Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,279
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 17

AIREL memerhati lelaki itu ke arah motor yang diparkir. Lelaki itu memeras enjin motornya hingga menderam kuat dan bising, lalu lesap meninggalkan asap. Tergeleng-geleng dia dengan perangai lelaki itu.

Kemudian, barulah dia memandang Intan semula. Intan berdiri tercegat. Tak pasti apa perasaan gadis itu.

“Awak okey?” soalnya mengambil berat.

Intan hanya mengangguk. Dia sesudah itu kembali duduk di tangga berdekatan tiang bendera yang paling tinggi itu tanpa mempedulikan Airel.

“Pergilah balik, Cik Intan Nadra... dah lewat malam ni.” Airel menyuruh apabila melihat jam sudah hampir pukul 10.00 malam.

“Jangan pedulikan saya.” Walaupun Airel dah selamatkannya, Intan tetap takkan mudah menyerah percaya pada Airel. Pertolongan Airel tadi belum cukup untuk membuktikan lelaki itu lelaki yang baik.

“Saya risau kalau-kalau awak kena kacau lagi. Saya risau jugak lelaki biadap tadi datang ke sini balik. Baik awak balik.” Ikhlas Airel menuturkan kata-kata itu.

“Awak nampak kan saya tunjuk penumbuk kat lelaki tu? Confirm dia cuak. Dia takkan berani kacau saya lagi.”

“Penumbuk awak tu?” Airel tertawa sinis. “Berhentilah perasan. Penumbuk besar senduk. Ada hati nak ‘action’ kat orang.”

“Penumbuk besar senduk pun kalau ketuk kepala, benjol jugak tau!”

“Yalah tu. Benjollah sangat,” perli Airel, mahu menyakat.

Intan terdiam. Dia menentang pandangan Airel dengan riak kehairanan.

Airel membeliakkan mata sedikit. Berani betul Intan melawan pandang dengannya.

“Adegan tadi macam dalam drama kan? Hmm... saya peliklah. Lelaki tu datang kacau saya. Tiba-tiba je awak muncul kat sini. Macam dirancang-rancang je. Hmm...” Intan menyindir Airel dengan tuduhan. Bukan nak menuduh, tapi itulah yang dia rasa.

Airel melepaskan nafas panjang. Tak sangka Intan akan menuduhnya begitu pula. Intan memang betul-betul suka buruk sangka.

“Jangan-jangan... awak kenal lelaki tu tadi. Dari awal awak berdua dah berpakat. Siapa tahu kan? Ada hati pulak tu mengaku jadi pakwe saya. Sudah-sudahlah tu. Saya takkan sesekali terpedaya.” Intan masih mahu berfikir buruk tentang Airel. Dan dia harap telahannya ini betul. Dia nak Airel berhenti merancang rancangan jahat untuk memperbodohkannya!

“Ya ALLAH...” Airel rasa macam nak ketawa. Tergeleng-geleng dia. “Sampai macam tu sekali awak fikir. Saya rasa awak boleh jadi pengarahlah. Pengarah yang tulis skrip sendiri. Imaginasi awak superb! Boleh menang Grammy Awards.”

Intan menjeling Airel. Geram diperli.

“Saya datang ke sini memang nak cari awak. Kebetulan masa saya sampai, saya nampak lelaki tu nak kacau awak. Benda jadi depan mata saya. Takkan saya nak biar je,” cerita Airel, supaya Intan tak salah anggap padanya.

“Yang awak datang sini nak cari saya dah kenapa? Tak ada kerja lain? Menyibuk je cari saya. Pergilah buat kerja yang berfaedah. Tak payah jumpa saya. Tak payah menyibuk hal saya. Saya dah tak layan, blah jelah. Jangan buang masa. Jangan menyemak depan mata saya.” Intan menambah perisa berbisa dalam kata-katanya. Sengaja dia nak sakitkan hati Airel.

Airel memandang Intan dari atas hingga ke bawah. Empat hari dia jumpa Intan, empat hari jugalah Intan pakai pakaian yang sama. Melimpah ruah perasaan simpatinya.

“Tiba-tiba je mengaku awak tu pakwe saya. Awak nak saya rasa terharu kan? Awak fikir saya akan rebah dalam genggaman awak. Awak pun bolehlah buat apa saja yang awak suka kat saya.” Intan tetap dengan syak wasangkanya. Mana boleh dia senang-senang percaya kat sesiapa je.

Airel tergeleng-geleng. Berat juga tuduhan Intan itu. Dia malas nak berlawan cakap. Terpulanglah Intan nak anggap pertolongannya itu sebagai apa saja. Dia keluarkan sesuatu dari poket seluarnya, lalu diserahkan kepada Intan.

Berkerut muka Intan kehairanan. Tak diambil apa yang Airel hulurkan kepadanya.

“Saya datang sini cari awak sebab nak bagi ni. Ambillah...”

“Nak buat apa? Saya tak perlu benda tu. Saya tak nak!” Intan meninggikan egonya ke paras yang tak tercapai dek akal. Botol minyak gamat yang dihulur Airel tak diendahkan.

“Awak perlukan minyak gamat ni.” Airel tetap berkeras nak Intan ambil botol kaca tersebut.

“Saya kata tak nak, tak naklah!”

Lantas Airel capai tapak tangan kanan Intan, lalu diselak sedikit lengan baju kemeja gadis itu. Terserlah kesan luka kemalangan gadis itu tempoh hari.

Terperanjat Intan dengan kelakuan Airel, tapi dia tak sempat nak mengelak.

“Sapu minyak ni kat luka-luka ni. Faham?” Terus diletakkan botol minyak gamat itu ke dalam tapak tangan Intan. “Kalau awak masih nak duduk kat sini, terpulanglah. Saya tak paksa. Saya cuma nak pesan je. Hati-hati...”

Terkelu lidah Intan nak bersuara. Dipandang botol pemberian Airel dan kemudian memandang lelaki itu. Tergamam.

Airel beredar pergi tanpa menunggu Intan membalas kata-katanya. Kalau Intan nak tunjuk ‘jual mahal’, dia nak tunjuk ‘tak jual langsung’. Kalau tak nanti, macam-macam yang Intan tuduh.


------------------

 

INTAN duduk bersila di atas kotak setelah membentangnya. Dipandang sekeliling. Suasana sepi. Yang kedengaran hanya air sungai dan bunyi kenderaan sesekali lalu-lalang.

Dipandang ke arah Lina sekeluarga. Masing-masing sudah terbaring tidur. Nyenyak sekali. Dia buka kemeja lengan panjangnya dengan berhati-hati. Luka di lengan masih tak ada perubahan.

Minyak gamat yang Airel berikan padanya diambil dari dalam beg. Direnung botol itu. Entah kenapa serta-merta air matanya bergenangan. Perasaannya menjadi sebak.

Nak beli sebotol ubat untuk lukanya pun dia berkira-kira kerana tak cukup wang. Dia lebih risau kebuluran daripada hidup menahan sakit. Wang yang ada pun sudah tak banyak yang tinggal. Dia tak tahu berapa hari lagi mampu bertahan sementara menunggu Jazadin datang ke Kuala Lumpur.

Berderai air matanya ke pipi. Diseka dengan jari, namun gugur lebih banyak lagi. Dia membiarkan saja air matanya berderai dengan gelora sebak yang menyesakkan dada.

Minyak gamat itu disapukan ke bahagian lengannya yang

luka. Walau terasa sedikit pedih, pedih yang dirasakan itu seakan melegakan. Disapu juga ke muka yang bercalar sedikit itu.

Selesai semuanya, barulah dia merebahkan diri. Air matanya masih tak mahu berhenti. Bibir dikemam agar esakannya tak kedengaran. Dia tak mahu Lina sekeluarga terjaga apabila mendengar dia menangis. DiaNmenangis sehingga terlelap sendiri.

Sedangkan Airel sebenarnya sedang memerhatikan Intan tidak jauh dari situ. Hatinya jadi sayu melihat keadaan Intan.

Seketika kemudian barulah dia beredar pergi. Dia kembali ke keretanya. Di dalam kereta, dia termenung sambil bersandar ke kerusi. Teringat sewaktu Intan diganggu lelaki rempit tadi. Teringat yang dia menunggu Intan di dalam kereta selepas memberi minyak gamat. Diperhatikan Intan dari dalam kereta tanpa disedari gadis itu.

Gadis itu beredar dari Dataran Merdeka ketika jam sudah hampir 12.00 tengah malam! Teringat yang dia pernah mengekori Intan senyap-senyap hingga ke bawah jambatan. Walau dari jauh, dia boleh nampak Intan menangis. Dia tahu gaya Intan menangis bagaimana.

Semua ini membuatkan dia menghempas nafas panjang. Pertemuan dia dengan Intan, nama ayah Intan yang masih tak terjawab dan apa yang berlaku pada Intan semuanya mengkucar-kacirkan fikirannya.

“Sekarang ni, macam mana aku nak tolong Intan Nadra tu? Tak tergamak kot aku nak tengok dia tidur bawah jambatan. Dia tu bukan nak orang tolong dia. Dia punya ego sombong tu mengalahkan tinggi KLCC.”

Dia diam berfikir. Dia tak nampak apa-apa jalan untuk dia tolong gadis itu.

“Tak... masalahnya, apa dia buat kat dataran tu tiap-tiap hari? Duduk mencanguk kat tiang bendera tu sorang-sorang. Tunggu orang ke?”

Memikirkan hal ini pun dia boleh pening. Nak tanya pada Intan sendiri? 729 peratus dia yakin yang Intan takkan memberitahunya apa-apa. Dia berdecit.

So, apa yang patut aku buat?”

Soalan terbiar sepi bersama malam yang kian hanyut diselimuti gelap.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.