Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,912
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

“Eh, Pak Cik Shafari hendak ke mana ni?” tegur Dzulkarnain bila mana melihat lelaki tua yang menumpang di rumahnya sejak dua hari lalu sudah menunggunya di luar pintu. Dzulkarnain yang baru balik dari kerja, sedikit cemas dibuatnya. Yalah, khuatir pula kalau-kalau lelaki tua itu punya hal kecemasan, sudahlah dia pulang agak lewat hari ini. Terbit kerisauan dalam dadanya tiba-tiba.

“Pak cik tunggu anak. Pak cik mahu berterima kasih sebab sudi tumpangkan pak cik bermalam di sini. Pak cik tak mahu susahkan anak lagi,” tulus saja bunyinya percakapan lelaki tua itu yang jernih raut wajahnya. Dzulkarnain tidak sampai hati pula mendengar. Niatnya hendak membantu orang tua itu ikhlas seikhlas ikhlasnya. Selepas insiden dia terlanggar lelaki itu berhampiran restoran mamak tempoh hari, dia berasa bertanggungjawab untuk menebus kesalahannya.

Natasha yang dapat tahu Dzulkarnain bukan saja membawa lelaki tua itu ke klinik tetapi dibawa sampai balik ke rumah, meleter tidak setuju dengan tindakan Dzulkarnain. Kata Natasha, Dzulkarnain buat baik tidak bertempat. Manalah tahu entah-entah orang tua itu perompak, habis segala benda isi rumah Dzulkarnain dikebas senyap-senyap. Begitulah hasutan Natasha yang tidak sudah-sudah berprasangka bukan-bukan.

Bagi Dzulkarnain sendiri, dia tidak punya halangan untuk menerima Shafari di rumahnya. Tambahan lagi, dia duduk seorang diri. Apalah sangat hendak menjaga makan minum seorang lagi penghuni, bahkan dia lagi suka kalau Shafari tinggal lama di situ. Banyak perkara yang dia tidak tahu lagi tentang orang tua itu lebih-lebih lagi tentang bagaimana Shafari boleh berada di kota metropolitan ini sebatang kara. Apa yang dicari dan mana pula sanak saudaranya?

“Susah apanya, pak cik? Kehadiran pak cik tak pernah menyusahkan saya pun. Pak cik tak perlu keluar dari rumah ini kalau tak ada tempat yang pak cik nak tuju. Tinggal saja di sini ya?” pelawa Dzulkarnain memujuk lembut Shafari yang sebenarnya berasa serba salah dan malu yang menebal. Yalah, dia menumpang di rumah orang. Kemudian dilayan pula dengan baik oleh anak muda di hadapannya itu. Dia terharu tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu membebankan kehidupan Dzulkarnain.

“Tapi...” takut-takut saja Shafari hendak menolak pelawaan Dzulkarnain, sungguh dia berasa segan. Sudahlah duduknya di situ, bukan sembarangan kediamannya. Rumah anak muda itu terlalu mewah baginya yang tidak punya apa-apa.

“Tak ada tapi-tapi ya pak cik. Pak cik tinggal saja di sini selama mana yang pak cik mahu. Lama pun tak apa. Ada pak cik, tidaklah sunyi sepi rumah ni. Marilah... kita masuk ke dalam.” pantas Dzulkarnain mencelah. Dia memimpin orang tua itu masuk ke dalam semula dengan senyuman. Entah kenapa, mudah benar timbul rasa sayang dan hormat dalam diri Dzulkarnain kepada Shafari. Ada sesuatu yang menggerakkan hatinya untuk menolong orang tua itu.

Malam ini, dia mahu bersembang panjang dengan Shafari. Semalam, dia tidak punya ruang dan masa untuk itu mengenangkan Shafari yang tidur agak lama di bilik tetamu yang disediakannya. Kasihan pula dia melihat Shafari yang selepas diberi rawatan di klinik, kemudian mandi dan makan, terus saja terlelap matanya. Barangkali lelaki tua itu terlalu penat. Dari raut wajahnya, sudah tergambar kelelahan yang dihadapinya.

Dzulkarnain terus masuk ke biliknya selepas berjaya melembutkan hati Shafari, memujuk orang tua itu untuk terus menetap di situ. Selesai membersihkan diri dan mendirikan solat Asar di hujung-hujung waktu, keluar lelaki itu dari biliknya. Sebaik melintasi dapur, deria baunya terhidu akan aroma yang membuatkan air liurnya kecur. Terus saja Dzulkarnain memesongkan langkahnya, menuju ke dapur.

“Wah, sedapnya bau! Pak Cik Shafari masak apa tu?” teruja Dzulkarnain hendak tahu. Manakan tidak, bukan selalu dia dapat menghidu bau yang menyelerakan dari dapurnya. Yalah, namapun orang bujang. Hendak memasak, dia seorang saja yang tinggal. Sudahnya beli di luar dan berminggu-minggulah dapurnya tidak berusik.

“Pak cik buatkan jemput-jemput udang. Bolehlah kita minum petang sementara menantikan masuknya waktu Maghrib. Marilah nak...” jemput Shafari. Laju saja Dzulkarnain menarik kaki kerusi lalu duduk menghadap rezeki di depan mata. “Maaf ya nak, pak cik lupa hendak minta izin dengan anak guna barang-barang di dapur ini. Maafkan pak cik.” lanjut Shafari tiba-tiba. Perasaan takut menyelubungi orang tua itu. Nanti dikatakan memandai-mandai pula menggunakan bahan-bahan masak yang tersedia di dapur itu. Tunduk kepala Shafari, seperti pesalah menanti dirinya untuk dihukum.

“Isy, tak payah minta izin dari saya pak cik. Lagipun barang-barang di dapur ni jarang saya sentuh. Nak harapkan saya yang memasak, agaknya sampai berulatlah tepung gandum tu dibuatnya. He he he. Marilah pak cik duduk sekali. Mesti sedap jemput-jemput udang yang pak cik masak ni. Tak sabar saya nak rasa!” pandai Dzulkarnain mengambil hati orang itu semula. Beransur-ansur berubah riak wajah Shafari, tadinya seperti takut-takut dan sekarang ada redup pada matanya.

Shafari menuangkan kopi panas yang dibancuhnya tadi ke dalam cawan Dzulkarnain, dilayannya anak muda itu seperti anak sendiri. Dzulkarnain tersentuh diladeni sebegitu. Kedua-duanya duduk di meja itu menikmati jemput-jemput udang yang masih berapungan asapnya ke udara. Lewat petang sebegini apatah lagi baru segar lepas mandi, menjamah hidangan yang panas-panas pastinya akan membuka selera. Licin sepiring, Dzulkarnain menambah lagi jemput-jemput udang itu ke atas piring kosongnya. Shafari bersyukur kerana air tangannya disukai anak muda itu.

“Pak Cik Shafari memang pandai masak ya?” tanya Dzulkarnain selepas dua piring jemput-jemput udang dijamahnya. Boleh sampai ke malam kenyangnya nanti.

“Tidaklah pandai sangat, nak. Masak-masak orang kampung, bolehlah pak cik,” balas Shafari merendah diri.

“Masakan orang kampunglah yang best, pak cik. Saya ni hampir tiap-tiap hari menapau makanan di gerai Thai seberang jalan tu. Dah serupa orang Siam jadinya. He he he.” Dzulkarnain tergelak kecil dengan pengakuannya sendiri. Shafari untuk kali pertama menggariskan senyuman di tampang jernihnya. Sejuk hati Dzulkarnain memandangnya.

Azan Maghrib sayup-sayup berkumandang dari masjid yang letaknya tidak jauh dari kediaman Dzulkarnain. Jauh tidak jauh, perlu berkereta untuk ke sana. Dzulkarnain memperbaharui wuduknya sementara Shafari yang terlebih dulu mengambil wuduk, menanti anak muda itu di tikar sejadah. Berjemaah mereka berdua menghadap Pencipta dalam suasana khusyuk dan terasing dari dunia luar.

“Assalammualaikum warahmatullah...” lafaz salam Shafari dua kali lalu berpaling kepalanya ke kanan dan ke kiri. Butir-butir tasbih di jari digerakkan mengucap kalimah memuji ALLAH. Sejurus kemudian, kedua-dua belah tapak tangannya diangkat memanjatkan doa. Tidak ada kata yang barangkali dapat menggambarkan betapa kerdil dan sayunya hati Dzulkarnain di kala ini. Sungguh solatnya tenteram berimamkan lelaki tua itu. Sama-sama dia menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca Shafari.

“Pak Cik Shafari... boleh saya tanya pak cik sesuatu?” Dzulkarnain memulakan bicara. Mereka masih duduk-duduk di tikar sejadah dan kesempatan itu digunakan Dzulkarnain untuk mengetahui lebih mendalam akan siapa Shafari sebenarnya. Atau lebih tepat lagi, apa yang dibuat orang tua itu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur hinggakan terpaksa mengutip sisa-sisa makanan untuk mengalas perut.

“Tanyalah nak...” jawab Shafari tenang-tenang saja nadanya. Dzulkarnain mencari ayat yang terbaik untuk mendapatkan jawapan dari lelaki tua itu tanpa menyinggung atau mengecilkan hatinya.

“Pak cik sebenarnya asal dari mana? Pak cik bukan orang KL kan?” tanya Dzulkarnain pada Shafari yang bening saja pandangan matanya. Dan dari kebeningan mata itulah, barangkali tersembunyi seribu satu cerita yang disimpan orang tua itu. Tebak Dzulkarnain menerka.

“Pak cik dari Batu Pahat, Johor...” sepatah Shafari menjawab. Dzulkarnain sabar menanti kalau-kalau orang tua itu menyambung ayatnya. Tidak mati di situ saja. “Dalam perjalanan hendak ke Kuala Lumpur, pak cik kena rompak. Dompet pak cik dikebas penjenayah dengan beg sandang pak cik yang berisi pakaian sekali dilarikan,” sambung Shafari dan ada keluh halus di hujung penceritaannya. Dzulkarnain berasa simpati. Patutlah lelaki tua itu dilihatnya mencuri-curi makanan di restoran tempoh hari, barangkali sudah terlalu lapar dan duit pula tiada. Dzulkarnain merumus sendiri.

“Pak cik datang ke Kuala Lumpur ni naik apa ya? Macam mana boleh berlaku kejadian tu?” beria-ia Dzulkarnain hendak tahu.

“Pak cik naik bas. Bila bas berhenti sekejap di satu perhentian ni untuk beri penumpang turun ke tandas, pada masa itulah pak cik kena rompak. Kebetulan yang turun hanya pak cik dengan sorang penumpang lagi, terpinga-pinga kami berdua. Tapi tak apalah, benda dah nak terjadi kan. Pak cik reda sajalah,” cerita Shafari berserah kepada Tuhan. Hendak merungut pun tidak ada gunanya lagi.

“Alahai... sekarang ni dekat mana-mana pun dah tak selamat kan, pak cik? Pak cik dah berapa hari ada di KL ni?” soal Dzulkarnain lagi.

“Lebih dari seminggu, nak...” beritahu Shafari jujur. Maknanya sudah lebih dari tujuh hari lelaki tua itu berada di Kuala Lumpur, hendak berganti pakaian, beg sandang yang dibawa pula dicuri. Kita yang sehari tidak berganti pakaian pun sudah berbau satu badan, ditambah lagi dengan peluh yang melekit dan merimaskan. Inikan pula orang tua itu yang sudah seminggu menyarung pakaian yang serupa. Fikir Dzulkarnain membuat kesimpulan.

“Ini kali pertama Pak Cik Shafari sampai ke Kuala Lumpur?” tidak putus-putus pertanyaan Dzulkarnain dan kali ini dijawab dengan anggukan kepala oleh lelaki tua tersebut. Kasihan Pak Cik Shafari. Sudahlah baru pertama kali menjejak kaki di kota metropolitan ini, kemudian barang-barang peribadinya pula dicuri. Manusia sekarang sudah tidak punya hati perut, tega merompak lelaki tua seperti Shafari yang tidak punya daya untuk melawan semula. “Boleh saya tahu, Pak Cik Shafari datang ke Kuala Lumpur ini atas tujuan apa ya?” lanjut Dzulkarnain lagi. Serta-merta, sepasang mata yang bening itu sekilas berkaca. Shafari menunduk ke bawah. Berat mulutnya tiba-tiba untuk bersuara.

Dzulkarnain berasa serba salah pula meluncurkan pertanyaan tersebut. Apakah soalannya tadi terlalu menyentuh urusan peribadi Shafari sehinggakan wajah tua yang penuh dengan garis kedut di muka itu kelihatan mendung dan mendadak tidak bermaya. Perlahan-lahan Shafari menarik nafas, barangkali mahu mengumpul kekuatan untuk menceritakan akan duduk perkara yang sebenar. Mampukah dia?

“Tidak apalah kalau Pak Cik Shafari rasa kurang selesa nak bercerita. Maafkan saya ya, pak cik. Banyak pula tanya saya. He he he.” Dzulkarnain terlebih dulu memohon maaf. Sengaja dia tertawa kecil di hujung ungkap, mahu mengendurkan suasana seperti sedia kala. Hati dan perasaan orang tua itu mahu dijaganya, bimbang tergores di sini sana. Meski Shafari bukan siapa-siapa padanya tetapi sebagai orang yang lebih muda, tidak salah untuk dia menghormati insan tua itu.

Tertangguh sebentar perbualan mereka apabila telefon bimbit Dzulkarnain yang terletak di atas meja di dalam bilik solat tersebut, berbunyi tiba-tiba. Bingkas lelaki itu dari tikar sejadah lalu menjawab panggilan tersebut. Suara perempuan di hujung talian. Kenal benar Dzulkarnain akan suara itu. Salah dia juga kerana menekan butang jawab tanpa melihat di skrin selularnya. Kalau tidak, bolehlah dia mengelak dari bercakap dengan pemanggil yang suka benar-benar menghubunginya di kala waktu senja.

You ni suka benar call I waktu-waktu Maghrib, tak tahu ke yang waktu macam ni, orang sibuk nak sembahyang, berwirid segala!” hambur Dzulkarnain keras tetapi masih terkawal nada suaranya. Tidak mahu cakapnya nanti didengari Shafari yang sudah melipat-lipat tikar sejadah dan menyusunnya di atas rak kecil yang tersedia di situ. Dzulkarnain menyusup keluar dari bilik solat itu menuju ke ruang tamu.

“Alah, itu pun nak marah! Habis nak call you waktu bila lagi? Pagi, tengahari, petang, senja sampai ke malam, bukan ke semua tu waktu orang nak sembahyang? I call tengah-tengah malam buta, you dah buat tahi mata!” pangkah Natasha yang dalam talian pun masih hendak bergaduh. Itu belum lagi kalau mereka bersua muka. Ada saja perkelahian kecil yang akan terjadi.

“Eh, tahu pun you ye? Kita ni orang Islam, dari mula kita celik mata sampailah kita nak membuta, tidak lari dari tanggungjawab kita untuk dirikan tiang agama lima kali sehari semalam. Ha! You ni dah sembahyang Maghrib tidak ni?” sindir Dzulkarnain mengingatkan. Sudah terbayang di dalam kepala Dzulkarnain, akan reaksi wajah Natasha di hujung talian sana, pastinya sedang mencebik bibir mengejek dirinya. Natasha memang tidak suka kalau dirinya dinasihat-nasihat sedemikian rupa. Katanya, dia bukan jahil dalam agama. Cuma malas hendak mencuci mekap yang sudah tertepek di muka! Itulah alasan dungu Natasha seperti tiada langsung iman di dada.

I uzurlah! Sibuk je tanya I dah sembahyang ke belum! You ingat you tonggang-tonggek sembahyang tu, dah perfect sangatlah tu nak nasihatkan I? Boleh jalanlah! Huh!” tingkah Natasha mempertahankan diri sendiri. Dia tetap tidak mahu mengalah! Dzulkarnain panas saja cuping telinganya. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia mematikan talian dari menghabiskan masa melayan kerenah tidak makan saman Natasha.

“Ah, alasan! Sepanjang masa uzur! Ha, you call I ni kenapa? Kalau sengaja hendak cari pasal, sekarang juga I letak telefon!” bentak Dzulkarnain tidak kuasa hendak memanjangkan sengketa, bosan lebih tepat lagi.

“Esok I nak ikut you pergi gym lepas waktu pejabat. I dah daftar pun sebagai ahli dekat tempat you tu,” beritahu Natasha selamba tidak tahu malu. Barangkali perempuan ini dilahirkan tanpa sifat segan silu. Fikir Dzulkarnain tatkala ini.

“Suka hati youlah!” balas Dzulkarnain malas hendak bertekak. Lagipun, kalau dia melarang, dia percaya Natasha tetap akan muncul di pusat gimnasium yang selalu dikunjunginya itu. Entah apa angin perempuan itu tiba-tiba saja hendak mengikutnya ke sana, hingga sudah berdaftar sebagai ahli tanpa pengetahuannya. Teringat Dzulkarnain akan peristiwa di mana dia menemani Natasha membeli-belah pakaian sukan sebelum ini. Dan sekarang barulah dia dapat menangkap akan tujuan perempuan itu.

Dia tidak dapat mengelak. Ke mana-mana saja, tetap ada Natasha yang seolah-olah mahu mengekorinya sepanjang masa. Baru memikirkan akan kemungkinan itu, sudah rimas Dzulkarnain dibuatnya. Seandainya boleh dia melarikan diri dari perempuan itu, alangkah amannya dunia!

Sementara Natasha di hujung talian sana, sudah melebar senyumannya sampai ke telinga. Tidak sabar untuk dia menantikan petang esok. Bukan suka-suka dia hendak mengikut lelaki itu ke pusat gimnasium, dari ke situ lebih baik dia menghabiskan masa di spa-spa mewah di luar sana. Tetapi demi merealisasikan rancangan jahatnya, apalah sangat membayar yuran pendaftaran di pusat gimnasium itu. Celah gigi saja baginya!
Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.