Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
112,285
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 15

TENGAH hari ini, balik dari mengajar kelas taekwondo di sekolah tadika di Persiaran Titiwangsa, Airel tidak terus ke balik ke Flash Floor Studio di Jalan Hang Jebat. Dia sengaja mahu melalui Dataran Merdeka.

Diperlahankan sedikit kelajuan Honda Civicnya demi mencari susuk tubuh Intan. Terkejut dia melihat Intan berada di situ! Gadis itu sedang duduk berdekatan dengan tiang benda yang paling tinggi itu. Tempat dia berjumpa Intan malam tadi.

Berkerut-kerut dahinya berfikir. Kehairanan. Hatinya menyuruh berhenti dan berjumpa dengan Intan. Tetapi akalnya menolak. Kalau dia jumpa Intan sekarang, mesti dia akan memburukkan keadaan. Lagipun, dia pakai uniform taekwondo sekarang ni.

Setelah berkira-kira seketika, dia ambil keputusan untuk meneruskan perjalanan saja. Sambil berlalu, masih sempat lagi dia memandang ke arah Intan yang sedang duduk sambil menunduk tanpa berbuat apa-apa.

“Apa dia buat kat situ hari-hari? Tak kira hujan, tak kira panas,” soalnya selepas melepasi Dataran Merdeka.

“Aku jumpa dia hari Sabtu. Hari Ahad pun dia ada kat dataran. Semalam ada jugak. Hari ni pun dia ada? Maknanya, dah empat hari Intan Nadra tu melepak kat sana. Empat hari dia pakai baju yang sama!” Dia tergeleng kesal. Tak tahu perasaan apa yang sedang berselirat dalam hati. Kesian ada, tak sampai hati pun ada.

“Dahlah tidur bawah jambatan. Aduhai...” Berganda-ganda perasaan simpatinya.

“Umur baru 19 tahun dah jadi gelandangan. Sebab apa ek?” Makin banyak persoalan yang menyesakkan fikirannya.

“Aduh... tak senang hatilah aku macam ni. Entah-entah, sebelum hari Sabtu pun dia dah ada kat situ agaknya.” Dia menggaru-garu kepala. Rimas.

“Macam manalah aku tak senang hati? Intan Nadra tu dahlah perempuan, muda lagi, sorang-sorang pulak tu. Kalaulah dia tu adik aku, dah menangis aku.” Tergaru-garu kepala lagi dia.

Sepanjang jalan nak sampai ke Flash Floor Studio, dia asyik menggaru kepala je. Dia punya risau sampai satu kepala rasa gatal!


-------------------

 

FIZI yang baru keluar dari bilik setelah menunaikan solat maghrib, kembali ke kaunter. Dipandang Airel yang sedang tekun merenung skrin komputer. Sekadar merenung dan tak buat apa-apa.

Dia mengambil tempat duduk dan kembali membuat kerja. Seketika kemudian dia mendengar Airel berdecit. Dikerling wajah bosnya itu. Pelik.

Dibiarkan saja Airel dengan dunianya sendiri. Yang penting, dia buat kerja. Baru saja dia nak menyambung menaip, dia terdengar Airel mengeluh pula. Mengeluh berat. Dipandang Airel sekali lagi.

“Kenapa pulak hari ni, bang? Pasal kes semalam lagi ke?” Fizi bertanya, memecah kesepian antara mereka.

Makin panjang Airel mengeluh.

“Satu hari ni, abang asyik berdecit je saya tengok. Mengalahkan cicak. Lepas tu, kejap-kejap mengeluh. Apa halnya ni, bang?” Tak senang hati juga Fizi melihat Airel begitu.

“Haihh... entahlah.” Airel berdecit.

“Tengok tu. Cit cot cit cot tak habis-habis. Cubalah cerita. Masalah semalam pasal nama tu ke?”

Airel membisu. Dia tak rasa dia patut cerita tentang Intan. Apa yang dia tahu pasal Intan, semuanya tak manis untuk diceritakan. Kalau dia cerita, macam memalukan gadis itu pulak.

“Tak ada apalah.” Dia bingkas bangun. Jam tangan ditanggalkan.

“Tak nak cerita pulak. Karang kejap lagi, cit cot cit cot sorang-sorang.”

Airel ketawa. Kelakar mendengar Fizi sebut ‘cit cot cit cot’ begitu. “Dahlah, aku nak solat dulu.”

“Eloklah, bang. Biar abang lupa sekejap masalah abang tu. Risau saya ni. Doa panjang sikit.” Selamba je Fizi menyuruh.

Airel menghampiri Fizi, lalu menyekeh kepala lelaki yang berusia 21 tahun itu.

“Ark!” Fizi dengar bunyi keletuk atas kepalanya dan terasa sakit. Berdesir dia dibuatnya dengan muka berkerut.

Tersenyum puas hati Airel dapat kenakan Fizi.

“Salah ke saya cakap? Saya risau. Tahu tak? Risau. Tak pun kejap lagi geng kelas tarian datang praktis kat sini, abang join sekali. Biar abang lupa masalah abang tu.”

Airel buat aksi nak menyekeh kepala Fizi sekali lagi. Cepat-cepat Fizi mengelak. Muka dia cuak. Tergelak Airel. Dia acah-acah je.

“Pukul berapa geng dia orang datang?”

Fizi melihat jam dinding. “8.30 kejap lagi.” Lalu, dia buat aksi tarian tradisional. “Kencana Citra.” Disebut nama kelab penari yang menyewa ruang studio mereka nanti.

Airel mencebik. Dia tahu Fizi memprovoknya supaya menari. Memang taklah...

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.