Sudah sebulan Qisya
menjadi isteri Affian. Sebulan juga Hajah Afida menjadi ibu yang pemurung. Dia
menjalankan semua tugas sebagai isteri seperti biasa, namun keceriaannya tetap
pergi bersama Qisya.
“Kalau susah sangat,
awak pergilah ikut anak awak tu!” kata Haji Hasnan pada satu hari ketika
melihat Hajah Afida bermenung di tepi tingkap.
“Kenapa abang cakap
macam tu?”
“Yalah, jasad awak di
sini tapi hati awak dah ikut anak awak tu. Budak yang tak mengenang jasa tu
yang nak diingat-ingat!” jerkah Haji Hasnan, kasar.
“Sebusuk mana pun dia,
rahim saya yang kandungkan dia. Susah payah saya melahirkan dia...”
“Itu saya tahu. Tapi
budak tu yang tak tahu jerit perih kita. Dah besar macam ni, senang je dia ikut
jantan dan tinggalkan kita.”
“Dia tak ikut jantan. Dia
ikut suaminya. Tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Kita doakan dia
menjadi isteri yang baik dan solehah,” balas Hajah Afida dengan sabar. Hati ibu
sangat terluka kalau orang mengutuk anaknya.
Haji Hasnan ketawa
sinis. Dia senyum perli.
“Huh! Isteri yang baik
konon! Kalau dengan mak bapak pun dia derhaka, macam mana dia nak jadi isteri
yang baik. Lupakanlah! Entah-entah dia ditinggalkan je nanti dengan budak
jantan tu!”
“Abang! Kalau pun abang
bencikan dia, janganlah doakan dia yang bukan-bukan. Busuk mana pun dia tetap
darah daging abang. Belajarlah menerima takdir bang,” kata Hajah Afida, sedikit
meninggi. Dia kadang-kadang rasa kesal dan sebal dengan sikap suaminya.
Haji Hasnan menarik
muka masam. Dia meninggalkan Hajah Afida dengan hati yang geram. Luka hatinya
masih merah berdarah. Lebih sakit bila disindir begitu.
“Ya ALLAH, selamatkan
anakku dunia dan akhirat,” ucap Hajah Afida dengan hati sendu. Dia sangat
merindui Qisya. Namun dia tidak mahu mengganggu kehidupan Qisya dengan
kerinduannya itu.
Seminggu lepas, Qisya
ada menelefonnya. Redalah sedikit ombak rindu di dadanya.
“Mama, Sya rindu mama.”
“Mama juga rindukan
Sya.”
“Abah macam mana, sihat
ke dia, mama?” tanya Qisya. Hati Hajah Afida bergetar sebak. Ternyata Qisya
merindui ayahnya juga.
“Alhamdulillah. Dia
sihat. Cuma hatinya tu, masih sakit.” Hajah Afida berkata jujur. Memang itu
yang sedang berlaku. Siang malam, mulut suaminya penuh dengan kata benci. Dia
tidak lalai dari luahan geramnya. Setiap patah yang keluar dari bibirnya adalah
panah yang menembusi dada Hajah Afida.
“Sya berdosa pada abah.
Kesian abah.” Suara Qisya berubah nada. Tidak lama, kedengaran esakan halus
Qisya di hujung talian.
Hajah Afida faham akan
rasa bersalah yang sedang bersarang di hati Qisya.
“Sya, kalau Sya
kesiankan abah Sya kena banyak berdoa untuk dia. Jangan lupakan dia dalam
setiap doa Sya. Walaupun Sya dah jadi milik suami, tapi jangan lupa walau
sekali untuk mendoakan abah. Apapun yang dia kata, pedulikan.”
“Insya-ALLAH. Sya tak
akan pernah lupakan mama dan papa.”
Ketika itu air matanya
menuruni pipi dengan sangat perlahan. Hajah Afida menarik nafas. Sungguh berat
menanggung rindu.
“Tak nak tidur ke? Hari
dah jauh malam ni!” laung Haji Hasnan dari dalam bilik.
Hajah Afida segera
bangun. Air mata segera dikesat. Dia tidak mahu Haji Hasnan nampak air mata
itu. Dia akan memujuk hatinya agar tabah dengan musim rindu itu.
“Apa lagi yang awak nak
ingat-ingat? Dia sendiri langsung tak ingat awak!” kata Haji Hasnan, kasar.
Hajah Afida segera merebahkan
dirinya ke katil. Dia tidak mahu bertengkar lagi dengan suaminya. Biarlah.
ALLAH tahu apa perasaan anaknya dan perasaan dia juga. Dengan tenang dia cuba
pejamkan mata.
“Sejak bila awak nak
tidur tak bersalam dengan saya ni? Awak pun nak derhaka dengan saya macam anak
awak tu!” sergah Haji Hasnan, semakin keras.
Hati Hajah Afida
tersentak seketika. Serta merta dia bangun, menarik tangan Haji Hasnan dan
mengucupnya.
“Maafkan saya bang.
Ampuni segala dosa saya pada abang yang lama atau yang baru. Maafkan saya zahir
dan batin,” ucap Hajah Afida.
“Ni yang melebih-lebih
ni kenapa pulak? Ni bukan hari raya,” balas Haji Hasnan, memperli.
Hajah Afida melepaskan
tangan suaminya. Tidak kuasa untuk dia melayan kerenah lelaki itu lagi. Kalau
dilayan akan berlaku pergaduhan. Dia terpaksa menahan hati. Semua yang dibuat
tidak kena pada pandangan Haji Hasnan. Bukan hanya sekali ini malah sejak dulu.
Yang betul hanya dia. Yang benar cakap dia!
Hajah Afida menarik selimut.
“Maafkan saya. Saya nak
berpusing ke sebelah sana ya bang,” kata Hajah Afida, dengan penuh hormat.
“Nak menangislah tu!”
sindir Haji Hasnan dengan senyum sinis. Namun ketika itu, Hajah Afida sudah
berpusing tubuhnya mengadap ke dinding. Senyuman suaminya sudah tidak dilihat
lagi. Dia menyimpan duka.
Dia rasa lebih aman
mengadap dinding batu yang bisu, daripada mengadap muka Haji Hasnan yang
suaranya seperti duri yang menyucuk hati. Kenapalah, ego suaminya semakin lama
semakin meninggi. Padalah, dia sudah beransur tua. Sudah saatnya dia berubah
menjadi lebih memahami dan lembut hatinya!
Perubahan mendadak
berlaku selepas keputusan yang dibuat oleh Qisya. Haji Hasnan seperti melepaskan
semua beban yang ditanggungnya kepada Hajah Afida.
Panas barannya semakin
melampau-lampau. Maki hamunnya semakin menjadi-jadi. Langsung tidak ada lagi
kelembutan dan kasih sayang.
Sudah tiga puluh tahun mereka
hidup bersama. Suka duka sudah dilalui
dengan tabah. Semasa muda, hidup mereka aman dan tidak diduga langsung. Mereka
bahagia dengan anak-anak yang membesar dengan baik. Qisya anak sulung yang
selalu cemerlang. Begitu juga dengan
Qais dan Qaisara. Dengan tiga cahaya mata ini, mereka membina hidup yang sangat
bahagia.
Namun, kini sikap panas
baran dan ego Haji Hasnan sering mencabar kesabarannya. Namun, dia berpegang
kepada tali ALLAH. Dia cuba memahami kesakitan yang sedang ditanggung suaminya.
Luka yang ditinggalkan oleh Qisya begitu parah.
“Sejahat mana pun, dia
tetap suami kamu. Kamu tak boleh derhaka. Syurga seorang isteri di bawah kaki
suami.”
Itu kata-kata azimat
yang mengikat kesabarannya dari pecah. Dengan azimat itu dia menjadi isteri
yang taat. Dia merelakan dirinya menjadi tempat suaminya melepaskan marah. Biarlah,
asal Haji Hasnan rasa lega.
Kadang-kadang,
kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan dirinya. Kadang-kadang, hal
kemarahan di pejabat dibawa pulang ke rumah. Lalu dialah yang menjadi
mangsanya. Dan yang lebih menyentuh hatinya, bila sampai di muka pintu sahaja
Haji Hasnan berubah watak. Dia seperti memusuhi semua yang ada dalam rumah itu.
“Kenapa lambat sangat
buka pintu ni? Tak ada lain, membutalah tu!”
“Ida kat dapur bang,
tak dengar abang balik. Maafkan Ida.”
“Maaf, maaf. Itu saja
yang kau tahu. Dah mana air aku?”
“Ada atas meja tu. Ida
juga dah goreng jemput-jemput bawang kegemaran abang.”
“Hei, tak reti nak bawa
ke sini? Pemalasnya kau ni!”
Itulah yang sering
diterimanya. Kadang-kadang dia ingin menangis dan menghamburkan air mata di
hadapan Haji Hasnan. Namun, dengan cepat pula dia sedar bahawa hal itu hanya
akan menambah sakit hatinya.
Haji Hasnan tidak akan
bersimpati melihat air matanya!
‘Biarlah. Biarlah dia
lepaskan kemarahannya itu. Aku akan sabar berdepan dengan semuanya. Sabarlah
hati. Sabarlah jiwa...’ Dia memujuk hati sendiri.
“Mama, mama kena cakap
dengan abah tu janganlah marah tak tentu pasal macam tu. Janganlah ikut baran
dia aje. Hati mama langsung dia tak jaga. Kami ni kesian dengan mama,” kata
Qais, pada satu hari. Kebetulan dia pulang bercuti dan melihat kemarahan
abahnya yang melampau-lampau.
“Biarlah Is. Abah
tertekan. Biarkan dia lepaskan tekanan itu.”
“Dia tertekan dengan
Kak Sya, kenapa pula ibu yang jadi mangsa? Sepatutnya dia lebih profesional.
Dia kena rasional melawan nafsu amarahnya,” kata Qais, sangat tidak berpuas
hati.
“Is, tak baik cakap
abah macam tu. Kalau mama mampu terima semua ni, Is juga kena terima. Sebelum
ni, abah tak macam ni. Sebelum ni abah seorang yang penyayang. Kita kena faham
dan tabah dengan perangai abah,” pujuk Hajah Afida.
Akhirnya Qais hanya
mempu mengeluh.
Hajah Afida tidak mahu
anak-anaknya yang lain membenci Haji Hasnan. Sebab itu bila di hadapan mereka,
dia cuba seupaya mungkin menyimpan lara. Air mata langsung tidak diizin keluar.
Sebak di dada juga dibendung serapat-rapatnya.
Sabarlah hati. Tenanglah
jiwa. Hanya itu yang diminta dari ALLAH saban sujudnya.