Qais hilang kata-kata.
Dia tidak upaya melawan lagi. Dengan perlahan dia bangun dan berjalan
meninggalkan ruang tamu itu.
“Apa kata abah?” tanya
Qaisara ketika Qais duduk di sebelahnya.
Qais menjawab dengan
gelengan kepala. Hanya itu yang mampu dibuat untuk menjawab soalan adiknya.
“Sampai hati abah...”
rintih Qaisara dengan tangisan. Dia tidak mampu bertahan lagi. Esakannya
membuat Hajah Afida terjaga dari tidur dan merenung wajah Qaisara dirundung
pilu itu.
“Abah terlalu ikutkan hati
marahnya. Abah langsung tak sabarkan hatinya. Abah tak ingat takdir dan
ketentuan ALLAH. Sya tak akan kahwin dengan Affian kalau ALLAH tak takdirkan
begitu. Kenapa abah tak ingat janji ALLAH...” sambung Qaisara.
“Sara, jangan marahkan
abah. Dia berhak buat macam tu. Ini rumah dia. Mama ni isteri dia. Mama masih
boleh bertahan. Tolong jangan engkar perintah abah. Tolong jangan derhaka
kepada abah,” kata Hajah Afida dengan perlahan. Kemudian dia terlena.
“Mama...” Qais berkata
sebak. Dia sangat terharu, dalam saat seperti itupun mamanya masih
mempertahankan abahnya. Alangkah tabahnya dia. Itu muncul dalam hati Qais.
Seluruh rindu yang
ditanggung oleh Hajah Afida dirasai dengan simpati oleh Qais dan Qaisara.
“Apa kita nak buat
sekarang? Takkan kita nak biarkan mama terus menerus macam ni?” tanya Qaisara
dengan lesu.
“Entahlah Sara. Bila
abah dah kata macam tu, abang tak berani nak buat apa-apa lagi. Sya tak
diizinkan pijak rumah ni. Mama pula tak diizinkan keluar dari rumah untuk jumpa
Sya. Apa lagi cara kita nak temukan mereka.”
Suasana sepi. Mereka
diam dengan akal yang ligat berfikir.
Telefon bimbit Qaisara
berdering. Tanpa membiarkan deringan itu mengganggu tidur Hajah Afida, Qaisara
segera menjawab.
“Kak, macammana keadaan
mama?” Suara Qisya kedengaran resah.
“Demam mama belum kebah
Sya.”
“Kak, Sya nak balik
tengok mama. Sya nak...”
“Sya, jangan! Abah tak
izinkan.” Qaisara menegah dengan cepat.
“Tapi, mama sakit. Sya
kena tengok mama, kak. Tolonglah kak. Tolonglah pujuk abah,” rayu Qisya dengan
hiba.
“Kami dah cuba Sya.
Tapi, abah tetap berkeras. Dan mama, tak nak kita semua bantah cakap abah.
Tolonglah juga faham keadaan sekarang, Sya,” kata Qaisara pula.
Tidak ada yang
bersuara. Qaisara diam. Qisya juga diam. Namun esakannya tiba-tiba kedengaran jelas
di telinga Qaisara.
“Sya, sabarlah.”
“Sya nak tengok mama.
Sekejap pun jadilah.”
“Macam mana Sya nak
tengok kalau abah tak izinkan Sya masuk ke rumah ini.”
“Berilah peluang kepada
Sya, kak. Dari jauh pun tak apa. Janji Sya dapat tengok mama.”
“Nanti akak hantar
gambar mama di facebook Sya.”
“Kak, sebenarnya Sya
dah ada depan pagar ni.”
Qaisara tersentak. Dia
segera bangun dan menjengah keluar. Memang benar. Qisya dan suaminya ada di
hadapan pagar rumah itu.
“Ya ALLAH! Sya...
tolong jangan buat abah marah. Tolong balik dulu. Abah tengah naik angin tu!”
kata Qaisara sambil melambai-lambaikan tangan kepada adiknya. Kerinduannya juga
sedang menusuk jiwa.
“Sya nak tengok mama.
Mana mama?”
“Mama tak boleh bangun
Sya. Sya, tolonglah pergi dari sini sebelum abah nampak Sya...” rayu Qaisara.
“Sara, mana Sya?”
Tiba-tiba Hajah Afida membuka matanya. Dia melilau lagi.
Qaisara dan Qais saling
berpandangan. Mereka serba salah. Kerinduan anak dan ibu sudah memuncak.
“Mama, Sya ada di
hadapan pagar. Tapi, mama tak boleh ke sana.”
Mendengar nama Qisya
disebut, Hajah Afida segera bangun. Dia ingin turun dari katil. Qais
memegangnya.
“Mama, jangan turun.
Nanti mama terjatuh,” kata Qais.
“Mama nak jumpa Sya...
suruh Sya tunggu.” Sekali lagi Hajah Afida cuba bangun, tetapi dia tidak
berdaya.
Sementara Qaisara
sedang memujuk Qisya dan Qais memujuk Puan Afida, Haji Hasnan sudah berdiri di
muka pintu.
“Apa yang kecoh sangat
ni?” tanya Haji Hasnan. Qaisara mematikan talian dengan cepat.
“Bang, anak menantu
kita ada di hadapan pagar. Tolonglah izinkan mereka masuk. Saya rindu sangat
pada mereka, bang.” Hajah Afida cuba merayu
Haji Hasnan segera
berjalan ke tepi tingkap. Matanya menyambar susuk tubuh tetamu yang ada di
hadapan pagar rumahnya. Dengan cepat dia
berpaling dan wajahnya juga segera berubah. Langsung tidak ada belas kasihan dan
kasih sayang lagi!
“Saya tak izinkan budak
tu masuk ke rumah saya. Saya juga tak izinkan awak keluar berjumpa dia. titik.”
Haji Hasnan berjalan keluar. Mungkin dia tidak mahu mendengar suara rayuan
Hajah Afida yang lemah itu.
Hajah Afida mula menangis.
Dia tahu, keputusan Haji Hasnan tidak mungkin akan berubah. Itulah yang
muktamadnya. Bukan senang untuk mengubah segala yang diputuskan oleh lelaki itu.
“Sya, pergilah dari
sini. Jangan sampai abah halau. Kalau kecoh, malu dengan jiran-jiran. Nanti
akak usahakan pertemuan dalam masa terdekat. Pergilah dulu...” kata Qaisara,
merayu.
“Sara, Is, tolong
pimpin mama ke tingkap. Mama nak tengok Sya. Mama rindukan dia... tolonglah...”
Hajah Afida pula menggapaikan tangannya minta dikasihani.
Qaisara dan Qais
akur. Mereka memimpin tubuh lemah Hajah
Afida ke tepi tingkap.
“Sya...” Hajah Afida
melihat Qisya sambil melambai-lambaikan tangannya. Dia memeluk dirinya sendiri
seolah-olah dia sedang memeluk Qisya.
Mereka berbalas
lambaian. Mereka berbalas memeluk diri. Qaisara memandang dengan esakan. Qais
tunduk sebak. Alangkah syahdunya kasih sayang...
Qaisara akhirnya melekapkan
telefonnya ke telinga Hajah Afida.
“Sya...anak mama...”
panggil Hajah Afida dengan air mata. Dia melambai. Qisya membalas lambaian itu. Esakan didengar
jelas.
“Mama, Sya rindu mama.”
“Mama juga.”
“Mama jaga diri
baik-baik ya,” kata Qisya.
“Sya juga kena jaga
diri. Mama akan doakan Sya selamat.”
“Mama juga jangan risau
sangat pasal Sya. Mama kena sihat. Cepat sembuh, ya mama.”
“Ya, mama akan kuatkan
diri. Sya juga kena kuat. Mama sayang Sya.”
“Insya-ALLAH, ma. Sya sayangkan mama dan abah juga.” Qisya
melambai lagi. Kali ini dengan senyuman manis. Hajah Afida senang melihat
senyuman Qisya itu. Dia membalas senyuman itu dengan senyuman juga.
“Mama, Sya ada berita
gembira. Sya dah mengandung. Tak lama lagi, mama akan dapat cucu.”
“Ya ke?
Alhamdulillah... mama gembira sangat.” Senyuman
Hajah Afida semakin melebar. Air matanya segera dikesat. Tiba-tiba dia
rasa kuat serta merta. Demamnya dirasakan kebah!
“Sya jaga cucu mama
baik-baik.”
“Insya-ALLAH mama.”
“Sya, mama nak cakap
dengan menantu mama sekejap,” kata Hajah Afida.
Qisya menghulurkan
telefon kepada Affian.
“Assalamualaikum,
mama.”
“Waalaikummusalam. Fian
tolong jaga anak dan cucu mama. Mama tak dapat nak jaga Sya. Tapi mama yakin
dia akan gembira dan bahagia bersama Fian. Fian...” Air mata Hajah Afida menitik
lagi.
“Insya-ALLAH mama. Fian
akan jaga Sya dan cucu mama seperti Fian menjaga diri Fian sendiri. Mama jangan
susah hati. Mereka adalah nyawa Fian.”
Affian melambai tangan sebagai
tanda berjanji. Hajah Afida membalasnya dengan yakin.
Dari luar bilik, kedengaran
batuk Haji Hasnan mula mendekat. Dengan cepat Hajah Afida mematikan talian. Dia
melambai untuk kali terakhir sebelum berjalan ke katil. Dia menangis.
Qaisara dan Qais menepuk-nepuk
tubuh Hajah Afida dengan sebak. Air mata memang tidak malu menuruni pipi masing-masing.
Namun esakan cuba ditahan sebaik mungkin kerana mereka tidak mahu ia didengar oleh
Haji Hasnan.