Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,864
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
30


      Setelah selesai aku kembali ke ruang tamu mendapati Amelia sedang duduk di sofa dengan shawl merah menutup bahunya.  Tekun memeriksa telefon bimbitnya sambil memegang cawan teh pada tangan yang sebelah lagi.  Menyedari kehadiranku, dia bertanya sama ada aku mahu minuman teh panas yang baru memandangkan minuman yang disediakan tadi sudah sejuk. 

      “Sebenarnya saya belum makan lagi,” aku bersuara perlahan.  Aku tidak tahu kalau ada kedai makan yang masih dibuka pada waktu ini.  Mungkin satu dua pub yang kami lalui tadi masih beroperasi.  Tetapi Amelia tidak sihat untuk menemaniku berjalan.

      Mata Amelia terbeliak seketika sebelum bertanya, “Mamat nak makan apa? Saya tak pasti apa yang ada di dalam peti ais.  Barangkali Alya ada menyimpan roti siang tadi.”

      Amelia bergegas membuka peti ais dan memeriksa kandungan di dalamnya.

      “Roti dengan jem? Butter? Cheese?” dia bertanya lagi di sebalik pintu peti ais.

      “Tak mengapa.  Roti kosong cukup.”

      “Toast?” tanya Amelia tanpa memandangku.  Dia mengeluarkan sekeping dua roti dari bungkusan.

      “Saya buatkan minuman untuk Mamat.  Teh panas?” tanyanya semasa menghulurkan pinggan berisi roti bakar kepadaku.  Terasa enak pula roti panas ini.  Makanan ringkas seperti ini pun terasa lazat dalam cuaca sejuk begini.

      “Koko panas boleh tak?”

      “Boleh.”  Jawabnya tersenyum lalu meninggalkan aku makan di sofa.

      Telefon bimbitnya berbunyi sebentar di hujung sofa.  Aku menjeling namun tulisan di paparan skrinnya terlalu halus untuk dibaca dari sini.  Tiba – tiba timbul rasa cemburu apabila teringatkan bahawa dia telah mempunyai teman istimewa di London.  Roti yang sedang kujamah ini mula terasa payau dan tidak sedap.  Tak lalu pula untuk menghabiskannya.  Fikiranku masih berlegar pada penghantar pesanan ringkas misteri di telefonnya.

      Aku terlalu sibuk menginginkan hati Amelia, sampaikan aku terlupa bahawa hatinya mungkin sudah menjadi milik orang.  Entah budak hingusan mana agaknya, aku mendengus.

      “Kenapa Mamat?” muncul Amelia tiba – tiba dari dapur.  Mungkin aku mendengus terlalu kuat.  Dia membawa cawan berisi air panas kepadaku.  Usai diserahkan cawan tersebut, dia mendapatkan telefon bimbitnya.  Aku memerhatikan dari ekor mata melihat dia membalas pesanan ringkas itu, sambil menahan rasa cemburu yang meluap dengan tiba – tiba.  

      Entah kenapa aku terasa ingin bersemuka dengan temannya Amelia pada saat ini untuk beradu tenaga.  Aku tidak pedulilah bagaimana rupa orangnya.  Pukul dulu.  Kalah menang belakang cerita.  Pukul dulu biar puas.  Biar sampai pecah mukanya.

      Astaghfirullah, hati kecilku tersedar. 

      Amelia menutup telefonnya dan diletakkan di tepi sofa.  Dia memandang kepadaku setelah melihat pinggan berisi roti bakar tadi masih lagi bersisa.

      “Mamat tidak habis makan pun.  Tak berselerakah?”

      Aku menggeleng.  “Saya sudah kenyang.”

      Minuman ini pun aku tidak mampu habiskan.  Tiba – tiba aku terasa ingin pulang.  Fikiranku menjadi kusut.

      “Kenapa Mamat?” Amelia bertanya lagi.  Mungkin dia menyedari gerak – geriku agak berlainan daripada biasa.

      “Tak ada apa – apa.  Bila kakak Amelia hendak pulang?” aku mula memikirkan alasan untuk keluar dari sini.  Mungkin ada baiknya aku pergi dan biarkan Amelia berehat sendiri.

      “Saya tak pasti.  Katanya tadi mungkin lewat sedikit,” jawabnya sambil memandang semula ke telefonnya.  Aku turut menjeling ke arah telefon tersebut dan menjadi keliru.  Mungkinkah pesanan ringkas tadi datang daripada kakaknya.

      “Amelia bagaimana? Masih sakit perut lagi?” tanyaku tanpa cuba menyembunyikan rasa bimbang.

      “Saya sudah makan ubat lagi tadi.”  Dia menjatuhkan tangan kepada perutnya sambil bersandar.  Aku mengerutkan dahi mencari alasan untuk beredar.  Namun hatiku terasa berat sekali untuk meninggalkan dirinya. 

      Pandangan matanya redup memerhatikanku.  Tenang sahaja riak wajahnya berbeza sungguh dengan keadaan hatiku yang sedang berkecamuk.

      Aku menghirup air panas ini dengan perlahan.

      “Mamat ada berapa adik – beradik?” suaranya lembut menyinggah di corong telingaku.

      “Tiga.  Semuanya lelaki.”

      “Mamat yang sulungkah?”

      Aku mengangguk.  “Yang kedua, isterinya sedang belajar di Edinburgh.  Yang bongsu di Sydney.  Isterinya bekerja di sana.”

      “Mamat inginkan keluarga? Anak – anak?”

      Aku memandang wajah Amelia.  Sejujurnya aku tidak terasa langsung keinginan itu sehingga bertemunya.  

      “Kiranya bertemu dengan pasangan yang serasi,” jawabku perlahan.  Mata Amelia yang bundar itu terus merenungku.

      “Sudah berapa kali Amelia bercinta? Atau berteman?” aku tidak dapat menahan soalan yang berputar – putar di benakku sejak tadi.  Kedengaran agak kurang sopan tetapi aku tidak peduli.  Aku harus tahu sekarang.

      “Ini kali pertama saya mempunyai teman.  Kami sudah kenal lama tetapi baru sahaja menjalinkan perhubungan.  Sebelum ini saya tidak pernah berkawan dengan sesiapa.” Suaranya perlahan seakan segan bercerita denganku.

      “Amelia tidak pergi bergaul atau berseronok di kelab atau party?” Aku ingin menyebut seperti Alya rakannya tetapi aku menahan diri.

      Dia menggelengkan kepalanya.  “Saya tidak suka apabila mereka mabuk.”

      Aku tersenyum sebentar.

      “Mamat sudah berapa kali bercinta?”

      “Satu dua kali.  Cinta monyet.”  Aku tidak berniat untuk menceritakan kisah silamku kepadanya.  Bukan kerana ingin berselindung tetapi lebih kerana ia tidak membawa sebarang makna bagiku.

      “Apa erti cinta pada Mamat?” Amelia merenung tepat ke dalam mataku.  Giliran dia pula menginginkan jawapan daripadaku.  Aku terdiam.  Kerana meskipun aku mempunyai lebih pengalaman dalam hubungan dewasa, aku tidak mampu mencari jawapan yang terbaik baginya.  

      “Saya tidak tahu.” Ujarku sejujurnya.

      “Mungkin cinta itu bagi saya adalah seperti ruh.  Sesuatu yang ghaib.  Kita dapat merasakan kehadirannya dalam hati.  Tetapi kita tidak tahu bentuknya, mengapa, dan bagaimana ia terjadi.  Seperti ruh, ia adalah rahsia Tuhan.  Hanya Tuhan sahaja yang tahu.”

       Amelia terdiam seperti kehilangan kata – kata.  Pandangannya jernih.  Membayangkan rupa hatinya.  Entah dari mana timbul satu perasaan yang kuat untuk aku memiliki dirinya.  Aku mahukan dia dalam hidupku.  Untuk selama – lamanya.

      Namun aku tidak tahu apakah hatinya masih lagi dapat kumiliki.  Aku melepaskan keluhan dengan perlahan.

      “Tetapi pada saya.  Cinta yang terbaik yang pernah diungkapkan adalah cinta Nabi kepada isterinya Khadijah.  Baginda sering terkenangkan isterinya selepas Khadijah meninggal dunia.  Dan bila ditanya tentang hubungan baginda dengan Khadijah, Nabi menjawab, ‘I was given the provision of her love.’  Pada saya cinta itu membuatkan kita merasa rendah diri dan bersyukur atas rezeki kasih sayang yang diberikan.”

      Amelia pula melepaskan keluhan perlahan.  Pandangannya dijatuhkan ke atas jari – jarinya.  Entah kenapa aku meraih jari – jemari yang halus itu.  Dia mengangkat kepalanya kembali.  Matanya bersinar lembut seakan berbicara.  Sebuah harapan.  Lalu aku menarik tubuhnya kepadaku.  

      Dia menurut.  Aku musnahkan saki - baki jarak antara kami dengan mengelus wajahnya perlahan - lahan.  Mengukir keindahan matanya, bibirnya, telinganya dengan hujung jariku.  Aku ingin ukiran itu bertatah di hatiku seperti seorang buta yang mengenal wajah yang dikasihinya.

      Aku tahu nafsu.  Dan aku kenal cinta.  Serta pertembungan kedua – dua perasaan itu sewaktu bibir kami bertaut seketika.

      Lembut.  Sedikit basah.  Aku menjadi hilang bersama detik waktu.

      Amelia menyandarkan kepalanya di bahuku.  Kucium rambutnya yang harum.  Bahunya kupeluk erat.  Antara saat – saat yang tidak akan kulepaskan buat selama – lamanya.

      Suara – suara remaja di luar dan dalam bangunan ini tidak lagi kedengaran.  Aku tidak pasti jam sudah pukul berapa.  Ia tidak penting lagi bagiku.  Beg galas dan stesen bas.  Biarlah.  Aku mahu berada di sini.  Amelia di dalam dakapanku.

      “Papa dan mama akan datang ke London minggu depan,” ujarnya membelah sunyi.

      “Bila?” tanyaku sambil mengelus jari – jarinya.

      “Hari Ahad.”

      “I will postpone my flight,” jawabku pendek.

      “Tak apakah?” suaranya khuatir.  Entah apa yang dia khuatirkan.

      “Tak apa.”

      Amelia tersenyum semula.

      “Kita boleh sambut harijadi Mamat di London,” suaranya kembali girang.

      Aku ketawa.  Terlupa pula harijadiku bakal tiba hujung minggu ini.  Dah tua – tua begini aku tidak lagi menyambut harijadi.

      “Mamat belum tua lagi,” balasnya dengan nada yang manja.

      “Tak mengapalah saya sudah tua.  Waktu saya sebaya dengan Amelia, saya seperti haiwan liar.  Tidak punya apa – apa tujuan dalam hidup.  Hanya memikirkan keseronokan.”

      “Sekarang?” tanyanya dengan pantas.

      “Sekarang, saya berjumpa jalan pulang.”


Previous: 29
Next: 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.