“ TOLONG, tolong papa, jangan pukul Hannah
lagi.”
Igauan Hannah pada pukul 2.30 pagi mengganggu
lena Rayyan. Dia mendenggus geram sambil memandang kepada Hannah yang sedang
tidur di sofa. Sekali sekala tubuh badannya bergelut dengan mimpinya.
“ Tolong buang teddy bear itu! Hannah
takut!” Kata Hannah lagi.
Rayyan mendenggus kasar. Marah dia kepada
Hannah yang telah mengganggu lenanya.
“ Hoii…boleh tak kau tak memekak di tengah
malam ni? Aku nak tidurlah!” Tengking Rayyan kepada Hannah. Hannah nyata
terkulat-kulat apabila melihatkan Rayyan yang sedang memandangnya dengan ganas.
Dada Hannah berombak kencang. Ternyata mimpi ngeri itu begitu memberi kesan
terhadap emosinya.
“ Nak tidur dengan tenang sedikit pun tak
boleh,” marah Rayyan lagi sambil berbaring semula. Hannah hanya menyepi. Dia
tiada kuasa untuk melawan bicara Rayyan itu. Emosinya terganggu dengan mimpi
ngeri itu.
Dipejamkan matanya rapat-rapat. Ingin
mengenyahkan segala derita yang sedang ditanggungnya. Namun semakin dia mencuba
semakin dia kecewa. Dia tidak sanggup menerima ujian getir ini. Kalau boleh dia
mahu terus hidup bersama dengan Mak Cik Norsiah dan Adam. Hanya mereka berdua
yang benar-benar menyayanginya. Ah dia sudah lama kehilangan Mak Cik Norsiah
dan terputus khabar dengan Adam. Semenjak satu persatu ujian yang datang dia
tidak mempunyai kesempatan untuk mengirimkan khabar berita kepada Adam.
Bimbangkah Adam kepadanya?