Tempoh yang diberikan
oleh Hajah Norlida untuk Affian membuat keputusan, tamat. Malam itu, dia
dipanggil bersemuka di ruang tamu. Malam itu dia berdepan dengan saat sukar
menentukan jalan hidupnya.
“Apa keputusan Fian?”
tanya Hajah Norlida. Haji Zahari hanya diam menunggu.
Affian membetulkan
duduk. Dia cuba bertenang.
“Ibu, ayah... terlebih
dulu Fian minta maaf. Fian memang anak yang tak guna. Anak yang lemah.
Keputusan Fian ini langsung tak bermaksud nak hancurkan hati ibu dan ayah. Tak
juga berniat nak kecewakan ibu dan ayah. Fian harap ibu dan ayah dapat terima
keputusan ini dengan hati terbuka. Maafkan Fian ayah... ibu... ” Affian tunduk.
Dia meredakan debar.
“Jadi, kamu memilih
untuk berkahwin dari belajar? Kamu memilih gadis itu daripada memilih kami?”
tengking Haji Zahari dengan kuat.
“Ayah, Fian pilih
kedua-duanya. Fian tak nak tinggalkan sesiapa,” balas Affian, tegas.
“Tidak! Kamu berhak
pilih salah satu saja!” sergah Hajah Norlida pula. Wajahnya masam.
Affian tunduk, mencari
kekuatan.
“Fian tetap akan
berkahwin. Fian sangat cintakan Qisya. Fian dah janji dengan dia,” kata Affian
dengan nekad.
Hajah Norlida menoleh kepada suaminya. Mata mereka
bertemu dalam rona yang sama, kesal.
“Kamu dah habis fikir?”
tanya Haji Zahari dengan suara yang hilang mesra.
Angguk.
“Kamu tak menyesal?”
tanya Hajah Norlida pula.
Geleng.
“Baiklah. Kalau itu
yang kamu nak, kami terima keputusan kamu. Tapi, kami akan anggap kami dah tak
ada anak bernama Affian lagi. Kamu boleh buat apa yang kamu suka dan hidup
dengan cara kamu!” tegas Haji Zahari sambil bangun.
Hajah Norlida ikut
bangun. Kesetiaannya terserlah.
“Ayah, ibu,
tolonglah...”
“Kamu yang buat
keputusan itu. Kami nak tolong apa. Pergilah kahwin dan jangan sekali-kali bawa
isteri kamu pijak rumah kami. Faham?” sergah Haji Zahari. Kali ini kakiknya
melangkah pergi dan tidak menoleh lagi.
“Kamu boleh ambil semua
barang-barang kamu. Kami izinkan,” kata Hajah Norlida pula. Dia ikut melangkah
pergi.
Affian tunduk menahan
air mata. Kemudian esakannya kedengaran, sangat perlahan tetapi meruntun hati
sesiapa yang mendengar. Kakaknya, yang sejak tadi mendengar perbincangan itu
dari dalam bilik, ikut terdengar esakan itu.
“Fian, sabarlah. Masih
ada masa untuk Fian ubah keputusan Fian itu. Fikirlah sekali lagi demi ayah dan
ibu,” kata Kak Alawiah sambil memeluk bahu Affian.
“Keputusan Fian dah tak
boleh ubah lagi kak. Fian nak kahwin juga dengan Qisya. Kami dah janji.”
“Janji manusia boleh
ubah. Lagipun, ayah bukan nak halang terus. Dia hanya minta Fian habiskan pengajian.
Hanya satu semester lagi. Tak lama. Pejam celik pejam celik dah habis masa tu.
Sabarlah sikit,” pujuk Kak Alawiah lagi.
“Tak apalah kak. Kalau
itu keputusan ayah dan ibu, Fian terima. Bukan Fian nak derhaka, tapi Fian
sangat cintakan Qisya.” Affian mengesat
air mata. Dia membetulkan dirinya. Tidak lama, dia berjalan masuk ke
biliknya.
Bilik itu direnung
lama. Segala perhiasan dan perabot disusun cantik oleh ibunya. Di atas meja
tulis diletakkan sebuah frame gambar mereka anak beranak. Diambil gambar itu
dan dipeluknya. Lalu dia berbaring bersama frame gambar itu. Dia memeluknya
dengan erat, tanda tidak mahu berenggang dengan ahli keluarganya.
“Ya ALLAH, tolong
kuatkan semangatku. Aku adalah hamba-MU yang lemah. ENGKAU yang berikan
perasaan cinta dalam hatiku ini. ENGKAU Yang Maha Tahu apakah hikmah di
sebaliknya. Aku pasrah pada ketentuan-MU. Jika ini takdirku, aku akan
menerimanya. Tolong ampuni aku kerana menjadi anak yang engkar...”
Perlahan-lahan dia
bangun dan mencapai sebuah beg besar. Dia mula mengemas barang-barang
kepunyaannya. Fikirannya kusut. Dia langsung tidak tahu ke mana akan pergi
dengan beg itu nanti. Semuanya kerana dia tidak sangka, secepat itu dia kena
keluar dari rumah besar itu.
Telefon berdering.
“Fian okey tak?” Suara
Qisya lembut di telinganya. Dia tidak mampu berbohong. Semua dugaan telah
bermula.
“Fian?” desak Qisya
dengan cemas.
“Mereka tetap tak
setuju dan Fian tetap tidak mahu berganjak.”
“Fian...” Suara Qisya
didengarnya sebak.
“Kita kena kuatkan
semangat Sya.”
“Tapi, kita terpaksa
lukakan hati ramai orang. Ibu dan ayah kita...”
“Habis, Sya nak undur?”
Diam.
“Sya, biar apapun
terjadi kita tak boleh undur lagi.”
“Bukan undur, tapi kita
tunda.”
Giliran Affian pula
diam.
“Sya, tak apalah kalau
Sya nak undur. Tapi Fian tetap tak nak undur. Alang-alang kita dah buka mulut.
Kita dah janji untuk harungi bersama kan?”
“Mama dan abah Sya
tidak setuju. Ayah dan ibu Fian juga begitu. Sya semakin takut kita akan kalah.
Sya tak berdaya nak lawan mereka...” rungut Qisya perlahan.
“Sya, percayalah. Kita tak
buat perkara salah. Hanya ALLAH yang
tahu hajat kita.” Pujukan itu bukan
hanya untuk Qisya, tetapi untuk dirinya juga.
Affian duduk di tepi
tingkap. Dia melihat kawasan rumah yang bersih dan cantik kerana dijaga rapi.
Ibunya memang seorang yang teliti. Setiap pagi, dia akan pastikan pembantu
rumah mengemas halaman. Jangan ada sehelai daun dan sampah. Jangan pokok tidak
bersiram. Jangan ada rumput sehelai. Kalau ada, akan gegak gempita dengan
leterannya.
‘Macam mana nak buat
ayah dan ibu faham tujuan aku nak berkahwin ini?’ Dia menyoal dirinya. Bukan
sekali ini, malah sudah berkali-kali soalan itu muncul.
Dia terlalu cintakan
Qisya. Tidak sanggup berenggang walau sekejap. Rasa cinta itu sering membuatkan
mereka bersama. Di universiti hubungan mereka sudah menjadi buah mulut siswa
dan warga kampus. Dia hanya senyum bila kawan-kawan menyindir dan memerli.
Namun, satu ketika dia
rasa sindiran itu amat menyakitkan.
“Sya, apa kata kita
kawin,” usulnya kepada Qisya. Ketika itu mereka baru saja keluar dari
perpustakaan. Qisya ajak keluar makan dahulu sebelum balik ke hostel.
“Tapi kenapa?”
“Fian takut kehilangan
Sya.”
“Tapi, kitakan masih
belajar. Dari mana kita nak dapatkan duit untuk belanja kahwin.”
“Kita tak payah buat
kenduri besar-besaran. Kita nikah je. Kita buat yang wajib dan yang afdal.”
“Tapi, keluarga kita
macam mana?”
“Kita cuba fahamkan
mereka. Sya, setiap hari kita bersama. Walaupun kita tak lakukan apa-apa dosa,
tapi Fian rasa tak selesa. Kita sering digandingkan bersama dalam setiap
tugasan. Tugas praktikal di hospital pun kita sering digandingkan bersama. Dengan
rasa cinta yang ada dalam dada kita ini, lebih baik kalau kita kahwin.”
Dia melihat wajah Qisya yang berubah muram.
“Sya tak suka nak
kahwin dengan Fian?”
“Fian, bukan itu maksud
Sya. Saya cuma takut keluarga menghalang.”
“Kita cuba dulu.”
“Kalau mereka tak
suka?”
Diam. Waktu itu dia
sendiri tidak menduga akan berlaku suasasan seperti itu. Dia tidak terfikir
langsung bahawa hajatnya itu menjadi ombak besar yang melanda pantai kemarahan
ayah dan ibunya.
Lalu dia
tertanya-tanya, salahkah kalau dia ingin menghentikan fitnah dan menghalalkan
sebuah hubungan agar dia dapat belajar dengan tenang?
“Pada kau mungkin
perkara ini kecil dan tak menjejaskan apa-apa. Tapi pada keluarga kau, mungkin
ini perkara besar. Sudah tentu ibu bapa ingin melihat anaknya terima ijazah dan
bekerja dulu sebelum fikirkan hal kahwin. Malah ada ibu bapa yang nak rasa dulu
hasil penat jerih mereka membesarkan anak,” kata Hairi, teman baiknya.
“Tapi Ri, niat aku
baik. Aku nak elakkan maksiat. Kau ingat kata Ustaz Din masa kuliah subuh
semalam, bahawa bila kita berdua-duaan orang ketiga adalah iblis. Aku takut
pada fitnah dan hasutan iblis. Sebab itu aku nak segera kahwin dengan Qisya.
Aku nak belajar bersama-sama dengan tenang dengan dia,” balasnya, minta
pengertian seorang sahabat.
“Itu aku faham. Kau
berfikiran dari sudut diri kau sendiri. Kau tak fikir dari sudut ibu bapa kau.
Sudah tentu mereka tak suka dengan keputusan tergesa-gesa kau ni. Hanya satu
semester lagi Fian. Sabarlah,” pujuk Hairi pula.
“Pasal itu juga aku nak
segerakan pernikahan ini. Aku nak habiskan pengajian ini bersama dan posting ke
mana sahaja bersama-sama Qisya. Dengan adanya hubungan suami isteri, mungkin
semuanya akan menjadi lebih senang.”
Dia melihat Hairi diam
termenung. Mungkin Hairi fikir alasan itu terlalu tidak logik atau dia tidak
setuju dengan alasan itu.
“Kalau kau dah nekad,
apa lagi yang boleh aku kata. Tapi, kau kenalah hadapi semua ujian dan
rintangannya nanti. Kau kena kuat sebab aku yakin Qisya akan bergantung kepada
kekuatan kau.” Itu kata Hairi. Memang benar. Dia tidak boleh kalah. Kalau dia
lemah dan kalah, Qisya apa lagi.
Tangannya kembali
mengemas. Hatinya semakin nekad. Semangatnya semakin membuak.
Haji Zahari dan Hajah Norlida pula masuk ke
bilik dengan rasa marah dan geram yang tidak tertanggung.
“Apalah yang lebih
sangat dengan budak perempuan tu hingga dia tak sanggup nak tunggu satu
semester lagi,” keluh Hajah Norlida.
“Kalau dah degil, tak
payah nak cakap apa lagi. Biarkan dia. Nanti satu hari dia akan menyesal juga!”
tambah Haji Zahari pula sambil mengetap bibir.
Hajah Norlida diam.
Sakit sungguh hatinya melihat perubahan Affian yang semakin tidak
mendengar kata. Siapakah gadis yang
sedang menggoda Affian itu? Itu yang menjadi tanda tanya di hatinya.
“Esok saya nak ke
Kuantan. Pastikan dia keluar dari rumah ini sebelum saya balik. Saya tak nak
tengok muka dia menyemak dalam rumah saya ini lagi. Dia dah malukan saya dengan
tindakannya itu,” kata Haji Zahari.
Hajah Norlida angguk.
Kalau itu keputusan suaminya, itu juga keputusannya. Malah, hatinya lebih keras
dan tidak ada diplomasi dalam hal itu.
“Awak pergilah. Saya
akan pastikan dia keluar dari rumah ini sebelum awak balik. Saya akan ajar dia
kali ini. Dia dah terlebih manja hingga berani melawan kita. Dia tak seperti
abang dan kakaknya yang lain. Saya akan pastikan dia susah!” kata Hajah
Norlida, melepaskan geram.