan anak ni. Tak nak susahkan John, abang Di pun dah ambil cuti kerja untuk jaga akak dan anak. Emak mana?” Hasnah menjenguk-jenguk emaknya dengan tanda kehairan. 'Kenapa mak tak masuk ke rumah lagi ni.' Hasnah bermonolog.
“Hmmmm, emak kat luar tu tengah berborak dengan emak abang Di. Nah, ni hadiah untuk baby yang comel ni. Ni hadiah dari jiran sebelah, hadiah dari kawan John dan ini tak tahu hadiah dari mana.” John berkata lagi kepada kakaknya sambil tergelak sendiri.
“Hishhhh, banyaknya hadiah. Anak akak ada seorang je. John, kau jangan ambil sebarangan barang orang yang tak ada nama ni. Hahh yang tak tahu hadiah dari mana tu sangat mencurigakan.” Hasnah tersenyum melihat gelagat adiknya itu.
“Ha ha ha, tak adalah kak As. Gurau je kot. Meh nak main dengan si kecil ni.” John menyakat kakaknya sambil tersenyum.
Hasnah terus menyambut tangan emaknya dan memeluk dengan erat kerana setelah 6 bulan tidak berjumpa. Hasnah memang rapat dengan adik-beradiknya iaitu Ros, Thira, Ani dan Oji berbanding dengan adik-beradik yang lain. Hasnah anak kelapan daripada dua belas orang adik-beradik manakala Rosdi anak kelima daripada tiga belas orang adik-beradiknya. Mereka berasal dari keluarga yang susah tetapi berjaya mencari peluang pekerjaan yang lebih baik untuk menampung keluarga.