Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,839
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 16

INTAN perasan sejak tadi lagi seorang lelaki asyik memandangnya. Lelaki itu mula-mula duduk di bawah pokok yang menghadap Bangunan Sultan Abdul Samad. Agak jauh dari kedudukannya.

Lelaki itu kemudian beralih dari satu pokok ke satu pokok sehingga semakin dekat dengannya. Dia tak ambil kisah langsung sebenarnya. Tetapi apabila dilihat lelaki tu asyik memandangnya sambil tersenyum-senyum, siapa yang tak curiga?

Dia pura-pura tak nampak lelaki itu. Berdasarkan penampilan, dia rasa lelaki itu berusia awal 20-an. Walaupun malam, dia masih boleh menilai. Yang pasti dan dia yakin, lelaki itu jenis lelaki miang!

Sedang dia pura-pura memandang ke arah lain, tiba-tiba dia terpandang lelaki itu yang sedang tepat merenungnya. Malah, lelaki itu mengenyitkan mata! Dadanya sudah berderau takut. Cepat-cepat dia memandang ke arah lain.

Terasa tangannya menggeletar. Dia cuba berlagak macam biasa. Bimbang andai lelaki itu perasan reaksinya. Terasa tekak kering, diteguk air mineral beberapa kali. Sambil minum dia membelakangkan lelaki itu. Sengaja mengelak. Harap-harap lelaki itu segera berambus!

“Hai... boleh saya duduk kat sini?”

Tersembur air dari dalam mulut Intan. Lelaki miang yang kenyit mata padanya tadi kini berdiri di sebelahnya. Kenapa kau tak berdiri depan aku tadi? Biar aku sembur kau dengan air tu sekali.

“Apasal nak duduk kat sini? Kat tempat lain kan boleh duduk. Pergilah duduk sana.” Intan menyoal dengan nada sombong.

“Sebab nak berkenalan dengan awak.” Terus lelaki itu duduk di sebelah Intan.

Bertambah berderau Intan. Cuak. Lelaki itu berkulit sedikit gelap, berkumis nipis dan bibirnya hitam. Duduk di sebelah pun dia sudah terhidu bau rokok.

Sorry, saya tak berminat.” Intan mengengsot menjauhkan diri daripada lelaki itu.

“Alah... nak kenal pun tak boleh. Tak salah kan nak berkawan?”

Bertambah meluat Intan dengan lelaki itu. Miang! Gatal! Birah! Disabarkan dirinya. Walau dalam diri sebenarnya sudah takut, dia tetap nak tunjuk yang dia berani. Dipandang ke sekeliling. Mungkin kerana hari biasa, tak ramai yang berada di situ.

“Awak ni faham bahasa tak? Saya kata saya tak berminat, tak berminatlah. Tolong pergi dari sini. Kalau tak, saya menjerit.” Sungguh pun tak ramai yang berada di sekeliling, tapi kalau dia menjerit, satu Kuala Lumpur boleh dengar.

“Alamak, sombongnya awak ni. Sombong-sombong nak pergi mana? Janganlah macam ni. Saya nak berborak je dengan awak. Tak kacau awakpun.” Lelaki itu tersenyum-senyum memandang Intan.

Meluat sungguh Intan melihat muka jantan tak tahu maluni. Tak makan saman langsung!

“Awak dari kampung ke? Kampung kat mana?”

Intan menjeling lelaki itu dengan riak menyampah. “Tak payah menyibuk tanya macam-macam.”

Lelaki itu masih tak berputus asa. Masih mahu berborak dengan Intan. “Saya pun dari kampung jugak. Datang KL cari rezeki. Cari jodoh sekali.” Senyuman lelaki itu kian meleret bagaikan menggoda Intan.

Spontan Intan berdiri. Dia dah tak tahan dengan kegatalan lelaki yang langsung tak reti nak hormat perempuan.

“Berambus sekarang.” Dia cuba bercakap dengan nada biasa. Selagi dia masih boleh bersabar. Tapi suaranya sedikit bergetar. Rasa seperti nak marah sangat.

Lelaki itu ketawa. Seolah-olah menganggap Intan hanya bergurau. “Hei, hei... tak payahlah triggered. Relaks dahlah. Sampai hati awak buat kawan awak macam ni. Tapi bila awak marah nampak comel je. Cute je...”

“Ni apa benda ni?”

Masing-masing terkejut mendengar suara yang agak garau. Intan dan lelaki itu berpaling ke arah suara tersebut.

Airel memandang Intan. Air muka Intan kelihatan lain macam. Seperti tak selesa dan ada riak marah. Direnung lelaki di sebelah Intan itu pula. Terus dia rasa benci dengan lelaki itu.

“Apa hal ni? Kau ada apa dengan dia?” soal Airel kepada lelaki yang tersengih sinis memandangnya.

“Lu jangan kacau daunlah, bro. Gua kawan dengan dia. Borak-borak kat sini. Ada gua kacau lu ke?” Lelaki itu berlagak pula dengan gaya yang dia tak takut dengan Airel.

“Bila masa aku kawan dengan kau? Eii... tolonglah. Datang-datang je nak mengacau. Kenal pun tak, kawan konon.” Intan menafikan. Tahap menyampahnya pada lelaki itu, dah tak boleh dibawa bincang lagi.

Lelaki itu menyengih. “Pandainya awak bergurau. Saya ni tak...”

“Pergi berambus!” suruh Airel. Nadanya tegas. Ditenung muka lelaki itu dalam-dalam. Isyarat yang dia sedang serius.

Lantas lelaki itu berdiri. Dia berdepan dengan Airel. Rasa tercabar meluap-luap. “Lu siapa? Suka-suka pulak nak mengarah gua.”

“Aku pakwe dia,” akui Airel dengan senyuman. Senyuman menyindir lelaki berlagak di hadapannya ini.

Intan tergamam. Rasa marahnya jadi berganda. Bila masa pulak kau tu pakwe aku? Perasan! Mahu saja dia melaung kata-kata itu di hadapan Airel. Tapi mengenangkan dia lebih meluatkan lelaki yang berbibir hitam itu, didiamkan saja. Asalkan lelaki itu berambus dan tak mengganggunya lagi.

Berdekah lelaki itu. “Tiba-tiba pakwe pulak.” Dia tak percaya langsung helah Airel.

“Kau tahu nama dia?” Airel bertanya sambil berpeluk tubuh.

Ketawa lelaki itu mati. “Err...” Memang dia tak tahu.

“Intan Nadra...” Airel memandang Intan dengan isyarat supaya berdiri di belakangnya.

Intan hanya menurut. Tak apalah kalau pun terpaksa berlakon jadi makwe Airel. Lelaki miang tu lebih menakutkan. Melampau-lampau!

Airel memandang lelaki itu yang terkelu. “Kalau perempuan tu tak layan kau, bawa-bawalah sedar diri. Jangan ingat perempuan tak ada maruah. Bukan senang-senang je sesuka hati boleh mengurat tepi jalan.”

“Alamak... banyak bunyi pulak. Nak bersyarah pergi sekolahlah. Pergi berambus sana,” dengus lelaki itu kebengangan.

“Aku pakwe dia,” ujar Airel dengan riak serius.

Intan tergamam sekali lagi. Rasa marahnya dikawal. Yang dia nak mengaku jadi pakwe aku dah kenapa? Boleh je cakap aku ni adik dia ke, jiran ke, sepupu ke, kawan sekolah ke... Ni tak. Mengada!

So, aku kenalah jaga dia. Yang kau ni, tak reti nak hormat perempuan ke? Macam mana kau hormat emak kau, patutnya macam tulah kau hormat perempuan lain. Atau dengan emak kau pun kau kurang ajar jugak?” sambung Airel lagi menyindir.

Kata-kata Airel itu membuatkan Intan rasa Airel seorang lelaki yang sangat baik. Berbudi bahasa dan sangat budiman. Ah, baik apanya? Entah-entah baik ada makna! Setakat bercakap, semua orang pun boleh. Padahal, dialah hantu segala hantu. Cepat-cepat dia sedarkan diri agar tak tertipu.

“Hei, hei... kurang ajar betul mulut kau!” Lelaki itu mahu menumbuk Airel.

Tetapi Airel tangkas menangkap tumbukan lelaki itu dan menolaknya, membuatkan lelaki itu jatuh tersungkur ke tanah. Buk!

Terkejut Intan. Tapi dalam hati dia ketawa melihat muka lelaki itu menahan sakit dan malu.

Cepat-cepat lelaki itu bingkas berdiri. Tegang mukanya menoleh sekeliling apabila ada yang memandang. Dituding telunjuknya ke muka Airel.

“Kau tunggu nasib kau nanti. Kau tunggu!” Setelah itu, dituding jari ke arah Intan pula bagai memberi amaran.

Intan buat aksi nak menumbuk lelaki itu. Mukanya digarangkan. Kalau tunjuk takut, nanti naik lemak pula jantan keparat tu.

Terus lelaki itu berlalu pergi.

Airel terdiam melihat aksi Intan itu. 

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.