Urusan pernikahan
berjalan lancar. Semua borang yang penting sudah diisi. Begitu juga dengan
kursus perkahwinan serta ujian HIV.
Semuanya sudah siap. Hanya menunggu majlisnya dilangsungkan.
Hajah Afida semakin
lega, walaupun dia tahu semuanya itu adalah satu permulaan untuk sebuah perpisahan
antara dia dan Qisya.
“Mama tak nak adakan
majlis tu di sini. Kamu kena bernikah di tempat lain.”
“Tapi kenapa, ma?”
“Sebab mama tak nak
orang tahu ada krisis dalam keluarga kita.”
“Tapi, kan abah dah
berikan izin. Dia dah tanda tangan surat izin wali hakim itu,” kata Qisya.
“Sya tahu apa
maknanya?”
Qisya menggelengkan
kepala. Hajah Afida merenung anaknya yang begitu lurus dan polos. Sangat muda
untuk memahami erti sebuah luka dan rajuk hati seorang ayah.
“Maknanya, dia tak akan
datang. Surat itu adalah wakil dirinya. Kalau dia nak hadir, dia tak perlu
tanda tangan surat itu. Sya, mama tak nak semua orang tertanya-tanya di mana
abah dan kenapa majlis ini dibuat secara tergesa-gesa. Abah dah kata, dia tak
nak ambil tahu.”
Qisya merenung wajah
ibunya Hajah Afida. Dia rasa belas melihat wajah yang muram dan tidak seceria
dulu. Semuanya kerana dia!
“Ma, sekali lagi Sya
minta maaf. Sya ni keterlaluan menyeksa mama...” Qisya tunduk sebak.
“Dahlah. Perkara dah
berlaku. Mama cuma nak yang terbaik dan selamat untuk Sya. Mama tak nak Sya
keluar dari rumah ini tanpa sesiapa. Sebab itu, mama sanggup buat apa sahaja
untuk Sya.”
Mereka berpelukan.
Kasih anak dan ibu bersatu dalam sendu. Pilu menghayutkan mereka.
“Minggu depan kita
langsungkan pernikahan kamu di Johor Bahru, rumah kawan mama. Dia dah uruskan
semuanya. Esok mama akan ke sana untuk menyerahkan semua surat-surat yang
penting.”
“Mama tak nak jumpa
Affian dulu? Mama belum kenal dia lagi,” kata Qisya pula.
“Hari pernikahan nanti,
kita boleh jumpa,” jawab Hajah Afida dengan nada berat.
Qisya terdiam. Terasa
sangat janggal bila semua urusan untuk pernikahan dibuat oleh mamanya tanpa
mengenali dan bersua muka dengan Affian.
“Mama tak nak tengok rupa
dan berkenalan dengan Affian?”
Geleng.
“Tapi kenapa? Mama pun
nak benci kami?”
“Bertemu atau tidak,
Sya memang dah sukakan dia. Mama dah tak ada hak untuk memilih dan menilai.
Baik pada Sya, eloklah pada mama,” jawab Hajah Afida perlahan. Dia sedang
sembunyikan hatinya yang tidak tenteram. Hati ibu mana yang gembira kalau anak
gadisnya berkahwin dengan cara itu.
Qisya terdiam. Dia
tunduk. Muncul rasa bersalah di celah hati.
“Tak apalah. Mama tahu
dia terbaik untuk Sya. Sya yang pilih dia. Maknanya Sya dah kenal hati budinya.
Rupa paras tak penting sangat. Asalkan dia akan sayang dan jaga Sya dengan
baik. Itu dah cukup untuk mama,” tambah Hajah Afida, mula tersenyum nipis. Dia
cuba memujuk hatinya yang kecewa. Dia cuba membuat Qisya tidak bersedih dengan
apa yang sedang berlaku.
“Terima kasih mama.
Banyaknya jasa mama pada Sya. Namun tak satu pun Sya balas.Sya ni hanya
memberikan kesedihan dan air mata kepada mama. Sya minta ampun ma...” Qisya
merebahkan dirinya ke dalam pelukan Hajah Afida.
Hati seorang ibu
tersentuh.
“Jangan cakap macam tu.
Tugas ibu bapa memberikan yang terbaik untuk anak-anak kerana anak adalah
amanah ALLAH. Asal dalam setiap doa Sya ada bahagian kami, itu sudah cukup buat
kami,” kata Hajah Afida sambil mencium-cium kepala Qisya.
“Sudahlah. Pergi berkemas
dan bersiap apa yang patut. Bawalah apa yang Sya nak bawa dari rumah ini, mama
izinkan.”
Qisya mendongak. Wajah
Hajah Afida direnung lama.
“Apakah tak ada ruang
lagi untuk Sya di rumah ini?”
“Sya kena hadapi semua
kemungkinan. Sya kenal abah Sya macam mana. Mama tak minta ini berlaku. Tapi,
dia suami mama. Mama kena ikut syarat dia.”
Qisya tunduk. Dia
menahan air mata.
“Sya tetap ada di hati
mama. Cuma mungkin jasad kita yang terpisah tetapi bukan hati kita. Mama harap
Sya tak akan lupakan mama. Abah pun sangat sayangkan Sya. Cuma keputusan Sya ni
dah rentap hati abah. Sabarlah. Kita kena sentiasa berdoa agar hati abah sembuh
dan berubah juga nanti.” Hajah Afida berkata jujur.
Walaupun berat untuk
meluahkan namun itu lebih baik dari membiarkan Qisya menaruh harapan yang
tinggi.
Ramai rakan-rakan siswa
yang sudah tahu hal Qisya yang akan berkahwin dengan Affian. Bermacam reaksi
yang diberi. Ada yang menyokong dan tidak kurang yang membantah.
“Sya, aku tak nak cakap
apa-apa lagi. Aku tahu kau dan Fian memang dah nekad. Jadi, cakap apapun dah
memang kau tak dengar. Aku doakan agar kau bahagia dengan pilihan dan keputusan
kau ni,” kata Mas Inani, sahabat baiknya pada satu hari selepas habis kuliah.
Qisya hanya diam
tersenyum.
“Kenapa kau tak boleh
nak tunggu. Habiskan dulu pengajian kita ni dan kerja. Lepas tu, kahwinlah,”
kata Aiza Zizan pula.
“Nani, Aiza, aku tahu
kau berdua tak suka dengan keputusan aku. Aku hargai pendapat kau berdua tapi aku
rasa hanya ini keputusan yang terbaik untuk aku dan Fian. Kami dah bersedia
untuk jadi suami isteri. Tapi aku janji dengan kau berdua bahawa aku akan habiskan
study. Aku akan naik pentas untuk terima ijazah bersama-sama kamu.
Percayalah...” kata Qisya bersungguh-sungguh.
“Fian macam mana?”
“Itu yang aku kesian
dengan dia. Dia dihalau dari rumah. Keluarga dia membuang dia... kerana aku...”
Suara Qisya bergetar menahan rasa.
Mas Inani dan Aiza
Zizan ikut bersimpati.
“Sabarlah Sya. Kau dan
Fian dah buat keputusan ni. Maknanya kau berdua dah bersedia nak hadapi
dugaannya. Inilah cabaran yang akan kau lalui,” kata Mas Inani.
Qisya mengeluh. Memang
berat keluhannya.
Seperti Qisya, Affian
juga resah. Dia sangat berdebar. Menanti hari pernikahan seperti menanti hari
untuk ke medan perang. Dia berdebar untuk memikul tugas sebagai suami.
Kadang-kadang dia juga rasa takut pada tugas dan tanggungjawab itu. Apalagi dengan
tugas sebagai siswa tahun akhir jurusan kedoktoran.
“Dah terlambat untuk
kau rasa takut Fian. Tinggal dua hari lagi kau akan jadi suami. Semuanya dah
siap. Langkah yang kau buat ni tak boleh diundur lagi. Susah atau senang, kau
kena hadapinya,” kata Mukhriz yang sudi
membenarkan Affian tinggal bersamanya di bilik sewaan untuk sementara waktu.
“Aku tahu Riz. Aku kena
kuatkan semangat. Mungkin kami akan berdepan dengan berbagai kesusahan pada
peringkat awal ini. Maklumlah, berkahwin ketika sedang belajar. Mungkin aku
terpaksa cari kerja part time untuk menyambung hidup,” balas Affian.
Mukhriz angguk
perlahan. Dia faham situasi yang sedang dihadapi oleh Affian. Keputusan Affian
telah menimbulkan kemarahan ibu bapanya. Lalu semua kemudahan yang diberikan kepada Affian ditarik balik
termasuk motorsikal yang sering digunakan ke kuliah!