Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,285
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 4

LANGKAH Intan semakin lemah. Diseret juga kakinya meredah apa saja di hadapan. Syukur alhamdulillah... lelaki-lelaki jahat yang mengejar tadi tak dapat menjejaknya. Sekarang, dia berharap dapat jumpa jalan besar. Dia sendiri sebenarnya tak tahu dah sampai di mana. Diikutkan saja ke mana kakinya melangkah.

Sehinggalah akhirnya dia jumpa sebuah pekan. Dia kehausan. Bahkan, perutnya terasa lapar. Petang sudah beransur mahu beralih ke malam pula. Langit mula diserkup remang senja.

Dengan bucket hat lusuh milik Jazadin yang sedikit besar itu, dia cuba menutup muka agar tak dikenali sesiapa. Dia masuk ke dalam sebuah kedai. Sebotol air mineral dan beberapa buku roti dibawa ke kaunter.

Stoking yang berisi duit pemberian Jazadin dikeluarkan dari poket seluar.

Tuan kedai itu memandang dengan kerutan di muka. Tak pernah lagi dia melihat orang menyimpan wang dalam stoking.

“Apa pasal simpan wang dalam itu stoking? Lu tak ada wallet ke?” soal tauke perempuan berketurunan Cina itu.

Intan mengerling sekilas wajah tauke kedai yang agak berumur itu. Dikeluar sehelai demi sehelai wang kertas dari stoking itu. Langsung dia tak menghiraukan soalan yang dituju padanya.

Setelah membayar harga air dan roti yang tak sampai RM7, Intan duduk mencangkung di tepi hujung di luar kedai itu. Sebuku roti diambil bersama sebotol air mineral. Yang lain disimpan dalam beg sandangnya buat stok makanan ketika lapar.

Di situ, dia makan roti itu sehingga habis. Walau masih berasa lapar, ditahan niat untuk makan roti yang lain. Wang pemberian Jazadin dikeluarkan dan dikira. Semua wang kertas RM1 dan hanya ada sehelai wang RM5.

Sayu hati Intan memegang duit yang bergulung-gulung itu. Selesai mengira, disimpan semula duit itu ke dalam stoking. Kesemuanya ada RM23.60 sahaja.

Tentu Jazadin mengumpulnya dengan bersusah payah. Dapat dibayangkan tubuh tua Jazadin terbongkok-bongkok mengutip tin-tin dan botol-botol kosong demi mendapatkan sejumlah wang itu. Kasihan ayahnya. Berderai air mata Intan.

Duit sebanyak itu tak cukup untuk ke Kuala Lumpur. Termenung dia dengan akal yang kosong. Mata yang kebasahan diseka dengan belakang tangan. Namun, tetap terasa matanya bergenangan.

Macam mana dia nak ke Kuala Lumpur dengan duit sebanyak itu? Dia buntu. Akalnya berselirat dan berserabut.

Kuala Lumpur tu jauh. Tak mungkin cukup tambang dengan jumlah duit yang dia ada ni. Duit untuk makan dan minum setelah sampai kat sana perlu diambil kira jugak.

Habis, macam mana sekarang ni? Tak payah pergi KL ke? Tapi aku dah janji dengan ayah nak jumpa kat KL. Aku dah janji nak jumpa ayah kat Dataran Merdeka. Aku mesti jumpa ayah kat sana. Tapi macam mana aku nak pergi KL dengan duit sebanyak ni?

Terasa lemah lutut Intan ketika ini. Seolah-olah rohnya dah meninggalkan jasad. Dia tak rasa jiwanya hidup lagi. Matanya berkaca-kaca. Tersandar dia di dinding dengan riak lemah.

Suasana yang kelam bertambah gelap. Segelap harapannya. Dia tak berdaya nak berfikir. Apa yang jadi pada dirinya selepas ini, dia berserah pada takdir. Lamunannya merawang-rawang kosong tanpa tujuan.

Tersentak dia apabila bunyi enjin dihidupkan agak kuat tak jauh dari kedai itu. Dia menoleh. Terpandang sebuah lori 3 tan di tepi jalan kira-kira 10 meter dari tempat dia mencangkung. Dia nampak dengan jelas selubungan di belakang lori itu terbuka. Nombor plat lori itu dipandang. Nombor pendaftaran Wilayah Kuala Lumpur!

Jantungnya mula berdebar kencang. Terasa bagaikan menghentak-hentak kuat ke dada. Diperhatikan keadaan sekeliling. Tak ada sesiapa. Barangkali semua berada di dalam kedai waktu maghrib begini.

Intan sudah terfikirkan sesuatu. Tapi seluruh tubuhnya bergemuruh kerana hendak membuat jahat. Perlahan-lahan dia berdiri. Sedangkan akalnya keras berfikir; nak - tak nak - nak - tak nak - nak - tak nak. Membuatkan dia ragu-ragu. Takut ditangkap.

Hatinya pula seakan-akan mendesak dia buat juga. Dalam keadaan teragak-agak begitu, akhirnya dia berlari ke arah lori itu dan terus memanjatnya. Lori itu penuh dengan kotak. Menggelabah dia cuba menyelitkan tubuh agar dapat bersembunyi di sebalik kotak-kotak itu.

Mujur ada sedikit ruang untuk dia mencelah dan duduk berlindungkan kotak-kotak itu. Sungguh kencang jantungnya berdegup. Sehingga dia boleh rasa dengan tangan degupan itu. Terasa darah panas naik ke muka dan dia berpeluh-peluh ketakutan.

Tidak lama selepas itu dia dengar pintu belakang lori dikunci dan selubungan ditutup. Terdengar juga suara beberapa orang lelaki Cina bercakap-cakap. Seketika, lori itu bergerak.

Dia melepaskan nafas lega yang panjang. Lega sungguh-sunguh lega. Mujur dia tak kantoi dan tak ditangkap. Tak tahulah ke mana destinasi lori itu pergi. Dia cuma mampu berdoa lori itu menghala ke Kuala Lumpur. 

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.