Malam itu tahap kebosanannya sudah melebihi
paras normal. Farah selalu cakap bosan tahap gabanlah! Rasanya sekarang dia hendak guna tag line,
bosan tahap Avatar! Lagipun Navin selalu guna perkataan itu. Adriana pandang
lagi sekelilingnya. Suasananya terasa begitu sunyi dan sepi.
Kakak kembarnya tidak pulang hujung minggu
itu. Barangkali Adriani sedang membuat persediaan untuk peperiksaan tengah
tahunnya. Pastinya perempuan itu sedang tenggelam dalam timbunan buku-buku dan
nota-nota kuliahnya di rumah sewanya.
Atau mungkin juga Kak Ni masih marah
kepadanya. Lagipun tamparan wanita yang diberikan oleh kakak kembarnya itu
masih terasa-rasa di pipi. Tapi jauh di sudut hatinya Adriana tidak pernah
mengambil hati. Dia tahu apa yang Kak Ni lakukan adalah kerana kasih sayang.
Kak Ni sememangnya dari kecil sudah semulajadinya mempunyai rasa tanggungjawab
dan mengambil berat ke atas dirinya.
Perasaan kasih sayang dan ambil berat yang
tulus dari Kak Ni adalah kerana pertalian darah mereka yang sejati. Bukan
seperti Mama, melakukan sesuatu hatta dengan anak-anak sendiri kerana pertalian
status dan kedudukan.
Argh, terasa berdosa pula dia
berprasangka terhadap Mama. Wajah Kak Ni terus tergambar di ruang matanya.
Apapun yang terjadi, bukankah mereka
kembar?Seiras rupa, sama
rasa. Yang berlainan hanyalah sikap mereka sahaja. Hakikatnya mereka mempunyai
kehendak yang serupa. Cuma tahap keberanian yang mereka miliki sahaja berbeda.
Matanya membelingas memerhatikan Dia
pandang dinding kiri dan kanan. Bingkai-bingkai gambar keluarga dan pemandangan
serta bingkai untuk kalimah Allah tergantung menghiasi dinding biliknya yang
dicat hijau muda itu.
Kalau diikutkan hatinya memang Adriana
sudah tidak mahu balik lagi ke rumah. Adriana kecil hati dengan Papa. Kecewa
sangat dengan kebisuan Papa. Malah kebih-lebih lagi Adriana sudah makan hati
berulam jantung dengan Mama.
Tetapi dia ada strategi sendiri. Dia tetap
akan titiskan air pujuk ke dalam hati Mama yang keras itu. Manalah tahu kalau
hati Mama itu pun sama seperti hati wanita-wanita lain di dunia ini. Bukankah
ada pepatah Melayu yang mengatakan sekeras-keras hati wanita itu sama seperti
kerasanya kerak nasi. Kalau lama direndam air akan lembutlah juga.
Harap-haraplah Mama pun begitu... jangan
Mama ni spesis beras batu sudah. Sampai kiamat pun belum tentu lembut. Kalau
nak kena kikis sikit-sikit batu Mama, alamatnya sampai ke tua pun dia tidak
dapat kahwin dengan Navin jawabnya.
Dia baru sahaja selesai menjamah makan
malam yang disediakan oleh Bibik selepas maghrib tadi. Masak lemak tempoyak
ikan patin seperti resipi Siti Nurhaliza, sizzling sotong, goreng brokoli
campur cendawan butang dan sambal belacan dengan ulam kacang botol terhidang di
atas meja makan utama yang boleh menempatkan 12 tetamu sekali gus itu.
Malangnya selera Adriana jadi tawar
memandangkan hanya dia yang duduk di meja makan menghadap makanan-makanan yang
terhidang kemas itu. Tuan Syed dan Puan Syarifah ada dinner, itulah yang
diberitahu oleh Bibik.
Dinner,dinner, dinner.Hakikatnya memang Mama dan Papa hampir
saban malam ada dinnerdi luar bersama kelompok sosialnya. Seingatnya,
kali terakhir mereka makan sekeluarga di meja itu ialah… ialah… entah, dia
sudah tidak dapat mengingatinya lagi.
Kalau begini caranya, bila pula dia dapat
bertemu dan berbincang lagi dengan Mama? Bila pula hendak dia curahkan
berlori-lori kontena air supaya kerak dalam hati Mama akan lembut lalu Navin
boleh dia miliki dengan sebuah restu? Lagipun sejak Mama mengamuk minggu lepas,
dia tidak pernah lagi sempat bertemu wajah dengan ibubapanya itu.
Apapun yang terjadi, Adriana harus slow-talk
lagi dengan Mama dan Papa. Dia tidak mahu apa yang dikatakan Kak Ni tentang
jodoh mereka yang ditentukan Mama akan jadi kenyataan. Sebelum Mama buat
apa-apa perkata berkaitan itu, lebih baik dia unjurkan semua yang ada dalam
hatinya. Tapi, sampai hari ini pun dia tidak dapat bertemu Mama. Ish... macam
mana ni?
Disebabkan selera yang mati dan ruang
kosong yang begitu sunyi, dia jadi tidak betah berlamaan di meja makan. Kalau
diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia lari naik ke tingkat atas. Membenamkan
tangis ke dalam empuk tilam. Namun Adriana tidak sampai hati pula untuk melayan
perasaan sentimentalnya itu. Pasti Bibik akan berkecil hati.
Sudahlah Bibik bersusah payah memasak
untuk menyambutnya pulang, alih-alih tidak pula dijamahnya. Tidak sampai hati
pula dia hendak melukakan perasaan Bibik. Bibik itu sudah seperti ibu kepadanya
kerana selama ini Bibik dan arwah Umilah yang dimamakannya.
Maka, mahu tidak mahu, dengan tekak yang
terasa berpasir dia jamah juga makanan-makanan itu biarpun sedikit. Dia dapat
melihat segaris senyum di bibir Bibik yang sedang berteleku menemaninya makan. Namun
bila diajak makan sekali dia enggan.
Dia
lalu duduk di atas kerusi menghadap skrin komputernya. Suis komputer dipetik
malas. Bila skrin desktop sudah terpampang jarinya perlahan menekan tetikus di
atas simbol internet. Sudah hampir dua minggu dia tidak mengakses e-mail.Pasti sudah bertimbun-timun pesanan di
dalam kotak e-mailnya itu.
Ikon
My Yahoo diklik. Dia terus masuk ke dalam Check E-mail. Kan
betul, 154 mesej baru yang belum dibacanya. Kebanyakannya dari Navin. Dia klik
pada satu tajuk mesej yang bertajuk ‘FAMILY’.
Hi, Dear…
Ganesh bagi I satu touching poem. I tahu you
mesti suka sebab tu I forward untuk you dear. Baca ya.OK, I dah nak pergi kerja.
I singgah cc semata-mata nak
tengok mesej you. Hampeh…
Adriana
tersenyum membaca mesej yang ditulis oleh kekasih hatinya itu. Dah tahu kita
sibuk kerja setengah gila, lagi nak expect e-mail. Telefon je dah le…
hatinya mengomel.
Kemudian
matanya beralih ke bawah mesej itu lalu membaca tiap perkataan, tiap baris…
FA M I L Y
I ran into a stranger as he passed by,
"Oh excuse me please" was my reply.
He said, "Please excuse me too;
I wasn't watching for you."
We were very polite, this stranger and I.
We went on our way and we said goodbye.
But at home a different story is told,
How we treat our loved ones, young and old.
Later that day, cooking the evening
meal,
My son stood beside me very still.
When I turned, I nearly knocked him down.
"Move out of the way," I said with a frown.
He walked away, his little heart broken.
I didn't realize how harshly I'd spoken.
While I lay awake in bed,
God's still small voice came to me and
said,
"While dealing with a stranger,
common courtesy you use,
but the family you love, you seem to abuse.
Go and look on the kitchen floor,
You'll find some flowers there by the door.
Those are the flowers he brought for you.
He picked them himself: pink, yellow and blue.
He stood very quietly not to spoil the surprise,
you never saw the tears that filled his little eyes."
By this time, I felt very small,
And now my tears began to fall.
I quietly went and knelt by his bed;
"Wake up, little one, wake up," I said.
"Are these the flowers you picked for me?"
He smiled, "I found 'em, out by the tree.
I picked 'em because they're pretty like you.
I knew you'd like 'em, especially the blue."
I said, "Son, I'm very sorry for the way I acted today;
I shouldn't have yelled at you that way."
He said, "Oh, Mom, that's okay.
I love you anyway."
I said, "Son, I love you too,
and I do like the flowers, especially the blue."
FAMILY
Are you aware that if we died tomorrow, the company
that we are working for could easily replace us in
a matter of days.
But the family we left behind will feel the loss
for the rest of their lives.
And come to think of it, we pour ourselves more
into work than into our own family,
an unwise investment indeed,
don't you think?
So what is behind the story?
Do you know what the word of FAMILY
means?
FAMILY = (F)ATHER (A)ND (M)OTHER (I) (L)OVE
(Y)OU
|
Hmm… it touched me very deep, dear… desis hatinya.
Dia
sedar Navin punya motif mengirimkannya puisi Inggeris itu. Selama ini Navin
selalu menasihatinya agar berdamai denganMama. Selalu sahaja mengingatkan dirinya
akan frasa yang sudah terlalu sinonim dengan dunia.
Syurga
di bawah telapak kaki ibu.
Ah, Navin ini... macamlah dia
tidak tahu. Apakah Navin masih tidak percaya akan kata-katanya. Mama itu
kadang-kadang susah betul hendak diduga. Kerasnya, masya-Allah, tidak sanggup
rasanya... diktator Hitler pun boleh kalah!
Pun bagaimanalah Navin akan
mengerti kalau mereka tidak pernah bertemu. Atau hidup bersama seperti dirinya?
Lagipun bagaimana hendak dia terangkan kepada Navin bahawa berdamai dengan Mama
bermakna mereka harus memutuskan cinta mereka?
Sejak hubungannya dengan Navin
dihidu Mama yang meletuskan perang dunia itu, Navin dan dia hanya mampu membisu
dalam waktu yang berputar begitu laju. Navin kesal dengan tindakannya yang
sedikit gopoh itu.
Bukan salahnya juga... bukan
dia yang mula-mula membangkitkan isu itu. Memanglah dia hendak kenalkan Navin
kepada keluarga, tetapi belumlah sampai masanya lagipun.
Apa yang terjadi adalah
rentetan daripada kes bil telefon bimbitnya, Mama rupa-rupanya buat siasatan
lanjut. Mama selidiki nombor yang kerap dia panggil atau memanggilnya. Kan
sudah kata... Mama itu memang...
Dan diapun tidak lagi berani
membangkitkan hal itu sejak Navin kata mereka perlu buy the times. Buy timepun
buy timelah. Adriana masih boleh bertoleransi. Sekurang-kurangnya dia
tahu Navin masih bersamanya. Masih mahu mempertahankan cinta mereka.
Sekurang-kurangnya Adriana tahu dia tidak akan kehilangan Navin. Tidak akan
mungkin pernah kehilangannya.
Tapi sehingga bila?
Mama tidak mungkin akan pernah
bersetuju dengan pilihannya itu. Tidak akan pernah mengizinkan. Mama tidak
faham akan hatinya. Aduhai... mengapa Mama tidak pernah mahu cuba memahami hati
dan runtunan jiwa anak-anaknya ini?
Dan Amma?
Adriana sudah tidak mampu
hendak berkata apa-apa lagi bila Navin tidak mahu bercerita tentang itu. Navin
cuma kata dia akan bincang sekali lagi dengan Amma. Maknanya Navin sudah pernah
membawa hubungan mereka ke hadapan pengetahuan Amma.
Dan dari gaya Navin yang endah
tidak endah bila menjawab soalannya, Adriana sudah boleh meneka hasil
perbincangan itu. Ah, Navin itu memang terlalu mudah untuk dibaca hatinya.
Sangat telus walau selalu cuba bersembunyi di balik topeng wajahnya yang
berkulit gelap itu.
Ah, mahu bincang apa lagi
kalau penerimaan Amma pun seperti Mama? Entah-entah Amma sudah buat satu
ugutan. Orang India ini bukankah suka sangat membunuh diri? Aduh, kalau
benarlah telahannya, Amma memang sah lagi teruk daripada Mama.
Tapi takkanlah Amma sanggup
buat begitu kan? Ugut anak sendiri sebegitu? Hatinya berdetak. Kalau itulah
yang sesungguhnya Navin sembunyikan, dia sudah boleh merasai apa yang sedang
Navin rasakan. Tentu Navin sudah cukup torn in between.Memilih antara
dua. Amma atau dirinya...
Sehingga saat itu pun Navin
masih belum memberi kata putus tentang apa yang harus mereka lakukan. Diam
Navin buat Adriana tidak sanggup hendak bertanya lagi tentang duduk letaknya
pendirian pemuda itu. Samada memilih dirinya ataupun menjaga hati Amma.
Biarlah. Biarlah Navin
mengambil masanya untuk berfikir sebaik mungkin. Dia pun tidak mahu lagi
mendesak dan menggesa. Keadaan Navin yang begitu sugul menambah belah dalam
retak hatinya.
Dia sedar Navin perlu diberikan masa untuk
berfikir masak-masak. Lebih mendalam agar segalanya bisa dilaksanakan dengan
sebaik mungkin. Bak kata orang tua, menarik rambut dalam tepung biarlah
tepungnya tidak berselerak bila rambut sudah berjaya ditarik keluar.
Tak apalah, dia akan bersabar
selagi ada upaya. Kalau kasih sayang antara mereka berdua tulus ikhlas kerana
Tuhan mereka, pasti semuanya ini akan dipermudahkan jua suatu ketikanya nanti.
Aduhai, hendak redha begitulah yang paling memeritkan.
Mahu tidak mahu apalah lagi
pilihan yang ada buat mereka. Adriana sendiri tidak sanggup menyaksikan sebuah
tragedi kalau Amma betul-betul berniat membunuh diri jika mereka tekad dengan
kata hati muda mereka. Pasti dia tidak akan mampu memaafkan dirinya sendiri
kalau sesuatu yang ngeri seperti itu bisa menjadi tragedi dalam hidupnya dan
Navin.
Untuk itu Adriana rela untuk
terus menanti. Kerana dia percaya setiap apa yang difikirkan dan dilakukan oleh
Navin adalah lebih rasional berbanding dirinya. Telah dia berikan sepenuh
harapan dan kepercayaan agar apa yang Navin fikir dan rancangkan bisa
membuahkan hasil yang terbaik.
Tetapi tidak juga mampu untuk
Adriana nafikan dalam hatinya dia kadang-kala selalu diintai kebimbangan jika
Navin harus dan terpaksa memilih keluarganya. Navin akan tinggalkan dia bukan
kerana perbezaan taraf, bangsa dan agama. Tetapi Navin akan tinggalkan dia untuk
suatu alasan yang tidak akan mampu dia sangkal selama-lamanya. Demi seorang ibu
yang telah mengandung dan melahirkannya itu.
Aduhai... mengapakah keluarga
mereka tidak pernah mahu cuba untuk memahami hati juga perasaan dia dan Navin?
Mengapa Mama dan Amma terlalu pentingkan diri mereka sahaja?
Ataukah dia dan Navin yang
mementingkan diri? Buta dalam cinta?