PUKUL 8.00 malam ketika kedai runcit itu mahu ditutup, barulah Intan dibenarkan balik. Dari kedai di Jalan Dewan Sultan Sulaiman itu, dia berjalan kaki mahu ke Dataran Merdeka. Dia risau kalau-kalau Jazadin menunggunya di sana.
Perjalanan yang agak jauh juga. Hampir 30 minit barulah dia tiba di dataran itu. Lagi pula dia belum mahir mencari jalan pintas. Dia menghampiri tiang bendera yang paling tinggi itu. Alangkah terkejutnya dia melihat seseorang sedang duduk di tangga tempat dia biasa duduk itu. Terhenti dia melangkah.
“Hai, Cik Intan Nadra...” Airel menyapa dengan senyuman.
Intan tak balas langsung senyuman Airel. Dibetulkan kedudukan bucket hat di kepalanya. “Buat apa kat sini?”
“Tunggu awak.”
Berkerut dahi Intan. “Buat apa tunggu saya?”
Airel melepaskan nafas panjang. “Tadi saya pergi hotel. Saya suruh staf hotel tu call awak turun jumpa saya. Tapi dia call, awak tak ada. Sebab tu saya datang sini. Dah sejam saya tunggu. Awak pergi mana? Bukan ke awak melepak kat sini hari-hari?”
“Sedap je cakap orang melepak,” rungut Intan sambil menjeling Airel. Sakit pula hatinya.
Airel tergelak. “Tak... maksud saya, awak duduk kat sini hari-hari.”
Intan duduk di tangga itu juga, berjarak sedikit dengan Airel. Dia melepaskan lelah penat berjalan hampir setengah jam untuk ke mari. Air mineral dari dalam beg diteguk sedikit.
Airel hanya memerhati. Pakaian Intan sudah bertukar dan tak lagi memakai kemeja lengan panjang yang biasa dipakai. Terserlah luka-luka di lengan gadis itu.
“Dah okey sikit luka-luka awak tu,” komen Airel.
“Hmm...” Intan mengiakan saja.
“Nanti saya bagi awak krim vitamin E. Parut luka awak tu cepat hilang kalau sapu dengan krim tu.”
“Tak payahlah. Biarlah parut tu hilang sendiri.” Mentah-mentah Intan menolak. Dia meneguk lagi air mineral beberapa teguk. Lega sedikit kepenatan dan kehausannya.
Airel memandang dengan sangsi. “Nampak macam penat je. Awak dari mana sebenarnya ni?” Soalan ini sejak tadi Intan tak jawab-jawab.
“Saya dapat kerja hari ni.”
“Kerja?” Airel macam percaya tak percaya. “Kerja apa? Kat mana?”
“Kedai runcit kat Jalan Dewan Sultan Sulaiman. Sehari dia bayar saya RM10. Dari 8.00 pagi sampai 8.00 malam.” Intan mula bercerita. Tak tahu kenapa, ringan mulutnya nak beritahu Airel.
Membuntang mata Airel. “RM10 sehari? So, sebulan gaji awak RM300 je. Cukup ke? Ni KL tau, Cik Intan Nadra.”
“Awak rasa, saya ada pilihan ke nak kerja yang bergaji besar?” Intan memulangkan soalan.
Terdiam Airel. Mungkin mudah bagi orang lain untuk mencari kerja dan boleh memilih. Sedangkan bagi mereka yang bernasib seperti Intan, gaji RM10 itu pasti dianggap satu rahmat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya nak cari kerja part time lain pulak. Saya kena buat dua, tiga kerja.” Intan sudah merencana perjalanan hidupnya selepas ini. Dia harus gigih mencari punca pendapatan.
“Hmm... awak dah okey ke? Trauma lagi tak?” Airel masih risau melihat keadaan Intan.
Intan teringat peristiwa semalam. Memang dia trauma. Dan kesan itu masih terasa dalam diri. “Trauma macam mana sekali pun, saya kena lawan perasaan tu kalau saya nak hidup.”
Kagum Airel dengan kecekalan hati Intan. Pasti ada sebabnya. “Err... kalau awak tak kisah, awak ceritalah kenapa setiap hari awak ada kat sini.”
Jauh Intan melemparkan pandangannya ke arah puncak Menara KL yang kelihatan dari situ. Juga ke Menara KLCC yang juga hanya nampak puncak saja. Cerita hidupnya tak seindah menara-menara itu.
“Saya bukan nak menyibuk atau nak jaga tepi kain orang. Saya cuma nak tahu. Mungkin saya boleh tolong apa yang patut.”
Intan memandang Airel yang berwajah serius. Setelah apa yang terjadi malam semalam, barulah dia sedikit yakin bahawa Airel seorang yang baik. Dia rasa, dia boleh bercerita pada lelaki itu.
“Saya tunggu ayah saya datang.”
Berkerut dahi Airel.
“Ayah suruh saya lari dari rumah dan tunggu dia kat tiang bendera ni.” Kemudian Intan melepaskan nafas panjang yang amat berat.
Terasa beban yang dipukul amat sukar untuk ditanggung. Sejak kecil dia merasa hidup susah. Semakin membesar, semakin berliku jalan yang harus dia tempuhi.
“Saya bukan orang senang. Hidup saya makin susah sejak emak saya meninggal masa umur saya 10 tahun. Ayah kerja buruh binaan. Ayah kerja kuat demi nak sekolahkan saya. Membuatkan saya hidup sendiri sebab ayah jarang ada kat rumah. Tapi walau kuat ayah kerja, tetap tak cukup duit. Saya selalu ponteng sekolah sebab tak ada duit belanja.” Terimbas semula memori yang pernah dilaluinya sejak kecil.
Airel diam menjadi pendengar.
“Saya pernah beritahu ayah nak berhenti sekolah. Sebab bila sekolah, terlalu banyak duit nak kena guna. Nak beli buku, peralatan belajar, tambang bas... semua kena guna duit. Saya rasa dah menyusahkan ayah. Tapi ayah tetap nak tengok saya habis SPM. Kesian dia... duit gaji yang tinggal tak banyak dia dapat menyimpan.”
Satu per satu memori berlayar dalam ingatan Intan. Membuatkan rindunya pada Jazadin semakin menebal.
“Bila dapat gaji, dia akan belikan makanan yang saya teringin nak makan.” Intan tersenyum sinis tatkala teringat kedegilan Jazadin yang nak melihat dia makan dengan berselera.
“Pernah suatu hari, ayah belikan combo KFC yang besar tu bawa balik rumah. Saya marah ayah saya sebab membazir beli tu semua. Mahal kot!” dengus Intan kemudian.
Dia diam membayangkan kenangan bersama Jazadin itu. Dia takkan pernah lupa setiap kali ayahnya itu membelikan makanan mahal untuknya.
“Tapi ayah kata, impian dia nak bagi makan yang sedap-sedap kat satu-satunya anak yang dia ada ni...” Terus bergenangan air mata Intan. Suaranya mula berubah sebak.
Tersentuh hati Airel mendengar cerita Intan itu. Berkaca juga matanya.
“Dan walaupun saya marah kat ayah, saya yang paling banyak makan.” Intan sudahi ceritanya dengan ketawa demi menyorokkan sebak di dada.
Namun, dia diam selepas itu. Lama dia diam. Kenangan demi kenangan bersama Jazadin dibiarkan bermain di layar ingatan. Sebak yang dirasakan makin menghimpit dada. Tekaknya terasa perit kerana menahan tangisan.
Airel membiarkan Intan menenangkan perasaan. Pasti apa yang Intan lalui selama ini terlalu sukar. Sedangkan dia yang mendengar pun tersentuh, apatah lagi Intan yang menempuhnya. Itu pun Intan baru cerita sedikit. Pasti ada lagi banyak kisah duka Intan.
Setelah berasa sedikit tenang, Intan kembali bersuara. “Tahun lepas ayah berhenti kerja sebab nak buat bisnes dengan kawan dia. Lagipun, dia dah tak larat buat kerja buruh tu. Dia dah terlalu tua. Badan dia selalu sakit-sakit. Tapi duit simpanan tak cukup. Demi nak mengubah hidup jadi lebih baik, dia sanggup pinjam duit kat along RM40 ribu.
Bila dah bagi duit tu kat kawan ayah, dia lari dengan duit-duit tu semua. Lesap tak dapat dijejak. Hutang tu walau macam mana pun tetap kena bayar jugak. Ayah dah tak ada pendapatan. Gaji saya yang baru kerja lima, enam bulan tak cukup nak bayar. Along tu nak lacurkan saya kalau ayah tak boleh bayar.” Berderai air mata Intan. Itulah permulaan detik huru-hara dalam hidupnya.
Airel terangguk-angguk. Dia sudah faham derita yang sedang Intan hadapi.
“Ayah tak nak korbankan saya. Dia takkan sesekali benarkan sesiapa jadikan saya pelacur. Ayah bawa saya lari. Saya berhenti kerja dan menyorok selagi boleh. Tapi geng lintah darat tu dapat cari kita orang. Dengan duit yang tak seberapa, ayah suruh saya lari ke KL. Saya terpaksa curi-curi naik lori nak datang ke sini. Dia janji nak datang kemudian. Dia suruh tunggu kat tiang bendera ni.
Dah hampir seminggu saya tunggu, ayah tak datang jugak. Saya risaukan dia. Orang jahat tu mungkin dah tangkap ayah. Saya takut kalau-kalau ayah...” Intan terdiam menyeka air matanya. Memang perkara yang buruk-buruk menerjah fikirannya.
“Tapi ayah tak bagi saya balik Kedah. So... apa yang patut saya buat sekarang, teruskan hidup kat KL ni dan tunggu sampai ayah datang. Saya nekad nak kumpul duit untuk bayarkan hutang ayah. Saya akan kerja lebih kuat lagi. Saya cuma berharap ayah selamat kat sana.” Intan mengakhiri ceritanya dengan nafas berat dilepaskan. Dipandang dada langit. Di kejauhan ini kelihatan bulan yang sayup-sayup jaraknya.
Luluh perasaan Airel ketika ini. Kalaulah dia tak pedulikan Intan, entah apa yang terjadi pada gadis itu. “Awak berdoalah banyak-banyak. Doa sungguh-sungguh supaya ayah awak selamat tak diapa-apakan lintah darat tu. Doa semoga ayah awak datang ke KL ni jumpa dengan awak.”
Intan menyeka pipinya dengan tapak tangan. Diseka hingga kering. Cukuplah, dia tak mahu menangis lagi. Apa yang dah jadi, biarlah berlalu. Dia harus pandang ke depan dan cuba menyelesaikan masalah.
“Saya minta maaf. Saya dah buat awak sedih.” Airel tak sangka pula Intan akan menangis begini. Dan tak sangka kisah Intan sangatmenyayatkan hati.
“Hidup saya memang menyedihkan. Tak ada apa yang awak nak minta maaf.”
Makin sayu pula hati Airel. “Saya akan cuba tolong awak semampu saya.”
Intan tersenyum sedikit. “Tak apalah. Dah banyak yang awak tolong. Dari hari pertama saya kat KL ni awak dah tolong. Saya tahu awak yang letak duit RM50 dalam wallet saya. Cukuplah tu. Biar saya berdikari sendiri. Saya tak nak terhutang budi.”
“Tak apa, tak apa. Biarlah saya tolong awak.” Airel tak peduli. Dia tetap akan tolong Intan.
“Saya kata tak payah, tak payahlah. Degil!” Suara Intan keras sedikit.
Airel terdiam. Tadi Intan seorang gadis yang lemah lembut. Tiba-tiba bertukar jadi kasar balik. Dia pening.
“Saya tak nak terhutang budi. Faham? Ya, saya miskin. Saya susah. Saya orang kampung. Tapi saya bukan bodoh. Saya ada maruah.” Intan teringat kata-kata lelaki berbibir hitam yang mengejeknya sebagai gadis kampung. Tercalar hatinya. Seolah-olah jadi gadis kampung ni sehina-hina manusia.
“Awak tu... dah berapa banyak dah awak tolong saya. Awak dapatkan wallet saya dari peragut, bagi duit, bagi minyak gamat, belasah geng mat rempit yang kacau saya, bayarkan duit hotel... cukuplah. Kalau awak tolong saya lagi, jangan harap awak dapat dekat dengan saya. Saya akan pastikan awak takkan dapat jumpa saya sampai bila-bila.” Intan mengugut pula.
Serba salah Airel dibuatnya. Dalam keadaan sekarang, Intan perlukan pertolongan orang lain. Lebih-lebih lagi Intan sebatang kara kat sini. Mana boleh hidup sendiri dalam dunia ni.
“Kalau awak cuba-cuba nak tolong saya, saya mengamuk! Betul saya cakap ni. Saya tak main-main,” sambung Intan lagi.
“Yalah, yalah...” Airel setujukan saja apa yang Intan cakap. Tapi jangan harap dia akan akur dengan perintah gadis itu. Tahulah nanti dia nak buat macam mana.
“Hmm... saya baru teringat.” Intan sudah bertegas dengan diri sendiri. Dia mahu lupakan saja kisah tentang diri yang membuatkan dia sedih. Masalahnya, dia akan uruskan sendiri nanti.
“Awak pernah cakap nama saya macam familiar. Tu memang betul-betul ke, atau awak main-main je?”
Airel mengangguk-angguk. “Betul. Saya serius. Nama awak tu saya tak kisah sangat. Tapi nama ayah awak tu buat saya terfikir. Saya macam pernah kenal. Saya tak pernah jumpa ayah awak. Tapi saya macam pernah tahu. Hmm... entahlah.” Nafas panjang dilepaskan. Geram pula rasa kerana tak boleh nak ingat benda yang nak sangat dia tahu.
“Nama ayah saya?” Berkerut muka Intan.
“Nama ayah awak Abdul Jazadin. Nama tu rare kot. Saya tak pasti, tapi saya rasa nama tu macam dekat je dengan ingatan saya. Cuma saya sampai sekarang tak boleh nak ingat balik.” Airel berdecit pula.
Intan diam tak bersuara. Pelik juga pengakuan Airel itu. Nama Jazadin yang Airel kisahkan.
“Mungkin perasaan saya je kot, Cik Intan Nadra. Tak payahlah awak risau. Awak fikir pasal diri awak je.”
“Eii... panggil Intan je dahlah! Semaklah panggil nama panjang-panjang ni,” gerutu Intan menyampah. Dah lama dia menahan geram apabila mendengar Airel memanggil nama penuhnya. Formal tak beragak!
Berdekah Airel ketawa. “Mana saya tahu. Awak tak cakap.”
Intan menjeling Airel. Tapi bibirnya tersenyum sedikit.
“Saya laparlah, Intan. Teman saya makan boleh?” Lalu, Airel bingkas berdiri. “Disebabkan awak dapat kerja hari ni, saya belanja awak makan. Sempena meraikan awak. Jom...”
Intan berkira-kira. Ajakan Airel tu seolah-olah mereka sudah rapat. Sedangkan, dia bukan kenal pun dengan lelaki itu.
“Ni tak kira pertolongan tau. Ni belanja. Tak termasuk dalam ugutan awak tadi.” Sengaja Airel memerli Intan.
Intan tunjuk muka rasa nak gaduh, membuatkan Airel ketawa lagi.
“Jomlah... apa nak fikir-fikir?”
Entah kenapa Intan sudi terima pelawaan Airel. Dia berdiri. Tapi kemudian dia mengeluarkan sebatang pensel dari kocek beg sandangnya. “Sekejap.”
Lantas dia menghampiri dinding di hadapan tiang bendera tertinggi itu. Terbongkok-bongkok dia menulis di bawah lukisan Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘merdeka’.
“Huii... vandalisme.” Airel mendekati Intan.
Ah! Lantak! Intan tak peduli. Dia terus menulis sehingga selesai. Lagipun, dia tulis kecil-kecil saja.
Airel nak menghalang Intan. Tapi melihat apa yang Intan tulis membuatkan berkerut dahinya cuba membaca.
Intan menyimpan semula pensel ke dalam begnya setelah selesai menulis.
Segera Airel mendekatkan diri lagi mahu membaca apa yang Intan tulis dalam keadaan tak begitu terang di situ.
“Ayah, tunggu Intan pukul 8.30 malam.” Dibaca apa yang Intan tulis. Kemudian dia memandang Intan.
“Saya takut ayah datang sini masa saya kerja. Minta-mintalah dia baca apa yang saya tulis ni.”
Airel memandang Intan dengan perasaan sayu. Naif betul gadis ni. Lurus hatinya. Membuatkan dia mengangkat tinggi perkataan ‘wajib’ dalam dirinya untuk menjaga Intan demi keselamatan gadis itu.