“Kak Ni…”
Cepat-cepat digenggamnya tangan yang
dingin itu bila Adriani sedang berusaha membuka mata. Sejak tadi dia tidak
berganjak dari sisi katil itu. Langsung tidak lepas memerhatikan wajah Adriani
yang masih belum sedarkan diri sejak tadi.
Risau hati Adriana bukan kepalang. Lama
juga Adriani pengsan. Sudah bermangkuk-mangkuk air sejuk Bibik bawakan untuk diletakkan
ke atas dahi Kak Ni. Sudah jadi macam menjaga orang demam pula.
Rasa-rasa Adriana, mahu saja setengah jam
Kak Ni pengsan. Atau Kak Ni jamak sekali dengan tidur? Hatinya cuba berlawak. Payah
Adriani mencuba untuk bangun. Dan pantas pula Adriana membetulkan kedudukan
bantal di kepala kembarnya itu. Dia membantu Kak Ni bersandar perlahan-lahan di
kepala katil.
“Kenapa ni…?” soal Adriani dengan suara
yang hampir tidak keluar sambil memegang dahi dan kemudian belakang kepalanya.
Kepalanya masih terasa berpinar. Ada dua
tiga butir bintang yang masih mengelilingi kepalanya itu. Saki baki kepeningan
masih terasa.
“Kak Ni pengsan,” jawab Adriana perlahan. Acuh
tidak acuh sahaja sambil meletakkan kain basah yang diambil dari atas dahi
Adriana tadi ke dalam mangkuk berisi air lalu mangkuk itu dia tolak ke tengah
meja sisi.
Sudah lali dengan keadaan seperti itu.
Pengsan, pengsan, pengsan sahajalah yang Kak Ni tahu untuk menyelamatkan
suasana.Carmoflage!Adriana hanya duduk di birai katil sambil membilang
jari-jemarinya yang menari ballet di riba.
“Hah, pengsan?” Adriani bertanya seolah
tidak percaya apa yang telah berlaku ke atas dirinya sendiri.
“Yalah, pengsan disergah mama.Kak Ni pun, takkan takutnya sampai begitu
sekali?Lemah semangat betullah Kak Ni ni…” Adriana beralih laku. Memicit-micit
kaki Adriani. Tidak lagi peduli dengan tarian ballet jemarinya tadi.
Pada ketika itu Adriani hanya membisu.
Sesekali memicit kepala. Masih terasa lagi sebal di kepalanya itu.Pasti dia rebah dan kepalanya mendarat di
mana-mana tadi. Buktinya, nah ada sedikit rasa bengkak di kepala. Sakit pula
tu.
“Kak Ni stress ye study medic?Break lah dulu Kak Ni. Rehatkan otak. Pergi bercuti ke?”
tanya Adriana polos. Seolah tiada ribut taufanpun yang sedang melanda rumah
mereka tadi.
Sepasang matanya mengerling wajah Adriani
yang masih nampak termangu-mangu dengan
kerutan di muka. Sakit agaknya kepala Kak Ni, fikirnya. Sebenarnya dia mahu meminta
maaf. Masalahitu timbul disebabkan dirinya juga. Dan Kak Ni pula yang menjadi
mangsa geram Mama. Terbit rasa bersalahnya terhadap Kak Ni.
“Hmm, stress study ye juga. Stress
sebab Dik Na punya hal pun ye juga. Aduh, tak sanggup lagi Kak Ni dengar
mama jerit-jerit macam tu pada Kak Ni. Boleh masuk Hospital Bahagia tau…”
“Sorry…” balas Adriana perlahan.
Dia tundukkan kepala dan wajahnya. Rasa bersalah sangat kerana telah melibatkan
kakak kembarnya itu ke dalam konflik antara dirinya dan Mama.
“Dik Na masih nak kawan lagi ke dengan
Navin tu?” soal Adriani dengan pandangan sayu.
Terus memicit kaki Adriani, dia tidak
pandangpun wajah kembarnya itu, “Kami bukan sekadar kawan lagi Kak Ni, kami dah
rancang nak kahwin pun.”
“Loh, apa kamu fikir kahwin tu sepertinya
menonton TV?Senang banget?”
Adriani bertanya dengan pantas. Suaranya sedikit kuat. Terperanjat agaknya
dengan azam Adriana yang membara itu.
Segera Adriana memanggung wajah bila
mendengar sebaris ayat itu. Kak Ni cakap apa tadi? Buat lawak ke? Dia mahu
tergelak dengan riak pandangan Adriani kepadanya namun dia terus membalas
seloroh itu, “Loh, gue fikirin gue di Indon… sedang ketemu Dyan Sastrowidoyo!”
Cepat sahaja tangan Adriani menampar manja
bahu adik kembarnya itu.Mereka
sama-sama ketawa. Tetapi kedua-dua hati itu terasa pedih benar. “Ketawa...” gumamnya beserta jelingan.
“Yelah, yang Kak Ni pergi cakap slang
Bibik tu apasal?”Adriana
muncung.
Tiba-tiba idea Doraemonnya terbit,
“Hah..!”
“Apa pulak lagi?” tanya Adriani sedikit
terperanjat dengan reaksi adiknya itu. Langsung tangannya meraba-raba benjol di
kepalanya. Masih terasa sakit. Bimbang pula kalau ada haematuma pula nanti. Errr… darah beku.
“Ke Kak Ni ada boyfriend Indonesia?
Hah, I got you!”
Adriana terlompat di atas katil, di sisi
kembarnya itu. Wajahnya kemerahan, gembira dengan teori yang tiba-tiba terbit
di minda nakalnya.
“Jangan nak lari topik ya Sharifah Adriana
Fidzriah!” Adriani memberi jelingan. Amaran awal.
Alamak, kalau Kak Ni dah sebut nama
separuh penuh tu tandanya dia betul-betul marah. Serius punya marah! Adriana
tersengih sahaja.“Bukannya nak lari…” dia memuncung lalu duduk kembali di birai katil.
“Dik Na, cubalah fikir masak-masak. Semua
ni tak masuk akallah dik…” kata Adriani hampir memujuk rayu.
“Kak Ni janganlah risau... Dik Na akan
cuba pujuk juga Mama tu…”
“You knew the fact. Kill them die, they will never-never-never
and ever allow you to marry that Indian guy,” kata Adriani lagi sambil
menghela nafas. Berat. Bagaimanalah hendak dinasihati kembarnya yang seorang
ini?
“Janganlah Kak Ni risau, tahulah Dik Na debate
dengan Mama. Mix-bloodni kan perkara biasa. Takkanlah Mama tak suka
kalau dapat generasi yang berdarah campuran. Nanti dapat cucu rupa Pan-Asian. Malay
plus Arabic plus Indian. Geniuslagi...”
Adriana hanya tersengih-sengih.
Kedengarannya seperti adik mat jenin yang mewarisi perangai abangnya suka
berangan. Walhal dalam hatinya sudah utuh dengan satu keyakinan. Adriani pun
pasti tidak akan tahu betapa hati Adriana tersiat dengan setiap patah kata yang
dia sendiri lafazkan itu.
Saat itu dia boleh cakap apa sahaja yang
dia mahu. Boleh sebut tentang apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tetapi kesedaran
bahawa semua itu tidak pernah akan memberi sebarang makna, terlalu menyakitkan.
Bukan Adriana tidak tahu. Jalan yang
terbentang buatnya dan Navin tidak akan pernah mudah. Kalau sukarpun dia masih
boleh bersyukur. Akan dia usahakan juga untuk mengharungi ranjau yang penuh
onak dan duri itu.
Cuma apabila dia memikirkan kemungkinan
bagi perhubungannya dengan Navin terlalu mustahil untuk direalisasikan,
nafasnya sesak. Bagaimana harus dia menyakinkan Papa, terutamanya Mama bahawa
semua ini ketentuan Tuhan?
Segala perasaan yang dia ada untuk Navin
tidak semata-mata berlandaskan cinta. Dan dia amat yakin Navin juga begitu.
Entah mengapa wajah belas Navin terlalu meruntun hatinya saat itu.
Sepanjang hayat ini dia hanya mahu hidup
bersama Navin. Dan pasti juga sampai syurga. Adriana ingin beri segala
kegembiraan dan kebahagiaan kepada Navin. Memikul tanggungjawab dan beban yang
sama. Kerana dia juga berharap Navin mampu memberikan itu semua kepada dirinya.
Dengan tulus.
“Dik Na, wake up!”kata Adriani
sedikit kuat.
“You are Sharifah Adriana Fidzriah
Binti Syed Al-Malik Faizal Bin Syed Al-Jufri Kamaruzaman Bin Syed Al-Amin entah
apa ntah lagi. Keturunan kita tak ada majmuk!” tengking Adriani. Geram dengan
sikap buat toya Adriana itu.
“Then, I’ll break the Syed Guinness Record.
Lagipun Navin memang dan niat nak convert.Dia sanggup peluk Islam Kak
Ni…”
Sejenak Adriani terkesima dengan mulut sedikit terbuka bila hasrat
adiknya yang tekad itu dizahirkan lagi dengan bicara yang baru sahaja terluah
itu. Hati kalau sudah sayang semuanya akan nampak indah sahaja. Langsung tidak
nampak hari mendatang yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Bagaimana harus dia bentangkan di hadapan Adriani bahawa liku
kehidupan yang hendak dia tempuhi itu tidak mudah diharungi sekadar dengan
kasih dan cinta. Ini soal agama! Soal akhirat!
Sukar untuk dia percaya kalau Adriana sudah dibutakan oleh dakyah
pemuda India itu. Adriana seorang yang sangat bijak! Tidak mungkin dia sanggup
menggadai agama dan kepercayaan hanya demi seorang lelaki asing.
Hatinya menjadi bertambah bimbang apabila memikirkan bagaimana
banyak gadis-gadis Islam dimurtadkan oleh pemuda-pemuda asing ini. Mulanya
mereka akan memerangkap Muslimah ke dalam jerat percintaan, kemudian
mempengaruhi fikiran dan jiwa sehingga tidak lagi melihat sinar Islam.
Sudah banyak kes yang berlaku di Malaysia ini. Kalau buka Internet,
pasti akan ada cerita-cerita yang dihantar ke dalam e-mail.Cuma kes sebegitu tidak diceritakan secara
formal dan besar-besaran dalam media. Kalau tidak, mahu jadi sentimen pula
nanti. Jadi isu keselamatan dalam negera pula.
Sejuk seram Adriani apabila mengingatkan semua
perkara buruk itu. Anak-anak gadis yang sanggup menderhaka pada ibubapa dan
bertukar agama semata-mata ingin mengahwini lelaki asing. Lelaki bukan Islam.
Murtad. Adriana? Adiknya? Kembarnya
itu?Nauuzubillah…
“Apa niat dia untuk convert?”
terlafaz pertanyaan itu secara tiba-tiba. Bulu romanya sudah separuh berdiri.
“Apalah Kak Ni tanya lagi… kan Dik Na kata
kami dah plan nak kahwin…” Adriana semakin bingung.
“Kalau setakat nak kahwin dengan awak yang
buatkan dia memeluk Islam, baik tak usah. Nak memeluk Islam harus dengan niat
dan hati yang ikhlas tau Dik Na!” terjegil sepasang matanya menyeluruhi wajah
sugul Adriana.
“Kalau tidak esok lusa akan mendatangkan
masalah. Nanti bertambah menjadi dosa!” menggigil Adriani melafazkan kata-kata
itu.
“Kalau niat masuk Islam dah tak betul
macam mana jalannya nak lurus nanti?Kalau esok-esok dia jadi macam umang-umang, macam mana? Kulit je label
Islam tapi amalan? Hampeh! Dah beranak-pinak tapi tak nampak juga nilai
keislaman pada diri dia secara sempurna, macam mana? Berdosa kita Dik Na...”
“Alah, jangan cakap dia. Orang yang original
Islam tu pun belum tentu sempurna Islamnya...” sinis Adriana membalas
peringatan yang cuba dibayangkan oleh kakak kembarnya itu.
Panjang istighfar Adriani. Memanglah
tidak salah apa yang diperkatakan oleh Adriana itu. Benar bukan semua insan yang dilahirkan Islam itu
mampu menghayati dan mengamalkan ajaran sebenar. Masih ramai yang Islam mereka
hanya di atas surat beranak sahaja. Tetapi itu bukan isu yang harus mereka
debatkan saat ini.
Ditatapnya wajah Adriana dalam-dalam. Dia
tidak mahu berkasar dengan kembarnya itu. Adriana memang tidak boleh dilentur
dengan kekerasan. Sebak Adriani sudah mula sampai ke kepalanya. Segala
kemungkinan satu demi satu membayang di ruang matanya.
“Bukan itu je yang Kak Ni risau Dik Na...”
Kata-kata Adriani yang perlahan dan sayu
itu pantas menarik pandangannya Adriana. Wajah Adriani yang sugul itu dia
tenung. “Kenapa Kak Ni?”
“Mama bukan setakat tak suka Navin sebab
dia orang India je. Awak pun tahu kan, memang dah jadi syarat dalam keluarga
kita ni... mana ada ahli keluarga kita ni yang boleh kahwin dengan orang luar.”
“Iya, Dik Na tahulah hal tu...” Adriana
sudah mula tunjuk riak bosannya.
“Tapi... hish, arrange-marriage ni style
zaman dulu-dulu Kak Ni. Mama tu kan moden, elegan lagi... takkan nak ikut
budaya tu juga kot?” dia merengus perlahan sambil memaling pandang.
“Zaman dulu apa bendanya? Yang kes abang
Feysal tu awak dah lupa ke?”
Bila nama Feysal muncul di tengah-tengah
bicara, serta-merta keduanya menjadi senyap sunyi. Ada pilu yang menusuk dalam
dua keping hati itu saat nama seorang abang yang terlalu mereka rindukan
disebut lagi saat ini.
Mata Adriana sudah mula terasa hangat.
Silap haribulan akan bertakung pula air jernih itu. Cepat-cepat dia menyeka
mata. Fikirnya Adriana tidak nampak. Namun Adriani lebih peka mengesan
perubahan emosi adiknya kerana airmatanya juga bar sahaja diseka di pipi.
“Mama tak akan pernah izinkan kita cari
orang luar untuk jadi teman hidup kita...” perlahan nada Adriani berkata sambil
merenung wajah kembarnya yang sudah merudum muram.
Setelah selesa dengan helaan nafasnya,
Adriani melangut ke siling sambil menyambung bicara yang sungguh perit untuk
didengari, “Lagipun Mama sebenarnya dah ada pilihan dia sendiri untuk kita
berdua.”
Tersentak Adriana mendengar kata-kata itu.
Peristiwa Abang Syed AdamFeysal nampaknya tidak langsung menitikkan kesan ke
atas hati Mama yang sekeras batu gunung itu.
Mengapalah pemikiran orang tuanya begitu
tipikal? Adriana sukar untuk mempercayai Mama yang begitu elegantdan sophisticated
itu mendiskriminasikan suatu jalinan hubungan masyarakat dan budaya yang
luas. Sungguh dia kesal. Dan bertambah kesal kerana kembarnya itu menjadi kak
turut paling setia.
“Oh, sebab tu lah Kak Ni tak pernah kisah
nak cari teman sendiri? Kak Ni dah tahu Mama dah uruskan segala-galanya untuk
kita. Macam mana Kak Ni boleh ikut saja telunjuk Mama?” dia bertanya sinis.
“Kak Ni pun sama, lembik macam Papa…”
Pangg!!
Satu tamparan hinggap di pipi Adriana.
Berjalur lima jari. Berbekas merah di pipi. Aduhai, Adriani sendiri tidak
terduga akan tindakannya itu. Begitu spontan. Menggigil sekujur tubuhnya yang
kaku. Selama hidupnya dia tidak pernah menyakiti kembarnya itu. Malah tidak
pernah bergaduh pun dari sejak kecil.
Bermula dari telapak tangannya yang pijar,
seluruh tubuhnya terus menggeletar hebat saat melihat Adriana menitiskan
airmata. Dipekup mulutnya agar esakan tidak lepas. Hiba hatinya kerana dicerca
sedemikian rupa oleh kembarnya sendiri. Itulah juga pertama kali dalam hidupnya
dia mengasari kembarnya itu.
“Kak Ni…” rintih Adriana yang turut
menangis. Tapak tangan kanannya dipekapkan ke pipi yang sudah berbekas merah
itu.
“Sampai hati Kak Ni…”
Terhenggut–henggut bahu Adriani menahan tangis.
Matanya sudah kabur untuk memandang si adik. Tangannya ligat menyeka mata dan
muka yang basah.
“Sebelum Mama atau Papa buat begitu pada
Dik Na, biarlah Kak Ni yang tampar. Bukannya Dik Na tak tahu Mama tak akan tolerate
dalam soal-soal begini. Abang Feysal dah tinggalkan jejak yang sukar
untuk kita dik…” suara Adriana bergetar dalam sedu sedan yang tertahan.
“Kak Ni tak mahu jadi anak derhaka, dan
Kak Ni tak sanggup tengok adik Kak Ni jadi anak derhaka!” laung Adriani dalam
sedu sedannya dengan tangan yang menggoncang tubuh Adriana. Dadanya sudah
bergemuruh dengan banjiran airmata.
Adriana mematung diri membiarkan kakak
kembarnya itu melepaskan perasaannya. Goncangan Adriana sedikitpun tidak
meluruhkan airmata yang sedang bergenang dalam hati.
Lalu perlahan dia leraikan pegangan
Adriani yang kian lemah. Adriani segera bingkas. Hatinya lebih pedih dari sakit
tamparan Adriani. Semua halangan dan penolakan ini menjadikan hatinya bertambah
kental.
“Dik Na tak akan ikut kata Mama! Biar apa
pun yang akan terjadi…” ucapnya penuh azam.
Cepat Adriani panggung kepala bila
mendengar bicara yang membara itu. Airmatanya luruh lagi. Oh Tuhan....
“Apa yang Dik Na nak buat? Apa yang boleh
kita buat dik....? Kak Ni sendiri dengar Mama dan Papa berbincang minggu lepas
bila uncle Syed Ullah dengan auntyShayMe datang rumah kita. Dua
bulan lagi Kak Ni akan ditunangkan dengan Syed Budriz Ally. Dik Na pula dengan
Syed Muzaffar Asyraf tu. Pertunangan kita akan diadakan serentak dik... Inilah
hakikatnya, kita tak boleh melawan takdir kita.”
“Ini bukan takdir!” tukasnya dengan mata
bergenang menikam renungan sendu kakak kembarnya. Dalam hatinya menggigil
dengan segala perasaan yang bergalur dalam dada. Sampai hati Mama...
Terduduk dia kembali di birai katil
menekup muka dengan helaan nafas yang begitu keras dan berat.Kini segalanya akan menjadi semakin sukar.
Kembarnya sendiri sudah goyah menyokongnya. Tiada sesiapapun yang akan
menyokongnya. Saat-saat begini dia begitu memerlukan abang Feysal.
Aduhai… apa yang harus aku lakukan?
Malam itu juga dia memandu Honda Getz
pulang ke asramanya dengan pipi yang pijar. Kemerahan bekas tamparan Adriani.
Jeritan dan teriakan Mama sudah tidak dipedulikannya. Dia menangis. Kecewanya
merusuh di dalam dada.