Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,291
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 20

DENGAN badan disandarkan ke kerusi dan berpeluk tubuh, Airel memerhatikan Intan. Intan duduk sambil tunduk bermain-main dengan tangan sendiri yang memegang segumpal tisu. Sesekali terdengar gadis itu menyedut hidungnya yang berhingus. Dengan tisu yang dipegang itulah Intan mengesat hidung dan air mata.

Airel membiarkan Intan bertenang dulu. Di coffee house itu dibawa Intan menenangkan diri. Di situ tempat terbuka yang masih beroperasi ketika jam sudah pukul 1.30 pagi.

Secawan Espresso Macchiato panas yang dipesan untuk Intan di hadapan meja masih belum berusik walau mereka berada di situ hampir 30 minit.

“Saya rasa, baik saya hantar awak ke klinik.” Airel memecah kebisuan antara mereka.

Segera Intan menggeleng. Dia tak cedera apa-apa pun. Lagipun, dia tak nak menyusahkan Airel lagi.

Dari awal lagi Airel sudah mengajak Intan ke klinik. Tapi gadis itu keras menolak. Melihat keadaan Intan yang sejak dari dalam kereta menangis tak berhenti-henti, risau pula dia. Dia risau kalau-kalau ada calar-balar pada badan Intan yang perlu dirawat.

Intan sedaya upaya meredakan perasaannya yang bagaikan trauma dengan kejadian tadi. Tapi makin cuba ditahan, makin banyak pula air mata yang tumpah. Tubuhnya terasa masih menggeletar dan longlai.

Terbayang semula dirinya dipeluk, diraba dan dicumbu bertubi-tubi dengan lelaki-lelaki keparat itu. Dia berasa jijik! Benci! Terasa seolah-olah dia sudah ditelanjangkan. Air matanya luruh lagi.

“Awak minumlah air tu. Biar panas sikit badan awak. Biar rasa lega perasaan awak,” suruh Airel pula. Disedut Iced Lattenya sedikit.

Seketika, barulah Intan mencapai cawannya dah meneguk beberapa kali. Air yang sudah suam tu terasa melalui tekak dan terus ke perut.

Melihat keadaan Intan begitu, macam manalah Airel tak rasa kesian? Sebab itu walaupun balik lambat dari rumah mak udanya, dia tetap mahu singgah melihat Intan di Dataran Merdeka. Melihat Intan tiada di situ, dia pergi pula ke bawah jambatan tempat Intan ‘menginap’. Dia mahu pastikan yang Intan memang sudah balik.

Dalam perjalanan hendak ke bawah jambatan itulah dia nampak beberapa motosikal yang mencurigakan. Telahannya betul! Mujur Intan tak sempat diapa-apakan sekumpulan lelaki berperangai binatang itu. Bila difikir-fikirkan balik, sepatutnya dia belasah mereka semua cukup-cukup. Tadi dia cuma bagi ‘salam perkenalan’ saja. Itu pun masing-masing rebah tak boleh bangun.

“Macam mana awak tahu saya ada kat situ?” Intan menyoal tiba-tiba. Itulah yang bermain dalam fikirannya sejak tadi. Ketika ini, dirasakan perasaannya sudah mula terkawal.

Terdiam Airel seketika. Dia berfikir mencari ayat yang sesuai dituturkan agar Intan tak salah faham.

“Awak tahu kan yang saya dah pernah tengok IC awak?” Airel memulakan cerita. Dipandang mata Intan yang masih berkaca. Dia dapat rasa kesedihan yang berbuku dalam jiwa gadis itu.

Intan mengangguk sedikit.

“Saya tahu umur awak 19 tahun, Cik Intan Nadra. Masih muda dan mentah lagi. Tapi saya tengok hari-hari awak ada kat dataran tu. Sorang-sorang. Sebab saya hari-hari lalu kat situ. Sedangkan awak tu perempuan. Saya risau kalau jadi apa-apa kat awak. Saya tak tahu kenapa, tapi memang saya risau,” cerita Airel tentang apa yang dirasakannya.

“Malam kedua lepas saya jumpa awak, saya sembunyi-sembunyi follow awak. Sebab saya curiga kat mana awak tinggal. Dan malam tu saya tahu awak tidur bawah jambatan.” Suara Airel sedikit perlahan.

Bergenangan semula air mata Intan.

“Memang awak tak kenal saya. Saya pun tak kenal awak. Tapi awak rasa, bila saya dah tahu yang awak ni umur 19 tahun, perempuan, sorang-sorang kat KL ni, tidur bawah jambatan, kena kacau dengan mat rempit... tergamak ke saya nak buat bodoh je?”

Serta-merta berderai jatuh air mata yang tak mampu Intan tahankan.

Airel melepaskan nafas panjang. “Saya bukan nak ungkit yang saya ni kononnya baik. Saya cuma nak awak faham kenapa saya tolong awak. Saya tak nak awak salah faham lagi. Cukuplah awak tuduh saya macam-macam sebelum ni.”

Intan sedar sikapnya pada Airel. Dia buruk sangka pada lelaki itu.

“Tapi saya tak salahkan awak, Cik Intan Nadra. Mungkin sebab awak berjaga-jaga. Awak takut ditipu, dianiaya, dipergunakan. Sebab tu awak tak mudah percaya pada orang.” Airel bersikap rasional. Seboleh mungkin dia cuba faham situasi gadis itu.

Intan menyeka air matanya dengan tisu yang hampir lunyai di genggaman tangan.

Dalam keadaan Intan begini, Airel rasa tak sesuai dia nak berbincang dengan Intan. “Awak berehatlah dulu. Tenangkan diri awak tu. Kat sebelah ni ada hotel...”

Mendadak Intan bulatkan mata dengan riak nak marah depan-depan Airel. Perkataan ‘hotel’ itu membuatkan dia seriau.

“Tengok, tengok...” Airel tunjuk muka Intan. “Masih nak buruk sangka dengan saya. Saya tak habis cakap lagi.”

“Saya belum boleh percayakan awak lagi, Encik Airel,” tutur Intan dengan nada tegas.

Mengeluh Airel dibuatnya. “Yalah, yalah... jangan percaya kat saya. Jangan percaya langsung. Okey?”

Lalu, dikeluarkan kad bisnes dari dalam dompet. Juga dikeluarkan lesen memandu yang sudah tamat tempoh yang kebetulan masih ada di dalam dompetnya. Disua kad bisnes dan lesen memandunya itu di atas meja di hadapan Intan.

“Awak simpan ni. Kalau saya buat apa-apa kat awak, awak buat police report. Nama, alamat, nombor IC, nombor telefon, alamat tempat kerja... semua ada. Senang nak report. Kalau awak hafal lagi bagus. Manalah tahu benda ni hilang tiba-tiba,” ujar Airel sambil memerli.

Intan mengambil kad bisnes dan lesen memandu Airel yang dipotong bahagian tepi itu. Dia mencebik walau sebenarnya darjah kepercayaannya terhadap Airel sudah mencecah 90 peratus.

“Okey, bagi saya habis cakap dulu.” Airel menyimpan kembali dompetnya, mahu menyambung bicara yang terputus tadi.

“Kat sebelah ni ada hotel. Saya tolong bayarkan untuk awak tinggal kat situ selama seminggu. Untuk awak sorang je.”

Tergamam Intan. Airel sewakan hotel untuk aku selama seminggu?

“Saya...” Airel tunjuk mukanya sendiri. “Saya pulak nak balik rumah saya. Dah lewat malam sangat ni. Takut esok pagi saya tak sedar pulak nak pergi kerja.”

“Kenapa suruh saya duduk kat hotel?” Intan masih berkerut waswas.

“Takkan saya nak bawa awak tidur kat rumah saya? Eii...tak naklah.” Airel menggeleng-geleng geli.

Intan mencemik sedikit.

“Tak manis bawa anak dara orang tidur rumah walaupun tu rumah family saya.”

Mendengar kata-kata Airel itu membuatkan Intan lega. Beradab juga budak KL ni. Masih kenal tatasusila Melayu.

“Nanti apa pulak mama dengan papa saya kata. Panjang pulak cerita kalau saudara-mara semua tahu. Benda-benda macam ni boleh jadi fitnah. Tu yang saya tak nak tu.” Airel nak Intan tahu walau sebenarnya tak perlu dia nak terangkan sebab musababnya.

Intan terfikir-fikir. “Tapi hotel...”

“Alah... hotel tiga bintang je pun. Bukan mahal sangat. Tu je yang saya mampu. Awak tak payahlah nak rasa bersalah sangat. Tak payah nak rasa terharu.” Cepat-cepat Airel memintas sebelum Intan berdrama. Dia tahu, itulah yang bermain-main dalam fikiran Intan.

Intan mati kata. Airel betul-betul nak suruh dia menginap di hotel itu. Walau hotel tiga bintang je, tapi kalau untuk seminggu, mesti banyak juga bayarannya.

“Habis tu, awak nak tidur bawah jambatan lagi? Karang kalau geng mat rempit tu datang kacau awak lagi, macam mana?”

Intan memandang Airel dengan mata terbeliak. Datang rasa seriau pula. “Tapi kat jambatan tu ada Abang Man dengan isteri dia, Kak Lina. Ada anak dua orang. Kecik lagi pulak tu.” Dia cuba nak beranikan diri. Takkan mat-mat rempit tu nak apa-apakan dia bila Kak Lina sekeluarga ada di situ juga.

Terdiam Airel seketika. Masa dia sembunyi-sembunyi menghendap Intan di bawah jambatan itu, dia perasan juga ada orang lain di situ. “Err... maknanya, ada satu family yang homeless tinggal kat situ jugak?”

Intan mengangguk.

“Ya ALLAH... kesiannya.” Airel kemudian berdecit. Dia mula terfikir-fikirkan sesuatu. “Hmm... tak apalah kalau awak masih nak tidur kat bawah jambatan tu. Tapi hati-hatilah nak ke sana ya...” Dia sengaja nak takut-takutkan Intan. Kemudian dia berdiri, acah-acah nak balik.

“Err... okey, okey.” Intan menahan. Mengenangkan dia masih trauma nak ke bawah jambatan itu, dia terpaksa bersetuju.

Airel mengalihkan pandangan ke arah Intan yang berwajah naif. Muka macam minta simpati pun ada.

“Saya nak tidur hotel,” ujar Intan perlahan sambil menunduk.

Airel nak tergelak. Tapi dikemam bibir supaya tawanya tak terhambur. Sedangkan sebenarnya dia sedang mengulum senyum melihat telatah Intan.
Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.