Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
234,099
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

Baru sebulan pasangan suami isteri itu menduduki rumah banglo yang letaknya sedikit jauh dari hiruk-pikuk bandaraya, nun di pinggir Kuala Lumpur. Halaman rumah tersebut cukup luas sekali membolehkan mereka melestari ruang dan kawasan yang ada dengan bercucuk tanam. Kebanyakan pokok-pokok yang ditanam adalah dari jenis tumbuhan herba dan ulam-ulaman, ada yang ditanam terus di tanah dan ada juga di dalam pasu-pasu kecil. Inilah yang dikatakan orang tua-tua, tidak rugi berbudi pada tanah. Hasilnya nanti, memanfaatkan diri sendiri.

“Ha, yang ini ayang tahu! Pokok pudina kan?” tanya si isteri yang masih membilang hari-hari akhir proses berpantangnya selepas selamat melahirkan cahaya mata sulung. Hampir dua bulan ini, dirinya diladeni seperti seorang permaisuri. Suaminya yang penyayang dan cukup mengambil berat, benar-benar membuat dirinya begitu dihargai. Meskipun dirasakan tubuhnya sudah kuat untuk melakukan semua kerja tetapi masih ditegah oleh suami. Perhatian dan keprihatinan yang dilimpahkan suami, menjadikan hari demi hari yang dilalui penuh dengan rasa ketakjuban cinta.

“He he he. Betullah tu. Pokok pudina banyak kegunaannya tau sayang. Bukan saja dikomersialkan secara meluas dalam produk seperti ubat gigi dan penyegar mulut tapi juga boleh dijadikan rawatan alternatif untuk mengubati masalah kesihatan seperti selesema, gastrik, asma dan banyak lagi,” terang si suami sambil tersenyum, meraih tubuh isteri untuk dekat padanya.

“Macam yang selalu abang cakap dengan ayang, tidak ada dalam dunia ini yang ALLAH cipta tak beri manfaat kepada manusia. Pokok pudina ni mempunyai sifat antiseptik, antivirus dan antiparasit. Ayang suka pada bau segarnya,” ujar isteri tadi, nyaman dalam rangkulan mesra suami tercinta. Debar dalam jiwanya tidak pernah hilang setiap kali lelaki yang sudah sah bergelar suaminya itu datang mendekati. Apatah lagi berada dalam pelukan dan dibelai-belai manja sedemikian rupa, bagaikan tinggal di syurga dunia.

“Sayang... sayang ingat lagi tak di awal-awal pertemuan kita dulu? Sayang kata nafas abang berbau. Sampai hati tau. He he he.” usik lelaki itu membangkitkan kenangan-kenangan indah dan ada di antaranya cukup menggelikan hati.

“He he he. Sorrylah... tapi dek kerana peristiwa itulah yang mengeratkan cinta kita berdua. Abang jangan ambil hati tau. Abang bukan tak tahu isteri abang ni tak macam perempuan lain kat luar sana. Bercakap ikut sedap mulut aje. He he he. Tapi abang percayalah, abang dah banyak mengubah ayang. Ayang berjanji akan jadi isteri yang terbaik untuk abang,” luah perempuan itu penuh keazaman. Biarpun dia tahu, lelaki itu menerima dirinya seadanya tetapi bagi dia sendiri, apa salahnya untuk dia berubah. Berubah menjadi seorang muslimah yang solehah.

“Terima kasih sayang. He he he. Sekarang bau nafas abang busuk ke wangi?” sakat lelaki itu lagi membuatkan pipi si isteri merona merah kerana malu-malu. Bertaut bibir pasangan bahagia itu menyemarakkan rasa cinta dan bahang asmara.

“Mestilah wangi... segar macam rasa daun pudina ni ha. He he he.”

“Oh, nakal ye dia. Nak kena ni!”

Tubuh isteri dicempung manja, menyebabkan perempuan itu menjerit-jerit halus minta diturunkan. Kemesraan sepasang suami isteri itu yang baru hendak bermula, dikejutkan tiba-tiba dengan suara tangisan bayi dan disusuli jeritan yang memanggil nama mereka. Bergegas kedua-duanya yang berada di bahagian belakang rumah, berkejar ke laman hadapan. Hati perempuan itu sudah rusuh, menjangkakan sesuatu yang buruk sudah berlaku. Ya ALLAH, jauhkanlah keluarga kami dari segala malapetaka.

“Pak encik...! Mak encik...! Azira pak encik...! Azira...!” jerit wanita tua Indonesia itu yang bekerja sebagai pembantu rumah di banglo tersebut. Wajahnya sudah pucat lesi! Kelihatan pagar rumah itu ternganga luas. Jantung suami isteri itu seperti hendak luruh!

“Mana Azira, embah Nassimah? Mana Azira...?”

“Tadi ada mobil berhenti depan rumah. Embah menyangka tamu pak encik dengan mak encik lalu terus dibuka pintu pagarnya. Kemudian, datang sorang cewek ini terus rampas Azira dari embah. Embah betul-betul kaget, tidak tahu hendak buat apa-apa. Bagaimana sekarang pak encik?” cerita wanita tua itu dalam nada takut-takut, air matanya sudah menjejer keluar.

“Ya ALLAH bang...! Anak kita bang...! Azira kena culik bang!” si isteri hampir-hampir mahu rebah. Separuh nyawanya bagaikan sudah direntap malaikat maut!

“Embah kenal kereta yang bawa lari Azira tu? Kereta jenis apa dan apa warnanya?” soal lelaki itu cemas bercampur-baur emosinya. Dia cuba untuk bertenang meskipun akal warasnya seakan tidak boleh berfikir lagi. Dia tidak mahu tewas dengan perasaan sendiri apatah lagi lemah berdepan saat-saat genting sebegini. Hanya doa yang mampu dilintaskan dalam hati mengharap pertolongan dari Dia. Lindungilah anak kami ya Rabb. Azira baru dua bulan usianya.

“Tak silap embah, kereta Waja warnanya merah hati,” terang Embah Nassimah merenjatkan tubuh lelaki itu mendengar. Dia tahu angkara siapa. Tidak ada kesudahankah dendam perempuan itu? Hingga sanggup membuat kacau dalam keluarganya.

Lelaki itu berlari mencapai kunci kereta, dia tekad mahu mengejar kereta itu yang pasti berada tidak jauh dari situ. Isterinya dipeluk kejap, berkongsi semangat.

“Embah tolong jaga isteri saya dan pastikan semua pagar dan pintu berkunci. Saya mahu dapatkan Azira saya balik,” pesan lelaki itu dan meluru ke pintu kereta.

“Tapi ayang nak ikut abang,” tahan si isteri yang tidak sanggup sekadar menunggu di rumah tanpa berbuat apa-apa. Lagi pula, yang diculik bukan anak orang lain tetapi benih cinta mereka berdua yang baru celik melihat dunia.

“Ayang tunggu di sini. Telefon mak ayah kita berdua, suruh mereka datang cepat. Dalam sejam abang tak balik, telefon polis.” tegas lelaki itu membuat keputusan. Dia tidak mahu mengambil sebarang risiko, isterinya masih belum sihat sepenuhnya.

Lelaki itu segera menghidupkan enjin kereta dan memecut laju cuba merentas masa. Dia tahu ke arah mana mahu dibawa keretanya itu. Perempuan yang berani menculik anaknya itu memang sudah melampau! Sungguh hati lelaki itu meledak marah. Kalau terjadi sebarang perkara yang tidak diingini ke atas Azira, dia tidak tahu sama ada dia masih boleh mengawal diri untuk bertindak dalam batas-batas kemanusiaan.

“Astaghfirullahalazim.” lelaki itu mengucap, sedaya-upaya mahu membuang jauh-jauh gambaran yang bukan-bukan. Dia tahu anaknya selamat. Jangan takut Azira, papa datang ni.

Kelibat kereta Waja berwarna merah hati seperti mana yang diperincikan Embah Nassimah, kelihatan berada beberapa meter di hadapan. Lelaki itu menambahkan pecutan, cuba memintas kereta itu dan hampir-hampir saja pemanduannya hilang kawalan. Stereng kereta digenggam kejap tetapi dalam masa yang sama, sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan, merempuh keretanya dan bergegak bunyi pelanggaran sejurus kemudian.

“Azira, anak papa...” rintih suara lelaki itu dan wajah-wajah insan yang dicintainya bersilih ganti mengisi ruang-ruang benak sebelum pandangannya tiba-tiba berubah kelam.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.