Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,279
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 14

TERMENUNG Airel. Terkebil-kebil. Apa yang dia alami tadi bagaikan dalam drama. Kata-kata Intan, reaksi mukanya... benar-benar buat dia tergamam. Tergamam kerana tak tahu apa salahnya.

Langkah Intan diekori dengan pandangan mata. Terbayang semula ketika dia menyentuh lengan Intan. Sumpah! Dia sekadar pegang. Tapi cara Intan mengaduh sakit tu seolah-olah tangan Intan tu kena tikam.

Serta-merta dia teringat ketika Intan merampas dompetnya tempoh hari. Dia nampak tapak tangan Intan ada kesan luka seperti jatuh kemalangan. Agaknya...

Membulat mata Airel! Tak berlengah, dia berlari ke arah di mana Intan menghilang. Dia mahu menjejak ke mana Intan pergi. Dia nak siasat sendiri.

Dalam keadaan jalan yang agak suram itu, dia tercari-cari arah yang dituju Intan. Dari jauh dia nampak Intan sedang melangkah ke arah Leboh Pasar Besar berdasarkan topi yang Intan pakai.

Sembunyi-sembunyi dia mengekori. Dia tak mahu Intan tahu. Nanti lain pula yang jadi. Tertunduk-tunduk dan menyorok-nyorok dia seperti pengintip upahan. Dia menjejak Intan sehinggalah tiba di bawah jambatan.

Dia bersembunyi di sebalik tembok. Keadaan di bawah jambatan itu agak gelap. Walaupun kelihatan ada beberapa batang lilin yang dinyalakan, masih tak membuatkan dia boleh nampak dengan jelas. Tapi dia percaya, Intan bermalam di situ.

Keluhan panjang dilepaskan bersama perasaan simpati. Juga tertanya-tanya. Nalurinya kuat mengatakan yang Intan bergelut dengan masalah dan perlu ditolong. Buat masa sekarang dia perlu bertenang. Dia akan fikirkan bagaimana caranya.

Lalu, dia beredar dari situ sebelum Intan sedar kehadirannya.


---------------------


LINA berpaling apabila terdengar bunyi tapak kaki. Dia yang sedang duduk bersila berbual-bual dengan suaminya terkejut memandang Intan.

“Awal kau balik malam ni, Intan? Biasanya aku dah tidur baru kau balik.”

Intan diam saja. Diambil kotak yang biasa digunakan, lalu membentangnya di tempat biasa.

Lina dan suaminya berpandangan sebelum masing-masing mengangkat bahu.

Setelah duduk bersila dengan selesa dan melepaskan beg sandang, Intan membuka baju kemejanya. Perlahan-lahan dan penuh berhati-hati. Sampai terpejam mata dengan muka berkerut.

Luka yang dipegang Airel tadi diperhatikan. Dalam suram malam itu dia lihat tiada apa-apa. Cuma luka itu masih tak kering-kering. Mungkin ambil masa nak baik. Sudahlah dia tak sapu apa-apa ubat.

Beg sandangnya dibuka. Bungkusan roti dikeluarkan dari beg itu sebelum dibuat bantal. Banyak roti yang dibeli. Sengaja dia beli lebih. Sebungkus roti dikeluarkan. Dipandang Lina dan Man yang sedang berbual. Lalu, roti itu dibawa kepada mereka.

“Nah, kak... ambillah.”

Lina dan Man mendongak melihat roti yang dihulur Intan.

“Saya beli lebih. Ambillah.” Intan tetap mahu Lina mengambilnya.

Lina menyambutnya. “Terima kasih.” Ketika itu matanya terpandang luka di tangan Intan. “Apasal tangan kau tu?”

“Macam luka jatuh je.” Man turut menelek luka di tangan Intan itu dengan pandangan mata.

“Err... hari tu saya jatuh accident. Tak ada apa-apalah. Sikit je ni.” Intan tersengih pura-pura tak sakit.

“Sapulah ubat.” Lina menyuruh.

“Hmm... ya, ya...” Intan kembali ke tempat pembaringan. Direbahkan diri berbantalkan beg sandang. Baju kemeja lengan panjang dijadikan selimut.

Nafas panjang dilepaskan perlahan. Terbayang semula peristiwa dengan Airel tadi. Terimbas apa yang lelaki itu katakan kepadanya.

“Bila tengok nama awak... saya rasa macam familiar, macam kenal.”

Intan mengetap gigi kegeraman. “Lelaki jahat! Ingat aku bodoh sangat nak faham maksud ayat macam tu? Tu ayat nak mengurat. Ayat nak mengenakan aku. Apa motif dia? Kat KL ni, banyak buaya tembaga. Aku takkan senang-senang nak percaya. Kau silap oranglah,” bisiknya pada diri sendiri.

“Patutnya tadi aku cakap macam tu depan-depan muka dia. Kenapalah aku gementar sampai tak tercakap? Nasib baiklah dia tak perasan yang aku sebenarnya berderau takut. Risau jugak kalau dia buat apa-apa kat aku.” Dia mengeluh berat. Selagi dia masih mampu menjaga maruah diri, dia akan jaga baik-baik.

“Walaupun hidup kita susah, ayah akan pastikan maruahIntan terjaga. Ayah nak Intan jaga diri Intan elok-elok. Jaga maruah Intan. Biar kita miskin, asalkan maruah kita tak murah.”

Terngiang-ngiang nasihat Jazadin tempoh hari. Nasihat yang melekat kuat dalam kepalanya.

“Ingat, Intan... jangan percaya pada sesiapa pun. Orang yang baik tu selalunya nak ambil kesempatan pada kita. Hati-hati.”

Terdengar-dengar lagi pesanan Jazadin padanya sebelum diamelarikan diri ke Kuala Lumpur. Pesanan itu akan terus tersemat dalam hati. 

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.