Home Novel Keluarga Mentua Aku Sporting
Mentua Aku Sporting
Rabihah Nur Ridhuan
21/3/2014 22:54:53
220,974
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

Hanita memandang Kamal yang tidak berputus asa merayu padanya. Sejak seminggu yang lalu lelaki itu tidak habis-habis merayunya tentang perkara yang sama.

“ Abang, jangan buat saya begini,” kata Hanita kepada Kamal.

“ Ala, bukannya susah pun. Nita layan je Tuan Robert tu,” kata Kamal cuba memujuk isterinya.

Wajah Hanita masam mencuka. Dia berjauh hati dengan suaminya yang sanggup memperlakukannya begitu.

“ Nita tak naklah. Biar Nita cari kerja bantu abang nak tak?” Cadang Hanita.

Kamal mendenggus kasar.

“ Kau nak buat kerja apa, Nita? Kau tu pun belajar sampai darjah enam sahaja. Berapa sangat gaji yang kau boleh dapat kalau setakat kelulusan kau begitu. Kau dengar cakap aku, kau layan je Tuan Robert tu. Kerjanya mudah. Tak perlu penat pun. Pendapatannya pun lumayan. Kau tak nak hidup senang ke Nita?” Panjang benar syarahan Kamal kali ini. Dia mahu menyedarkan Hanita tentang hakikat sebenar kehidupan di muka bumi ini.

“ Memanglah Nita nak hidup senang tapi tak naklah dengan cara menjual diri begitu,” kata Hanita dengan lemah. Dia berasa tertekan dengan arahan suaminya itu. Walaupun ilmu agamanya cetek, namun dia masih ingat tentang hukum bagi orang yang berzina.

“ Kau jangan tolak tuahlah Nita. Tuan Robert tu dah tergila-gilakan kau, apa salahnya kau layan dia. Masa muda inilah kau gunakan kesempatan untuk mencari duit sebanyak mungkin, sementara ada orang nak kan kau. Nanti apabila kau dah tua, kulit pun dah berkedut seribu tiada siapa yang dah nak kan kau. Masa tu baru kau tahu betapa ruginya kau tak ikut cakap aku!”

Sedaya upaya Kamal cuba memujuk Hanita supaya melayan Robert, majikan Kamal. Baru dua bulan dia bekerja dengan Robert sebagai pemandu peribadi Robert. Robert yang berjumpa dengan isterinya buat pertama kali ketika dia membawa Hanita ke rumah Robert sempena majlis hari jadi anak Robert, mula jatuh hati dengan kecantikan yang dimiliki oleh isterinya. Permintaan berani Robert untuk keluar dengan isterinya membuka peluang kepada Kamal untuk meraih kekayaan dengan cara tidak halal. Namun Kamal tidak peduli asalkan dia mendapat kesenangan hidup walaupun maruah isterinya perlu dikorbankan.

“ Nanti apa kata jiran-jiran. Nita tak naklah abang. Nita malu.”

Hanita masih mempertahankan keputusannya. Malah dia tidak sanggup memperdagangkan maruahnya demi untuk kesenangan hidup.

“ Ah peduli apa dengan kata orang. Bukan diaorang yang bagi kita makan. Nita, aku buat begini sebab aku sayangkan kau. Aku sayangkan keluarga kita. Aku tak nak kau dan keluarga kita hidup dalam kesusahan. Aku tahu aku tak mampu beri kemewahan kepada kau sebab tu aku minta kau berkorban sedikit demi untuk kesenangan keluarga kita. Kau nak ke kalau kita ada anak kelak, anak-anak kita kelaparan sebab tak cukup duit. Kau tak kasihan ke kepada mereka? Sebab aku sayangkan kau dan keluarga kitalah yang aku buat begini,” kata Kamal. Dia arif benar akan kelemahan seorang wanita yang akan menjadi lemah apabila diberikan kata-kata cinta.

Hanita pandang kepada Kamal dengan wajah yang sayu. Sebenarnya hatinya sakit kerana Kamal sanggup memperlakukannya sebegini. Sepatutnya Kamal yang menjaga maruahnya bukannya memperdagangkan maruahnya begini. Adakah benar Kamal melakukan semua ini demi untuk kebahagian keluarga mereka atau Kamal hanya mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya?

“ Kalau abang sayang Nita, abang tak akan buat begini kepada Nita,” kata Hanita dengan lemah. Di pandang kepada baju yang dihadiahkan Kamal kepadanya sebentar tadi. Harganya melebihi gaji Kamal sebulan tetapi demi untuk memastikan Hanita kelihatan cantik di hadapan Robert, Kamal sanggup membelinya.

Kamal mendenggus lemah. Di ambil telapak tangan Hanita lalu di usapnya dengan lembut.

“ Abang sayang Nita sebab itu abang buat begini. Nita seorang perempuan dan abang lelaki. Abang di anggap sedang duduk di atas pokok kelapa sambil melihat ke hadapan manakala Nita pula sedang duduk di bawah pokok kelapa dan melihat ke hadapan. Memang benar kita sama-sama melihat tetapi pandangan kita berbeza kerana Nita hanya tengok apa yang ada di hadapan Nita manakala abang memandang jauh memikirkan kemungkinan yang akan datang. Sebab itu Allah jadikan lelaki dengan sembilan akal manakala perempuan hanya satu akal,” kata Kamal dengan mengeluarkan fakta agama demi untuk mengukuhkan hujahnya sedangkan ilmu agama yang cetek itu tidak pernah diamalkannya.

Hanita hanya mendiamkan diri. Dia malas bertekak dengan Kamal yang sememangnya kaki kelentong. Ada sahaja fakta yang akan diputar-belitkannya.

Kamal tersenyum apabila melihat isterinya yang hanya mendiamkan diri itu. Diam bermakna setuju.

“ Nita pergi ye?” Tanya Kamal sambil meramas jari-jemari isterinya.

Hanita menarik telapak tangannya daripada terus berada di dalam pegangan Kamal. Dia berasa rimas berkeadaan begitu. Rimas dengan desakan Kamal.

“ Tengoklah nanti,” kata Hanita lemah.

Next: bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.