Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,839
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 10

SAMPAI saja di tepi Dataran Merdeka di bahagian tengah Bangunan Sultan Abdul Samad, Airel melilaukan pandangan. Dompet lusuh di tangannya itu diangkat tinggi-tinggi. Mahu menarik perhatian pengunjung yang sudah berkurangan di situ. Sudahlah dia tak nampak langsung pemilik dompet itu semasa mengejar peragut tadi.

Beberapa detik berlalu dan masih tiada ura-ura ada sesiapa yang mahu menuntut dompet itu. Tangan Airel mula terasa lenguh kerana diangkat tinggi begini dan agak lama.

“Nak pulang kat siapa, bang? Orangnya pun kita tak kenal.” Fizi turut meliarkan pandangan.

“Tunggu jelah.”

“Entah-entah dia dah balik. Dia ingat agaknya wallet dia dah ‘selamat’ kat peragut tu.”

Airel terfikir juga kebarangkalian itu.

“Cuba abang tengok IC dalam wallet tu. Kita pulangkan ikut alamat dalam IC dia,” cadang Fizi pula.

Airel mengikut saja kata-kata Fizi itu. Tangannya diturunkan. Dompet itu dibuka. Di bawah lampu di dataran itu, barulah dia nampak dengan jelas. “Haa... baru nampak. Tadi gelap tak nampak sangat.”

“Lelaki punya ke, perempuan?”

“Perempuan. Boleh tahan comel gambar dia.”

Berkerut dahi Fizi. “Perempuan punya? Apasal buruk betul wallet dia? Ni wallet zaman bila punya? Alien Workshop.”

Soalan itu Airel tak hiraukan. Dia sedang menelek nama dan gambar di kad pengenalan tersebut. “Intan Nadra binti Abdul Jazadin.”

“Sedap nama dia.”

“Muda lagi budak ni. Baru 19 tahun,” komen Airel apabila melihat tahun kelahiran gadis itu.

“Alamat?”

“Kat Alor Setar, Kedah.”

“Jauh pulak kalau nak pulangkan kat sana.” Fizi mengeluh.“Tak pun kita pos je,” cadangnya lagi.

Airel membelek lagi dompet itu. Ada gambar polaroid gadis itu bersama seorang lelaki tua. Ayahnya barangkali. Berdasarkan gambar itu, memang cantik si empunya diri. Matanya bulatnya sangat cantik. Dan ada juga sekeping kad bank. Itu saja.

Berkerut dahinya. Sudahlah dompet itu lusuh. Dan isinya hanya ada itu saja? Mujur tadi dia meletakkan wang RM50. Kalau tak, dompet itu cuma ada tiga benda saja.

Ketika masing-masing kebingungan, seseorang muncul di hadapan mereka. Airel dan Fizi serentak menoleh. Seseorang yang bertopi jenis bucket hat menutup sedikit muka, berkemeja biru gelap lengan panjang yang tak dibutangkan di lengan serta bahagian hadapan, berbaju-T warna kelabu di bahagian dalam, berseluar jeans yang sedikit koyak di lutut, memakai sneakers lusuh terkoyak sedikit dan membawa beg sandang.

Airel tergamam. Yang berdiri di hadapannya itu kurus orangnya. Kurus kering. Tinggi pun paras bahunya saja. Kulit agak cerah. Walaupun gaya berpakaian seperti lelaki, dia tahu itu perempuan sebenarnya. Penampilan selekeh begitu masih tak dapat melupuskan kecantikan gadis itu. Dia ni ke pemilik dompet tu?

“Err...”

Belum sempat Airel bersuara, Intan merampas dompetnya dari tangan Airel. Riak mukanya serius. “Ni dompet saya!”

Berdasar gambar di kad pengenalan dan polaroid, dia yakin gadis itu memang tuan punya dompet itu. Dia cam kerana mata gadis itu bulat dan cantik. Dan dia sempat melihat tapak tangan kanan gadis itu ada kesan luka tersagat. Semacam luka jatuh kemalangan.

“Tadi saya...”

Intan berlalu pergi tanpa sepatah kata. Ditinggalkan Dataran Merdeka itu tanpa menoleh lagi.

Airel tercengang. Tak sempat dia nak menghabiskan ayat, gadis itu sudah beredar. Dipandang Fizi. Lelaki itu juga sedang melopong. Pandangan mereka berdua menghala ke arah gadis itu.

“Betul ke wallet tu perempuan tu punya, bang?” Fizi yang tak melihat isi dompet itu bertanya waswas.

“Kalau tengok gambar dalam wallet tu, memang tak salah rasanya.”

Fizi terangguk-angguk. “Nasib baik dia ada lagi. Kalau tak, terpaksalah pergi menghantar sampai ke Kedah sana.”

Airel memaku diri. Pandangannya tak beralih melihat gadis itu. Gadis itu dilihat tunduk berjalan. Mungkin sambil melihat dompetnya. Tiba-tiba...

Tung!

Airel dan Fizi tersentak sampai terhenjut badan mereka. Mereka sama-sama berkeriut muka seakan sakit memandang gadis itu terlanggar tiang lampu. Mereka saling berpandangan sebelum menoleh ke arah gadis itu semula. Gadis itu menggosok-gosok dahi seketika sebelum kembali melangkah.

“Tiang lampu sikit punya tinggi tu pun dia tak nampak.”Airel tergeleng-geleng nak tergelak. Tapi ditahan. Dia memerhati gadis itu berjalan sehingga hilang daripada pandangan.

Ada sesuatu yang menjentik fikirannya. Nama gadis itu. Ya... nama gadis itu.


-------------------

 

SAMBIL berjalan menggosok dahi dengan tangan kiri, Intan merenung dompet lusuhnya di tangan kanan. Mujur dahinya tak sakit sangat. Berdenyut sekejap dan tak lama kemudian hilang sakit itu.

Yang penting dia dapat dompet itu semula. Syukur alhamdulillah. Memanglah tak ada duit di dalamnya. Yang ada kad bank saja. Itupun tak ada duit dalam akaun itu. Semua sudah digunakan sejak dia berhenti kerja dan jadi pelarian bersama Jazadin.

Tapi dia masih perlukan kad pengenalan. Yang paling penting gambar dia bersama ayahnya. Itulah satu-satunya kenangan yang dia ada. Kalau rindukan Jazadin, gambar itulah yang akan ditatapnya.

Dompet itu disimpan ke dalam poket belakang seluarnya. Mulai sekarang, dia akan jaga dompet itu baik-baik. Dia tak mahu kehilangannya lagi sekali.

Yang meresahkan sekarang, di mana dia hendak tidur malam ini? Langkah yang diatur sudah jauh meninggalkan kawasan Dataran Merdeka. Dia tak pasti dia berada di mana. Dia hanya mengikut langkah kaki. Jam di tangan menunjukkan hampir pukul 12.00 tengah malam.

Nak tidur di hotel? Jangan kata hotel, rumah tumpangan pun dia tak mampu. Pilihan yang ada cuma di mana-mana saja yang difikirkan boleh asalkan dia dapat tidur. Tapi dalam masa yang sama, dia perlu fikirkan keselamatan diri. Dia perlu mencari tempat tersorok. Tak ada sesiapa boleh nampak di mana dia tidur.

Demi tak mahu orang tahu yang dia seorang perempuan, dia berjalan gaya lelaki. Kerana ketika berjalan di kawasan yang sedikit gelap, dia berselisih dengan beberapa orang lelaki. Dan dia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Sehinggalah dia ternampak sebuah jambatan konkrit. Dilihat keadaan bawah jambatan itu agak tersorok.

“Macam strategik je tempat tu,” bisiknya meyakinkan diri.

Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Kemudian dia melihat sekeliling. Sesudah memastikan tiada sesiapa mengekori, dia melangkah menghampiri bawah jambatan itu.

Namun sewaktu dia tiba, dia nampak ada orang lain sudah tidur di situ. Seorang wanita bersama dua orang anak yang masih kecil.

Direnung wanita itu yang tidur beralaskan kotak dan diterangi dua batang lilin. Dua orang anak wanita itu yang mungkin berusia tujuh hingga sembilan tahun itu dilihat tidur tanpa selimut. Perasaannya jatuh kesian. Sayu melihat keadaan kanak-kanak itu. Dia mula teragak-agak sama ada mahu tidur di situ atau mencari tempat lain pula.

“Kau pun nak tidur kat sini?”

Intan menoleh. Dilihat seorang lelaki datang menghampiri.

Suara lelaki itu membuatkan wanita yang berbaring bersama anak-anaknya tersedar dan bingkas bangun. Terpinga-pinga dia melihat Intan dalam keadaan mamai.

“Ni isteri dengan anak-anak aku,” ujar lelaki itu lagi.

Intan hanya diam. Dia tergamam sebenarnya. Tak sangka sepasang suami isteri bersama dua orang anak yang masih kecil boleh jadi gelandangan di situ.

“Kalau kau nak tidur kat sini, ambil kotak tu buat alas.”

Intan menoleh ke arah yang ditunjukkan. Sekeping kotak nipis itu didirikan di dinding jambatan. “Terima kasih,” ucapnya perlahan.

Lalu, lelaki itu mengambil tempat bersama isteri dan anak-anaknya. Dia berbaring mengapit dua anaknya itu. Isterinya pula kembali menyambung tidur. Langsung tak mempedulikan Intan.

Perlahan-lahan Intan mengambil kotak tersebut dan membentangkannya jauh sedikit dari keluarga tadi. Beg sandang dilepaskan. Ketika mahu membuka kemeja lengan panjang yang pakai, mulutnya berdesir menahan sakit. Lukanya terasa bisa saat bergesel dengan baju itu. Dalam keadaan samar-samar itu, dilihat lukanya masih memerah dan basah. Bergenangan air matanya.

Dengan beg sandang dialas sebagai bantal dan baju kemeja dibuat selimut, dia membaringkan diri di atas kotak itu. Segala kelelahan yang memberat di bahunya sepanjang hari ini bagai bertebaran pergi. Bunyi air sungai di bawah jambatan itu seakan-akan sebuah melodi. Sesekali kedengaran juga bunyi kenderaan yang lalu-lalang di atas jambatan.

Fikiran Intan melayang-layang teringatkan Jazadin. Apa yang ayahnya sedang buat sekarang? Dah makan ke dia? Sedang tidur agaknya.

Dia terfikir semula kebarangkalian yang bermain di akalnya tadi. Lintah darat tu tangkap ayah ke? Kerisauan mula beraja. Kepala digeleng berkali-kali.

“Tak mungkin. Ayah mesti sempat larikan diri jugak. Ayah takkan biar dia kena tangkap. Sebab ayah dah janji nak jumpa kat KL.” Seboleh-boleh dia cuba positif.

Wajah tua ayahnya yang lemah tak berdaya itu terbayang di ruangan fikiran. Dia doakan ayahnya itu dalam keadaan selamat.

“Ayah...” Berlinangan air matanya mengalir perlahan ke pipi.

Dia berharap, Jazadin akan sampai dengan selamat di Kuala Lumpur esok.

Bersama linangan air mata itu akhirnya dia terlelap dan hanyut dalam lena.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.