Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,934
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Rabunah baru selesai memberus gigi, rutinnya pada setiap malam sebelum masuk tidur. Kalau orang lain, barangkali hanya mengambil masa sekejap sahaja tetapi perempuan ini kalau menggosok gigi, entah apa sajalah yang dibuatnya berlama-lama di dalam bilik air. Ditambah lagi dengan anginnya yang baik malam ini dipuput kenangan siang tadi, membuatkan Rabunah berlagu riang keluar dari bilik air. Langkahnya diayun sedikit melompat-lompat seperti kanak-kanak yang teruja dihadiahkan gula-gula lolipop.

Komputer riba yang letaknya di atas meja, dicapai lalu dibawa ke atas katil. Rabunah meniarap menghadap skrin 17 inci itu sambil kepalanya tergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan seolah-olah di cuping telinganya menangkap bait-bait lagu yang indah melodinya. Jiwanya terasa berentak, barangkali ada deejay yang sedang memainkan radio hati. Ah, sekali-sekala melayan perasaan. Apa pula hendak dimalukan. Desis Rabunah tersengih sendiri.

Laman Facebook miliknya sudah dua hari tidak dibuka. Azlie selalu memarahinya kerana tidak selalu nampak muka di atas talian. Kata lelaki itu, tidak cukup korum untuk bergosip! Yalah, lagipun Rabunah tidak punya ramai teman di laman sosial itu, berbanding Azlie yang memang suka ‘mengumpul’ kawan sampai empat ribu lebih kawan-kawannya di situ. Mengalahkan artis sungguh!

Sebaik saja Rabunah memasukkan nama pengguna dan kata laluan bagi akaunnya, di tingkap sembang sebelah bawah sudah kelihatan sepotong nama kawannya itu yang tidak sempat-sempat menegur.

Ha, ada pun batang hidung perempuan ni! Aku dah nak offline, baru kau nak muncul! Ada hot story ni.

Kau memanjang ada hot story! Apa pulak kali ni?”

Cuba kau search nama ni – HANSAMUNA SHIKAI. Aku jamin, kau mesti terperanjat beruk punya. Ha ha ha! Weh, aku sign out dulu. Nanti kita sambung gosip lagi! Bye!

Ada-ada saja budak Azlie ini. Detak hati Rabunah. Jari telunjuk perempuan itu melarikan mata kursor ke arah ruang carian. Baru hendak mencari nama empunya pemilik akaun sepertimana disuruh Azlie tadi, ketukan di pintu bilik Rabunah mematikan niatnya. Kelihatan kelibat Fauzi berdiri di muka pintu, terjenguk kepalanya meminta izin untuk masuk. Rabunah tersenyum, mempelawa abangnya yang barangkali baru lepas menidurkan Syazni di bilik sebelah. Biasalah Syazni, sudah sekolah pun masih mahu ditepuk-tepuk punggungnya sebelum tidur.

“Abang mengganggu Una ke?” soal Fauzi berbasa-basi lalu duduk di hujung katil adik perempuannya itu.

“Isy, tak ganggu pun lah. Abang tak tidur lagi? Dah nak dekat pukul 11:00 malam ni. Esok kerja kan?” Rabunah bertanya pula. Sebuah pertanyaan ikhlas dari seorang adik yang mengambil berat terhadap abangnya. Terkadang, kasihan pula Rabunah melihat perjalanan hidup abangnya yang satu itu. Enam tahun menduda dan terpaksa menguruskan segala-galanya seorang diri. Doanya hanya satu. Minta-minta jodoh untuk abangnya akan datang, tidak kira siapalah orang itu. Asalkan dapat membahagiakan abangnya dan menyayangi Syazni sepenuh hati, itu sudah cukup baginya.

“Mata belum mengantuk. Sebenarnya, ada perkara yang abang nak cakapkan dengan Una tapi bila fikir-fikir balik... macam seganlah pula,” Fauzi tersengih sendirian. Rabunah yang melihat abangnya menyeringai sebegitu, dia pun berjangkit untuk tersenyum juga. Lucu pula melihat riak wajah malu-malu Fauzi yang seperti anak dara hendak dipinang orang saja lagaknya.

“Segan apanya? Macamlah tak biasa kongsi cerita dengan Una. Cepat cerita! He he he.” usik Rabunah dengan nada tegas diakhiri kekehan kecil di hujungnya. Namapun mereka dua beradik saja dalam keluarga, sejak dari kecil lagi, apa saja masalah mereka berkongsi bersama. Ada kalanya Rabunah yang menjadi pendengar merangkap penasihat dan pada waktu-waktu tertentu, Fauzi pula mengambil peranan tersebut.

“Kalau abang cerita, janji jangan gelak tau. He he he.” pinta Fauzi tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia pula yang tergelak sebelum sempat bercerita. Entah apa yang menggelikan hati lelaki itu, Rabunah sendiri tidak tahu.

“Tengok tu! Dia pulak yang gelak lebih. Abang nak cerita apa sebenarnya ni?” ulang Rabunah. Terseksa pula rasanya mahu menunggu pokok utama cerita yang hendak disampaikan Fauzi. Rabunah bukan boleh bersabar. Semuanya hendak cepat.

“Yalah-yalah. He he he. Esok kan... lepas habis waktu kerja, abang ada blind datedengan seseorang. Ha ha ha.” Fauzi gelak besar dengan pengakuan berani matinya itu. Rabunah yang mendengar, ternganga dibuatnya. Biar betul apa yang didengarinya itu? Fauzi hendak keluar berjanji temu? Perempuan bertuah manakah yang berjaya membuka pintu hati abangnya itu?

Blind date...? Abang Fauzi serius atau main-main ni?” soal Rabunah mahukan kepastian. Melihat tampang si abang yang sudah merona merah, makanya kenyataan yang keluar dari mulut lelaki itu sebentar tadi bukanlah gurauan di malam hari. Fauzi menahan segan. Manakan tidak, umur sudah 32 tahun tetapi seperti anak-anak remaja pula dia rasakan dengan tindakannya itu. Mengatur pertemuan dengan seseorang yang dia sendiri tidak kenal. Buang tabiat agaknya aku ini, sindir Fauzi pada dirinya sendiri.

“Macam budak-budak kan abang ni? He he he.” Fauzi ketawa lagi. Lucu pula mengenang perangainya malam ini. Rabunah turut ketawa kecil. Tawanya bukan kerana apa yang keluar dari mulut abangnya itu tetapi dia ketawa bahagia. Sungguh dia tumpang gembira untuk abangnya. Syukurlah Fauzi tidak lagi duduk di bawah tempurung dan sudah mulai memandang indahnya dunia di luar. Rabunah menyokong sepenuh-penuhnya bahkan memberi semangat kepada abangnya untuk meneruskan niat yang satu itu. Tidak salah baginya sekadar berkawan.

“Isy, apa pulak macam budak-budak? Bapak budak adalah! He he he.” seloroh Rabunah sengaja hendak mengusik Fauzi. Bantal kecil yang tersusun kemas di tilam Rabunah, dicapai Fauzi lalu dibalingnya tepat mengena muka adiknya itu. Bertambah mengekek perempuan itu dibuatnya.

“Ooo gelakkan abang ye? Takpe-takpe...” Fauzi pura-pura merajuk tetapi dia tahu dia bukannya pandai sangat berlakon. Muka menahan gelak sudahnya dipamerkan.

“Una sajalah mahu sakat abang. Inilah masanya. He he he. Pukul berapa abang ada date tu?” tanya Rabunah hendak menyibuk. Untung-untung kalau dia dapat mengikut, bolehlah berjumpa dengan bakal kakak ipar barunya itu. Sampai ke situ jauhnya angan-angan Rabunah. Yalah, semenjak pemergian kakak iparnya enam tahun dulu, Rabunah tidak punya teman untuknya berbual-bual mesra selain daripada Puan Fatimah, ibunya. Jika ditakdirkan Tuhan, Fauzi terbuka hatinya untuk berkahwin sekali lagi, meriahlah keluarga kecilnya dengan pertambahan ahli baru.

“Pukul 5:00 petang. Abang bawa Syazni sekali. Atas permintaan Siti sendiri,” Beritahu Fauzi sekaligus mendedahkan nama teman yang bakal dijumpainya esok hari secara tidak sedari. Rabunah tersengih nakal.

“Ooo... kakak Siti ye namanya. He he he. Kantoi! Abang Fauzi kenal kak Siti dekat mana? Pandai simpan rahsia betul! Kontroversi tidak, spekulasi tidak... alih-alih sudah punya kekasih hati ye?” Rabunah yang tadinya meniarap sudah bangkit bersila, bantal peluknya diletakkan di atas pangkuan kakinya yang bersilang itu. Sambil kedua-dua belah tangannya menongkat dagu, teruja hendak mendengar cerita cinta lelaki bernama Fauzi di hadapannya.

“Abang kenal di Facebook...” jujur Fauzi berterus-terang.

“Wah, cinta mukabuku lah ni ye? Lepas tu, lepas tu? Ceritalah lagi! Orang dah semangat nak mendengar ni,” Rabunah pula berbunga-bunga perasaannya sekarang ini. Seolah-olah lagu Cinta Muka Buku dendangan Najwa Latif berkumandang melatari pengakuan cinta abangnya itu.

“Abang ada like satu group page ni, tak silap abang grup muslimah sejati namanya. Dari grup tu lah, abang kenal dengan Siti. Awalnya berbual tentang isu-isu semasa, agama, kemanusiaan... hampir 6 bulan jugalah kami kerap bertukar-tukar pandangan di atas talian dan dalam proses itu, kami sentiasa bermuhasabah akan kekurangan diri, cuba berubah menjadi insan yang lebih baik. Dan entah macam mana, dari sehari ke sehari abang makin serasi pula dengan Siti. Abang pun hint lah pada dia yang sebenarnya dari keserasian yang tercipta tu, ada rasa lain yang wujud dalam perasaan abang ni,” Fauzi bercerita tersenyum-senyum. Rabunah khusyuk mendengar, seronok pula dia menumpang rasa.

“Suka-suka! Macam ni lah baru gentleman. Kak Siti tu orang mana bang? Mesti cantik dia kan? Nak add dia dalam Facebook, boleh? He he he.” Rabunah bertepuk-tepuk tangannya, teruja sungguh dia. Yalah, Fauzi adalah sebahagian jiwanya. Fauzi bahagia, dia dua kali ganda lebih lagi merasakannya.

“Asal Kuala Kangsar, Perak. Cantik atau tidak, abang sendiri tak tengok wajah dia lagi. Dalam Facebooknya pun, hanya diletakkan gambar-gambar bunga. Tapi abang tak kisah semua tu. Bagi abang, kecantikan rupa paras tidak kekal lama. Penting sekali kecantikan dalamannya. Lagi pun dalam usia abang yang dah tak seberapa muda ni... He he he... faktor cantik bukan letaknya di posisi pertama. Lainlah orang-orang muda macam Una, kalau nak kekasih mesti mencari yang handsome-handsome, gorgeous-gorgeous. Zaman abang untuk itu dah berlalu. Sekarang ni, abang mencari cinta yang dapat membawa abang ke syurga,” lembut Fauzi menerangkan dan Rabunah terawang-awang mendengar keikhlasan abangnya itu. Bertuahlah perempuan yang dapat memikat abang aku ini. Rabunah berbisik dalam hati.

“Setuju-setuju. Sedangkan Nabi sendiri sudah berpesan, biarpun ditujukan untuk para suami dalam memilih calon isteri tetapi sebagai seorang perempuan, Una juga mahu pilih lelaki yang memiliki agama, bukan rupa, harta atau keturunannya,” Rabunah bersependapat dengan abangnya. Jarang sekali mereka berdua bertelagah atau berlawanan pandangan. Bertingkah mereka selama ini pun sekadar melibatkan perkara remeh-temeh. Yalah, sudah perangai Fauzi yang gemar menyakat adiknya. Fauzi meleret senyumannya. Rambut adiknya diusap-usap penuh kasih sayang.

“Pandai pun adik sayang abang ni... He he he.” puji Fauzi berbangga dengan jatidiri yang ada pada adiknya itu. Fauzi tahu dia memang boleh percayakan kata-kata Rabunah kerana dari pemerhatiannya sebagai seorang abang, Rabunah cukup berhati-hati dalam memilih kawan. Ada tidak ada kawan lelaki adiknya itu, Azlie yang bekerja di kedai serbaneka. Manakala kawan-kawan rapat adiknya di universiti, rata-rata kesemuanya perempuan.

“Mestilah adik abang ni pandai! Kalau tidak, macam mana boleh jadi doktor gigi in future. He he he. I wish you all the best of luck tomorrow, my handsome brother!” Rabunah memberi peransang. Bahu lelaki itu ditepuk-tepuk.

“Alah, tak mahulah wish. Doakanlah untuk abang. Ketar lutut abang ni tau. Nasiblah bawa Syazni sekali,” akui Fauzi yang tidak dapat menyembunyikan sepenuhnya akan rasa gentar dalam diri. Tambahan lagi, dia bukan jenis lelaki yang biasa keluar dengan perempuan apatah lagi untuk satu temujanji. Cuaknya datang dan pergi.

“Gedik betul abang ni tau. Macamlah esok nak jumpa tok kadi sampai ketar-ketar lutut segala. Tak payahlah awkward sangat, just be yourself dan buat macam biasa sudah. Lagipun Una jamin, si Syazni mulut becok tu kalau dah ada, suasana yang stiff pun akan jadi haru-biru,” Rabunah sudah dapat membayangkan ragam Syazni kalau dibawa berjalan dan berjumpa orang. Dia cukup masak dengan kenakalan anak buahnya yang satu itu. Di hadapan orang, bukannya reti duduk diam bahkan lagi sengaja dia tunjukkan perangainya yang pelik-pelik. Bersiap-sedia sajalah!

“He he he. Okeylah Una, abang masuk tidur dulu. Terima kasih sebab dengar cerita merepek abang malam-malam buta ni. Ini rahsia kita berdua tau. Tak mahu beritahu mak dengan ayah lagi, nanti lain pula cerita mereka.” pesan Fauzi lalu disambut anggukan kepala Rabunah. Rabunah dapat menangkap maksud abangnya itu dan memahami akan niatnya. Fauzi tidak mahu mengkhabarkan perkara ini kepada Puan Fatimah dan Doktor Ashraff seawal ini kerana tidak mahu mereka memasang harapan. Lagi-lagi Puan Fatimah yang begitu mengharap supaya Fauzi mendirikan masjid untuk kali kedua. Berilah peluang untuk lelaki itu perlahan-lahan membina hidupnya.

Rabunah kembali bersendirian di dalam biliknya. Dia meniarap semula di atas tilamnya yang empuk lalu dilayang-layangkan jari telunjuknya ke atas pad kursor komputer riba. Komputer itu yang tadinya hitam paparan monitornya, bertukar cerah sebaik disentuh. Rabunah masih ingat lagi akan pesanan Azlie yang menyuruhnya untuk memeriksa satu akaun Facebook yang diberi sepotong nama yang jarang-jarang sekali hinggap di pendengarannya. Menurut Azlie, dia pasti akan terkejut sebaik mengetahui siapa pemilik akaun tersebut. Rabunah cuba mengingat dan menyebut-nyebut akan nama unik itu.

“Hans... Hansamuna shikai? Erk! Pelik je bunyinya. Bahasa apa ni?” Rabunah mengomel sendiri. Tidak mahu terus tertanya-tanya atau terteka-teka akan maksud sebaris nama itu, pantas saja Rabunah membuka laman enjin carian bahasa. Di laman itu, apa saja bahasa di dunia dapat dikesan dan diterjemahkan ke dalam bahasa yang boleh difahami. Semakin berkerut dahi Rabunah apabila membaca hasil terjemahannya.

“Ah, tak payah nak kusut-kusut kepala. Lebih baik aku search je nama tu dalam Facebook. Kalau akaun atau album gambar dia tak private, bolehlah aku tahu siapa. Tak kuasalah hendak add, bukannya kenal pun,” Rabunah bercakap sendiri. Dia memang hanya akan menambah atau menerima kawan yang dia kenal dan pernah berjumpa saja. Tidak gemar dia hendak menambah kawan sekadar sebagai koleksi semata. Sebab itulah sehingga sekarang, Rabunah hanya punya tidak lebih dari seratus orang kawan-kawannya di dalam laman Facebook. Itupun kawan-kawan yang dia rapat dari sekolah rendah sehinggalah ke teman-teman seuniversitinya sekarang.

“Aik, gambar ni yang dia guna sebagai default? Macam mana aku nak tahu dia perempuan ke lelaki, kenal ke tidak,” keluh malas Rabunah. Mulutnya sudah menguap, rasa mengantuk pula bila mana berbaring-baring sebegini. Rabunah tidak kuasa hendak menyelidik lagi, esok-esok saja dia bertanya Azlie.

Belum sempat hendak log keluar, tanpa disangka-sangka Hansamuna Shikai menambahnya sebagai kawan. Macam tahu-tahu saja aku sedang online sekarang, desis Rabunah dalam hati. Rabunah tidak terus menekan butang terima. Pemilik akaun laman sosial yang menggunakan gambar ubat gigi merah jambu itu dibiarkan terus menunggu. Rabunah tidak terdaya hendak menahan rasa kantuknya, berlayar perempuan itu tanpa sempat mematikan komputer riba yang letaknya cuma bersebelahan kepala.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.