Sudah 5 tahun berlalu, Rosdi berasa gelisah dan tidak tenteram. Seolah-olah jiwanya kacau oleh sesuatu benda yang tak boleh dia ungkapkan dengan kata-kata. ‘Fikiranku penuh bercelaru. Fikiranku penuh dengan masalah. Kenapa sejak akhir-akhir ini banyak sangat bala dan dugaan yang datang. Tidak tahu aku untuk menghadapi dan menyelesaikan kesemua masalah ini. Tetapi untuk membiarkan ia terus membelenggu sudah pasti kepalaku akan terus bercelaru. Untuk memastikan dari terus sakit kepala aku harus menyelesaikan satu persatu’ fikiran Rosdi semakin kusut apabila bosnya memberi gaji yang sedikit daripada bulan lepas kerana kegawatan ekonomi yang berlaku.
Rosdi berfikir lagi. ‘Aku terpaksa memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai bapa kepada anak emasku “Nurul” tetapi suami kepada seorang wanita yang aku cintai. Aku tidak sanggup melihat mereka bersusah hati disebabkan masalah ini. Aku ingin memberikan kebahagiaan kepada anakku dan menjadikan dia sebagai seorang yang berjaya dan berdedikasi. Aku tidak mahu anakku merasai kesukaran seperti ini. Cukup aku seorang sahaja yang merasainya. Aku juga ingin melihat rumah tanggaku sentiasa berseri dan bahagia selama-lamanya. Sudah lima tahun aku bahagia dengan kehidupan ini, namun kini disebabkan masalahku ini belum selesai boleh menyebabkan rumah tanggaku bergelora. Aku mesti menyelesaikannya sebelum ia akan lebih melarat,’ keluh Rosdi memikirkannya.
“Abah, macam mana kita nak hidup jika duit simpanan kita pun semakin kering.” Rungut Hasnah kepada suaminya.
“Mama jangan risau, abah akan cari kerja lain dulu buat sementara waktu ni."
"Kalau tak boleh juga, abah tetap cari kerja secepat yang mungkin. Lagi pun bukannya Encik Danial saja yang mampu memberi pekerjaan, banyak lagi peluang pekerjaan yang ada. Besok abah pergi cari kerja kat Balakong."
“Tapi kalau boleh abah cari kerja tu cepat sikit ye. Bukan apa hujung bulan semakin hampir, bil air dan api dah sampai, apatah lagi sewa rumah dengan insuran kereta masih belum dijelaskan lagi."
"Abah kena ingat sekarang ni abah masih belum ada kerja lagi.” Rungut Hasnah.
‘Aku terus terdiam dengan pelbagai persoalan daripada isteriku itu. Memang betul apa yang dikatakan oleh isterinya itu, dia tidak sepatutnya melibatkan isterinya dalam hal ini. Justeru, itu adalah tanggungjawabnya sebagai ketua dalam rumah tangga.
..........................
HASNAH terjaga dari tidurnya kerana terdengar bunyi hentakkan di ruang tamu mereka. Lalu dia segera bangun dari tempat tidurnya dan menuju ke arah bunyi itu. Rupa-rupanya angin yang kuat itu telah menghentakkan pintu di ruang tamu tersebut. Jam telah menunjukkan pada pukul 6.10 pagi. Hasnah bergegas ke bilik semula untuk mengejutkan suaminya yang masih terlena.
“Abah bangun, solat subuh. Kata nak pergi temuduga kat kilang basikal. Pukul 8 pagi kan nak pergi temuduga.” Hasnah mengejutkan suaminya perlahan-lahan.
“Ok, abah dah bangun dah.” Rosdi mengangkat keningnya sedikit lalu kembali melelapkan mata semula.
“Hey, kata dah bangun. Tu tak bangun lagi tu.” Hasnah merungut.
"Ma, abah gerak dulu. Dah lambat ni." Rosdi bergegas keluar sambil memegang roti keping untuk di makan.
"Ok, hati-hati." Hasnah menggelengkan kepala sambil melambai suaminya.
Ketika Rosdi sampai di kilang basikal, semua pekerja di situ tertumpu ke arah Rosdi. Namun Rosdi tidak mempedulikan orang yang bekerja di sekelilingnya yang tergolong dari pekerja Indonesia. ‘Mereka harus hormat kepada aku kerana ini adalah tanah air ku di manaku telah dilahirkan di muka bumi ini. Tapi bila difikirkan balik, betapa egonya aku dan sama ada sikap aku itu baik atau sebaliknya, aku sendiri tidak pasti.’ Rosdi bermonolog sendiri.
Semasa Rosdi masuk di pejabat di kilang tersebut, bos dan keraninya sedang rancak berbual-bual. Sama ada berbincang tentang kilangnya atau sebaliknya. Apabila kerani kilang itu ternampak Rosdi, bosnya terus memberhentikan perbualannya dan menyuruh Rosdi duduk di kerusi yang berdekatan dengannya. Bosnya yang bernama En.Wong telah menanyakan beberapa soalan yang berkaitan dengan pekerjaan dan pengalaman kepada Rosdi.
Setelah selesai sesi temuduga itu, Rosdi terus balik ke rumah. Ketika sampai di rumah, Rosdi melihat halaman rumahnya luas kerana keretanya tiada di tempat garaj. Rosdi menganggap isteri dan anaknya keluar pergi bersiar-siar. Sebaik sahaja membuka pintu, aku terus baring di sofa kerana penat memikirkan pelbagai masalah yang bermain-main di fikirannya. Rosdi berharap temuduganya itu dapat diterima dan ia tidak mahu isterinya terlalu memikirkan masalah yang dihadapinya sekarang. ‘Aku tidak mahu isteriku bersusah hati. Aku masih mampu memikul tanggungjawab untuk mencari nafkah hidup.’ Rosdi memikirkannya lagi.
“Hello, itu punya kilang basikal Tong Sheong Wong ka? Boleh saya bercakap dengan bos awak?” Rosdi menelefon tempat di mana dia ditemuduga pada tempoh hari.
“Ya, bos tak ada. Ada apa hal mau cakap sama dia?” Balas dari salah seorang pekerja di kilang itu.
“Saya Rosdi. Saya mau tanya pasal permohonan saya untuk bekerja sebagai pemandu lori.” Rosdi mengharap akan dapat pekerjaan tersebut.
“Oh… tentang temuduga you hari itu ye… Bos saya ada pesan, dia suruh saya beritahu encik bahawa dia terpaksa menolaknya kerana kegawatan ekonomi. Lagi pun dia tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi jika encik bekerja di sini.” Pekerja kilang tersebut berasa bersalah untuk memberitahu Rosdi.
“Saya tidak minta gaji yang lumayan, cukuplah sekadar lepas sewa rumah dan perbelanjaan hidup saya. Lagi pun saya faham keadaan ekonomi sekarang. Saya tak kisah tentang gajinya, yang penting sekarang saya sangat memerlukan pekerjaan ini.” Rayu Rosdi kepada pekerjanya.
“Maaf Encik Rosdi, saya tak boleh buat apa-apa. Saya hanya pekerja dan mengikutkan arahan bos saja. Saya terpaksa menolak permohonan dan tidak dapat menolong encik dalam hal ini. Maafkan saya encik.” Pekerja itu berasa bersalah sekali lagi.
“Ok, tak apalah. Saya faham. Terima kasih.” Rosdi pun terus meletakkan panggilan.
Selepas sahaja Rosdi selesai berbual-bual dengan kerani perempuan melayu itu, Rosdi terus keluar. Perasaannya begitu sedih dan harapannya untuk mendapatkan pekerjaan adalah tipis baginya. ‘Tentu isteriku akan sedih apabila mengetahui aku tidak mendapat pekerjaan hari ini. Mungkin bukan rezekiku disini tapi aku takkan berputus asa. Aku akan terus cuba mencari pekerjaan sebagai pemandu lori di sekitar kawasan ini. Aku percaya jawatan itu ada di mana-mana sahaja, cuma aku perlu berusaha lebih lagi untuk mendapatkannya.’ Rosdi berfikir dan bernekad dalam hatinya.
“Abah belum dapat kerja lagi. Macam mana ni, bah. Kita kena bayar itu bayar ini. Duit simpanan saya pun semuanya dah habis digunakan. Rumah pun dah dua bulan kita bayar lagi. Alasan apa lagi harus kita beritahu kepada tuan rumah tu. Hah apa lagi bah harus kita lakukan.” Hasnah terlalu risau tentang masalahnya sekarang.
“Mama jangan terlalu bimbang sangat. Abah akan terus cari kerja. Cuma bagi sikit masa untuk abah selesaikannya.” Rosdi memujuk isterinya dengan tenang.
“Mama faham tapi sampai bila kita nak jadi macam ni.” Hasnah mengeluh.
“Abah akan usahakan juga walau macam mana sekali pun. Mama harus ingat, sekarang ni ekonomi tak berapa stabil. Mungkin sukar bagi abah nak cari pekerjaan di luar sana.” Rosdi menjawabnya dengan tenang.
“Kalau abah masih belum dapat kerja, mama rasa lebih baik kita balik ke kampung mama sajalah.” Hasnah memberi pendapat kepada suaminya. Rosdi hanya termenung saja ke luar tingkap.