Qisya semakin resah. Tumpuan
kepada pelajaran terganggu seketika. Dia banyak berdiam diri dan
termenung. Fikirannya kacau bilau dengan
keputusan mama dan abahnya. Juga dengan keputusan keluarga Affian.
Sungguh buntu.
“Dia boleh keluar dari
rumah ini, kalau dia masih berdegil!”
Itu kata-kata abahnya.
“Sya, fikirlah sekali
lagi. Mama sayang Sya. Mama tak nak semua ini berlaku. Sya tahu akibatnya kalau
melanggar perintah abah. Mama belum bersedia nak berpisah dengan Sya.”
Itu pula kata mamanya,
yang diiringi dengan esakan kecil. Hatinya tersayat pilu. Pendiriannya sedikit
goyah melihat air mata itu. Perlukah dia menyakiti hati orang yang sudah
melahir dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang?
Sungguh dia tidak
sanggup. Sungguh dia keliru. Namun, apa yang mampu dilakukannya. Semuanya sudah
berlaku.
“Sya, Fian hanya ada
Sya saja. Kalau Sya tinggalkan Fian sekarang entahlah apa akan jadi dengan diri
Fian ni.”
“Fian boleh balik
semula ke rumah itu. Mereka halau Fian kerana Fian nak kahwin. Mereka bukan
benci Fian, tapi mereka tak suka rancangan kita.”
“Kalau pun Fian tak
kahwin, Fian tak akan diterima seperti dulu lagi. Fian dah sakitkan hati ibu
dan ayah kerana cinta. Fian tak akan balik lagi ke rumah itu.”
Kata-kata Affian lebih
membebani fikiran Qisya.
Kalau dia ikut cakap
mama dan abahnya, bermakna dia kena tinggalkan Affian. Sedangkan Affian telah
dihalau dari rumah gara-gara dia. Kalau dia memilih untuk berkahwin, bermakna
dia terpaksa tinggalkan keluarganya.
Berhari-hari
dia berfikir dan menimbang buruk baiknya. Akhirnya, cinta mengatasi segalanya.
Qisya membuat keputusan mengikut kata hatinya. Dia ingin menjadi isteri Affian!
“Mama, tolonglah. Walau apa yang terjadi, Sya mesti kahwin
dengan Fian. Ini keputusan muktamad Sya. Tolong pujuk abah untuk mewalikan Sya.
Tolonglah ma,” rayu Qisya.
Hati Hajah Afida retak.
Dia ingin mengatakan tidak. Namun dia tidak upaya menghampakan hati seorang
anak.
“Sya, kalau itu
keputusan Sya mama tak boleh nak kata apa. Walaupun mama kecewa namun mama tak
mampu nak halang Sya. Ini soal hidup dan masa depan Sya.” Hajah Afida menahan
sebak. Tidak berdaya dia membayangkan apa yang akan berlaku selepas itu.
“Ma, Sya minta ampun
kerana terpaksa lukakan hati mama. Sya sayangkan mama. Tapi Sya juga sayangkan
Affian. Berilah Sya peluang menentukan masa depan Sya sendiri,” kata Qisya
sambil menarik tangan Hajah Afida dan menciumnya. Air matanya merembes.
Hajah Afida jatuh
belas. Dia menyapu air mata anaknya. kemudian dia menarik tubuh Qisya dan
memeluknya erat. Terasa begitu cepat masa berlalu. Qisya sudah mula dewasa. Dia
sedang menuju kepada alam kehidupan yang sebenar.
“Mama akan cuba. Tapi,
Sya jangan letak harapan yang tinggi sangat. Sya tahu macam mana sikap abah
kan? Dia keras hati dan tak ada belas kasihan. Kalau dia dah kata putih,
selamanya tetap putih dan tak akan jadi warna lain.”
Qisya angguk.
Malam itu, Hajah Afida
mempertaruhkan dirinya demi Qisya. Dia duduk bersimpuh di hadapan suaminya Haji
Hasnan. Dia merendahkan dirinya. Dia perlahankan suaranya lalu disampaikan
sekali lagi hajat anaknya.
“Jadi, awak pun suka
budak tu kahwin?” Haji Hasnan membeliakkan matanya.
“Suka tak suka, kita
kena terima keputusan dia, bang.”
“Tidak! Kalau saya kata
tidak, maknanya selamanya tidak. Saya tak akan walikan dia. Dia nak pergi,
biarkan dia pergi.” Suara Haji Hasnan bergema kuat.
“Abang, kita kena
berfikir dengan waras.”
“Apa, awak ingat saya
dah gila ke?” Haji Hasnan menjadi
semakin marah.
Hajah Afida tunduk. Dia
tahu dia sedang berdepan dengan saat getir. Demi Qisya, dia terpaksa
menerobos benteng kemarahan Haji Hasnan.
“Yang awak ni, beria-ia
sangat nak suruh saya walikan budak tu kenapa?”
“Budak mana? Dia anak
kita bang.”
“Anak yang tak kenang
budi. Anak yang engkar!”
“Pun masih anak kita.
Sebusuk mana dan sejahat manapun dia tetap darah daging kita. Takkan kita nak
biarkan dia terus macam tu?”
“Kalau dia nak terus
tinggal di sini, dia kena batalkan niatnya. Dah berapa kali saya cakap, kenapa
awak masih tak faham-faham?” jerkah Haji Hasnan.
Hajah Afida diam. Dia membiarkan
seketika suasana sepi dan kemarahan suaminya reda. Sementara itu dia sedang
meredakan hati sendiri. Hati seorang ibu yang sayangkan anaknya. Hati seorang
isteri yang taat pada suaminya.
Sehari menjadi
seminggu. Seminggu akhirnya menjadi sebulan. Keputusan tegas Haji Hasnan masih
tidak berganjak.
“Kalau abah masih tak
nak walikan Sya, mungkin Sya terpaksa juga ikut Affian berkahwin di Thailand.
Sya tak nak tunggu lagi. Lagi lama kami tunggu, lagi kusut fikiran kami.
Sedangkan tak lama lagi kami nak exam.”
“Sya, sabarlah. Berilah
sedikit masa lagi pada mama untuk merayu.”
“Sya kesian kat mama, asyik kena marah dengan abah. Sya
bersalah pada mama,” kata Qisya perlahan.
Hajah Afida senyum
nipis. Wajah anaknya direnung dengan mata berkaca. Genangan air jernih mula
memenuhi birai mata.
“Mama, Sya tak boleh
undur lagi kerana Fian sendiri sudah dihalau oleh keluarganya. Sya kena
bertanggungjawab. Maafkan Sya...” Qisya memeluk Hajah Afida.
“Sya, kamu masih baru
dalam hidup. Masih banyak ranjau yang perlu Sya lalui. Mama bimbang kalau Sya
kalah dalam hidup ini,” kata Hajah Afida membelai rambut Qisya yang mengurai
jatuh ke bahunya.
Giliran Qisya pula
diam.
“Tak apalah. Kalau Sya
rasa pilihan ini boleh buat Sya gembira dan bahagia, mama akan cuba korbankan
kegembiraan mama. Sya sabar ya. Malam ni mama akan pujuk abah lagi. Di samping
itu, Sya buatlah solat hajat dan berdoa agar hati abah lembut. Mama tak sanggup
nak biarkan Sya berkahwin di Thailand. Macam tak ada keluarga. Selagi mama
hidup, mama tak akan benarkan!” tegas Hajah Afida.
Malam itu seperti yang
dijanjikan dengan Qisya, Hajah Afida bersimpuh lagi di hadapan suaminya. Kali ini dia amat mengharapkan simpati Haji
Hasnan.
“Abang, Ida tak pernah
minta apa-apa dari abang. Kali ni Ida nak minta sesuatu dari abang. Tolonglah
tunaikan permintaan Ida ni,” kata Hajah Afida sambil menggenggam tangan Haji Hasnan.
Haji Hasnan merenung
wajah Hajah Afida. Seperti ditarik kuasa aneh, dia mengangguk perlahan.
“Ida tahu abang tak
suka dengan permintaan ini. Tapi, tolonglah. Untuk sekali ini sahaja.”
“Cakaplah. Apa nak
berbelit-belit ni?”
“Ida nak abang walikan
Qisya. Biar dia kahwin dan pergi. Kita tak boleh nak biarkan keadaan tergantung
begini.”
“Jadi, awak nak saya
mengalah dengan permintaan gila dia tu?”
“Bukan mengalah, tapi
menjalankan kewajiban sebagai ayah. Walau hati kita tak suka, kita kena hadapi.
Kalau terjadi apa-apa pada mereka, kita yang akan menyesal. Lebih baik ikat
mereka dengan akad nikah daripada membiarkan mereka ke hulu ke hilir tanpa
nikah.”
Haji Hasnan diam. Namun
matanya masih merenung tajam ke arah Hajah Afida.
“Tolong penuhi
permintaan Ida ni bang. Kalau bukan untuk Qisya, abang buatlah untuk Ida.
Sebagai ibu, Ida tak sanggup nak tengok anak Ida terumbang-ambing begitu. Mari
kita lepaskan dia dengan baik walaupun hati kita sakit.”
Suasana menjadi sepi.
Haji Hasnan mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Kotak fikirnya tiba-tiba
menjadi lebih serabut dan hatinya bertambah sakit. Dia bangun dan meninggalkan
Hajah Afida tanpa jawapan.
Titik-titik air mata
menitis perlahan di pipi seorang ibu. Hajah Afida menangis sekali lagi. Entah
untuk kali ke berapa. Dia sudah tidak mampu mengira.
Sepanjang malam itu,
dia bersimpuh pula di atas sejadah. Dia menunaikan solat hajat. Dia mohon ALLAH
berikan hak Qisya sebagai anak. Dia minta ALLAH lembutkan hati seorang ayah.
“Kalau memang ini jodoh
dia, maka KAU permudahkanlah semua urusan ya ALLAH. Sesungguhnya aku hamba-MU
yang sangat lemah.”
Bengkak matanya kerana
menangis. Sampai ke subuh dia berzikir dan berdoa. Dia serahkan seluruh
harapannya kepada ALLAH.
“Buat apa awak nak menangis macam ni? Pergi
suruh dia isi borang wali hakim. Saya akan tanda tangan borang itu. Saya tak
akan ke majlis nikah itu. Itu saja yang
boleh saya bantu awak. Saya buat ni kerana awak, bukan kerana dia!” jerkah Haji
Hasnan selepas dia terdengar esakan Hajah Afida dalam samar dinihari.
“Alhamdulillah...” ucap
Hajah Afida sambil menengadah ke langit. Dia bersyukur kerana ALLAH makbulkan doa
sucinya.
“Terima kasih bang. Itupun
dah cukup buat saya dan Qisya. Saya tak akan malukan abang. Saya akan atur
majlis itu dengan baik dan saya akan jaga maruah dan nama baik abang,” kata Hajah
Afida memegang lutut Haji Hasnan.
Dia rasa sangat gembira
dan bahagia. Berita itu seperti ubat
yang menyembuhkan resahnya.