Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,921
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

“Aku rasa aku nak bomohkan dialah! Biar dia sujud depan aku! Berlagak bagus sangat! Macamlah dia sorang saja jantan handsome dalam dunia ni! Huh!”

“Memang ramai jantan handsome dalam dunia ni tapi Dzulkarnain tu soranglah yang kau tergila-gilakan sangat sejak dulu, betul tak?”

Perbualan dua kawan rapat itu lebih kepada sesi meluahkan perasaan dan geram yang terbuku di dalam. Natasha memusing-musing penyedut minuman, iced caffe lattenya tinggal berbaki separuh. Dingin minuman itu tidak dapat menyejukkan hatinya yang sentiasa dalam kepanasan apatah lagi mengenangkan keangkuhan dan sifat terus-terang Dzulkarnain yang jelas-jelas menolaknya. Farihna, teman serumah Natasha, menjadi sandaran untuk dia mengadu akan segala perkara.

“Ya, aku mengaku! Aku pun tak tahu kenapa aku suka sangat dengan dia. Bukan aku tak cuba untuk lupakan dia tapi the harder i try the more i fail, Farihna! What’s wrong with me, huh?”

“Itu tandanya kau memang sudah angau! Ubat kepada penyakit angau ni senang saja! Kau kahwin saja dengan Dzulkarnain!” saran Farihna yang kedengaran begitu mudah saja penyelesaiannya. Kalaulah semudah itu, tidaklah Natasha pening-pening kepala memikirkan perancangan demi perancangan untuk memiliki jiwa lelaki dambaannya itu.

“Dzulkarnain pandang aku sebelah mata pun tidak! Macamlah aku ni tak ada nilai langsung pada dia!” luah Natasha tidak berselindung. Dia mempercayai Farihna. Dan dia tidak malu untuk mengakui akan kenyataan yang menyakitkan itu!

“Aku kenal seseorang... kalau kau mahu, aku anytime boleh bawa kau jumpa dia,” bisik Farihna tersirat maksud sesuatu. Dan sebenarnya, itulah tujuan mereka berdua berjumpa hari ini. Natasha sudah nekad! Dia tidak kisah kalau perbuatannya itu kelak akan memakan dirinya sendiri suatu hari nanti. Natasha tidak mahu berfikir lebih lama lagi, asyik terbantut saja niatnya sebelum ini dek sebahagian kecil jiwanya merasakan itu bukan pilihan yang wajar. Tapi sampai bila? Ah, Dzulkarnain benar-benar membuat dia gila!

“Tapi permintaan bomoh tu, mengarutlah Rihna! Kalau dia mahukan duit, berkepuk aku boleh bagi dia! Tapi pengeras dia.... Serius, tak masuk akal!”

“Apa pulak tak masuk akalnya, Tasha? Itu tandanya bomoh tu bukan bomoh main-main. Duit kau hulur pun, dia tak pandang! Alah, lagipun aku ada nanti temankan kau sekali. Kau tak rugi apa-apa pun, percayalah cakap aku. Aku jamin Dzulkarnain akan melutut cari kau!” rangsang Farihna beria-ia. Natasha masih berbelah-bahagi. Tetapi nafsu dalam dirinya mengatasi batas-batas iman yang ada. Dzulkarnain mesti dimiliki walau apa pun caranya!

“Bila kau boleh bawa aku berjumpa dengan bomoh tu?” tanya Natasha tidak sabar. Janji-janji manis Farihna kedengaran begitu menyakinkan. Perasaan ragu-ragunya sudah dibuang jauh-jauh. Farihna tersenyum penuh makna. Manakan tidak, perempuan bandar apatah lagi dilahirkan di negara bumi kanggaru itu berjaya dipengaruhi. Nama saja terpelajar dan mendapat pendidikan luar negara, tetapi bila menyentuh tentang hati dan perasaan, sanggup berbuat apa sahaja demi lelaki. Farihna sudah bersedia mencucuk jarumnya.

“Sekarang pun boleh, kalau kau nak?” Farihna menjongketkan keningnya sambil menawarkan khidmat percumanya untuk memandu kereta menuju ke rumah bomoh yang menjadi tajuk perbincangan mereka. Bomoh yang dikenali dengan nama Tok Biang itu, menurut Farihna cukup hebat dan mustajab ilmunya. Terlintaslah apa saja yang terniat dalam hati, nescaya segala permintaan yang terkadang malu untuk diluahkan secara terang-terangan akan dimakbulkan bomoh tua itu.

“Rumah bomoh tu dekat mana, Rihna? Jauh dari sini tak?” tanya Natasha sebaik kedua-duanya sudah memasuki kereta. Pantas saja dua perempuan itu meninggalkan restoran, tempat mereka melepak tadi tanpa sempat menghabiskan minuman masing-masing.

“Nak kata jauh sangat tu, tidaklah. Sekarang pukul berapa?” aju Farihna kepada Natasha spontan.

“Dah nak dekat pukul 2:00 petang. Kenapa?” soal Natasha kembali. Barangkali tidak dapat menangkap akan kaitan pertanyaannya tadi dengan soalan yang diajukan Farihna sejurus itu.

“Dalam pukul sembilan atau sepuluh malam, sampailah kita,” balas Farihna selamba sedangkan Natasha di sebelah sudah terbeliak mata mendengarnya.

What...? Gila jauh! Kau nak bawa aku ke mana ni, Rihna?” Berkalih tubuh perempuan itu menghadap kawannya yang sedang tekun memandu. Fikir Natasha, dekat-dekat saja tempat yang hendak dibawa Farihna tetapi kalau sudah memakan masa sehingga enam ke tujuh jam perjalanan, maknanya balik hari pun tidak sempat. Sudahlah dia tidak membawa apa-apa persalinan sekiranya mereka perlu bermalam di mana-mana hotel nanti.

“Tak jauh mana pun. Kau janganlah terperanjat over sangat. Masih dalam Malaysia lagi pun. Kita mahu ke negeri Cik Siti Wan Kembang. He he he.” terang Farihna sambil tergelak kecil melihat reaksi temannya itu yang seperti tidak percaya saja riak wajahnya.

“Lah. Aku mati-matilah ingat kau nak bawa aku dalam kawasan KL ni je. Habis, kita stay overnight ke nanti? Kau jangan cakap yang kau hendak suruh kita bermalam dekat rumah bomoh tu,” rungut Natasha seakan sudah dapat mengagak akan perancangan Farihna yang ada kalanya bukan boleh pakai. Tidak sanggup dia hendak membiarkan kulit mulusnya digigit serangga-serangga hutan atau darah manisnya diratah nyamuk-nyamuk yang membiak di kawasan kampung itu. Natasha sudah terbayang-bayang di dalam kepalanya akan gambaran rumah yang didiami bomoh tersebut. Pastinya seperti pondok usang yang dipenuhi hutan belukar di sekelilingnya, seperti yang pernah dia lihat di dalam drama-drama tempatan di kaca televisyen. Tiba-tiba perasaan seriau, geli-geleman dan takut bercampur-baur sebaik memikirkannya.

“Alah, kau jangan banyak songehlah. Ikut saja aku. Hujung-hujung, kau jugak yang akan berterima kasih dengan aku. So, for the time being... ada baiknya kau tidur sementara aku tengah driving ni. Aku tak boleh tumpu perhatian tau kalau kau asyik menceceh dari tadi. Silap-silap masuk gaung kereta ni! Dah nak dekat sampai, aku kejutkan kau.” leter Farihna menitip amaran. Dia kalau memandu memang tidak suka diganggu, konsentrasinya boleh lari. Berbeza dengan orang lain yang kebanyakannya lebih suka ada peneman untuk diajak bersembang bagi mengelakkan rasa mengantuk. Natasha yang mendengar istilah ‘masuk gaung’ keluar dari mulut Farihna, membuatkan dia kecut perut. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia mengunci mulutnya buat seketika dan pura-pura menutup kelopak mata.

Dielus lembut angin penghawa dingin di dalam kereta temannya itu, akhirnya Natasha terlelap juga. Tidak sedar sudah berapa jam dia terlena, Natasha tersentak sebaik tubuhnya tiba-tiba terdorong ke hadapan. Dipaksa buka matanya yang masih terpisat-pisat itu luas-luas untuk melihat apa yang sudah berlaku. Keadaan di luar sudah hampir-hampir gelap, barangkali melepasi waktu senja. Natasha mengandai sendiri. Terus saja dia menoleh ke sebelah kanan, kelihatan tampang Farihna di tempat duduk pemandu sedikit pucat.

What happened, Farihna?” cemas Natasha melontar pertanyaan. Farihna sudah menanggalkan tali pinggang tempat duduk yang menyelimpang tubuhnya, pintu di sisinya mahu dibuka. Natasha cepat-cepat menghalang dan menutup pintu kereta semula. Dalam suasana remang-remang senja ketika itu, ditambah lagi dengan tiada kenderaan yang melalui jalan tersebut, seperti menempah bahaya saja kalau mereka keluar dari kereta. Macam-macam perkara buruk boleh berlaku lagi-lagi mereka berdua perempuan.

“Aku nak periksa kat luar kejap. Janganlah gabra tak tentu pasal,” tegur Farihna yang sebenarnya masih tidak pasti dengan apa yang terjadi. Dia hendak melihat dengan mata kepala sendiri kalau-kalau dia ada terlanggar binatang yang melintas jalan ketika melalui simpang masuk ke Kampung Guruh, dimana Tok Biang tinggal.

“Aku rasa aku terlanggar something tadi. Tak sempat nak brek kereta. Might be kucing kut,” sambung Farihna lagi, cuba menjelaskan duduk perkara sebenar kepada Natasha yang sudah menarik-narik bucu baju temannya itu supaya tidak sekali-kali keluar dari kereta.

“Ish, tak payahlah sibuk-sibuk nak keluar! Kalau dah terlanggar pun, tentu dah jadi bangkai. Buat apa nak periksa-periksa lagi? Teruskanlah saja jalan!” tegah Natasha yang meliar matanya memerhati keadaan di luar yang seperti menyeramkan saja suasananya. Melintas di dalam kepala Natasha akan bayangan-bayangan menakutkan, sekaligus membuatkan bulu romanya merinding tiba-tiba! Natasha cepat-cepat melingar pandangannya ke bawah apabila matanya secara tidak sengaja tertumpu ke arah barisan pokok-pokok getah di kiri dan kanan jalan. Terasa seakan-akan ada kelibat lain pula yang sedang menyorok di balik batang-batang pohon itu menjeling tajam ke arahnya semula. Perasaan aku saja ni, detik hati Natasha cuba membuang jauh-jauh apa yang dirasakannya pada ketika itu.

“Kau ni tak berhati perut tau. Sejahat-jahat aku pun, tak sanggup aku nak biarkan binatang tu mati terseksa. Dahlah kita langgar dia, kemudian mahu ditinggalkan macam tu saja. Paling tidak, kita tariklah ke tepi jalan. Kau tunggu sajalah dalam kereta. Biar aku sorang keluar!” hujah Farihna mempertahankan tindakannya. Natasha tidak mampu membidas, tubuhnya sudah menggigil kecil sebaik kaki kanan Farihna melangkah keluar. Serentak pintu kereta dibuka, silir semilir angin di luar berlumba-lumba masuk hendak menjamah kulit Natasha yang semakin tidak senang duduknya. Gelisah bukan kepalang.

Dia melihat saja tindak-tanduk Farihna yang sedang terbongkok-bongkok sambil mengiau meniru bunyi kucing. Tertunduk-tunduk Farihna memeriksa keempat-empat tayar dan bawah keretanya hinggakan hanya kepalanya saja yang boleh dilihat. Natasha memanjangkan lehernya hendak mengintai apa sajalah yang dibuat kawannya itu di luar. Satu keluhan panjang dilepaskan Natasha, barangkali berasa jemu menunggu di dalam. Tumpuannya kembali ke arah Farihna di hadapan beberapa saat kemudian tetapi susuk tubuh perempuan itu tidak pula kelihatan. Pantas saja Natasha berpusing 360 darjah!

“Mana pulak perempuan ni pergi? Aduh!” keluh Natasha seorang diri di dalam kereta. Mulalah perasaan cuaknya mencanak-canak muncul semula. Suara kucing yang dibuat Farihna pun tidak kedengaran lagi, sunyi sepi tanpa sebarang bunyi. Natasha sudah menggeletar lutut di kedua-dua belah kakinya. Hendak keluar, dia takut. Tetapi kalau dia tidak berani untuk keluar, bagaimana pula dia hendak mengesan ke mana perginya Farihna yang boleh ghaib dalam sekelip mata.

Terketar-ketar tangan Natasha hendak membuka pintu kereta, turun naik nafas perempuan itu cuba mengawal gentar dalam diri. Baru hendak menjemput semangat untuk datang, seperti mahu melayang rohnya apabila pintu cermin kereta diketuk tetapi tidak pula dia melihat akan kelibat siapa-siapa yang mengetuknya. Berderau darah perempuan itu, pucat lesi sudah wajahnya. Bunyi ketukan itu semakin bertalu-talu dan Natasha memperosokkan tubuhnya yang kecil itu ke bawah tempat duduk.

Sungguh, Natasha tidak tahu hendak berbuat apa-apa selain dari menangis dan mengharap bunyi ketukan itu berhenti menghantuinya. Cuping telinganya ditutup rapat-rapat, kelopak matanya juga dipejam kejap! Angin dingin dari luar tiba-tiba menderu masuk menyapa tubuhnya, menandakan pintu kereta yang terkatup tadi barangkali sudah terbuka luas. Natasha menyerahkan nasibnya pada takdir. Menggogoh seluruh anggota badan perempuan itu apabila merasakan bahunya digoncang perlahan.

“Weh! Perempuan! Kau menangis ni, apa pasal?”

Lantang suara yang masuk ke gegendang telinganya membuatkan Natasha tersentak. Lekas dia mengangkat kepalanya dan berusaha bangun dari ruang sempit di bawah tempat duduk penumpang depan. Mengongoi-ngongoi Natasha di hadapan Farihna apabila mendapati kawannya itu berdiri di luar.

“Aku... aku ta... takut, Rihna. Aku ingatkan kau dah hilang...” luah Natasha yang masih teresak-esak kerana ketakutan. Farihna menggeleng-gelengkan kepala. Hendak tergelak, tidak sampai hati pula. Baru beberapa minit ditinggalkan, sudah pucat serupa mayat dia melihat temannya itu.

“Hilang? Bila masa pulak aku hilang? Jenuh aku ketuk pintu dari luar, kau tak buka kenapa? Dah... dah... kesat air mata kau tu! Tasha, cuba kau tengok apa yang aku jumpa ni.”

Farihna mendukung seekor kucing berbulu hitam yang kuyup badannya barangkali terkena percikan air lumpur ketika kereta yang dipandunya tadi melalui jalan raya yang berlopak. Selamba saja Farihna meletakkan kucing yang kebasahan itu di bahagian tempat duduk belakang sebaik membalut badan kucing itu dengan kain basahan yang terdapat di dalam kereta tersebut. Natasha yang sudah pulih semangatnya, sekejap-sekejap memandang ke arah belakang. Mata hitam kucing itu tajam membalas renungannya semula.

“Kau ni berani-berani je kutip kucing tu! Bawa sampai masuk ke dalam kereta pulak tu!” komen Natasha yang tidak selesa dengan kehadiran seorang lagi ‘penumpang’ di dalam kereta mereka.

“Kalau kau nak tahu, Tok Biang suka dengan kucing. Di rumah dia, penuh dengan kucing. Manalah tahu, sudah luck kita agaknya jumpa kucing ni dekat tengah jalan. Nanti boleh kita bagi pada Tok Biang sebagai hadiah.” balas Farihna yang seperti sudah lama mengenali bomoh lelaki itu dari gaya percakapannya. Natasha berdiam akhirnya tidak memberi sebarang ulas.

Perjalanan selama tujuh jam lebih dari Kuala Lumpur itu membawa Natasha dan Farihna ke Kampung Guruh. Sesuai dengan namanya, sebaik saja mereka sampai, guruh berdentam-dentum di dada langit dan rintik-rintik hujan mulai turun. Farihna mengeluarkan sekaki payung dari dalam keretanya sesudah memarkirkan kenderaan di hadapan sebuah rumah kayu dua tingkat yang agak luas laman berumputnya. Benarlah kata Farihna sekejap tadi, kedatangan mereka disambut dengan ngiauan puluhan kucing hitam yang saling menyahut antara mereka.

“Marilah masuk, Tasha. Inilah rumah Tok Biang.” pelawa Farihna kepada Natasha yang sedikit teragak-agak hendak menanggalkan sepatu. Selangkah telapak kakinya mencecah anak tangga pertama, seekor kucing hitam yang seperti sedang mengawal pintu masuk rumah kayu itu, menerkam ke arah Natasha tidak semena-mena. Mendadak perempuan itu menjerit kuat, mahu luruh jantungnya.
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.