Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
233,935
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Sudah hampir tiga minggu berlalu dan Rabunah kian selesa dengan kerja barunya. Persahabatannya dengan Azlie, Alin dan Wawa juga bertambah serasi. Kalau sebelum ini, mereka sekadar bertemu di tempat kerja tetapi sekarang melarat sehingga ke kedai-kedai mamak. Pantang ada cuti yang sama, sepakat mereka berempat merancang untuk bertemu dan melakukan aktiviti santai bersama.

“Hari-hari lepak mamak, boringlah babe!” sungut Azlie yang masih dengan uniform kerjanya. Mereka berempat sebenarnya baru habis syif sebelah pagi dan memanfaatkan petang yang redup berangin itu untuk berkumpul di sebuah gerai mamak yang satu-satunya terdapat berhampiran Mewah Boulevard.

“Habis tu, kau nak lepak dekat coffee house hotel 5 bintang ke? Kau ingat kau anak menteri?” ujar Alin sinis lalu disambut dengan gelak tawa mereka yang lain.

“Sagat aku nampak! Esok kan kita cuti? Dari buat tahi mata dekat rumah, ada faedahnya kalau kita keluar berjalan-jalan. Nak?”

“Bagus jugak idea tu! Kita mahu ke mana?” Rabunah teruja. Dia yang selama ini asyik berulit dengan buku dan nota, tidak punya masa untuk menghiburkan diri sendiri.

Actually, esok Nigel Barker, salah sorang juri ANTM tu ada di KLCC untuk book signing buku dia, ‘Beauty Equation’. Dapat kita bertentang mata dengan jurugambar terkenal satu dunia tu dan tangkap-tangkap gambar sekali dengan dia! Kita berkumpul dekat stesyen LRT, boleh gerak sama-sama ke sana nanti.” cadang Azlie tentang rancangannya yang sebenar. Azlie memang suka mengambil tahu akan dunia fesyen dan peragaan. Tetapi tidaklah dia berminat sehingga mahu menceburkan diri di dalam industri tersebut. Sekadar mengikuti program America’s Next Top Model di kaca televisyen yang tidak pernah sekalipun, dia terlepas untuk menontonnya.

“Jangan lupa sms-sms kalau salah sorang dari kita dah sampai dulu. Taklah nanti sorang tunggu tempat lain, sorang tempat lain.” sambung Azlie mengingatkan. Keterujaan anak muda itu disambut dengan anggukan setuju oleh kawan-kawannya yang lain. Meski mereka tidak kenal pun siapa Nigel Barker yang diceritakan Azlie itu. Layankan saja.

Tetapi lain pula ceritanya dengan Wawa yang tiba-tiba mengagau mencari sesuatu di dalam poket seluarnya. Dia baru menyedari akan sesuatu yang penting tidak dibawanya bersama. “Nasib kau sebut-sebut tentang sms, Azlie. Aku tertinggal handphone aku dekat stor kedailah. Aku pergi ambil dulu, karang hilang tak pasal-pasal,” buru-buru Wawa bangun dari kerusi dan berlari-lari anak meninggalkan kawan-kawannya di situ buat sementara. Risau dia kalau-kalau telefon bimbitnya yang satu itu diambil orang. Habis hilang segala kontaknya.

“Isy isy isy... muda-muda lagi dah nyanyuk ya, kak Wa. Pergilah ambil cepat handphone akak tu sebelum kena rembat. Kami tunggu di sini.” senda Azlie sambil tersengih. Mujurlah tidak jauh mana di antara kedai serbaneka tempat mereka bekerja itu dengan gerai mamak yang menjadi lokasi wajib minum petang sambil bergosip mereka empat sekawan.

Dalam selang waktu yang sama, Rabunah terpandang akan satu wajah yang cukup dekat di hatinya. Melambai-lambai tangannya ke arah susuk tegap yang berdiri beberapa meter jauh darinya. Alin dan Azlie turut sama melontar pandang ke arah yang sama.

“Abang! Abang pun ada dekat sini?” soal Rabunah yang tidak menyangka akan bertemu Fauzi di situ. Dilihatnya di tangan lelaki itu menjinjing bungkusan makanan, barangkali untuk Syazni yang tidak ubah seperti ibu mengandung, mengidam macam-macam. Ada saja yang dipesannya, tidak padan dengan badan yang kecil. Rabunah sudah maklum akan perangai anak buahnya itu yang kuat makan.

“Tapau untuk Syazni. Mahu mee goreng katanya. Tadi abang singgah sekejap ke klinik ayah. Sempat jumpa Ally di sana. Dia kirim salam dengan Una. Ally tak tahu ke kamu kerja dekat-dekat kawasan sini juga? Kamu ada jumpa dia?”

“Tak kuasalah Una nak jumpa dia! Lagipun klinik ayah dekat blok bangunan lagi satu. Malas nak berjalan!” balas Rabunah acuh tak acuh apabila nama Ally disebut Fauzi. Melihat abangnya yang seperti tersenyum sumbing seakan tersirat sesuatu, cepat-cepat Rabunah mereka alasan. Jika tidak, habis dirinya disakat Fauzi di hadapan kawan-kawannya itu.

“Pandailah kamu beri jawapan selamat. Okeylah, abang pergi dulu. Syazni membebel pulak kalau lambat nanti. Assalammualaikum!” Fauzi mengatur langkah menuju ke kereta yang diparkirnya berhampiran gerai mamak itu selepas menyalami Azlie dan melemparkan senyuman kepada kawan perempuan adiknya. Hilang saja kelibat lelaki itu, Alin menjerit tiba-tiba. Bahu Rabunah digoncang-goncangnya.

“Una...! Kau tak beritahu pun kau ada abang yang handsome! Sekali pandang macam Fahrin Ahmad! Lepas peluang Wawa nak cuci mata. Ha ha ha! Tu lah, cuai lagi jaga handphone. Una, abang kau kerja apa weh?”

“Dah kau tak tanya. Abang aku memang handsome pun! Tengoklah adik dia! He he he!” Rabunah tergelak nipis. Alin buat muka meloya. Konon-konon menjolok tekaknya.

“Abang aku kerja sendiri. Dia ada kompeni kereta. Jual kereta-kereta luar negara. Impian dia nak jadi macam taikun Naza, Tan Sri SM Nasimuddin tu.” Rabunah mengulas penuh bangga tanpa disuruh. Sebagai adik, memang dia berbangga dengan pencapaian abangnya itu. Lagipun boleh dibilang usahawan Melayu yang benar-benar berjaya di Malaysia dan Fauzi antara orang Melayu yang berani menyahut cabaran dan berdepan risiko kegagalan. Teringat Rabunah akan satu buku yang pernah dibacanya, Dare To Fail hasil tulisan Mr. Billi Lim. Buku itu antara salah satu bahan bacaan yang digemari Fauzi, abangnya.

“Wah! Kira kau ni dari keluarga berada lah ye, Una? Abang ada kompeni sendiri, ayah kau pulak ada klinik gigi.” puji Azlie ikhlas. Dia turut menumpang bangga.

“Isy, mana beradanya Azlie. Keluarga kami biasa-biasa sajalah. Rezeki ALLAH yang bagi. Dah... dah... tukar tajuk.” Rabunah tidak selesa pula bercakap lebih-lebih, khuatir pula datang riak di hati. Alin masih ada sesuatu yang bermain di fikirannya, meluncur terus satu soalan cepumas keluar dari mulutnya.

“Ally tu siapa, Una? Siap berkirim salam bagai! Hah, kantoi! Kau kata tak mainlah couple-couple ni. Sila jawab! He he he!” soal Alin sambil tersengih-sengih. Azlie mengenyit matanya, memberi isyarat pada Alin di sebelah. Masaklah Rabunah hendak menjawab!

“Kau saja kan Alin! Ally tu bukannya sesiapalah. For your guys information, Ally tu anak kepada bestfriend ayah aku. Aku kenal dia dari aku budak-budak lagi. Belum akil baligh lagi aku waktu tu tau! To make a story short, dia tinggalkan Malaysia dan menetap di luar negara dengan keluarga dia for a quite a long time. Recently ni je, dia balik KL. Tolong ayah aku di klinik. Aku pun tak pernah berjumpa dia lagi. Dia pun tak pernah jumpa aku. Kalau selisih bahu pun, sumpah kita orang tak bertegur sapa sebab tak kenal.” sungguh-sungguh Rabunah menjelaskan duduk perkara yang sebenar tanpa menyelindungkan apa-apa. Dia tidak mahu digelar, cakap tak serupa bikin.

“Gitu! Tragik sungguh cerita kau! Kisah cinta dua benua sangat! Kejap, aku nyanyi lagu Cinta Antara Benua, Arni Nazira. Ha ha ha!” Azlie kalau merepek, berilah pada dia! Sudahnya, gamat meja itu apabila mendengar suara sumbang soprano Azlie menyanyikan bait-bait lagu itu yang dihentam kromo saja liriknya. Asal melodi saja yang sama.

Lebih kurang jam 5:00 petang, pertemuan empat sahabat itu bubar dan berangkat pulang ke rumah masing-masing. Azlie menaiki motor manakala Rabunah dan Alin menumpang kereta Wawa. Telefon bimbit Wawa yang nyaris-nyaris hilang lantaran kelalaiannya tadi, sudah disimpan rapi kali ini. Tidak mahu tercicir di mana-mana lagi. Berhenti sebentar di simpang sebatang jalan menunggukan lampu isyarat bertukar hijau, Alin yang duduk di sebelah kerusi pemandu, menjerit seolah-olah kelibat hantu siang melintas di hadapannya.

“Kau ni kenapa Alin oi?” Wawa yang kejap memegang stereng, mengerutkan dahi menelengkan kepalanya ke kiri. Rabunah di tempat duduk belakang turut terkejut. Apa lagilah perempuan ini? Tidak sudah-sudah menjerit!

“Cuba kak Wa pandang sebelah kanan, kak Wa! Pandang cepat!” suruh Alin sambil jari telunjuknya menuding terus ke arah yang disebutkan. Rabunah dan Wawa segera menoleh ke kanan.

“Lelaki bisu handsome tu...!” spontan Wawa turut menjerit teruja. Rabunah tergelak kecil. Nampak gaya, sudah ada penambahan pada title lelaki itu. Dari ‘lelaki handsome’ kepada ‘lelaki bisu handsome’! Nasib kaulah labu!

“Honlah kak Wa! Honlah cepat!”

“Isy, tak mahulah! Macam desperate je nak hon-hon segala. Apa kata kita follow dia nak?” sanggah Wawa tetapi dalam masa yang sama mencadangkan idea yang lebih ekstrem. Rabunah menggeleng-gelengkan kepala di belakang. Mujurlah dia cuma menumpang kereta orang, kalau tidak jangan haraplah dia hendak membuat kerja gila itu. Rabunah pun tidak faham dengan kawan-kawan perempuannya itu yang seakan diserang sawan apabila terserempak dengan pelanggan yang gemar membeli komik manga di kedai serbaneka, tempat mereka bekerja itu.

Barangkali definisi ‘handsome’ bagi mereka, ada pada lelaki itu. Tetapi tidak pada Rabunah. Rabunah melihat lelaki itu biasa-biasa saja. Not her cup of tea!

“Kak Wa ni sungguh ke nak follow kereta dia?” soal Rabunah yang tidak selesa dengan aktiviti intipan ala-ala militan itu.

“Alah, kau duduk sajalah senyap-senyap di belakang tu Una. Kita orang cuma nak tahu dekat mana dia tinggal. Mesti ada hikmah kita berselisih kereta dengan dia hari ni.” jawab Alin yang tidak lepas memandang ke arah lelaki yang sedang memegang stereng bersebelahan kereta Wawa. Cermin tingkap kereta lelaki itu yang terbuka luas seolah-olah satu jamuan mata buat mereka berdua.

Erk! Hikmah? Perkara macam ini pun ada hikmah ke? Rabunah protes memeluk tubuh. Kenapalah dia tidak mengikut abangnya balik tadi. Ini tidak pasal-pasal terlibat dalam misi pengintipan kawan-kawan perempuannya itu.

Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, kereta lelaki itu membelok ke kanan jalan dan memandu terus memasuki ke arah laluan yang ternyata bertentangan dengan jalan ke rumah mereka bertiga. Wawa cekap mengikut dari belakang, tidak terlalu rapat tetapi cukup dekat untuk tidak ditinggalkan kereta tersebut. Misi intipan mereka membawa tiga sahabat itu memasuki sebuah kawasan penempatan kondominium mewah. Terjenguk-jenguk kepala Wawa dan Alin mengintai dari dalam kereta. Hendak mengikut terus ke dalam, sudah tentu tidak dibenarkan. Sekuriti di kawasan itu hanya membenarkan kenderaan yang mempunyai pelekat tertentu sahaja untuk masuk.

“Wow! Lelaki ni macam orang kaya aje, kak Wa! Kondo Makmur Megah bukan ke tempat orang-orang high-class?” tanya Alin kepada Wawa. Mendongak-dongak kepala Alin melihat ketinggian kondominium mewah itu yang mempunyai landskap indah di sekelilingnya.

“Gigolo kut!” celah Rabunah selamba. Dia ketawa sendiri dengan ucapnya. Alin dan Wawa serentak merenung tajam memandang Rabunah di belakang. Rabunah buat-buat memandang ke luar cermin kereta. Sedangkan hatinya dijentik-jentik rasa lucu.

Misi berakhir apabila Wawa menghantar Rabunah pulang. Masih ada sisa-sisa ketidakpuasan hati terlihat pada wajah Alin dan Wawa walaupun sudah mengetahui akan tempat tinggal lelaki yang diintip mereka tadi. Apalah yang mereka tidak puas hati lagi? Barangkali mereka akan berpuas hati sekiranya dijemput masuk ke dalam rumah dan diladeni penuh istimewa oleh lelaki itu. Biasalah, orang kalau sudah minat! Suka berangan entah apa-apa!

Sebaik kereta Wawa berdesur meninggalkannya, Rabunah terjenguk-jenguk seperti orang mengendap di luar pagar rumahnya. Sebuah Mercedes-Benz berwarna hitam diparkir bersebelahan kereta Doktor Ashraff di halaman berumput rumah dua tingkat keluarganya. Siapa pula yang datang? Sudahlah dia masih dalam uniform kerja, dengan muka serabai dan badan pula berlengas tidak selesa. Malas sungguh hendak berdepan dengan tetamu yang tidak diketahuinya siapa.

Rabunah teragak-agak hendak mengucap salam, antara dengar tidak dengar saja suaranya. Muncul susuk tubuh Puan Fatimah menyambut kepulangan anaknya di muka pintu dengan senyuman yang lebih manis dari biasa. Macam ada sesuatu saja! Rabunah cuba meneka.

“Anak mak dah balik rupanya. Masuklah... Pak Cik Khairul dengan aunty Deborah baru sampai ni.”

Rabunah memaksa dirinya untuk tersenyum. Segan pula menghurung perasaannya tiba-tiba. Maklumlah, sudah terlalu lama dirinya tidak bersua muka dengan keluarga sahabat baik orang tuanya itu. Kelihatan wajah Pak Cik Khairul masih seperti dulu, cuma garis-garis kedut saja yang melakari wajah bersih lelaki tua itu. Mak Cik Deborah pula ayu bertudung litup, tidak lagi menampakkan rambutnya yang perang terang semulajadi. Tunduk hormat Rabunah menyalam kedua-dua tetamu istimewa di rumahnya. Usai berborak bertanya khabar, Rabunah menyusup mahu ke biliknya di tingkat atas.

Ekor mata Rabunah liar mencuri pandang kalau-kalau ada kelibat Ally di ruang tamu, entah kenapa berdebar-debar pula dadanya. Apakah Ally masih seperti dulu? Bertepek-tepek bekas hingus mengering di kulit mukanya. Atau sudah ganteng sepertimana kata ayahnya. Teringin pula dia hendak tahu!

“Cari siapa? Ally? Dia tak ada! Oh, kaulah Rabunah ya? ‘Perempuan tak siap’ rupanya,”

Berdesing panas gegendang telinga Rabunah apabila tiba-tiba seorang perempuan dengan wajah menyombong berbisik di cupingnya. Siap menatapnya dari atas ke bawah dengan pandangan seakan mahu menghina. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menyentap rambut kejung perempuan itu! Tetapi mengenangkan ada tetamu di dalam rumah, dipujuk hatinya untuk bersabar. Siapa pula perempuan ini? Terlepas dari tanjung rambutan agaknya! Meledak api kemarahan Rabunah.

I am Natasha. Natasha Giselle. Sepupu Ally!” bongkak saja bunyinya perempuan itu memperkenalkan diri tanpa disuruh. Rabunah menyambut perkenalan itu dengan senyuman menjengkelkan, biar perempuan gila itu tahu yang dia menyampah dengan kehadirannya. Terus saja Rabunah mendaki anak tangga dan masuk ke bilik. Tidak kuasa dia hendak berlama-lama di bawah. Hatinya yang baru hendak gembira kerana dapat bertemu semula dengan Pak Cik Khairul dan Mak Cik Deborah, serta-merta padam!

Natasha Giselle konon! Nama hendak antarabangsa! Muka tak semenggah mana! Seranah Rabunah dalam hati.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.